A+ A A-

 KUCHING, SARAWAK. - Acara perasmian temasya Sukan Malaysia (SUKMA) kali ke-18 penuh meriah dan warna-warni dengan pertunjukkan bunga api yang lebih menceriakan suasana di persekitaran Stadium Sarawak yang berlangsung pada malam Sabtu, 23 Julai 2016.

Perasmian temasya sukan ini telah disempurnakan oleh Yang Di-Pertua Negeri Sarawak, Tuan Yang Terutama Tun Pehin Sri Haji Abdul Taib bin Mahmud. Tahun ini merupakan kali kedua Negeri Sarawak menjadi tuan rumah SUKMA, di mana kali pertama diadakan 26 tahun yang lalu.

Perasmian SUKMA XVIII tersebut telah dihadiri Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan Negara Brunei Darussalam, Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Awang Halbi bin Haji Md. Yussof bersama Menteri Belia dan Sukan Malaysia dan para pembesar serta pemimpin Negara Malaysia dan Negeri Sarawak.

Acara perasmian dimulakan dengan perarakan jalur gemilang disusuli dengan perarakan masuk 15 kontinjen yang mengikuti Sukan SUKMA dengan didahului oleh kontinjen Negara Brunei Darussalam yang diketuai oleh Pemangku Pengarah Belia dan Sukan, Awang Haji Zafri bin Haji Mohamed selaku Chef de Mission Negara Brunei Darussalam.

Pada temasya sukan kali ini, kontinjen Negara Brunei Darussalam menyertai 9 acara sukan termasuk akuatik, basikal, golf, olahraga, pencak silat, taekwondo, tenpin boling, karate dan wushu dengan keramaian seramai 32 orang atlit.

PR KKBS SUKMA 2

MENTERI  Kebudayaan, Belia dan Sukan Negara Brunei Darussalam, Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Awang Halbi bin Haji Mohd. Yussof  diberi penghormatan menyampaikan pingat kepada para atlet yang berjaya .

SUKMA ke-18 yang berjalan sehingga 31 Julai itu menawarkan 1226 pingat keseluruhan iaitu 382 pingat emas; 382 pingat perak dan 462 pingat gangsa dan disertai oleh lebih 7,000 peserta yang terdiri pengurus, jurulatih dan atlet melalui 24 acara sukan yang dipertandingkan.

Pada 24 Julai 2016, Yang Berhormat Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan Negara Brunei Darussalam telah menghadiri Majlis Jamuan Semangat Kesukanan Bersempena SUKMA XVIII Sarawak 2016.

Hadir selaku tetamu kehormat di Majlis tersebut ialah Ketua Menteri Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Adenan Satem. Semasa berada di Sarawak, Yang Berhormat Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan juga telah meninjau tempat penginapan dan bilik Urusetia kontinjen Negara Brunei Darussalam yang ditempatkan di Waterfront Hotel, Kuching dan seterusnya memberikan kata-kata semangat dan nasihat kepada kontinjen dalam menghadapi pertandingan.

Pada pagi Isnin, 25 Julai 2016, Yang Berhormat Pehin juga telah menyaksikan perlawanan akhir acara Wushu lelaki di mana atlet negara, Awang Mohd. Adi Salihin bin Roslan telah berjaya memperolehi pingat perak. Yang Berhormat Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan telah diberikan penghormatan untuk menyampaikan pingat di upacara penyampaian pingat kemenangan kepada para atlet yang berjaya.

Terdahulu Negara Brunei Darussalam telah memperolehi 3 pingat gangsa yang telah diperolehi oleh Hyde Nachman Hijium, Dyg Hyde Nathania Hijium dan Awang Ahmad Izzat Ahsanuddin bin Sofian melalui sukan Taekwando.

Diantara objektif negara Brunei menyertai Sukan Malaysia ini ialah bagi memberikan satu platform kepada atlet-atlet muda kita yang berpotensi agar dapat menyertai sukan yang kompetitif dan berprestij.

Seterusnya...

Ramalan Cuaca

Untuk maklumat lanjut Ramalan Cuaca bagi Negara Brunei Darussalam sila layari www.met.gov.bn

Login or Register

LOG IN

Register

User Registration
or Cancel