A+ A A-

Lima pemain badminton Jepun bakal beraksi

SETIAUSAHA Pertama, Kedutaan Jepun di Negara Brunei Darussalam, Yuki Iida (kiri); Pemangku Pengarah Belia dan Sukan, Awang Haji Zafri bin Haji Mohamed (dua, kanan); Yang Di-Pertua Persatuan Kebangsaan Badminton Negara Brunei Darussalam,Awang Haji Antin bin Ahad (kanan) dan pemain Badminton Negara Brunei Darussalam, Jasper Yu (dua, kiri) mempamerkan poster lima pemain badminton Jepun yang bakal beraski di negara ini.

BANDAR SERI BEGAWAN, Selasa, 18 Oktober. - Kedutaan Jepun di Negara Brunei Darussalam dengan kerjasama Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan (KKBS) menganjurkan Pertukaran Badmintan Brunei - Jepun bermula 24 hingga 27 Oktober 2016 ini.

Pertukaran Badmintan Brunei - Jepun adalah sempena Memperingati Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam Ke-70 Tahun.

Perkara itu diumumkan oleh Setiausaha Pertama, Kedutaan Jepun di Negara Brunei Darussalam, Yuki Iida pada Sidang Media mengenainya bertempat di Dewan Kuliah Stadium Negara Hassanal Bolkiah, Berakas, di sini.

Inisiatif itu jelasnya adalah bertujuan untuk mempromosikan sukan kepada lebih 10 juta orang dari lebih 100 negara hingga 2020 apabila Jepun akan menjadi tuan rumah Olimpik Tokyo dan Paralympik.

Menurut beliau, pemain-pemain kebangsaan Persatuan Badminton Nippon dan Persatuan Badminton Brunei akan berentap pada Pertukaran Badminton Brunei - Jepun yang akan diadakan itu nanti.

Sementara itu, para pemain badminton yang terpilih juga akan berpeluang mengikuti sesi latihan dan mempraktikkannya bersama salah seorang pemain antarabangsa badminton Jepun, Sho Sasaki di Stadium Tertutup, Kompleks Sukan Negara Hassanal Bolkiah bermula 25 hingga 27 Oktober itu nanti.

Lima pemain kebangsaan dari Persatuan Badminton Nippon terdiri daripada Sho Sasaki, Yu Igarashi, Kenya Mitsuhashi, Miyuki Kato dan Miki Kashihara.

Sepanjang berada di negara ini, para rombongan delegasi akan mengadakan lawatan ke beberapa tempat menarik di negara ini seperti Kampong Ayer, masjid dan muzium selain mengadakan kunjungan ke Sekolah Antarabangsa Jerudong (JIS) dan Sekolah Antarabangsa Brunei (ISB).

Sebarang pertanyaan dan maklumat lebih lanjut bolehlah melayari ke http://www.sport4tomorrow.jp/.

Hadir pada sidang media tersebut ialah Pemangku Pengarah Belia dan Sukan, Awang Haji Zafri bin Haji Mohamed; Yang Di-Pertua Persatuan Kebangsaan Badminton Negara Brunei Darussalam, Awang Haji Antin bin Ahad dan pemain Badminton Negara Brunei Darussalam, Jasper Yu.

Ramalan Cuaca

Untuk maklumat lanjut Ramalan Cuaca bagi Negara Brunei Darussalam sila layari www.met.gov.bn

Login or Register

LOG IN

Register

User Registration
or Cancel