A+ A A-

irsyad

(Dengan nama Allah, Segala puji bagi Allah, Selawat dan salam ke atas Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam,
keluarga, sahabat dan para pengikut Baginda)


Islam mewajibkan memakan makanan yang halal lagi baik. Kerana itu pemakanan halal adalah perkara yang penting dalam hidup seharian. Adapun memakan sesuatu yang haram adalah perbuatan dosa dan mendapat balasan api neraka di akhirat kelak. Oleh itu, kita hendaklah berhati-hati dan perlu menjaga pemakanan daripada perkara yang haram.


Pada masa sekarang, bermacam-macam jenis makanan yang dihasilkan dengan bahan ramuan yang pelbagai jenis sama ada bahan asli yang bersumber daripada tumbuh-tumbuhan, haiwan, mikro-organisma atau bahan-bahan tiruan dan lain-lain sehingga serangga pun turut dijadikan bahan ramuan seperti dijadikan bahan pewarna dan sebagainya.


Persoalannya, adakah boleh serangga dijadikan sebagai bahan makanan ataupun tidak?


Serangga Tidak Halal Dimakan


Serangga seperti lipas, kumbang, ulat, semut, cicak, kala jengking, labah-labah, nyamuk, lebah dan lalat adalah haram dimakan melainkan belalang. Ini kerana serangga adalah termasuk dalam sesuatu yang dianggap buruk dan menjijikkan sebagaimana firman Allah Subhanahu wa Ta'ala:


Tafsirnya: “… dan dia (Nabi Muhammad Shallallahu ‘alaihi wasallam) menghalalkan bagi mereka yang baik-baik dan mengharamkan ke atas mereka (segala) yang buruk...”


(Surah al-A'raf: 157)


Adapun ulat yang lahir dari buah atau makanan seperti ulat buah, kurma, bijirin, keju dan cuka, menurut pendapat yang ashah, ulat itu boleh dimakan bersama-sama dengan buah atau makanan tersebut jika ia sukar untuk dihindari. Tetapi jika tidak ada kesukaran untuk menghindarinya maka haram dimakan ulat tersebut. Begitu juga, ulat yang lahir dari buah atau makanan seperti ulat buah, jika dimakan berasingan dan tidak dimakan bersama-sama buah tersebut maka haram memakan ulat itu kerana ia termasuk dalam kategori sesuatu yang najis dan menjijikkan.


Bangkai serangga najis


Menurut Imam ar-Rafi'e Rahimahullah dari Mazhab Syafi'ie, hukum asal bagi bangkai itu adalah najis sebagaimana firman Allah Subhanahu wa Ta'ala:


Tafsirnya : “Diharamkan ke atas kamu (memakan) bangkai (binatang yang mati tanpa disembelih)...”


(Surah al-Ma'idah: 3)


Sebab pengharaman bangkai itu adalah kerana ia benda najis. Oleh yang demikian, semua bangkai adalah najis melainkan bangkai ikan, belalang dan mayat manusia. Kehalalan dan kesucian bangkai ikan dan belalang itu ada disebutkan dalam riwayat 'Abdullah bin 'Umar Radhiallahu 'anhuma, beliau berkata:


Maksudnya: “Dihalalkan bagi kami dua jenis bangkai dan dua jenis darah iaitu belalang dan ikan, hati dan limpa.”


(Hadits riwayat al-Baihaqi)


Sementara mayat manusia pula, ia adalah suci kerana kemuliaan manusia itu tidak dihukumkan najis. Firman Allah Subhanahu wa Ta‘ala:


Tafsirnya : “Dan demi sesungguhnya Kami telah memuliakan anak-anak Adam (manusia) dan Kami telah mengangkut mereka (di dalam pelbagai kenderaan) di darat dan di laut dan Kami telah mengurniakan mereka rezeki yang baik serta Kami telah melebihkan mereka atas kebanyakan makhluk yang Kami telah ciptakan dengan kelebihan yang sempurna.”


(Surah al-Isra’: 70)


Adakah bangkai serangga boleh menajiskan air dan cecair?


Bangkai serangga yang tidak mengalir darahnya seperti lipas, kumbang, ulat, semut, cicak, kala jengking, labah-labah, nyamuk, lebah, kutu dan lalat yang kena pada cecair atau air yang sedikit adalah dimaafkan dan tidak menajiskan cecair atau air tersebut kerana kesukaran untuk menghindarinya, melainkan jika bangkai itu merubah sifat-sifat cecair atau air yang sedikit itu, ataupun bangkai itu dicampakkan oleh seseorang dengan sengaja ke dalam cecair atau air yang sedikit itu maka ia menajiskannya.


Maksud merubah sifat-sifat air itu ialah merubah warna, rasa dan bau air walaupun dengan perubahan yang sedikit. Manakala yang dimaksudkan dengan air yang sedikit ialah air yang kurang daripada dua qullah.


Disebutkan dalam Fatwa Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam, kadar dua qullah ialah lebih kurang 161 liter atau isi padu empat segi 60x60x60x60cm. (Siri fatwa: 19/2004).


Adapun maksud serangga yang tidak mengalir darahnya ialah serangga yang tidak mengalir darahnya apabila dibelah anggotanya pada ketika ia hidup, sama ada serangga itu pada asalnya tidak mempunyai darah ataupun mempunyai darah akan tetapi tidak mengalir.


Perkara ini ada disebutkan dalam hadits yang diriwayatkan daripada Abu Hurairah Radhiallahu 'anhu, Rasulullah Shallallahu 'alaihi wasallam bersabda:


Maksudnya: “Apabila lalat jatuh ke dalam minuman seseorang daripada kamu, maka hendaklah dia selamkannya (lalat itu ke dalam minuman), kemudian hendaklah dia keluarkannya (lalat itu dari minuman). Sesungguhnya pada salah satu sayapnya itu ada membawa penyakit, dan pada sayap yang satu lagi ada penawar.”


(Hadits riwayat al-Bukhari)


Hadits ini menunjukkan bahawa bangkai lalat tidak menajiskan cecair. Sekiranya ia menajiskan cecair, nescaya Rasulullah Shallallahu 'alaihi wasallam tidak akan memerintahkan supaya menyelamkan lalat itu ke dalam minuman. Tambahan lagi apabila lalat itu diselamkan ke dalam air yang panas, kadang-kadang ia boleh mengakibatkan lalat tersebut mati. Namun air itu masih boleh diminum setelah bangkai lalat tersebut dibuang. Oleh itu, tiap-tiap bangkai serangga yang tidak mengalir darahnya sama hukumnya dengan bangkai lalat.


Adapun bangkai serangga yang mengalir darahnya adalah termasuk dalam najis yang tidak dimaafkan. Jika ia kena pada cecair sama ada kurang atau lebih daripada dua qullah dan sama ada ia menyebabkan sifat cecair itu berubah ataupun tidak, ia tetap menajiskan cecair tersebut. Hal ini disebutkan dalam hadits yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah Radhiallahu 'anhu, Rasulullah Shallallahu 'alaihi wasallam bersabda:


Maksudnya: “Apabila jatuh tikus ke dalam minyak sapi (lalu menjadi bangkai), jika ia (minyak sapi itu) beku maka buanglah ia (bangkai tikus) dan apa yang di sekelilingnya, dan jika ia (minyak sapi itu) cair maka janganlah kamu dekatinya (janganlah kamu memakannya).”


(Hadits riwayat Abu Daud)


Oleh yang demikian, bangkai serangga selain belalang adalah haram untuk dijadikan bahan makanan termasuk bahagian-bahagian yang diambil daripada serangga tersebut seperti bahan pewarna yang diekstrak daripada serangga. Ini kerana kesemua bahagian bangkai adalah dihukumkan najis sebagaimana yang disebutkan oleh asy-Syeikh Zainuddin al-Malibari Rahimahullah:


Ertinya : “Maka bangkai adalah najis walaupun (bangkai binatang yang) tidak mengalir darahnya dan begitu juga bulunya, tulangnya dan tanduknya.”


Bahan Pewarna Daripada Cochineal Adalah Najis


Khusus mengenai bahan pewarna Cochinea iaitu sejenis serangga yang sering dijadikan bahan pewarna dalam makanan. Sungguhpun cochineal itu serangga yang tidak mengalir darahnya namun bangkainya najis dan tidak halal dimakan.


Walaupun penggunaan cochineal hanyalah pada ekstrak daripada serangga tersebut yang dijadikan sebagai bahan pewarna, tetapi ia tetap dihukumkan haram kerana bahan pewarna itu merupakan bahagian daripada bangkai serangga berkenaan, sekalipun penggunaannya dalam kuantiti yang sedikit pada suatu produk.


Tambahan lagi bahan pewarna dari cochineal itu jelas dapat mengubah sifat cecair yang menjadikan cecair dalam makanan itu mutanajjis atau bercampur najis. Selain itu, penggunaan bahan pewarna tersebut bukan berlaku kerana tidak dapat dielakkan, bahkan sebaliknya ia dimasukkan dengan senghaja ke dalam produk makanan. Sebagaimana yang dijelaskan sebelum ini, bangkai dari jenis binatang yang darahnya tidak mengalir, jika ia mengubah sifat cecair atau ia dicampakkan dengan senghaja pada cecair yang suci, maka ia akan menajiskan cecair tersebut.


Produk Yang Menggunakan Bahan Pewarna Daripada Cochineal Adalah Membahayakan


Menurut penyelidikan dan kajian yang dijalankan oleh pihak yang berotoriti, antaranya sekumpulan penyelidik daripada University of Machigan, Ann Arbor, Michigan, Amerika Syarikat, bahan pewarna daripada serangga cochineal yang dibubuh pada gula-gula, yougurt, minuman buah-buahan boleh menyebabkan berbagai penyakit yang merbahaya. Antara penyakit tersebut, alahan tindak balas yang mengancam nyawa, menyebab kesan hiperaktif (tingkah laku yang terlalu aktif sehingga sukar dikawal) yang buruk terhadap kanak-kanak dan penyakit barah. Pihak Parlimen British dan Eropah pula ada mencadangkan supaya pewarna dari serangga ini diharamkan kerana kesan mudharat pewarna tersebut. Pernah dilaporkan berlakunya jangkitan pada usus yang melibatkan penggunaan cochineal dan menyebabkan kematian anak damit di Boston, Amerika Syarikat dan juga seramai 22 orang menghidap demam yang sangat serius akibat memakan produk yang menggunakan pewarna tersebut. (A Consummer’s Dictionary of Food Additives, Ruth Winter: 72&212).


Maka berdasarkan penjelasan di atas, produk yang menggunakan bahan pewarna daripada serangga cochineal adalah tidak halal dimakan kerana produk tersebut telah tercemar dengan najis dan boleh mendatangkan kemudharatan.

Seterusnya...

Ramalan Cuaca

Untuk maklumat lanjut Ramalan Cuaca bagi Negara Brunei Darussalam sila layari www.met.gov.bn

Login or Register

LOG IN

Register

User Registration
or Cancel