A+ A A-

MKAFIRMAN Allah Subhanahu Wata'ala di dalam Surah An Nahl ayat 18, tafsir-Nya:

"Dan jika kamu menghitung nikmat Allah tentulah kamu tidak terkira banyaknya. Sesungguhnya Allah adalah Maha Pengampun, lagi Maha Pengasih."

Sebagai umat Islam kita dituntut agar mensyukuri segala pemberian Allah Subhanahu Wata'ala. Kita hendaklah mengurus segala perbelanjaan keperluan hidup dengan sebaik-baiknya setiap masa sama ada di waktu senang, lebih-lebih lagi di waktu susah. Sekiranya kita mengabaikannya, dikhuatiri dari kesan tersebut boleh menyebabkan kita meninggalkan generasi yang mundur di kemudian hari serta menyebabkan negara kita berada dalam mundur dan terkebelakang.

Sesungguhnya Islam tidak melarang umatnya berbelanja, tetapi agama Islam mendidik umatnya tentang kaedah berbelanja secara berhemah iaitu dengan memberi keutamaan dan mendahului kepada perkara-perkara yang penting sahaja.

Perlu difahami gaya hidup berhemah berkait rapat dengan sifat berjimat cermat dan tidak membazir. Islam melarang dan menegah umatnya daripada membazir kerana ianya perbuatan keji. Islam menyifatkan perbelanjaan boros dan pembaziran adalah perbuatan keji kerana ia tidak memberi faedah kepada masyarakat dan menjauhkan lagi jurang golongan kaya dan miskin. Perbuatan membazir merupakan satu tabiat buruk manusia yang sering terjadi apabila mereka dikurniakan rezeki atau nikmat yang banyak dan melimpah ruah. Jika dasar hidup berhemah ini diambil kira, maka hak-hak serta kebajikan orang-orang fakir dan miskin dapat ditunaikan sepanjang masa. Sesungguhnya orang yang membazir adalah saudara syaitan dan syaitan amat suka kepada orang yang boros dan berbelanja mengikut kehendak nafsu.

Sebagaimana firman Allah Subhanahu Wata'ala di dalam Surah Al Israa' ayat 27, tafsir-Nya:

"Sesungguhnya orang-orang yang membazir (membelanjakan harta pada jalan yang salah) itu adalah saudara-saudara syaitan dan syaitan itu adalah sangat kufur kepada Tuhannya."

Ibn Mas'ud dan Ibn Abbas Radhiallahuanhuma mentafsirkan ayat ini, bahawa pembaziran itu bermaksud perbelanjaan atau menggunakan harta benda bukan pada tempatnya yang sebenar. Begitu juga dengan pandangan Imam Syafie bahawa pembaziran itu ialah membelanjakan harta benda bukan pada jalannya.

Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam sendiri hidup dalam keadaan yang amat sederhana, walaupun bukit dan gunung-ganang yang ada di sekitarnya pernah ditawarkan agar ia dijadikan emas dan perak, akan tetapi Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam menolaknya dan tetap memilih cara hidup yang sederhana.

Diriwayatkan juga bahawa dapur Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam hampir enam puluh hari tidak berasap. Baginda dan isteri-isteri hanya menjamah buah tamar dan air. Bukan kerana tidak mampu akan tetapi Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam suka hidup dalam keadaan sederhana dan tidak melakukan pembaziran serta berbelanja mengikut hawa nafsu.

Dalam penjimatan penggunaan sumber tenaga, Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam menyeru umat Islam supaya tidak membazir dalam pengambilan wuduk atau air sembahyang.

Diriwayatkan oleh Ibnu Majah dan Ahmad, daripada Abdullah bin Amru bin Al-'As bahawa Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam lalu berdekatan Saad yang sedang berwuduk. Sabda Baginda: "Pembaziran jenis apakah ini, wahai Saad? Maka Saad berkata: Dalam wuduk pun ada pembaziran? Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam menjawab: Ya, walaupun kamu berwuduk dalam sungai yang sedang mengalir."

Bagaimanapun dalam dasar hidup berhemah ini kita juga hendaklah menjauhi sifat bakhil dan kedekut. Dengan mengamalkan sifat bakhil dan kedekut ini melambangkan bahawa kita tidak bersyukur kepada Allah Subhanahu Wata'ala dan tidak menunaikan tanggungjawab serta amanah yang dikurniakan-Nya.

Firman Allah Subhanahu Wata'ala dalam Surah Al Furqaan ayat 67, tafsir-Nya:

"Dan mereka yang apabila membelanjakan harta, mereka tidak berlebihan-lebihan dan tidak juga bakhil dan (sebaliknya) perbelanjaan mereka itu adalah sederhana di antara keduanya."

Sebagai manusia yang beriman dan berintegriti, sewajarnya kita sama-sama mengamalkan sikap berjimat cermat serta menjauhi sifat membazir agar mendapat keberkatan dari Allah Subhanahu Wata'ala. Malahan dengan mengamalkan sikap berjimat cermat ia akan mendatangkan banyak faedah kepada diri kita dalam banyak perkara di antaranya, kita akan mendapat pahala dan keberkatan dari Allah Subhanahu Wata'ala. Kita juga akan terselamat dari muflis akibat hutang yang banyak dan berbelanja berlebihan menurut hawa nafsu serta kita juga akan mempunyai simpanan yang dapat menjamin hidup kita di saat kita memerlukannya.

Apabila kita teliti, kita dapati pembaziran itu akan membawa kesan yang buruk terhadap rohani dan jasmani seseorang. Sesungguhnya Allah Subhanahu Wata'ala amat murka ke atas individu yang tidak pernah bersyukur di atas nikmat-Nya dan mereka ini akan menerima balasan buruk daripada Allah Subhanahu Wata'ala di atas kelalaian menjaga amanat harta kurniaan Allah. Kita harus ingat bahawa harta yang kita miliki bukan hak mutlak kita bahkan sebenarnya adalah hak Allah Subhanahu Wata'ala. Kita hanya sebagai pengurus yang pasti akan ditanya dari mana harta yang kita perolehi dan ke mana kita belanjakan harta tersebut. Janganlah kita menganggap harta yang kita miliki itu sebagai milik kita yang mutlak dan kerana itu kita berbelanja sesuka hati.

Namun begitu Islam juga menggalakkan amalan hidup bersederhana kerana ia menjadi asas kepada kesejahteraan dan kebahagiaan kita. Di samping mendorong supaya mudah membantu dan menolong orang-orang yang memerlukan sebagai tanda kesyukuran kita dengan nikmat pemberian yang Allah Subhanahu Wata'ala kurniakan kepada kita.

Firman Allah dalam Surah Al Israa' ayat 26, tafsir-Nya:

"Dan berikanlah kepada kaum kerabat akan haknya (kebaikan dan hubungan silaturahim) dan begitu juga orang miskin serta orang musafir yang terlantar dalam perjalanan (yang terputus perbelanjaannya) dan janganlah engkau membazir (membelanjakan pada jalan yang menyalahi syara').

Firman Allah Subhanahu Wata'ala dalam Surah Luqman ayat 20, tafsir-Nya:

"Tidakkah kamu memerhatikan bahawa Allah telah memudahkan apa yang ada di langit dan apa yang ada di bumi untuk kegunaan kamu dan telah melimpahkan kepada kamu nikmat-nikmat-Nya yang zahir (seperti kesihatan dan kekayaan) dan yang batin (seperti ilmu pengetahuan dan akal). Dan antara manusia ada yang membantah tentang Allah dengan tidak berdasarkan ilmu pengetahuan dan tidak berdasarkan petunjuk dan tidak juga berdasarkan mana-mana kitab Allah yang member penerangan yang jelas."

Seterusnya...

Ramalan Cuaca

Untuk maklumat lanjut Ramalan Cuaca bagi Negara Brunei Darussalam sila layari www.met.gov.bn

Login or Register

LOG IN

Register

User Registration
or Cancel