A+ A A-

irsyad

(Dengan nama Allah, segala puji bagi Allah, selawat dan salam ke atas
Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam, keluarga, sahabat dan para pengikut Baginda)

Pendahuluan

ISLAM amat menggalakkan, malahan menyuruh kita semua supaya sentiasa membuat kebaikan kepada orang lain, apatah lagi kepada orang-orang yang memerlukan bantuan atau pertolongan. Bentuk bantuan atau pertolongan itu boleh dibuat dan dihulurkan dengan pelbagai cara yang munasabah berdasarkan kemampuan masing-masing. Antara bentuknya ialah memberi pinjaman atau menghutangkan sesuatu kepada orang yang dalam kesempitan wang, makanan dan sebagainya.

Menghutangkan atau memberi pinjam kepada orang lain hukumnya adalah sunat yang sangat dituntut (sunat mu'akkadah). Sama ada orang yang diberi hutang (penghutang) itu terdiri daripada orang Islam ataupun bukan Islam. Hukum tersebut adalah berdasarkan beberapa dalil umum yang menggalakkan kita supaya membuat kebaikan kepada orang lain. Antaranya firman Allah Ta'ala:

Tafsirnya : "Dan lakukanlah kebaikan supaya kamu beroleh kemenangan."
(Surah al-Hajj, ayat 77)

Dalam hadits pula, Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam bersabda :

Maksudnya : "Sesiapa yang menghilangkan atau melapangkan suatu kesusahan seorang mukmin di antara kesusahan-kesusahannya di dunia, maka Allah akan menghilangkan atau melapangkan suatu kesusahan di antara kesusahan-kesusahannya pada Hari Kiamat. Sesiapa yang memberikan kemudahan kepada orang yang dalam kesulitan, maka Allah akan memberinya kemudahan di dunia dan akhirat."

(Hadis riwayat Muslim, Abu Daud dan at-Tirmidzi)

Namun hukum sunat tersebut boleh berubah kepada hukum lain mengikut keadaan atau situasi yang berlaku sebagaimana berikut :

* Wajib : Bagi orang yang mempunyai kemampuan, apabila datang kepadanya seseorang yang dalam keadaan terdesak atau amat memerlukan untuk berhutang sesuatu, maka pada ketika itu wajib ke atas pemiutang memberi pinjaman atau menghutangkan orang tersebut.

Sebagai contoh, orang miskin yang memerlukan duit untuk membeli makanan.
Jika dia datang kepada seorang yang berkemampuan untuk berhutang duit atau makanan, maka dalam situasi begitu wajib ke atas orang yang berkemampuan itu memberi hutang kepada orang miskin tersebut.

* Haram : Bagi orang yang mempunyai kemampuan, apabila datang kepadanya seseorang untuk berhutang, dan dia memang tahu atau mengikut sangkaannya yang kuat bahawa jika dia menghutangkan kepada orang tersebut (penghutang), penghutang akan membelanjakannya pada perkara yang haram. Dalam keadaan ini, haram ke atasnya memberi hutang kepada orang tersebut.

* Makruh : Bagi orang yang mempunyai kemampuan, apabila datang kepadanya seseorang untuk berhutang, dan pemiutang memang tahu atau mengikut sangkaannya yang kuat bahawa jika dia menghutangkan kepada orang tersebut (penghutang), penghutang akan membelanjakannya pada perkara yang makruh. Dalam keadaan seperti ini, makruh ke atas pemiutang memberi hutang atau menghutangkan orang tersebut.

* Harus : Adakalanya memberi pinjam atau menghutangkan kepada orang lain hukumnya menjadi harus. Hukum harus ini berlaku sekiranya tujuan memberi pinjaman itu bukan untuk keperluan menghilangkan atau melapangkan kesusahan penghutang, tetapi bagi tujuan lain yang diharuskan.

Sebagai contoh, jika seorang peniaga pergi berhutang kepada seorang yang lain bukan kerana adanya keperluan mendesak tetapi hanya bertujuan untuk membesarkan perniagaan demi mengaut lebih keuntungan. Maka dalam hal ini, harus hukumnya pemiutang menghutangkan atau memberi pinjaman kepada peniaga berkenaan.

Akad Hutang Yang Dilarang

Di dalam sistem muamalat Islam, akad hutang disyariatkan bukan untuk membuka jalan bagi pemberi hutang (pemiutang) meraih sebarang keuntungan daripada penghutang. Sebaliknya akad hutang disyariatkan adalah untuk memberi kemudahan dan pertolongan kepada orang yang memerlukan.

Menurut hukum syara', memberi pinjam atau menghutangkan bagi maksud untuk menjana atau mengaut sebarang keuntungan atau manfaat daripada penghutang adalah dilarang. Pemiutang tidak boleh mengambil kesempatan daripada penghutang untuk meraih sebarang manfaat dengan sebab hutang. Perbuatan tersebut adalah dikira sebagai memakan riba yang diharamkan oleh Allah Subhanahu Wata'ala. Tidak kira sama ada harta yang dihutangkan itu dalam bentuk wang, emas, perak atau selainnya, seperti binatang ternakan, beras dan sebagainya.

Diriwayatkan daripada beberapa orang sahabat, seperti Ibnu Mas'ud, Ibnu 'Abbas, Ubai bin Ka'b dan Abdullah bin Sallam Radhiallahu 'anhum:

Ertinya : "Sesungguhnya mereka menegah daripada hutang yang boleh menjana manfaat."

Seterusnya...

Ramalan Cuaca

Untuk maklumat lanjut Ramalan Cuaca bagi Negara Brunei Darussalam sila layari www.met.gov.bn

Login or Register

LOG IN

Register

User Registration
or Cancel