A+ A A-

6 25 2016 PelitaBrunei PB 25 JUN 2016 Pelita10

MARILAH kita sama meningkatkan ketakwaan kita kepada Allah Subhanahu Wata'ala dengan penuh keyakinan dan keikhlasan dengan melakukan segala suruhan-Nya dan meninggalkan segala larangan-Nya. Lebihlebih lagi ketika kita berada di bulan Ramadan yang Mubarak ini. Mudah-mudahan segala amal ibadat kita diterima dan seterusnya kita menjadi insan yang beriman dan bertakwa serta selamat di dunia dan di akhirat.

Sekarang kita telah berada di sepuluh malam terakhir bulan Ramadan yang terdapat di dalamnya satu malam yang mempunyai keberkatan dan kelebihan dari seribu bulan, iaitu Lailatul Qadar. Sebagai umat Islam kita hendaklah melipatgandakan lagi usaha kita untuk merebut kelebihan malam tersebut dengan mengerjakan amal ibadat sebanyak mungkin.

Lailatul Qadar merupakan satu malam yang paling utama di antara malam-malam yang lain. Malam di mana Allah Subhanahu Wata'ala mengampunkan dosa-dosa bagi mereka yang beribadat dengan penuh keikhlasan serta mengharapkan keredaan Allah Subhanahu Wata'ala.

Sabda Rasulullah Sallallahu AlaihiWasallam dalam sebuah hadis :

Maksudnya : ''Dari Abi Hurairah Radhiallahuanhu, dari Nabi Sallallahu Alaihi Wasallam Baginda bersabda : Barang siapa mengerjakan ibadat di malam Lailatul Qadar kerana imannya kepada Allah dan kerana mengharapkan keredaan-Nya nescaya diampunkan dosanya yang telah lalu.'' (Riwayat Al-Imam Al-Bukhari).

Malam yang istimewa ini dianugerahkan oleh Allah Subhanahu Wata'ala kepada umat Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam bagi memuliakan mereka, bahkan pemberian ini tidak pernah berlaku kepada umat-umat yang sebelumnya. Ini adalah kerana mereka (umat-umat yang sebelumnya) memiliki nikmat umur yang panjang dalam mengerjakan amal ibadat. Perkara ini telah menyebabkan timbulnya perasaan cemburu dalam diri para sahabat kerana tidak mungkin mereka akan mampu menandingi amalan umat-umat sebelumnya. Oleh sebab itu, Allah Subhanahu Wata'ala menganugerahkan umat Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam dengan Lailatul Qadar.

Firman Allah Subhanahu Wata'ala dalam Surah Al-Qadr, ayat 1 - 5 :

Tafsirnya : ''Sesungguhnya Kami telah menurunkan Al-Quran itu pada malam Lailatul Qadar. Dan tahukah engkau apakah malam Lailatul Qadar itu? Malam Lailatul Qadar itu lebih baik daripada seribu bulan. Pada malam itu turun malaikat-malaikat dan Malaikat Jibril dengan izin Tuhan mereka untuk mengatur segala urusan. Malam itu penuh kesejahteraan hingga terbit fajar.''

Banyak riwayat yang mengatakan bahawa Lailatul Qadar berlaku pada sepuluh malam terakhir bulan Ramadan. Besar kemungkinan ia berlaku pada malam yang angka ganjil, iaitu malam 21, 23, 25, 27 atau malam 29, ini adalah berdasarkan daripada riwayat Abu Said Al-Khudri Radhiallahuanhu, Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam bersabda :

Maksudnya : ''Hendaklah kamu cari ia (Lailatul Qadar) itu pada sepuluh malam terakhir bulan Ramadan dan kamu cari ia pada tiap-tiap malam yang ganjil.'' (Riwayat Al-Imam Al-Bukhari).

Menurut Imam Syafie, tarikh berlakunya Lailatul Qadar berlaku secara berbeza-beza pada setiap tahun. Jika tahun ini berlaku pada malam 21, pada tahun yang lain pula berlaku pada malam yang lain. Jelas di sini, malam Lailatul Qadar tidak dapat ditentukan secara pasti, akan tetapi di sebalik ketidakpastian ini ada hikmahnya yang sangat besar. Ia membuatkan kita bersungguh-sungguh berusaha untuk mencari malam Lailatul Qadar dengan beribdat setiap malam dengan harapan dapat bertemu dengan malam yang mulia ini, dan bukannya dengan hanya beribadat pada malam yang tertentu sahaja. Terdapat tanda berlakunya Lailatul Qadar itu, antaranya ialah suasana malam yang sunyi dan sepi, penuh dengan ketenangan serta bercahaya, segar, tidak panas dan tidak sejuk. Keadaan ini berterusan sehinggalah terbitnya waktu fajar. Pada waktu pagi pula, matahari akan naik berwarna putih, tidak memancarkan cahaya atau sinar yang terang.

Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam menghidupkan malam-malam Ramadan dengan melakukan berbagai amalan-amalan kebajikan melebihi dari yang biasa Baginda lakukan pada malammalam yang lain. Di antara amalan Baginda dalam menyambut kedatangan Lailatul Qadar ialah beriktiqaf.

Beriktiqaf ialah satu sunah yang amat tinggi nilainya yang boleh mengwujudkan suasana kejiwaan dan memfokuskan fikiran dalam beribadat dan menambahkan keimanan serta ketakwaan kepada Allah Subhanahu Wata'ala. Selagi mana ia dalam keadaan beriktiqaf, selagi itulah dia termasuk dalam golongan orang yang beribadat, sekalipun dia tidak melakukan apa-apa jenis ibadat yang lain dalam iktiqafnya. Bahkan orang yang beriktiqaf itu diberi ganjaran seperti orang yang melakukan kebaikan.

Janganlah kita memandang remeh terhadap segala amalan-amalan sunat, kerana amalan sunatlah yang akan menampal kekurangan serta kecacatan yang kita lakukan dalam amalan fardu yang diwajibkan ke atas kita. Oleh itu, rebutlah peluang keemasan ini dengan memperbanyakkan sembahyangsembahyang sunat, membaca Al-Quran, berzikir dan berdoa bagi memohon keampunan kepada Allah Subhanahu Wata'ala atas segala dosa yang telah dilakukan, dan antara doa yang telah dianjurkan oleh Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam di dalam sebuah hadis :

Maksudnya : ''Sayidina Aisyah Radhiallahuanha meriwayatkan, aku berkata : Wahai Rasulullah, apakah pandangan tuan hamba sekiranya aku mengetahui suatu malam itu Lailatul Qadar, apakah yang aku katakanlah (doa) pada malam itu? Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam bersabda : katakanlah (berdoalah) : Ya Allah, sesungguhnya engkaulah yang mengurniakan keampunan terhadap dosa-dosa ku. Engkaulah Maha Pengampun, maka ampunkanlah aku.'' (Riwayat Al-Imam Ahmad).

Surah At-Zumar, ayat 10 :
Tafsirnya : ''Katakanlah (sampaikanlah firman-Ku ini wahai Nabi Muhammad) : wahai hamba-hamba-Ku yang beriman! Bertakwalah kepada Tuhan kamu. Orang-orang yang berbuat kebaikan di dunia ini akan mendapat kebaikan di dunia dan di akhirat. Dan bumi Allah ini luas untuk kamu berhijrah. Sesungguhnya hanya orang-orang yang bersabar sahaja akan disempurnakan pahala mereka tanpa batasan.''

Seterusnya...

Ramalan Cuaca

Untuk maklumat lanjut Ramalan Cuaca bagi Negara Brunei Darussalam sila layari www.met.gov.bn

Login or Register

LOG IN

Register

User Registration
or Cancel