A+ A A-

seruan

MARILAH kita meningkatkan ketakwaan kita kepada Allah Subhanahu Wata’ala dengan penuh keyakinan dan keikhlasan dengan melakukan segala suruhan-Nya dan meninggalkan segala larangan-Nya. Mudah-mudahan kita menjadi insan yang beriman dan bertaqwa serta selamat di dunia dan selamat di akhirat.


Sesungguhnya kita hidup di dunia ini sentiasa dikurniakan nikmat yang tidak terkira banyaknya dari Allah Subhanahu Wata'ala, sebagaimana firman Allah Subhanahu Wata'ala dalam Surah Al-Nahl ayat 18 :


Tafsirnya : ''Dan jika kamu menghitung nikmat Allah tentulah kamu tidak dapat menghitung banyaknya. Sesungguhnya Allah adalah Maha Pengampun lagi Maha Pengasih''.


Kita sebagai rakyat dan penduduk di negara ini yang berlindung di bawah naungan Kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan menurut sistem pemerintahan beraja dari sejak dahulu lagi hinggalah sekarang adalah menikmati kehidupan yang aman dan sentosa serta harmoni.


Oleh yang demikian, kita patut bersyukur ke hadrat Allah Subhanahu Wata'ala kerana di zaman era globalisasi yang penuh dengan persaingan, pergolakan ini, kesejahteraan rakyat dan kedaulatan negara kita sentiasa terpelihara, aman dan sejahtera di bawah pemedulian dan keprihatinan raja yang sentiasa mengutamakan kebajikan, keharmonian dan kesejahteraan hidup bernegara dan bermasyarakat, dengan sentiasa menitikberatkan ajaran Islam dan hukum-hukum Allah dalam pembentukan dasar pentadbiran, dan undang-undang negara mengikut Ahli Sunnah Waljamaah Mazhab Syafie.


Negara Brunei Darussalam telah dikenali sebagai sebuah negara yang mempunyai sistem pemerintahan yang tersendiri. Sistem pemerintahan ini telah terbukti menghasilkan pembangunan dan berjaya mencipta keamanan, perpaduan dan kemakmuran. Maka adalah menjadi tanggungjawab kita untuk menjaga dan mengekalkan keamanan ini. Adapun antara cara untuk mengekalkannya adalah dengan bersyukur ke hadrat Allah Subhanahu Wata'ala kerana syukur itulah pegangan segala nikmat dan keberkatan. Tanpa syukur, nikmat tidak akan bertahan lama dan akhirnya akan hilang. Firman Allah Subhanahu Wata'ala dalam Surah Ibrahim ayat 7 :


Tafsirnya : ''Dan ingatlah ketika Tuhan kamu memberitahu dengan sejelas-jelasnya : Demi sesungguhnya jika kamu bersyukur terhadap segala nikmatKu tentu Aku akan menambah nikmat itu kepada kamu dan demi sesungguhnya jika kamu kufur terhadap nikmat itu maka sesungguhnya azabKu sangat keras''.


Selain itu, untuk mengekalkan keamanan dan kemakmuran di negara ini, kita juga jangan mudah percaya dan terikut-ikut dengan pendapat dan fahaman yang datang dari luar kerana ia boleh memecahbelahkan perpaduan kita di negara ini. Contohnya ada pendapat yang menyatakan bahawa apa-apa yang tidak pernah dilakukan oleh Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam atau yang ditinggalkan Baginda (At Tarku), maka kita tidakboleh melakukannya kerana ia adalah Bid'ah Dhalalah, iaitu perkara yang dibuat-buat yang sesat.


Ketahuilah wahai kaum Muslimin, pendapat sebegini secara tidak langsung telah menyempitkan roh atau semangat syariat Islam yang bersifat syumul yakni menyeluruh serta fleksibel asalkan tidak berlawanan dengan dasar serta tujuan syariat dan akidah yang betul.


Para ulama Usul Fiqh pernah mengatakan: At Tarku la yantajju hukma. Maksudnya: At Tarku tidak menatijahkan hukum.Mereka juga menyatakan : At Tarku la yaktadhi tahrimah. Maksudnya : Al Tarku tidak semestinya menunjukkan keharamannya.


Tegasnya, sesuatu perkara tidak dibuat atau dilakukan oleh Baginda Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam tidak bermakna ia haram kecuali ada dalil atau keterangan hukum yang mengharamkannya. Maka demikianlah halnya amalan-amalan keugamaan yang dilakukan oleh orang-orang Islam seperti perayaan Maulud Nabi, Nuzul Al-Qur'an, Sambutan Awal Tahun Hijrah yang antaranya berjemaah membaca Doa Akhir Tahun dan Awal Tahun, Sambutan Memperingati Peristiwa Israk dan Mikraj, adalah diharuskan, apatah lagi hikmat mengadakannya itu adalah baik yang antaranya ialah bagi meningkatkan kesedaran beragama dan mensyiarkan ajarannya.


Seterusnya faedah-faedah ini bermaksud suatu amalan yang tidak dilakukan oleh nabi, tidak semestinya haram atau tidak boleh dilakukan. Jika tidak terdapat nas yang menunjukkan haram atau halalnya suatu perkara, hukumnya adalah harus atau bukan haram atau Bid'ah Dhalalah (sesat). Suatu perkara itu hanya haram atau tidak boleh dilakukan jika ancaman berupa seksaan seandainya dilakukan, jika amalan itu dikecam oleh syara', jika ada hukuman disediakan seandainya amalan itu dilakukan, dan jika ada lafaz yang mengharamkan perkara atau amalan tersebut.


Cuba kita renung firman Allah Subhanahu Wata'ala dalam Surah Al-Hasyr ayat 7 :


Tafsirnya : ''Dan apa jua suruhan yang diberikan oleh Rasulullah kepada kamu maka terimalah (amalkanlah) dan apa jua yang kamu dilarang melakukannya maka tinggalkanlah''.


Ayat ini tidak menyebutkan ''dan apa yang ditinggalkan oleh Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam, maka hendaklah kamu meninggalkannya''.


Begitu juga sabda Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam :


Maksudnya : ''Dari Abu Hurairah Radhiallahuanha, dari Nabi Sallallahu Alaihi Wasallam Baginda bersabda : ''Apabila aku melarang kamu dari melakukan sesuatu, maka jauhilah ia. Dan apabila aku menyuruh kamu melakukan sesuatu, maka lakukanlah apa yang kamu mampu''.


Dalam hadis tersebut Baginda tidak menyatakan, ''dan apabila aku tidak melakukan sesuatu, maka jauhilah ia''. Akan tetapi Nabi hanya disentuh melakukan apa yang Baginda suruh dan meninggalkan apa yang Baginda larang. Ini menunjukkan apa yang Baginda tidak lakukan, selagi ia bukan perkara dosa, maka kita tidak dilarang dari melakukannya seperti amalan bertahlil, Maulidur Rasul dan sebagainya.


Perkara menyuruh meninggalkan perbuatan-perbuatan yang baik dengan alasan Rasululah Sallallahu Alaihi Wasallam tidak pernah melakukannya itu pernah dititahkan oleh Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam sempena Majlis Haflut Takharruj Kelima Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA) pada 4 Muharam 1437 Hijrah bersamaan 17 Oktober 2015 Masihi, antara titah baginda : ''Atas nama agama, orang suka membawa isu-isu baru, misalnya, untuk menyangkal sesuatu perkara itu sebagai tidak ada dalam agama atau ianya tidak pernah disebut dan dibuat oleh nabi, maka disarankanlah supaya ianya dibuang atau tidak payah dipakai lagi. Beta melihat, pendapat seperti ini datangnya daripada orang-orang baru, yang kadang-kadang imej mereka adalah imej ulama, tetapi tidak beretika dengan etika ulama''.


Selanjutnya baginda menegaskan bahawa, ulama yang muktabar tidaklah secelupar itu. Mereka masih saja terikat untuk menghargai apa-apa yang baik, walaupun bukan dari hadis. Kerana itu mereka menyediakan dua faedah atau sistem nilai : pertama : mana-mana perkara buruk yang tidak ada dalam hadis, perkara tersebut akan dikategorikan sebagai : Bid'ah Sayyi'ah (perkara baru yang buruk yang sayugia jangan dilakukan), dan kedua : mana-mana perkara yang baikwalaupun ia bukan dari hadis, maka perkara itu akan dikategorikan sebagai Bid'ah Hasanah (perkara baru yang baik dan malah jika dibuat boleh mendatangkan pahala).


Faedah ulama muktabar yang cantik dan sempurna ini, beta ingin tegaskan, hendaklah dipegang dan dipakai terus oleh UNISSA dan lain-lain pihak di negara ini. Adapun faedah-faedah baru yang berlawanan dengan faedah ulama muktabar adalah tidak berkenaan dengan kita''.


Sama-samalah kita mensyukuri segala nikmat dan rahmat yang telah dikurniakan Allah Subhanahu Wata'ala ke atas negara kita yang tercinta ini terutama sekali nikmat persefahaman dalam mengamalkan ajaran agama, dengan berpandukan kefahaman yang betul agar keamanan, perpaduan dan ketenteraman yang kita nikmati selama ini akan berkekalan selamalamanya. Di samping itu, janganlah kita mudah mempercayai dan mengikut anasir-anasir yang cuba memecahbelahkan keharmonian kita bernegara dan beragama. Kita berdoa semoga negara kita sentiasa terhindar daripada perselisihan dan akan sentiasa berpegang teguh kepada amalan-amalan baik dalam agama dengan cara bersatu padu dalam bernegara dan beragama. Amin Ya Rabbal'alamin.


Firman Allah Subhanahu Wata'ala dalam Surah Al-Nahl ayat 114 :


Tafsirnya : ''Dan syukurilah nikmat Allah itu jika benar kamu hanya beribadat kepada-Nya''.

Seterusnya...

Ramalan Cuaca

Untuk maklumat lanjut Ramalan Cuaca bagi Negara Brunei Darussalam sila layari www.met.gov.bn

Login or Register

LOG IN

Register

User Registration
or Cancel