A+ A A-

menuju

MANUSIA perlu matlamat hidup dan dari sini tercorak kehidupan yang mempunyai arah tujuan yang tertentu. Kalau hidup tanpa matlamat, tentu saja hidup tidak tentu arah dan kosong sekosong-kosongnya yang akhirnya mengakibatkan kerugian. Sebagai seorang mukmin kita mempunyai matlamat hidup yang hakiki dan diredhai oleh Allah Subhanahu Wata'ala.

Dari sebab itu makanya sebagai seorang Islam setelah kita dilahirkan ke dunia dan dapat meneruskan kehidupan, semestinyalah kita perlu ada wawasan hidup dan meyakini adanya hidup di dunia mahupun di alam akhirat kelak, iaitu tempat hidup kita yang kekal abadi. Oleh yang demikian, matlamat hidup kitahanyalah semata-mata beribadat kerana Allah Subhanahu Wata'ala. Sebagaimana firman Allah dalam Surah adz-Dzaariyaat ayat 56 yang tafsirnya :

''Dan Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan hanya untuk menyembah Aku.''

Jelaslah, bahawa kita hidup wajib bertaqwa dan beriman kepada Allah Subhanahu Wata'ala, taat menunaikan segala perintah-Nya dan menjauhi segala larangan-Nya, di samping berusaha dan memohon kepada-Nya agar dapat hidup selamat sempurna bukan hanya di dunia bahkan juga di akhirat kelak.

Dalam menjalani kehidupan ini, majority kalangan tua lebih dahulu mengalami pahit manis kehidupan daripada yang muda, seperti kata pepatah ''orang tua lebih dulu makan garam.'' Sememangnya berlainan dengan apa yang ada pada generasi muda, kehidupan di tahap usia yang begitu muda masih mentah dalam perjuangan hidup. Bahkan bila ditanya kepada mereka, apakah yang mereka mahukan dalam hidup ini. Lantas mereka akan menjawab mereka mahu kegembiraan dan kesenangan hidup, mahu dikasihi, disayangi, dihargai, mahukan kebebasan, keselesaan dan bermacam-macam lagi di fikiran mereka yang mudah dan yang dapat membahagiakan hidup mereka. Justeru itu, generasi muda (para remaja) perlukan panduan hidup disebabkan pencapaian mereka kearah matlamat hidup yang sempurna masih jauh dari sudut fikiran dan pengetahuan mereka.

Dalam hal ini timbul persoalan siapakah yang patut bertindak dan dapat menolong para remaja bagi menangani segala kekurangan yang ada pada mereka. Malah, untuk memenuhi kehendak hidup para remaja setentunyalah terpikul di bahu para generasi tua yang terlebih dahulu makan garam dan merasa pahit manis kehidupan, iaitu kedua ibu bapa kita, di kalangan para pengasuh yang diamanahkan, para guru dan masyarakat umumnya yang wajib bertanggungjawab bersama-sama bagi memelihara dan mendidik mereka menuju hala kehidupan yang berguna lagi sempurna yang diredhai oleh Allah Subhanahu Wata'ala.

Pada keseluruhannya sebagai orang yang bertanggungjawab mestilah peka dalam mentadbir dan memberikan asuhan dan didikan kepada para remaja agar segala ilmu dan pengalaman yang disalurkan itu benar-benar menepati kehendak dan tuntutan Islam. Bahkan janganlah mensia-siakan usia dan merugikan kehidupan sendiri, makanya rebutlah peluang yang dikurniakan oleh Allah Subhanahu Wata'ala yang amat berharga seperti mana dijelaskan melalui hadits Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam yang diriwayatkan oleh al-Imam Hakim dan al-Baihaqi yang bermaksud :

''Rebutlah lima perkara sebelum tiba lima perkara, iaitu masa engkau hidup sebelum mati, masa engkau sihat sebelum sakit, masa engkau lapang sebelum sibuk, masa engkau muda sebelum tua dan masa engkau kaya sebelum miskin.''

Perlulah diingat bahawa meskipun zaman beralih begitu pantas sehinggakan teknologi moden semakin mantap dan dunia semakin membangun, para remaja harus berusaha untuk memantapkan diri dengan mengamalkan segala ilmu dan pengetahuan yang bermanfaat di jalan yang diredhai Allah Subhanahu Wata'ala. Para remaja yang beriman ialah remaja yang mempunyai iman yang kuat, tidak mampu diganggu-gugat oleh keadaan sekeliling, individu mahupun musuh-musuh yang cuba menghancur-leburkan kekuatan iman.

Semoga dengan berbekalkan hidup yang beriman dan taqwa, di samping melengkapi segala tanggungjawab dan menunaikan amanah yang dimanahkan oleh Allah Subhanahu Wata'ala, mudah-mudahan kita termasuk di antara golongan yang mendapat naungan 'Arasy di akhirat kelak.

Seterusnya...

Ramalan Cuaca

Untuk maklumat lanjut Ramalan Cuaca bagi Negara Brunei Darussalam sila layari www.met.gov.bn

Login or Register

LOG IN

Register

User Registration
or Cancel