A+ A A-

 BERAKAS, Isnin, 1 Ogos. - Penyertaan Negara Brunei Darussalam ke Sukan Olimpik XXXl di Rio de Janeiro, Brazil mencatatkan sejarah baharu di mana buat pertama kalinya, negara akan diwakili oleh seorang atlet lelaki dalam acara badminton.

Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Bendahara Seri Maharaja Permaisuara Pengiran Muda Haji Sufri Bolkiah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Presiden Majlis Olimpik Kebangsaan Negara Brunei Darussalam bersabda, atlet badminton kebangsaan negara telah pun menerima jemputan di bawah 'Tripartite Commission Invitation Places', iaitu kouta yang diberikan oleh Persekutuan Badminton Dunia (Badminton World Federation) melalui Jawatankuasa Antarabangsa Olimpik (Olympic International Committee - IOC) yang mana pemilihannya berpandukan pada 'ranking point' pemain bagi zon Benua Asia.

Sabda Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Bendahara tersebut disampaikan pada Majlis Penyerahan Bendera kepada Kontinjen Negara Brunei Darussalam ke Sukan Olimpik Ke XXXI, Rio, Brazil oleh Menteri Kebudayaan, Belia dan dan Sukan, Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Awang Halbi bin Haji Mohd. Yussof.

010816 HERNIE3 BENDERA

MENTERI Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Awang Halbi bin Haji Mohd. Yussof menyerahkan Bendera Negara kepada Pemangku Pengetua Sekolah Sukan, Dayang Umi Kalthum binti Haji Abdul Karim, selaku Chef de Mission Kontinjen Negara Brunei Darussalam ke Sukan Olimpik XXXl Rio de Jeneiro, Brazil yang berlangsung di Bilik Hijau, Stadium Negara Hassanal Bolkiah.

Duli Yang Teramat Mulia turut mengingatkan ketiga-tiga atlet bahawa, walaupun penyertaan mereka dibiayai sepenuhnya oleh IOC, namun ia bukanlah suatu perkara yang diambil ringan.

"Malah ia suatu tanggungjawab yang sangat berat kerana abiskita bukan sahaja menumpukan sepenuh perhatian ke atas persaingan dalam acara sukan masing-masing, malah bertanggungjawab menjaga nama baik Negara Brunei Darussalam," tegas DYTM.

DYTM mengingatkan para atlet supaya akan sentiasa menjaga disiplin masing-masing dan menjauhi bahan-bahan terlarang serta mematuhi akta dan peraturan 'Anti Doping' yang dikuatkuasakan oleh Agensi Anti Dadah Dunia (World Anti-Doping Agency - WADA).

Di samping itu, DYTM juga menyarankan supaya atlet-atlet tersebut sentiasa berwaspada dan menjaga keselamatan serta kesihatan masing-masing.

"Jika kita sihat, sudah setentunya minda dan daya saing kita kuat, sekali gus memperkasa semangat juang dalam diri masing-masing," sabda DYTM.

010816 HERNIE5 BENDERA

MENTERI Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Awang Halbi bin Haji Mohd. Yussof beramah mesra bersama atlet badminton negara, Jasper Woon Chai Yu yang akan menyertai acara men's single pada Sukan Olimpik Ke XXXI, Rio, Brazil.

Terdahulu, Menteri Kebudayaan, Belia dan dan Sukan dalam ucapan alu-aluannya berkata, terpilihnya atlet-atlet berkenaan mewakili negara ke Olimpik Rio 2016 adalah satu pencapaian dan kejayaan besar yang menjadi kebanggaan dan setentunya akan menjadi contoh ikutan atau 'role model' dan penyuntik semangat kepada atlet-atlet yang lain untuk terus giat berusaha ke arah meningkatkan lagi mutu prestasi mereka dalam acara sukan yang diceburi.

Menurut Yang Berhormat, Kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam telah memberikan perhatian khas dalam penyertaan atlet-atlet negara ke Kejohanan Sukan Olimpik itu dan ia memerlukan perancangan latihan bersistematik dan berterusan.

"Ia memerlukan beberapa persediaan yang rapi seperti mempunyai latihan intensif, penyertaan ke kejohanan-kejohanan dalam dan luar negeri dan dukungan yang jitu daripada semua pihak khususnya ibu bapa, keluarga, majikan, jurulatih, Persatuan Sukan dan sebagainya," jelas Yang Berhormat.

Yang Berhormat menambah, kaedah sains dan teknologi sukan juga merupakan salah satu aspek yang wajib diaplikasikan dalam mencapai kecemerlangan prestasi para atlet.

Yang Berhormat Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan seterusnya menyempurnakan penyerahan bendera negara kepada Pemangku Pengetua Sekolah Sukan, Dayang Umi Kalthum binti Haji Abdul Karim, selaku Chef de Mission Kontinjen Negara Brunei Darussalam ke Sukan Olimpik XXXl Rio de Jeneiro, Brazil yang berlangsung di Bilik Hijau, Stadium Negara Hassanal Bolkiah, di sini.

Atur cara diteruskan dengan penyampaian barangan sukan sumbangan Hashimoto Corporation (Pte.) Japan dan International Hala Recommended Association oleh Penyelaras Korporatnya, Noriko Hashimoto kepada Menteri kebudayaan, Belia dan Sukan.

010816 HERNIE4 BENDERA 

MENTERI MENTERI Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Awang Halbi bergambar ramai bersama Kontinjen Negara Brunei Darussalam ke Sukan Olimpik Ke XXXI, Rio, Brazil.

Atlet-atlet negara yang akan menyertai sukan tersebut ialah Mohd. Fakhri bin Ismail dalam acara olahraga 100 meter lelaki dan Dayang Maizurah binti Abdul Rahim dalam acara olahraga 200 meter wanita.

Sementara itu, Jasper Woon Chai Yu akan menyertai acara men's single bagi sukan badminton.

Turut hadir pada majlis tersebut ialah Setiausaha-Setiausaha Tetap Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan (KKBS), Dato Paduka Dr. Awang Haji Affendy bin Pehin Orang Kaya Saiful Mulok Dato Seri Paduka Haji Abidin dan Datin Paduka Dr. Dayang Hajah Norlila binti Dato Paduka Haji Abdul Jalil; Timbalan Setiausaha Tetap KKBS, Awang Haji Mohd. Noor Jusmin bin Haji Abdul Samad; Ahli-ahli Majlis Olimpik Kebangsaan Negara Brunei Darussalam; Ahli-ahli Jawatankuasa Pemilihan dan Penilaian Atlet; Ahli-ahli Persatuan Sukan Kebangsaan serta para ibu bapa dan ahli keluarga para atlet.

Seterusnya...

Ramalan Cuaca

Untuk maklumat lanjut Ramalan Cuaca bagi Negara Brunei Darussalam sila layari www.met.gov.bn

Login or Register

LOG IN

Register

User Registration
or Cancel