A+ A A-

 seruan suci

MARILAH kita meningkatkan ketakwaan kita kepada Allah Subhanahu Wata'ala dengan penuh keyakinan dan keikhlasan dengan melakukan segala suruhan-Nya dan meninggalkan segala larangan-Nya. Mudah-mudahan kita menjadi insan yang beriman dan bertakwa serta selamat di dunia dan selamat di akhirat.

Firman Allah Subhanahu Wata'ala dalam Surah Ali 'Imran ayat 185, tafsir-Nya :

"Tiap-tiap yang bernyawa akan merasai mati. Dan sesungguhnya pada hari kiamat sahajalah akan disempurnakan balasan kamu. Oleh itu, sesiapa yang dihindarkan daripada neraka dan dimasukkan ke dalam syurga maka sesungguhnya dia telah berjaya. Dan tiadalah kehidupan di dunia melainkan hanyalah kesenangan yang memperdayakan."

Sesungguhnya kehidupan di dunia ini hanyalah sementara dan akhirat jugalah tempat yang kekal abadi. Bagi mendapatkan yang baik di akhirat kelak, kita hendaklah membuat persiapan sebagai bekal semasa hidup di dunia ini. Apabila kematian sudah tiba, maka terputuslah peluang tersebut. Oleh itu kita hendaklah memanfaatkan usia yang telah diberikan oleh Allah Subhanahu Wata'ala untuk meningkatkan amal ibadat, melakukan amal-amal soleh dan berkebajikan, serta memperbanyakkan mengingati mati agar kita tidak leka dengan kehidupan di dunia yang melalaikan dan mengasyikkan ini.

Dalam Islam kita disunatkan untuk memperbanyakkan mengingati mati. Dalam Kitab Mau'izhatul Mu'minin min Ihya' Ulumiddin ada menyatakan manusia itu terbahagi kepada tiga golongan.

Golongan pertama ialah golongan yang tidak mengingati mati, bahkan sangat jauh daripada mengingatinya dan lebih sibuk dengan urusan keduniaan.

Golongan kedua pula ialah golongan yang banyak mengingati mati untuk menimbulkan rasa takut dan gerun supaya dia lebih banyak bertaubat. Golongan ini kadang-kadang dikatakan tidak menyukai mati kerana merasa takut kalau-kalau dia tidak sempat untuk bertaubat sepenuhnya, di samping mahu menambah kebaikan dan meningkatkan bekalan ke akhirat.

Golongan ketiga pula ialah mereka yang sangat menantikan saat-saat kematian itu, kerana merasa rindu untuk bertemu dengan Tuhan Yang Maha Pencipta, Allah Subhanahu Wata'ala.

Ketahuilah bahawa mengingati mati mempunyai banyak kelebihannya, antaranya dapat menimbulkan keinsafan dalam jiwa dan seterusnya menjadikan seseorang itu semakin tekun beribadah kepada Allah Subhanahu Wata'ala dan meninggalkan apa jua perbuatan mungkar dan berdosa. Mereka inilah yang Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam katakan sebagai orang yang bijak, sebagaimana sabda Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam ketika Baginda ditanya oleh orang-orang Ansar berkenaan siapakan di kalangan orang Mukmin yang lebih bijak (jauh pandangannya)? Baginda menjawab yang maksudnya : "Mereka yang paling banyak mengingati mati dan yang paling baik persediaannya untuk menghadapi perkara sesudah mati. Mereka itulah yang paling bijak." (hadis riwayat Ibnu Majah).

Kematian adalah perkara yang sangat besar dan dahsyat serta menakutkan. Merenungkannya pasti dapat membuat manusia menjauhkan diri dari dunia, tidak banyak bersenang-senang dan mendorongnya untuk segera bersiap-siap menghadapi kematian. Kematian adalah pemutus, yang memisahkan manusia dari kehidupan, meninggalkan segala yang dimiliki, tiada harta dan tiada teman, dibalut dengan kain putih dan tinggallah mereka itu di dalam tanah yang penuh dengan kegelapan dan bersendirian. Adakah kita sudah bersedia untuk menghadapi kematian?

Kematian boleh datang menjemput pada bila-bila masa, entah esok atau lusa , tiada siapa yang tahu kecuali Allah Subhanahu Wata'ala. Jangan sangka dengan kesihatan yang baik, umur masih muda maka ajal belum akan tiba. Berapa ramai orang yang kita kenal telah meninggal dunia, ada yang mati kerana sakit, ada yang mati kerana kemalangan, ada yang mati dalam tidur, bahkan ada yang masih muda usianya. Oleh itu janganlah kita lalai dengan dunia, leka dengan kesenangan dan sentiasalah mengingati mati.

Dalam Kitab Mau'izhatul Mu'minin min Ihya' Ulumiddin bahawasanya Tsabit Al-Bunani ada berkata : Pada masa yang lalu, tatkala kami menyaksikan jenazah di situ ada sahaja orang-orang yang terharu dan menangis. Sebab yang demikian ialah kerana mereka amat takut akan mati. Tetapi sekarang bila kami menyaksikan sekumpulan orang yang hadir di rumah-rumah yang ada kematian, kami kerap pula menyaksikan orang-orang itu bergelak ketawa, berbual-bual kosong atau membicarakan tentang harta kekayaan orang yang mati itu dan berapa banyak pula ahli waris yang ditinggalkannya. Para ahli waris turut memikirkan cara-cara bagaimana mereka akan mendapatkan harta yang ditinggalkan oleh orang yang mati itu. Tiada ada seorang pun yang mahu memikirkan tentang dirinya bila pula ia akan mati dan diletakkan di dalam keranda seperti orang yang mati itu, lalu di usung menuju kubur.

Dalam sebuah hadis yang diriwayatkan dari Imam Al-Baihaki ada menceritakan bahawa pada suatu hari Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam keluar dari masjid dan Baginda mendapati sekelompok orang sedang berbicara dan tertawa gembira. Lalu Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam mengingatkan mereka tentang kematian, bahawa jika mereka mengetahui seperti apa yang Baginda ketahui tentang kematian, sudah tentu mereka akan lebih banyak menangis daripada ketawa.

Oleh yang demikian, ambillah iktibar daripada kisah-kisah tersebut agar kita sentiasa ingat kepada kematian dan tidak lalai dengan
kehidupan di dunia.

Sakaratul maut itu adalah suatu perkara yang sangat menyakitkan. Diceritakan dalam Kitab Mukhtashar Ihya Ulumuddin bahawa ketika seseorang mengalami sakaratul maut, teriakan dan suaranya tersekat-sekat disebabkan rasa sakit yang begitu dahsyat yang telah menjalar ke hati dan bersemayam di sekujur tubuh sehingga melemahkan seluruh kekuatannya, dan pada akhirnya ia tidak mampu lagi untuk memohon pertolongan. Saat itu, kemampuan akal telah lumpuh dan kacau bilau, lidah menjadi kelu dan kaku, seluruh organ tubuh menjadi lemah terkulai. Dadanya telah berubah warna dan terbujur kaku, lalu mulailah roh dicabut dari seluruh persendiannya kemudian semua anggota tubuh menjadi mati perlahan-lahan. Mula-mula kedua kakinya menjadi dingin, lalu betis dan pehanya. Apabila roh sampai ketenggorokannya, ketika itu terputuslah pandangannya dari dunia dan penghuninya serta tertutuplah pintu taubat baginya.

Oleh itu segeralah bertaubat kepada Allah Subhanahu Wata'ala sebelum ajal tiba.

Firman Allah Subhanahu Wata'ala dalam Surah An Nisaa', ayat 18 :

"Dan tidak diterima taubat orang-orang yang selalu melakukan kejahatan hingga apabila salah seorang daripada mereka hampir mati, berkatalah ia : Sesungguhnya aku bertaubat sekarang ini. Sedang taubatnya itu sudah terlambat. Dan tidak pula diterima taubat orang-orang mati sedang mereka di dalam kekafiran bagi mereka kami sediakan azab yang pedih."

Wahai saudara-saudara sekalian, sentiasalah mengingati mati. Terdapat berbagai langkah yang boleh dilakukan agar kita mengingati mati itu berkesan di dalam hati sehingga dapat menjadikannya Mukmin yang lebih beriman dan bertakwa kepada Allah Subhanahu Wata'ala. Antaranya ialah dengan muhasabah diri, membayangkan saat-saat kematian, membayangkan keadaan diri apabila berada di dalam kubur, membayangkan seksaan-seksaan dan azab ketika di dalam kubur, membaca kisah-kisah atau cerita berkaitan dengan kematian, menziarahi kubur dan sebagainya. Selain itu sentiasalah kita berdoa semoga mendapat Husnul Khatimah iaitu pengakhiran yang baik dan semoga dijauhkan dari Suul Khatimah iaitu pengakhiran yang buruk. Orang Mukmin yang mendapat Husnul Khatimah sangatlah beruntung.

Ajal datang tanpa amaran, tanpa mengira waktu dan usia, oleh itu berusahalah untuk menjadi umat Islam yang beriman dan bertakwa dengan mendekatkan diri kepada Allah Subhanahu Wata'ala, melaksanakan perintahnya dengan ikhlas dan sempurna seperti sembahyang, puasa, zakat dan sebagainya. Memperbanyakkan amalan yang sunat seperti berzikir, berdoa, bersedekah dan sebagainya serta jauhilah dari perbuatan yang dilarang dan berdosa.

Akhirnya marilah kita sama-sama berdoa semoga hidup kita dan keluarga kita terhindar dari kelalaian dan kemaksiatan serta semoga kita semua mendapat Husnul Khatimah dan amal ibadat kita diterima oleh Allah Subhanahu Wata'ala. Amin Ya Rabbal Alamin.

Surah Ali 'Imran, ayat 145, tafsir-Nya :

"Dan setiap yang bernyawa tidak akan mati melainkan dengan izin Allah sebagai satu ketetapan yang tertentu masanya. Dan sesiapa yang menghendaki ganjaran dunia, Kami berikan kepadanya sebahagian ganjaran dunia itu dan sesiapa yang menghendaki ganjaran akhirat, Kami berikan pula kepadanya ganjaran akhirat itu. Dan kami akan memberi ganjaran pahala kepada orang-orang yang bersyukur."

Seterusnya...

Ramalan Cuaca

Untuk maklumat lanjut Ramalan Cuaca bagi Negara Brunei Darussalam sila layari www.met.gov.bn

Login or Register

LOG IN

Register

User Registration
or Cancel