A+ A A-

MARILAH kita meningkatkan ketaqwaan kita kepada Allah Subhanahu Wata'ala dengan penuh keyakinan dan keikhlasan dengan melakukan segala suruhan-Nya dan meninggalkan segala larangan-Nya. Mudah-mudahan kita menjadi insan yang bertaqwa dan beriman serta selamat di dunia dan selamat di Akhirat.

Alhamdulillah, kita bersyukur ke hadrat Allah Subhanahu Wata'ala kerana telah menjadikan Negara Brunei Darussalam sebagai sebuah Negara Islam yang sentiasa berpandukan kepada Al-Qur'an dan As-Sunnah mengikut Ahli Sunnah Waljamaah sejak sekian lama. Sungguhpun demikian, Negara kita juga tidak terlepas dari ancaman-ancaman penyelewengan aqidah dan pemikiran sesat yang dibawa oleh musuh-musuh Islam yang bertujuan untuk menyesatkan dan memecahbelahkan umat Islam serta mencemarkan kesucian dan keharmonian agama Islam. Baru-baru ini Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam telah bertitah mengingatkan kita akan bahaya kefahaman atau pemikiran yang berbau Islam tetapi ianya bukan Islam seperti Islam Liberal, Pluralisme agama dan lain-lain. Umat Islam di negara ini diingatkan supaya tidak terbawa-bawa untuk menceduk sebarang kefahaman atau pemikiran yang menyelahi aqidah yang telah dipeggang selama ini.

Perlu diketahui bahawa Islam Liberal adalah satu bentuk pemikiran yang berasal dari Barat. Ia bertujuan untuk meruntuhkan sendi-sendi kefahaman agama Islam. Mereka yang berpengaruh dengan modal pemikiran seperti ini telah berani melanggar perkara-perkara asasi dan perinsip dalam ajaran Islam.

Mereka yang berfahaman Islam Liberal menganggap Kitab Suci Al-Qur'an hanya sebagai buku rujukan sejarah yang perlu dikritik, baik dari sudut kesahihan ayat-ayatnya dan juga pentafsirannya. Hukum-hakam yang dihasilkan oleh agama Islam atau Fuqaha, seperti Abu Hanifah, Malik bin Annas, Imam Syafie' dan lain-lain dianggap sudah ketinggalan zaman. Mereka tidak mempercayai hadis Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam kerana mereka menganggap bahawa hadis-hadis Nabi itu bercampur-baur dengan hadis-hadis dipalsukan.

Mereka yang berfahaman Islam Liberal sememangnya tidak pernah berhenti berusaha untuk memadamkan cahaya agama Allah, tetapi Allah Subhanahu Wata'ala tetap akan memelihara agama Islam walaupun mereka membencinya. Firman Allah SubhanahuWata'ala dalam Surah At Taubah ayat 32, tafsir-Nya :

"Mereka hendak memadamkan cahaya (agama) Allah dengan perkataan-perkataan yang mereka ucapkan dengan mulut mereka tetapi Allah menolaknya bahkan menyempurnakan cahaya agamanaya itu walaupun orang-orang kafir tidak menyukai."

Ulama Tafsir menjelaskan bahawa maksud 'Cahaya Allah' ialah hidayah dan agama yang dibawa oleh Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam iaitu agama Islam. Maksud 'dengan perkataan-perkataan yang mereka ucapkan' yakni usaha mereka itu diumpamakan seperti hendak memadamkan cahaya matahari atau bulan dengan cara meniupnya. Mereka tidak akan pernah berjaya dan tidak mungkin menemui jalan untuk itu. Demikianlah, agama Islam yang dibawa oleh Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam setentunya telah sempurna dan akan terpelihara sepanjang zaman.

Istilah 'Islam Liberal' banyak digunakan oleh penulis-penulis Barat mahupun orangorang Islam yang terkesan dengan pemikiranpemikiran mereka. Misalnya : Leonald Binder menggunakan istilah 'Islamic Liberalism' dan Charles Kurzman memakai istilah 'Liberal Islam'. Mereka menggunakan istilah itu untuk menjelaskan bahawa agama Islam itu sama dengan agama-agama lain, ia bebas ditafsirkan mengikut perkembangan masyarakatnya. Mereka cuba memesongkan pemikiran umat Islam bahawa agama Islam adalah produk masyarakat yang perlu dikritik dan dinilai semula. Mereka mahu melihat ajaran Islam sentiasa berubah-ubah mengikut zaman yang dilaluinya. Jadi agama Islam menurut mereka hanyalah rangkaian umat Islam sendiri.

Apa yang lebih dahsyat lagi, mereka telah menyebarkan fahaman sesat tersebut, iaitu semua agama di dunia ini adalah sama dan semuanya adalah benar. Setiap orang adalah bebas untuk memilih agama yang disukainya dan boleh bertukar agama bila-bila masa, keranan ia adlah hak asasi manusia. Kefahaman sesat ini mereka lebalkan sebagai 'Pluralisme agama'.

Perkara ini jelas bercanggah dengan firman Allah Subhanahu Wata'ala dalam Surah Ali 'Imran ayat 85, tafsir-Nya :

"Dan sesiapa mencari agama selain agama Islam, maka sekali-kali tidaklah akan diterima agama itu daripadanya dan dia di Akhirat termasuk orang-orang yang rugi."
Kefahaman ini sangat dikhuatiri boleh meracuni minda generasi muda yang mudah terpengaruh kepada perkara-perkara baru yang memesongkan aqidah dan pemikiran Islam yang sebenar.

Golongan ini juga menyalahgunakan konsep 'Ijtihad' dalam Islam, dengan membuka pintu ijtihad seluas-luasnya dan sebebas-bebasnya. Sudah tentu ia memberi peluang kepada orang-orang jahil melakukan ijtihad sendiri untuk menghasilkan pemikiran-pemikiran songsang yang bercanggah dengan ajaran agama Islam sebenar. Dan inilah yang membawa 'Irsyad Munji' seorang aktivis yang beragama Islam dan menerima pendidikan aliran agama dan aliran skolar dari Barat mengasaskan 'Projek Ijtihad' di Canada, kononnya akan melahirkan pemikiran baru tentang Islam yang tidak mengikut tradisi lama. Akan tetapi hasil kajiannya menunjukkan bahawa ia seorang pembawa ideologi yang menghina Al-Qur'an dan menghina Nabi Muhammad Sallallahu AlaihiWasallam serta ingin mengubah tatacara ibadat agama Islam. Sebenarnya, amalan ijtihad dalam Islam adalah amalan mulia dan terbuka bagi alim ulama yang memiliki syarat dan mengikut generasi panduan yang sudahpun dikaji secara mendalam dan ditetapkan oleh ulama dalam Ilmu Usul Fiqah. Imam Syafie' Rahmahullahu Ta'ala adalah ulama terawal telah merumors ilmu ini dalam kitab 'Ar Risalah' sebagai konsep dan panduan bagi ulama yang berkebolehan untuk berijtihad, lalu kemudian diteruskan oleh ulama selepasnya hingga ke hari ini. Kita umat Islam, janganlah terpengaruh dan terlibat dengan ijtihad Irsyad Munji tersebut, kerana dia bukan orang yang berkelayakan dan tidak memiliki syarat dalam Pengajian Islam. Malahan dia sebenarnya seorang yang jahil, perosak aqidah dan peracun pemikiran Islam.

Mereka yang terjerumus dengan dakwah 'Islam Liberal' dan ideologi tersebut hendaklah segera bertaubat dan kembali ke pangkal jalan, serta segera berhenti menyebarkan pemikiran dan pahaman yang menyimpang dari ajaran agama Islam sebenar.

Sesungguhnya 'Islam Liberal' yang mendakwa kefahaman agama baru yang sesuai dengan kemajuan hari ini adalah sesat dan menyesatkan. Islam Liberal sama sekali bercanggah dengan nilai dan ajaran agama Islam yang dibawa oleh Baginda Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam. Begitu juga ideologi tersebut adalah hasil pemikiran golongan Islam Liberal yang jauh berbeza dengan aqidah Ahli Sunnah Waljamaah, malah boleh membawa individu Muslim terkeluar dari pegangan agamanya. Nauuzubillahi Miin Zaaliik.

Oleh itu, umat Islam janganlah terpedaya dengan muslihat golongan Islam Liberal ini yang kini sudah mula tersebar buku-bukunya yang diterjemahkan ke dalam bahasa Melayu di negara-negara jiran. Aliran ini telah ditentang dan diharamkan oleh pihak-pihak yang berwajib di negara jiran, kerana telah dipastikan ianya bercanggah dengan kefahaman Islam yang tulen.

Akhirnya sama-samalah kita menjaga kesucian agama Islam dengan berpegang teguh kepada ajaran agama Islam berpandukan Al-Qur'an dan As Sunnah. Mudah-mudahan kita semua mendapat rahmat dan perlindungan dari Allah Subhanahu Wata'ala. Aamiin Yaa Rabbal'alamiin.
Firman Allah Subhanahu Wata'ala dalam Surah Ali 'Imran ayat 103, tafsir-Nya :

"Dan berpegang teguhlah kamu kepada tali (agama) Allah dan janganlah kamu bercerai-berai dan ingatlah nikmat Allah kepada kamu ketika kamu bermusuh-musuhan semasa Jahiliah dahulu lalu Allah menyatukan antara hati kamu (dengan nikmat agama Islam), maka menjadilah kamu dengan nikmatnya itu orang-orang Islam yang bersaudara. Dan dahulunya kamu berada di tepi jurang Neraka lalu Allah menyelamatkan kamu daripadanya dengan sebab nikmat Islam. Demikianlah Allah Menjelaskan kepada kamu ayat- ayat keterangannya supaya kamu mendapat hidayah."

Seterusnya...

Ramalan Cuaca

Untuk maklumat lanjut Ramalan Cuaca bagi Negara Brunei Darussalam sila layari www.met.gov.bn

Login or Register

LOG IN

Register

User Registration
or Cancel