A+ A A-

menujuBERSEMPENA dengan suasana Hari Raya Aidilfitri ini, sama-samalah kita menjaga adab semasa berkunjungkunjungan ke rumah sanak saudara, jiran dan juga rakan-rakan. Seorang Muslim yang terpelihara dengan adab Islam tidak akan masuk ke rumah orang lain kecuali dengan adanya izin daripada penghuninya ataupun tuan rumah. Izin seperti ini merupakan perintah dan tidak boleh dipertikaikan lagi. Hal ini telah termaktub dalam kitab suci Al-Quran Surah An-Nur, ayat 27-28 yang tafsirnya :

''Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah kamu masuk ke dalam rumah yang bukan rumah kamu sehingga kamu meminta izin serta memberi salam kepada penghuninya. Yang demikian itu lebih baik bagi kamu, mudah-mudahan kamu sentiasa beringat. Jika kamu tidak mendapati seorang pun di dalamnya maka janganlah masuk ke dalam rumah itu sehingga kamu diberi izin dan jika dikatakan kepada kamu : 'Baliklah', maka hendaklah kamu balik. Itu lebih baik bagi kamu. Dan Allah Maha Mengetahui apa yang kamu kerjakan.''

Sesungguhnya masuk ke rumah orang tanpa izin penghuninya atau pemilik atau tuan yang punya rumah boleh menimbulkan fitnah kerana itulah Allah Subhanahu Wata'ala memerintahkan pada setiap hamba-Nya untuk meminta izin jika mahu masuk ke rumah orang.

Ada beberapa adab yang harus dilakukan ketika meminta izin masuk ke dalam rumah sewaktu membuat kunjungan, antaranya ialah :

- Kita hendaklah menunggu dengan sabar sementara tuan rumah memberi keizinan dan menjemput sebagai tetamunya, janganlah berdiri di hadapan muka pintu yang terbuka luas dan lebih elok berdiri pada sebelah kanan atau sebelah kiri pintu. Jangan sekali-kali membiarkan mata kita liar memandang-mandang atau menjeling jeling ke dalam rumah melalui pintu yang sedang terbuka, atau melihat-lihat di celah-celah lubang pintu yang tertutup, kerana ini melambangkan keperibadian yang tidak elok dari segi akhlak dan dianggap kurang sopan. Dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Imam Ahmad dan Abu Daud daripada Abdullah bin Busr Radhiallahuanhu berkata yang bermaksud : ''Jika Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam sampai di pintu rumah seseorang yang dikunjunginya, Baginda tidak menghadap pintu melainkan menunggu di sisi kanan atau kiri, lalu berkata : ''Assalamu'alaikum, Assalamu'alaikum''.

- Tujuannya adalah supaya tetamu yang datang berkunjung tidak melihat terus ke dalam isi rumah yang dikunjungi kerana dikhuatiri adanya penghuni rumah yang tidak menutup aurat dan sebagainya.

- Memberi salam sebelum meminta izin masuk. Imam Ahmad dan Abu Daud telah meriwayatkan dalam sebuah hadis daripada Rib'iy bin Hirasy yang berkata : ''Seorang lelaki dari Bani Amir meminta izin kepada Nabi Sallallahu Alaihi Wasallam. Ketika itu Baginda sedang berada di dalam rumah, maka Baginda berkata, Apakah dia memaksa? Lalu Rasulullah berkata kepada pembantunya, keluarlah dan temui dia dan ajarlah dia untuk mengucapkan salam sebelum meminta izin iaitu dengan mengucapkan Assalamu'alaikum, apakah saya boleh masuk? Nabi mengizinkan, lalu dia pun masuk''.

- Mengenalkan diri atau menyebut nama yang dikenali oleh tuan rumah (sama ada nama asli atau nama panggilan). Apabila ditanya oleh tuan rumah siapa yang datang berkunjung itu, janganlah dijawab dengan hanya mengenalkan diri dengan kata aku atau kadiaku, saya dan sebagainya. Hal ini boleh menyebabkan tuan rumah masih ragu-ragu terhadap siapa yang datang berkunjung, seelok-eloknya sebutlah nama sendiri.

- Jika tiada izin masuk dan diperintahkan balik, maka haruslah balik. Ini adalah perintah yang ditetapkan oleh Allah Subhanahu Wata'ala dalam Surah An-Nur, ayat 28 yang tafsirnya : ''Dan jika dikatakan kepada kamu : 'Baliklah', maka hendaklah kamu balik. Itu lebih baik bagi kamu. Dan Allah Maha Mengetahui apa yang kamu kerjakan''.

- Imam Al-Bukhari dan Imam Muslim ada meriwayatkan dalam sebuah hadis sebagaimana sabda Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam yang bermaksud : ''Apabila salah seorang antara kamu telah meminta izin (memberi salam) sebanyak tiga kali, namun tidak diizinkan, maka hendaklah ia pulang''. Dalam hadis yang lain juga ada menyebutkan mengenai perkara ini, sebagaimana hadis riwayat Muttafaq alaih daripada Abu Musa al-Asyari Radhiallahuanhu, katanya Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam telah bersabda yang bermaksud : ''Permohonan izin (memberi salam) itu sampai tiga kali, maka jika dizinkan bagimu, masuklah dan jika tidak, pulanglah''.

Dengan kemajuan teknologi yang begitu pesat di zaman ini, salah satu cara yang mudah untuk kita meminta izin masuk ke rumah orang yang dikunjungi ialah seperti penggunaan bell, iaitu dengan hanya menekan punat bell atau dengan cara mengetuk pintu rumah sahaja kita sudah dianggap meminta izin. Apabila tuan rumah membuka pintu, hendaklah kita mengucapkan salam. Ini adalah salah satu cara atau adab meminta izin sebelum masuk ke rumah yang dikunjungi.

Oleh itu, jika kita masuk ke tempat yang perlu meminta keizinan terlebih dahulu seperti rumah kediaman dan sebagainya, tetapi kita tidak meminta izin, maka perbuatan itu adalah dianggap suatu perbuatan yang amat jahil dan dikesali lebih-lebih lagi jika ia berlaku dalam kalangan umat Islam, kerana ini bukan akhlak Islam yang diajar oleh Nabi kita Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam. Jangan sekali-kali kita memasuki ke rumah orang lain tanpa izin terlebih dahulu, patuhilah dengan penuh rasa keimanan, takwa dan bertanggungjawab sebagai seorang Muslim.

Seterusnya...

Ramalan Cuaca

Untuk maklumat lanjut Ramalan Cuaca bagi Negara Brunei Darussalam sila layari www.met.gov.bn

Login or Register

LOG IN

Register

User Registration
or Cancel