A+ A A-

MKA

PADA prinsipnya setiap manusia adalah pemimpin. Pemimpin yang berjaya adalah seseorang yang mengetuai dirinya sendiri, keluarga, organisasi atau pertubuhan, meneraju membuat perubahan ke arah mencapai matlamat yang ditentukan. Tanggungjawab ini bukan mudah kerana banyak cabaran dan ujian yang akan dihadapi.

Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam adalah pemimpin yang memenuhi fitrah manusia sejagat melalui sifat-sifat mulia seperti amanah, siddiq, tabligh dan fatanah. Menurut sirah, sebelum dari kerasulannya pemimpin Quraish pernah memberi gelaran ''al-Amin'' kerana keunggulan Baginda dalam memberi perkhidmatan cemerlang kepada masyarakat. Gelaran ''al-Amin'' ini telah membangkitkan rasa kasih sayang berterusan sebahagian besar masyarakat Quraish kepada Baginda.

Walau bagaimana pun cabaran yang dihadapi oleh Baginda juga cukup hebat. Sebagai contoh Abu Jahal seorang pemimpin kanan Quraish, pernah menawarkan jawatan Raja, perempuan cantik, dan harta kekayaan, supaya Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam tidak meneruskan perjuangan Islam. Namun, berdasarkan keunggulan dan maruah kepimpinan Islam, maka Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam menolak semua tawaran itu.

Selain Abu Jahal, Al-Qur'an juga menyebut beberapa watak kepimpinan yang tidak bermaruah sehingga merosakkan negara, memecah-belahkan masyarakat, dan kesengsaraan kepada keluarga, yang akhirnya semasa di dunia lagi telah menerima balasan azab terhadap kekejaman yang dilakukannya antaranya ialah Fir'aun, Haman, dan Qarun. Fir'aun adalah pemerintah yang menghukum musuhnya sesuka hati dan mendakwa dirinya tuhan kerana meyakini tidak ada kuasa lain boleh menggugat pemerintahannya.

Haman pula seorang yang sentiasa berlegar mengelilingi Fir'aun menjalankan tugas untuk memperkukuhkan kekuasaan Fir'aun.

Manakala Qarun pula seorang tokoh korporat yang kaya raya mengambil peluang daripada pemerintah. Beliau membantu pemerintah dengan kewangannya dengan harapan akan mengaut habuan lebih besar tanpa mempedulikan penderitaan orang lain.

Kesemua watak-watak pemimpin ini yang dirakamkan di dalam al-Qur'an memperlihatkan golongan yang tamak kuasa, mengejar jawatan, mengaut keuntungan dan kemewahan dunia di atas penderitaan orang lain, yang akhirnya mereka ini dimusnahkan oleh Allah Subhanahu Wata'ala di dunia dengan menjadi sehina-hina manusia.

Begitu juga umat yang sentiasa mengingati Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam dengan berselawat kepadanya akan mendapat pelbagai manfaat antaranya dikurniakan kebajikan, dimakbulkan doa, mendapatkan syafa'at dan selamat dari kebakhilan. Berdasarkan kepada sirah ini menunjukkan bahawa kasih sayang Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam kepada umatnya sentiasa tertanam dalam jiwanya dan terpahat di hati sehingga ke Akhirat.

Kepimpinan yang beramanah dan bertanggungjawab dalam masyarakat mencerminkan suasana kepimpinan yang cemerlang. Ini ditegaskan oleh Allah Subhanahu Wata'ala dalam surah al-Baqarah ayat 124 yang tafsirnya :

''Dan (ingatlah) ketika Nabi Ibrahim diuji oleh Tuhannya dengan kalimah-kalimah (suruhan dan larangan) maka Nabi Ibrahim telah menyempurnakannya. Setelah itu Allah berfirman: ''Sesungguhnya Aku melantik mu sebagai imam (pemimpin) bagi umat manusia.'' Nabi Ibrahim berkata: ''Jadikanlah juga daripada keturunanku (sebagai pemimpin-pemimpin).'' Allah berfirman lagi: ''(Permohonan mu itu Aku terima tetapi) janjiKu (untuk menjadikan keturunanmu sebagai pemimpin) tidak akan didapati oleh orang-orang yang zalim."

Jelas, kepimpinan bukan hanya sekadar perjanjian antara pemimpin dengan masyarakat, tetapi ia juga merupakan ikatan perjanjian antara pemimpin dengan Allah Subhanahu Wata'ala dan sebagai seorang pemimpin hendaklah mementingkan keadilan dalam melaksanakan sesuatu tanggungjawab.

Ketinggian akhlak dan keunggulan Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam terus dikagumi umat Islam walaupun Baginda telah lama wafat. Keadaan ini telah menimbulkan rasa tidak senang hati dalam kalangan golongan tertentu sehingga sanggup menyebarkan fitnah dan mengaibkan Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam dan umat Islam.

Sebagai umat Islam hendaklah menginsafi diri dengan mempertingkatkan kualiti jati diri dan keunggulan yang telah dicontohi Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam dan para sahabat.

Seterusnya...

Ramalan Cuaca

Untuk maklumat lanjut Ramalan Cuaca bagi Negara Brunei Darussalam sila layari www.met.gov.bn

Login or Register

LOG IN

Register

User Registration
or Cancel