A+ A A-

Children categories

SEBAGAI negara yang maju dan kian membangun, Brunei Darussalam sebenarnya telah berjaya mengeluarkan pelbagai produk serta barangan sendiri atas hasil keringat usahawan-usahawan kecil dan sederhana mahupun usahawan yang berjaya di negara sendiri. Sudah tiba masanya untuk rakyat di negara ini membuka mata tentang barangan buatan tempatan di mana kualitinya setanding dengan barangan luar negara, malah segelintirnya ada yang lebih baik daripada produk luar negara.

Sudah tiba masanya bagi rakyat di negara ini untuk tidak lagi mengagungkan barangan luar. Barangan keluaran tempatan kini sudah setanding dengan produk luar dari segi kualitinya, malah dijamin kualitinya. Dengan ini muncul satu persoalan, apakah kebaikan membeli barangan buatan tempatan?

Selain menjimatkan perbelanjaan keluarga, manfaat lainnya ialah meningkatkan imej negara. Hal ini dikatakan demikian kerana melalui pembelian barangan tempatan, kita dapat mempromosikan jenama tempatan di mata dunia.

260316 RENCANA JULANG PRODUK TEMPATAN 01

PENGUSAHA produk tempatan kini lebih kreatif memenuhi cita rasa penduduk tempatan.

Faktor yang menyumbang masyarakat lebih gemar mengagung-agungkan barangan import biarpun harganya mahal ialah mereka beranggapan bahawa barangan import lebih berkualiti. Lazimnya pada hemat masyarakat, barangan yang harganya lebih murah biasanya tidak berkualiti, manakala barangan yang mahal pasti berkualiti tinggi. Oleh itu, kepentingan dalam membeli barangan buatan negara sendiri perlu diuar-uarkan dan dipergiat bagi membuka mata rakyat tempatan agar mereka tidak menganaktirikan produk sendiri.

MENYELAMATKAN ALIRAN MATA WANG

Satu kepentingan paling dominan dalam membeli barangan buatan negara sendiri ialah dapat mengelakkan pengaliran mata wang kita ke luar negara. Mata wang negara kita tidak akan mengalir keluar jika rakyat Brunei Darussalam sendiri mengutamakan dan membeli barangan tempatan dalam memenuhi keperluan harian mereka. Dana utama negara juga akan meningkat sekali gus akan dapat membendung masalah inflasi. Sudah sampai masanya rakyat di negara ini mengubah tanggapan negatif yang beranggapan bahawa barangan import lebih baik daripada barangan tempatan. Jelaslah bahawa apabila semua rakyat tempatan memilih dan membeli produk tempatan, kita sebenarnya telah berjaya mengawal mata wang kita daripada mengalir ke luar negara.

JANGAN PANDANG RENDAH

Dalam menghadapi cabaran globalisasi, kita perlu mengikis sikap dan pemikiran yang memandang rendah terhadap barangan buatan tempatan, dan sebaliknya membina semangat 'Brunei Boleh' dalam semua aspek termasuk soal kualiti dan standard barangan sendiri.

Namun demikian, untuk membantu mempromosikan, mengangkat martabat produk tempatan kita dan juga memajukan lagi perusahaan tempatan kitani ia memerlukan pihak-pihak yang tertentu untuk terus berusaha membantu dan membimbing para pengusaha dan peniaga yang aktif dalam bidang masing-masing lebih-lebih lagi kepada Pengusaha Kecil dan Sederhana kitani seperti pemakanan produk halal, pelancongan, pengangkutan, pertanian, ternakan ayam, ikan dan lain-lain sehingga mereka ini mencapai kejayaan terutama kepada entrepreneur belia kerana mereka inilah harapan negara dalam meneruskan hasrat negara untuk mencapai Wawasan Brunei 2035.

Dengan adanya penubuhan pusat untuk SMEs, Darussalam Enterprise (DARe) diharap akan dapat merealisasikan hasrat murni negara di samping menyediakan kemudahan pinjaman kewangan yang berpatutan bagi membantu perusahaan dan perniagaan mereka berkembang.

260316 RENCANA JULANG PRODUK TEMPATAN 02

GAMBAR HIASAN... PRODUK keluaran anak tempatan lebih dipercayai dari segi mutu kualitinya.

Sesetengah pengguna tidak mendapat maklumat yang lebih mendalam untuk membezakan produk tempatan dan produk luar. Oleh itu, kita perlu sentiasa peka dengan kehadiran barangan keluaran tempatan sendiri dan ini pastinya juga memerlukan pihak-pihak berwajib dalam membantu mempromosikan kehadiran produk-produk tempatan. Antara usaha yang boleh dilaksanakan seperti kekerapan mengadakan Kempen Beli Barangan Brunei secara berterusan yang mana bertujuan untuk memperkenalkan barangan buatan tempatan kepada seluruh rakyat, agar dapat membantu ekonomi negara. Ke arah ini adalah perlu semua agensi, sektor swasta dan NGO memainkan peranan masing-masing.

Yang Berhormat Awang Haji Mohd. Shafiee bin Ahmad ketika Majlis Mesyuarat Negara telah menekankan mengenai penghasilan Satu Kampung Satu Produk yang diusahakan oleh penduduk kampung di seluruh negara yang terdiri daripada ibu-ibu tunggal, orang-orang kurang upaya, janganlah dipandang kecil. Jika produk ini ditangani dan dibantu secara bersepadu dan dipusatkan operasinya, kualiti dan pasarannya dengan betul pastinya ia dapat menyumbang kepada perkembangan ekonomi negara bukan sahaja untuk sara diri bahkan juga untuk pengeksportan ke luar negeri.

Yang Berhormat berpendapat untuk menyokong dan menyuntik semangat agar para usahawan tempatan lebih berkeyakinan mempromosi serta mempelbagaikan usaha mereka, pihak-pihak swasta, dewan-dewan perdagangan dan perniagaan yang beroperasi di Negara Brunei Darussalam ini serta pengusaha-pengusaha, peniaga-peniaga tempatan yang sudah bertapak dan berjaya sebaiknya dipelawa menyumbang sama terhadap kemajuan ekonomi negara sebagai sumbangan terhadap bangsa dan negara.

Dalam usaha mempromosikan lagi produk tempatan / negara kita, Yang Berhormat turut berharap kerjasama dari duta-duta kita yang berada di luar negara kerana mereka juga berpotensi membantu mempromosikannya bahkan agar dapat terus berusaha memainkan peranan mereka dalam mengenal pasti peluang-peluang perniagaan dan perusahaan yang bersesuaian dan berpatutan dengan kemampuan para pengusaha dan peniaga kita.

260316 RENCANA JULANG PRODUK TEMPATAN 03

SALAH satu produk hasil rakyat tempatan yang seharusnya mendapat sokongan dan dorongan dari penduduk tempatan kitani.

Dengan keramaian penduduk negara seramai 400 ribu orang, jelas Yang Berhormat kita sepatutnya berganding bahu, bersatu dalam semua perkara demi menjana ekonomi negara di mana persepsi rakyat perlu diubah dari segi mentaliti. Tidak perlulah kita sebagai rakyat di negara ini untuk lebih mendewa-dewakan barangan import, sedangkan sudah terang lagi bersuluh, di negara sendiri sudah ada barangan yang setanding.

Sementara itu, Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Seri Kerna Dato Seri Setia (Dr.) Haji Awang Abu Bakar bin Haji Apong ketika menyampaikan mukadimah semasa membincangkan belanjawan Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri pada MMN telah menjelaskan, dari segi penjanaan ekonomi di peringkat mukim dan kampung, kementerian ini akan terus berusaha meningkatkan keberhasilan Projek Satu Kampung, Satu Produk dengan melaksanakan rancangan meningkatkan tiket termasuk pemasaran dari aspek pembungkusan (packaging) yang lebih menarik dan juga penghasilan secara skala besar bagi menembusi pasaran tempatan dan luar negara.

Dengan adanya program-program sedemikian jelas Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri, ia akan meningkatkan keupayaan masyarakat mukim dan kampung dalam menjana perekonomian masyarakat ke arah sara diri dan bantu diri dan seterusnya bagi mewujudkan peluang-peluang pekerjaan kepada penduduk-penduduk setempat.

KEMPEN BERTERUSAN PERLU

Kesimpulannya, apa yang diharapkan Kempen Belilah Barangan Buatan Brunei dapat dijalankan secara berterusan kerana sudah menjadi tabiat masyarakat kita mudah lupa dan perlu pula digerakkan melalui kempen untuk mendedahkan kepada mereka produk keluaran tempatan sendiri. Jikalau bukan kita rakyat di negara ini untuk menjulangkan, mendedahkan serta membanggakan produk buatan tempatan, siapa lagi yang akan menjulangkan produk buatan tempatan ini dan siapa lagi yang akan memajukan dan membangunkannya.

Published in Rencana
Oleh:
Seterusnya...

Ramalan Cuaca

Untuk maklumat lanjut Ramalan Cuaca bagi Negara Brunei Darussalam sila layari www.met.gov.bn

Login or Register

LOG IN

Register

User Registration
or Cancel