A+ A A-

menuju

GEMAR kepada harta merupakan tabiat semula jadi manusia. Memang mencari harta kekayaan itu merupakan satu keperluan dalam kehidupan. Malahan umat Islam dianjurkan mencari kekayaan asalkan tidak menyalahi kehendak Islam untuk membiayai keperluan diri sendiri, keluarga bahkan untuk kepentingan ummah.

Sesuai dengan firman Allah Subhanahu Wata'ala dalam Surah al-Qasas, ayat 77 tafsirnya :

''Dan carilah (pahala) negeri akhirat dengan harta kekayaan yang telah dikurniakan Allah kepadamu dan janganlah engkau melupakan bahagianmu daripada (kenikmatan) dunia. Dan berbuat baiklah sebagaimana Allah berbuat baik kepadamu serta janganlah engkau melakukan kerosakan di bumi, sesungguhnya Allah tidak menyukai orang-orang yang melakukan kerosakan.''

Islam tidak pernah menegah manusia untuk mencari habuan (harta) kerana ianya amat penting untuk kehidupan dunia. Namun begitu, kepentingan akhirat juga perlu diutamakan. Selagi harta yang dicari itu mengandungi keberkatan maka harta yang sedikit akan terasa banyak dan mencukupi. Dan sebaliknya harta yang banyak dan bertimbun yang tidak ada keberkatannya akan membuatkan pemiliknya berasa sempit dan susah. Dari itu, pergunakanlah dan belanjakanlah harta yang ada ke jalan Allah.

Membelanjakan harta ke jalan Allah demi menuju keredaan-Nya menunjukkan seseorang itu mempunyai sifat ketaatan dalam jiwa seorang mukmin. Seorang mukmin yang benar-benar beriman akan membelanjakan hartanya ke jalan Allah.

Membelanjakan harta ke jalan Allah dapat memperkuat jiwa dan akhlak orang yang melakukannya. Lebih jauh lagi, sekecil apapun harta yang dibelanjakan dengan penuh keikhlasan sudahlah mencukupi untuk meraih ganjaran atau balasan yang besar dari Allah Subhanahu Wata'ala. Firman-Nya dalam Surah al-Hadid, ayat 7 tafsirnya :

''Berimanlah kamu kepada Allah dan Rasul-Nya, dan infaqkanlah sebahagian harta yang Allah telah menjadikanmu menguasainya. Maka orang-orang yang beriman di antara kamu dan berinfaq, bagi mereka itu ada ganjaran yang besar.''

Namun begitu masih ada di kalangan umat Islam yang tewas dengan godaan dan hasutan serta tipu daya iblis dan syaitan. Mata dan hati mereka digelapkan dengan harta yang bergemerlapan. Ini menyebabkan mereka terlalu bakhil dan kedekut untuk bersedekah dan membelanjakan atau menggunakannya ke jalan yang diredai Allah.

Allah Subhanahu Wata'ala berfirman dalam Surah al-Hadid, ayat 10 tafsirnya :

''Dan mengapa kamu tidak membelanjakan harta kamu pada jalan Allah, padahal Allah jualah yang memiliki segala warisan (yang ada) di langit dan di bumi.''

Sesungguhnya sifat bakhil merupakan penyakit hati yang kronik dan sukar diubati. Ianya adalah sifat tercela yang timbul dari sifat terlampau cintakan harta. Mereka yang memiliki sifat bakhil ini adalah orang yang menanggung kerugian yang hebat. Sepertimana firman Allah Subhannahu Wata'ala dalam Surah al Munafiqun, ayat 9 tafsirnya :

"Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah harta kamu dan anak-anak kamu melalaikan kamu daripada mengingati Allah. Dan sesiapa yang melakukan demikian maka mereka itulah orang yang rugi.''

Dari itu janganlah kita tewas dengan harta yang kita miliki kerana ianya hanya akan membuat hidup kita susah dan menjadikan kita hidup penuh dengan pelbagai masalah, kesukaran dan kesempitan. Sesuai dengan firman Allah Subhanahu Wata'ala dalam Surah al-Lail, ayat 8 hingga 10, tafsirnya :

''Dan adapun orang yang bakhil dan merasa dirinya cukup. Dan dia mendustakan adanya ganjaran yang baik. Maka Kami akan memudahkan untuk mendapat kesusahan.''

Kebinasaan yang akan ditimpa oleh orang-orang yang bakhil tidak hanya di akhirat saja, bahkan Allah Subhanahu Wata'ala menyegerakan azab bagi mereka di dunia.

Oleh kerana itu, marilah kita semua menjauhi sifat bakhil dan berusaha untuk melawannya dengan menghindarinya dari menghampiri kehidupan kita kerana ianya merupakan satu sifat yang dibenci dan dimurkai oleh Allah Subhanahu Wata'ala. Jadikanlah diri kita hamba-hamba Allah Subhanahu Wata'ala yang bersifat pemurah dan sentiasa bersedekah dan membelanjakan harta di jalan-Nya. Sedikit pemberian rezeki kepada hamba Allah yang memerlukan, maka banyak yang Allah akan ganti. Usahlah tewas akan kegemerlapan harta yang dimiliki kerana sesungguhnya ianya tidak kekal abadi dan segalanya akan ditelan bumi.

Ingatlah setiap manusia akan mati sama ada dia seorang yang pemurah atau seorang yang bakhil. Orang yang pemurah dekat dengan Allah, dekat dengan rahmat-Nya dan dekat dengan syurga, sebaliknya orang bakhil akan jauh daripada Allah, jauh daripada rahmat-Nya dan dekat dengan neraka.

Firman Allah Subhanahu Wata'ala dalam Surah al Hasyr, ayat 9 tafsirnya :

''... Dan sesiapa yang dirinya dipelihara daripada sifat bakhilnya maka mereka itulah orang yang mendapat kemenangan.''

Seterusnya...

Ramalan Cuaca

Untuk maklumat lanjut Ramalan Cuaca bagi Negara Brunei Darussalam sila layari www.met.gov.bn

Login or Register

LOG IN

Register

User Registration
or Cancel