A+ A A-

menuju

AL-QURAN merupakan sumber petunjuk manusia yang membawa kebenaran dan kebahagiaan di dunia dan akhirat. Oleh itu Allah Subhanahu Wata’ala mengingatkan manusia agar sentiasa berpegang teguh dengan Al-Quran seperti firman Allah Subhanahu Wata’ala dalam Surah al-Israa’ ayat 9, tafsirnya:

''Sesungguhnya Al-Quran ini memberi petunjuk (ke jalan) yang lebih lurus dan menyampaikan khabar gembira kepada orang-orang beriman yang mengerjakan amalan-amalan soleh bahawa sesungguhnya bagi mereka pahala yang besar.”

Individu yang tidak mengisikan hati dan dadanya dengan ayat Al-Quran sama ada tidak membaca atau mengamalkannya adalah diibaratkan seperti sebuah rumah kosong, tidak berharga dan buruk yang akan dirobohkan bila-bila masa sahaja. Perkara ini dijelaskan dalam sebuah hadits daripada Ibnu Abbas Radhiallahuanhuma bahawa Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam bersabda bermaksud:

''Sesungguhnya orang yang tidak ada apa-apa di dalam hatinya sedikit pun daripada Al-Quran adalah umpama sebuah rumah buruk yang binasa (tidak berhias).'' (Riwayat al-Imam at-Tirmizi)

Begitulah hati yang tidak diisi dengan ayat-ayat Al-Quran diibaratkan seperti rumah kosong yang kosong dan mudah dimasuki oleh jin dan syaitan sehingga melahirkan penyakit jiwa seperti kerasukan, psikiatri dan sebagainya. Hati di dalam jasad seseorang amat berperanan penting untuk membentuk sifat baik dan buruk. Inilah yang dimaksudkan dalam Al-Quran dan Hadits yang menyentuh tentang kepentingan hati dalam kehidupan manusia. Sebagai contoh dalam sebuah Hadits daripada an-Nu’man bin Basyir bahawa Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam bersabda maksudnya:

"Ingatlah sesungguhnya di dalam jasad manusia itu ada seketul darah, jika ia baik, maka baiklah jasad. Jika ia rosak, maka rosaklah seluruh jasad. Itulah hati.'' (Riwayat al-Imam al-Bukhari)

Hadits ini menggambarkan tentang kepentingan hati bagi setiap manusia. Mengapa hati berperanan penting? Kerana hatilah yang akan melahirkan dan membentuk individu itu menuju ke arah sifat-sifat yang baik dan buruk yang akan menzahirkan segala tingkah laku pelakunya. Hati diibaratkan raja di dalam tubuh badan manusia. Hati diciptakan oleh Allah Subhanahu Wata'ala sebagai pelengkap yang paling utama di dalam tubuh manusia.

"Dan ingatlah Tuhanmu dalam hatimu dengan rendah hati dan dengan perasaan takut dan bukan dengan suara yang nyaring pada waktu pagi dan petang, dan janganlah engkau menjadi daripada orang-orang yang lalai.'' Surah al-A’raf: 205.

Ini menunjukkan betapa Allah Subhanahu Wata'ala menekankan agar menjaga kebersihan dan kesucian hati. Melalui Al-Quran juga diterangkan bagaimana hati dipelihara, diubati agar subur dan mekar dengan keimanan dan ketakwaan kepada Allah SubhanahuWata'ala dan sentiasalah kita naungi hati dengan ayat-ayat Al-Quran.

Seterusnya...

Ramalan Cuaca

Untuk maklumat lanjut Ramalan Cuaca bagi Negara Brunei Darussalam sila layari www.met.gov.bn

Login or Register

LOG IN

Register

User Registration
or Cancel