A+ A A-

irsyad logo

(Dengan nama Allah, Segala puji bagi Allah, Selawat dan salam ke atas
Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam, keluarga, sahabat dan para pengikut Baginda)

JANGAN ada orang Islam beranggapan bahawa mandi wajib itu perbuatan yang tidak perlu untuk diambil berat. Tanggapan ini adalah tidak betul malah merugikan. Lebih malang lagi jika mandi itu tidak sah.

Perlu diingat, mandi wajib atau disebut juga mandi hadats adalah mandi yang difardhukan; tidak sah setiap ibadat yang disyaratkan padanya suci daripada hadats tertentu melainkan dengan mandi tersebut.

Mandi wajib adalah ibarat kunci, hadats ibarat peti dan ibadat ibarat harta di dalam peti. Tidak akan dapat dibuka peti dan diambil harta tanpa kunci peti yang betul. Demikian juga tidak akan terangkat hadats dan tidak akan sah ibadat tanpa mandi wajib yang betul.

Perkara yang mewajibkan mandi itu ialah disebabkan mati, haidh, nifas, wiladah (melahirkan) tanpa keluar darah, junub dan keluar air mani.

Dalil pensyari'atan mandi wajib itu antaranya ialah firman Allah Subhanahu Wata'ala :

Tafsirnya : ''... Jika kamu berjunub (berhadats besar) maka bersucilah (dengan mandi wajib) ...'' (Surah al-Ma'idah : 6)

Perkara-perkara wajib dalam mandi wajib

Tidak sah mandi wajib jika dilakukan tanpa dua perkara berikut :-

1. Niat
Niat hendaklah dilakukan dalam hati dan disertai dengan permulaan mandi, iaitu ketika mencurahkan air pada bahagian pertama badan.

Niat dilakukan sama ada dengan :
i) Niat mengangkat hadats yang dimaksudkan.
Sebagai contoh, berniat mengangkat hadats junub ketika berjunub, berniat mengangkat hadats haidh setelah mengalami haidh atau berniat mengangkat hadats nifas setelah mengalami nifas.

ii) Atau memadai dengan satu niat secara umum dan menyeluruh seperti berniat mengangkat hadats atau berniat mengangkat hadats akbar (besar).

iii) Atau niat untuk membolehkan ibadat tertentu yang diwajibkan mandi terlebih dahulu.

Sebagai contoh, berniat mandi untuk menunaikan sembahyang atau berniat mandi untuk membaca Al-Qur'an atau untuk menunaikan thawaf.

iv) Atau niat menunaikan fardhu mandi.

Sebagai contoh : ''Sahaja aku menunaikan fardhu mandi'' atau ''Sahaja aku mandi fardhu'' atau ''Sahaja aku mandi yang difardhukan'' ataupun ''Sahaja aku mandi wajib''.

v) Atau niat bersuci daripada hadats atau bersuci untuk sembahyang.

Seperti yang dimaklumi, niat letaknya di dalam hati dan tidak wajib untuk dilafazkan. Walau bagaimanapun, afdhal niat itu disertakan juga dengan disebut atau dilafazkan kerana hukumnya adalah sunat.

2) Meratakan air ke seluruh badan

Wajib meratakan dan menyampaikan air ke seluruh bahagian zahir badan. Ini termasuk kuku dan bahagian zahir di bawahnya, rekahan kulit, yang zahir daripada lubang telinga, kulup dan faraj wanita yang zahir apabila duduk bertinggung.

Demikian juga wajib menyampaikan air pada rambut dan bulu-bulu yang tumbuh termasuk bahagian dalam jika rambut atau bulu itu tebal seperti dengan menguraikan rambut yang tebal dan mengenakan air pada bahagian dalamnya atau menyelati air pada janggut yang tebal.

Dalil meratakan air ke seluruh badan seperti yang diriwayatkan oleh Jabir Radhiallahu 'anhu, beliau berkata :

Maksudnya : ''Nabi Sallallahu Alaihi Wasallam mengambil tiga ceduk (air) dengan kedua tapak tangan, lalu mencurahkannya ke atas kepala, kemudian barulah meratakan air tersebut ke seluruh tubuh Baginda.''
(Hadits riwayat al-Bukhari)

Perkara-perkara sunat dan makruh ketika mandi wajib

Di samping mandi yang betul dengan memelihara perkara-perkara yang diwajibkan, mandi juga menjadi lebih sempurna dengan menitikberatkan perkara-perkara sunat dan menghindari perkara-perkara makruh ketika mandi wajib. Antara perkara-perkara yang disunatkan itu ialah :

1. Menghadap Qiblat.

2. At-Ta'awwudz, iaitu menyebut IRSYAD HUKUM 01 RABU 07102015

3. At-Tasmiyyah (Basmalah), iaitu menyebut IRSYAD HUKUM 02 RABU 07102015 atau IRSYAD HUKUM 03 RABU 07102015 pada permulaaan mandi dengan disertai perbuatan mula membasuh dua pergelangan tangan sebanyak tiga kali dan niat untuk melakukan perkara-perkara sunat mandi.

4. Berkumur-kumur dan memasukkan air ke dalam hidung.

5. Kencing terlebih dahulu bagi yang inzal (keluar mani) supaya sisa-sisa mani ikut keluar bersama air kencing kerana jika sisa mani keluar setelah mandi dilakukan, maka wajib diulang mandi tersebut.

6. Membersihkan kotoran yang ada pada faraj dengan tangan kiri seperti kesan mani dan madzi walaupun kotoran dan hadats tersebut dapat dihilangkan sekali gus dengan mandi wajib sahaja.

7. Afdhal mendahulukan wudhu sebelum mandi.

Niat wudhu ketika mandi wajib pula adalah seperti berikut :

a) Jika seorang dalam keadaan junub tetapi tidak berhadats kecil seperti keluar mani disebabkan syahwat apabila melihat isterinya, jika dia hendak berwudhu sama ada sebelum atau selepas mandi wajib, maka dia boleh berniat dengan niat melakukan wudhu sunat untuk mandi wajib.

Contoh : ''Sahaja aku melakukan wudhu yang disunatkan pada mandi'' ataupun : ''Sahaja aku berwudhu untuk melakukan perkara sunat mandi'' ataupun : ''Sahaja aku bersuci untuk melakukan perkara sunat mandi.''

b) Jika seorang dalam keadaan junub dan pada masa yang sama berhadats kecil, jika dia hendak berwudhu sebelum memulakan mandi wajib, maka dia boleh berniat dengan niat ''Sahaja aku mengangkat hadats kecil''.

Jika dia berwudhu di pertengahan atau selepas mandi, maka dia boleh berniat sama ada dengan :

- berniat mengangkat hadats kecil seperti di atas sebagai langkah untuk mengelak dari berselisih pendapat dengan golongan yang berpendapat bahawa tidak ada penyatuan di antara hadats kecil dan hadats besar.

- atau berniat wudhu untuk melakukan perkara sunat mandi sahaja.

8. Bersungguh-sungguh meratakan dan menyampaikan air ke bahagian-bahagian berlekuk seperti telinga, lubang pusat dan ketiak seperti dengan mengambil air dalam telapak tangan kemudian menyampaikannya pada bahagian-bahagian tersebut. Tujuannya ialah untuk memastikan air betul-betul sampai atau mengenai pada bahagian-bahagian tersebut.

9. Membasuh kepala sebanyak tiga kali dengan menggosoknya dan menyelangi air sehingga ke pangkal rambut.

10. Menyelangi air pada janggut dengan menggunakan jari.

11. Mencurahkan air ke seluruh badan dan menggosoknya sebanyak tiga kali.

12. Mendahulukan sebelah kanan badan kemudian sebelah kiri.

13. Air yang digunakan tidak kurang dari sukatan satu gantang, iaitu kira-kira 4.56 liter.

14. Berturut-turut.

15. Membaca doa yang sering dibaca selepas berwudhu iaitu :

IRSYAD HUKUM 04 RABU 07102015

Ertinya : ''Aku bersaksi bahawa tiada Tuhan selain Allah Tuhan yang Esa, tiada sekutu bagiNya, dan aku bersaksi bahawa sesungguhnya Nabi Muhammad itu adalah hambaNya. Ya Allah, jadikanlah aku dari orang-orang yang sentiasa bertaubat kepadaMu, dan jadikankanlah aku dari orang-orang yang sentiasa mensucikan diri. Maha suci Engkau wahai Allah dengan segala puji hanya milikMu, aku bersaksi bahawa tidak ada tuhan selain Engkau, aku memohon keampunanMu dan bertaubat kepadaMu.''

16. Bagi perempuan haidh dan nifas yang bukan dalam ihram ataupun ihdad (berkabung), sunat membubuh kesturi atau wangian pada kapas dan mengusapnya pada faraj selepas mandi.

Bersambung

Seterusnya...

Ramalan Cuaca

Untuk maklumat lanjut Ramalan Cuaca bagi Negara Brunei Darussalam sila layari www.met.gov.bn

Login or Register

LOG IN

Register

User Registration
or Cancel