A+ A A-

seruanMARILAH kita meningkatkan ketakwaan kita kepada Allah Subhanahu Wata'ala dengan penuh keyakinan dan keikhlasan dengan melakukan segala suruhan-Nya dan meninggalkan segala larangan-Nya. Mudah-mudahan kita menjadi insan yang beriman dan bertakwa serta selamat di dunia dan selamat di akhirat.

Sesungguhnya kehidupan manusia di dunia ini tidak kekal, kehidupan ini akan berakhir, iaitu sama ada dengan kesudahan yang baik atau sebaliknya. Bagi mendapatkan kehidupan yang baik di akhirat kelak, setiap manusia hendaklah beriman dan beramal soleh. Kerana jika tidak, maka kesudahan kehidupannya di akhirat akan berakhir dengan kesudahan yang buruk, penuh dengan seksaan dan penderitaan. Oleh itu, kita sering diingatkan untuk menghargai nikmat umur dan memanfaatkannya dengan ketaatan kepada Allah Subhanahu Wata'ala dan memperbanyakkan amal soleh.

Sabda Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam maksudnya : "Dari Abdurrahman bin Abi Bakrah dari ayahnya, seorang lelaki telah berkata : Wahai Rasulullah siapakah sebaik-baik manusia? Rasulullah bersabda : Sebaik-baik manusia ialah orang yang dipanjangkan umurnya dan umurnya itu dipergunakan untuk berbuat kebajikan. Berkata lelaki itu lagi : Siapakah sejahat-jahat manusia? Rasulullah bersabda : Sejahat-jahat manusia ialah orang yang dipanjangkan umurnya tetapi digunakannya untuk berbuat kejahatan."

Di dalam Al-Quran terdapat banyak firman Allah Subhanahu Wata'ala yang menggandingkan sebutan 090416 SERUAN SUCI 01 yakni orang-orang yang beriman dan beramal soleh di mana mereka itu telah dijanjikan dengan ganjaran yang amat tinggi nilainya daripada Allah Subhanahu Wata'ala. Gandingan tersebut juga membuktikan betapa orang yang beriman hendaklah juga beramal soleh bagi mendapatkan ganjaran-ganjaran tersebut. Oleh itu, tidak cukup jika seseorang itu hanya mengaku beriman, iaitu melafazkan dua kalimah syahadah dan melaksanakan rukun-rukun Islam sahaja, tetapi hendaklah juga melakukan amal soleh.

Namun siapakah orang yang beriman dan beramal soleh tersebut? Mereka ialah seorang mukmin yang sebenar, iaitu sentiasa mengabdikan diri kepada Allah Subhanahu Wata'ala, beribadat hanya kepada-Nya, melaksanakan suruhan-Nya, memelihara dan menjauhkan dirinya daripada apa jua perbuatan yang boleh mendatangkan dosa. Orang yang beriman akan sentiasa kembali kepada Allah Subhanahu Wata'ala, bertaubat kepada-Nya dan memohon keampunan setiap waktu dan masa. Orang yang beriman juga akan sentiasa mengerjakan amal soleh dengan penuh keikhlasan, sentiasa mengharapkan agar amalannya diterima dan mendapat ganjaran dari Allah Subhanahu Wata'ala.

Amal soleh itu sangat luas maknanya. Amal soleh ialah apa jua perbuatan yang baik, bermanfaat dan berguna sama ada bagi dirinya mahupun kepada orang lain. Antara perbuatan amal soleh itu ialah orang yang memperbanyakkan doa dan zikir, membaca Al-Quran, melaksanakan tanggungjawabnya dengan amanah seperti kepada ibu bapa, keluarga dan masyarakat, mengamalkan sikap yang mulia seperti tolong-menolong dan melaksanakan 'amar makruf nahi mungkar, mencari rezeki dengan cara yang jujur, menuntut, memberi dan mengamalkan ilmu yang bermanfaat, membelanjakan hartanya dengan jalan yang diredhai Allah Subhanahu Wata'ala seperti bersedekah, berwakaf, menderma dan sebagainya.

Orang-orang yang beriman dan beramal soleh telah dijanjikan dengan ganjaran yang besar dari Allah Subhanahu Wata'ala antaranya mendapat ganjaran pahala, tiada dukacita baginya, tergolong orang-orang yang soleh, dihapuskan kesalahannya bahkan dan dikurniakan ganjaran apa yang telah mereka kerjakan itu dengan sebaik-baik ganjaran. Adapun antara sebaik-baik ganjaran itu ialah syurga sebagaimana firman Allah Subhanahu Wata'ala dalan Surah Al 'Ankabuut ayat 58 :

Tafsirnya : "Dan orang-orang yang beriman dan mengerjakan amalan-amalan soleh, kami tentu akan menempatkan mereka di tempat-tempat yang tinggi (mahligai) di dalam Syurga yang mengalir di bawahnya sungai-sungai, mereka kekal di dalamnya, itulah sebaik-baik ganjaran bagi orang-orang yang beramal."

Oleh itu, beruntunglah orang-orang yang menghabiskan umurnya untuk taat dan beribadat kepada Allah Subhanahu Wata'ala dan memperbanyakkan amalan soleh, dan alangkah ruginya orang-orang yang mensia-siakan umur dengan menderhaka kepada Allah Subhanahu Wata'ala, melakukan perbuatan yang berdosa dan maksiat, berbuat kejahatan dan kemungkaran, kerana apa yang diterima hanyalah kemurkaan Allah Subhanahu Wata'ala.

Sememangnya semua manusia mengimpikan agar kehidupan di akhirat kelak berakhir dengan kebaikan dan kebahagiaan, iaitu hidup kekal di dalam Syurga yang penuh dengan kesenangan dan kelazatan. Semua itu boleh dicapai dengan menjadi orang yang beriman dan beramal soleh. Terdapat sebilangan orang yang bercita-cita agar Allah Subhanahu Wata'ala akan memuliakannya dan mengangkat darjatnya dalam Syurga bersama-sama dengan orang yang beramal soleh. Tetapi mereka tidak melakukan amal soleh, leka dan sibuk dengan urusan dunia, hakikatnya itu hanyalah angan-angan kosong.

Allah Subhanahu Wata'ala telah berfirman dalam Surah Shaad ayat 28 :

Tafsirnya : "Patutkah kami menjadikan orang-orang yang beriman dan mengerjakan amalan-amalan soleh itu sama seperti orang-orang yang berbuat kerosakan di bumi? Atau patutkah kami menjadikan orang-orang yang bertakwa itu sama seperti orang-orang yang berdosa?"

Hari Akhirat atau Hari Kiamat, adalah hari di mana manusia akan dihisab mengikut amal perbuatan mereka semasa hayat di dunia. Dalam Surah Al Jaatsiyah ayat 28 - 30 ada menjelaskan bahawa pada Hari Kiamat setiap manusia akan berlutut dalam keadaan cemas dan menunggu panggilan. Setiap dari mereka itu akan dipanggil untuk menerima buku catatan amalnya serta dikatakan kepada mereka, "Pada hari ini kamu dibalas menurut apa yang kamu telah kerjakan."

Sesungguhnya Allah telah memerintahkan malaikat mencatat apa sahaja yang telah manusia kerjakan semasa mereka hidup di dunia di dalam buku catatan amal. Adapun orang-orang yang beriman dan mengerjakan amalan-amalan soleh maka mereka akan dimasukkan oleh Tuhan ke dalam rahmat-Nya, iaitu Syurga. Manakala bagi orang-orang yang tidak beriman, maka balasan mereka ialah Neraka.

Ingatlah wahai saudara-saudara sekalian, pohonlah pertolongan kepada Allah Subhanahu Wata'ala agar kita bersungguh-sungguh, sabar dan istiqomah dalam melaksanakan amal soleh. Manfaatkanlah peluang hidup ini sebelum ajal tiba. Jangan sampai umur kita tersisa pada sesuatu yang tidak bermanfaat agar tiada penyesalan dan berdukacita setelah mati. Apabila kematian telah tiba, barulah kita sedar bahawa kita telah mensia-siakan umur di masa hidup di dunia dahulu. Oleh itu, kita hendaklah bersegera dalam beribadat dan beramal soleh, dan jangan sekali-kali menangguhkannya ke masa yang lain.

Firman Allah Subhanahu Wata'ala dalam Surah As Sajdah ayat 12 :

Tafsirnya : "Dan alangkah ngerinya kalau engkau wahai Nabi Muhammad melihat orang-orang yang berdosa itu menundukkan kepala mereka di hadapan Tuhan mereka sambil merayu-rayu : Ya Tuhan kami! Kami telah melihat dan mendengar maka kembalikanlah kami (ke dunia) supaya kami mengerjakan amalan soleh, sesungguhnya kami sekarang telah yakin."

Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam ada mengingatkan kita tentang masa dalam sebuah hadis yang diriwayatkan dari Ibnu Abbas Radiallahu'anha ia berkata : Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam bersabda kepada seorang lelaki dan Baginda menasihatinya :

Maksudnya : "Rebutlah lima perkara sebelum kami didatangi oleh lima perkara yang lain. Masa muda mu sebelum tua mu, masa sihat mu sebelum sakit mu, masa kaya mu sebelum fakir mu, masa lapang mu sebelum kesibukan mu dan masa hidup mu sebelum mati mu."

Akhirnya marilah kita sama-sama berdoa semoga Allah Subhanahu Wata'ala memberikan petunjuk, hidayah dan rahmat-Nya kepada kita dan semoga kehidupan kita di dunia ini sentiasa berada di landasan yang benar dan diredhai Allah agar kita mendapat kehidupan yang selamat dan bahagia di hari akhirat. Amin Ya Rabbal Alamin.

Surah Al Kahfi ayat 107 - 108 :

Tafsirnya : "Sesungguhnya orang-orang yang beriman dan mengerjakan amalan-amalan soleh adalah bagi mereka syurga-syurga Firdaus sebagai tempat tinggal mereka, mereka kekal di dalamnya, mereka tidak ingin berpindah daripadanya."

 

Seterusnya...

Ramalan Cuaca

Untuk maklumat lanjut Ramalan Cuaca bagi Negara Brunei Darussalam sila layari www.met.gov.bn

Login or Register

LOG IN

Register

User Registration
or Cancel