A+ A A-

Kluster 3, Kluster 4 johan Bola Jaring sempena Hari Guru

ISTERI Menteri Pendidikan, Datin Hajah Asmah binti Haji Abdul Rahman (kiri) ketika menyampaikan piala pada Kejohanan Bola Jaring Terima Kasih Cikgu sempena Hari Guru Ke-26, Tahun 2016 kepada johan Pasukan Kluster 4 bagi Kategori Terbuka.

BANDAR SERI BEGAWAN, Ahad, 9 Oktober. - Kejohanan Bola Jaring Terima Kasih Cikgu sempena Hari Guru Ke-26 tahun 2016 berakhir dengan menyaksikan kejuaraan milik Pasukan Kluster 3 dan Kluster 4 masing-masing bagi Kategori Beginners dan Terbuka, pada perlawanan yang diadakan di Gelanggang Bola Jaring, Sekolah Sukan, Kampung Pulaie.

Pada perlawanan akhir tersebut, Pasukan Kluster 3 yang bertemu dengan Kluster 4 bagi Kategori Beginners menang dengan kiraan 26 berbalas 17.

Manakala dalam Kategori Terbuka, Kluster 4 mengalahkan IPT dengan kiraan 26 berbalas 23.

Tempat ketiga Kategori Beginners dan Kategori Terbuka masing-masing disandang oleh Kluster 1 dan Kluster 3.

Hadir selaku tetamu kehormat dan seterusnya menyampaikan hadiah-hadiah ialah isteri Yang Berhormat Menteri Pendidikan, Datin Hajah Asmah binti Haji Abdul Rahman.

Pada kejohanan tersebut, pemain terbaik keseluruhan bagi Kategori Beginners diraih oleh Siti Rayanah Haji Zakaria dari Kluster 3, manakala Dhia Syuhada binti Abd. Rahman Ambol dari Kluster 4 meraih pemain terbaik keseluruhan bagi Kategori Terbuka.

Sementara itu, 'Best Valuable Player' pula diterima oleh Dayang Timah binti Ulat manakala 'Best Teamwork' dimenangi oleh pasukan Beginners, Jabatan Pengajian Islam.

091016 AZMAH6 NETBALL

DATIN Hajah Asmah binti Haji Abdul Rahman, isteri Menteri Pendidikan berkesempatan bergambar ramai bersama para pasukan
yang mengikuti Kategori Terbuka.

Kejohanan anjuran Jabatan Pendidikan Kokurikulum, Kementerian Pendidikan itu bermula pada 25 September lalu dan dibahagikan kepada dua kategori iaitu Kategori Beginners dan Kategori Terbuka.

Kategori Beginners terdiri dari pemain-pemain yang belum pernah menyertai mana-mana kejohanan peringkat negara atau yang dikendalikan oleh Persatuan Bola Jaring Kebangsaan, Negara Brunei Darussalam.

Manakala Kategori Terbuka terdiri dari pemain-pemain yang pernah mewakili Pasukan Bola Jaring Kementerian Pendidikan dan Kementerian Hal Ehwal Ugama pada Pesta Sukan Kebangsaan, Pesta Sukan Kementerian-kementerian dan Pesta Sukan Hari Perkhidmatan Awam serta pemain-pemain yang menjadi ahli kelab-kelab bola jaring tempatan.

Sebanyak sembilan pasukan telah menyertai Kategori Beginners dan sembilan pasukan lagi menyertai Kategori Terbuka di mana pasukan-pasukan yang menyertai kejohanan terdiri daripada jabatan-jabatan di bawah Kementerian Pendidikan, Jabatan Pengajian Islam, Institusi-institusi Pengajian Tinggi dan kluster-kluster bahagian menengah dan rendah.

Kejohanan telah dibukakan kepada pemain-pemain bola jaring yang terdiri dari guru-guru yang berkhidmat di Kementerian Pendidikan dan di bawah Jabatan Pengajian Islam, serta pegawai-pegawai dan kakitangan yang berkhidmat di bawah Kementerian Pendidikan.

Antara tujuan pertandingan ialah bagi memperingati dan memeriahkan lagi Sambutan Hari Guru Kali Ke-26 selain sebagai projek pembangunan sukan bola jaring jangka panjang dan berterusan Kementerian Pendidikan.

Pada masa yang sama, ia juga bagi mengenal pasti pemain-pemain berbakat dan berpotensi untuk diserapkan ke dalam Pasukan Bola Jaring, Kementerian Pendidikan serta mengeratkan silaturahim, memupuk perasaan muhibah dan kemesraan di kalangan semua pegawai, guru-guru dan kakitangan kerajaan yang bertugas di bawah kementerian berkenaan.

Ramalan Cuaca

Untuk maklumat lanjut Ramalan Cuaca bagi Negara Brunei Darussalam sila layari www.met.gov.bn

Login or Register

LOG IN

Register

User Registration
or Cancel