A+ A A-

menuju

IMAN adalah aset rohani yang tidak ternilai harganya. Tinggi atau rendahnya martabat manusia di sisi Allah Subhanahu Wata’ala dengan tahap keimanan yang ada pada diri masing-masing. Sesiapa yang paling kuat dan sempurna imannya, maka dialah yang paling mulia dalam pandangan Allah. Keimanan yang kuat itu adalah sangat tinggi nilainya. Ia tidak mungkin diperolehi begitu saja tanpa berhadapan dengan perjuangan yang sukar. Ini kerana Allah akan menguji manusia dengan pelbagai ujian dan cubaan hidup untuk melihat dengan jelas hasil daripada ujian itu, sejauh mana teguh dan tingginya iman setiap hambaNya?


Firman Allah Subhanahu Wata’ala dalam Surah al Mulk ayat 2 yang tafsirnya:


“Dia yang menciptakan mati dan hidup untuk menguji siapakah antara kamu yang lebih baik amalannya. Dan Dia Maha Perkasa lagi Maha Pengampun.”


Sesungguhnya dalam hidup ini setiap individu tidak dapat lari atau dipisahkan daripada pelbagai ujian terutama bagi mereka yang sentiasa mengejar kejayaan dan berusaha untuk mendapatkan kebahagiaan. Sebenarnya, setiap kebahagiaan dan kesengsaraan, untung dan rugi, sihat dan sakit serta segala macam kejadian yang menimpa adalah perjalanan hidup yang sudah menjadi ketetapan Allah. Segala-galanya adalah fitrah alam yang diciptakan olehNya sebagai renungan dan ujian kepada hambaNya yang sentiasa berfikir terhadap kebesaran Yang Maha Pencipta.


Seseorang yang dikurniakan harta kekayaan, umpamanya sebagai tanda ia bersyukur kepada Allah maka sudah sepatutnya ia menggunakan harta tersebut pada perkara-perkara yang berkebajikan seperti menolong dan membantu fakir miskin, mengeluarkan derma untuk membangun masjid atau sekolah, menolong anak-anak yatim, memberi belanja atau nafkah tanggungan-tanggungan yang wajib ditunaikannya dan sebagainya.


Jumlah bilangan mereka yang terpilih ini adalah terhad. Hati dan diri mereka ini diuji dengan kekayaan dan kesenangan supaya mereka menjadi orang yang bersyukur dengan nikmat Allah. Apakah bukti tanda kesyukuran mereka? Kesyukuran mereka terbukti dengan kuatnya ibadah mereka menunaikan perintah Allah yang sedikit pun tidak menjejaskan diri dan harta mereka iaitu melalui mengeluarkan zakat dan membelanjakannya ke jalan yang diredhai oleh Allah. Maka di situlah wujudnya hamba pilihan Allah yang beriman dan bertaqwa sepertimana firmanNya dalam Surah al-Baqarah ayat 3 yang tafsirnya:


“Iaitu orang-orang yang beriman kepada perkara-perkara ghaib (yang tidak kelihatan oleh mereka seperti hari kiamat, syurga dan neraka), dan mendirikan sembahyang dengan sempurnanya dan membelanjakan sebahagian daripada rezeki yang Kami telah kurniakan kepada mereka.”


Firman Allah Subhanahu Wata’ala lagi dalam Surah Ibrahim ayat 7 yang tafsirnya:


“Demi sesungguhnya jika kamu bersyukur (terhadap segala nikmatKu) tentu Aku akan tambahi nikmat itu kepada kamu dan demi sesungguhnya jika kamu kufur (terhadap nikmat itu) maka sesungguhnya azabKu sangat keras.”


Orang yang sentiasa bersyukur kepada Allah akan memperbanyakkan ucapan syukur dan akan mengerjakan ketaatan kepadaNya dan sentiasa melakukan amal kebajikan serta membesarkan nikmat sekalipun nikmat itu kecil sahaja. Sebaliknya hindarilah daripada bersikap tamak dan bakhil kerana sikap sedemikian akan mengheret kita ke arah kehancuran dan kebinasaan.


Seseorang yang telah mengumpulkan harta hasil usaha yang keras dan juga dalam keadaan susah mendapatkannya akan merasa amat sayang dengan harta tersebut. Inilah dugaan kepada hati pemilik harta tersebut dalam melaksanakan perintah Allah. Jika hati dibekalkan dengan ketaqwaan maka natijahnya sebagai bukti ianya mempunyai hati yang bersih kerohaniannya, jika sebaliknya maka sifat keji iaitu bakhil adalah miliknya yang sesuai.


Di dalam al-Qur’an Allah Subhanahu Wata’ala telah menceritakan tentang orang-orang yang bakhil ini seperti firmanNya dalam Surah Ali ‘Imran ayat 180 yang tafsirnya:


“Dan janganlah sekali-kali orang-orang yang bakhil dengan apa yang telah dikurniakan Allah kepada mereka dari kurnia kemurahanNya (enggan mengeluarkan harta di jalan Allah dan tidak mahu membayar zakat) menyangka bahawa kebakhilan itu baik bagi mereka. Bahkan sebenarnya kebakhilan itu adalah buruk bagi mereka. Mereka akan dikalungkan dengan apa yang mereka bakhilkan itu pada hari kiamat kelak. Dan kepunyaan Allah jualah segala warisan (yang ada) di langit dan di bumi. Dan Allah Maha Mengetahui apa yang kamu kerjakan.”

Seterusnya...

Ramalan Cuaca

Untuk maklumat lanjut Ramalan Cuaca bagi Negara Brunei Darussalam sila layari www.met.gov.bn

Login or Register

LOG IN

Register

User Registration
or Cancel