A+ A A-

seruan

MARILAH kita sama-sama meningkatkan keimanan dan ketakwaan kepada Allah Subhanahu Wata'ala, dengan melakukan segala suruhannya dan meninggalkan segala larangan-Nya. Mudahmudahan kita tergolong di kalangan hambahambanya yang sentiasa melaksanakan amar maaruf dan nahi mungkar dan mendapat keredhaan Allah Subhanahu Wata'ala serta selamat di dunia dan di akhirat.

Islam menuntut umatnya untuk mencari rezeki melalui jalan yang baik dan halal. Antara jalan mencari rezeki yang halal itu ialah berniaga. Dalam ajaran Islam ada menyatakan bahawa sembilan daripada sepuluh punca rezeki itu adalah bersumberkan daripada perniagaan. Berniaga adalah pekerjaan yang mulia di mana Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam sendiri juga sebelum dilantik menjadi rasul merupakan seorang peniaga, begitu juga dengan para sahabat Rasulullah, ramai di antara mereka adalah peniaga.

Dalam berniaga, salah satu ciri utama yang wajib diamalkan ialah bersifat amanah. Itulah yang diamalkan oleh Baginda Rasulullah ketika berniaga, sehingga perniagaan baginda mendapat keuntungan yang besar dan berlipat ganda. Baginda sentiasa bersifat amanah baik dalam hal kehidupan seharian mahupun dalam perniagaan, dan bersesuaianlah Baginda itu digelar Al Amin, iaitu orang yang amanah.

Sifat amanah adalah sangat penting kerana sifat tersebut akan memelihara seseorang peniaga dari melakukan perbuatan yang mungkar dan berdosa seperti melakukan penipuan, pengkhianatan seperti menjual barang yang telah rosak, tarikh luput yang telah mansuh, mengurangkan sukatan timbangan dan sebagainya. Dalam memperkatakan tentang perbuatan mengurangkan sukatan dan timbangan, perbuatan tersebut adalah dikira sebagai mengurangi hak manusia dan dilarang oleh Allah Subhanahu Wata'ala. Firman Allah Subhanahu Wata'ala dalam Surah Huud ayat 85 :

Tafsirnya : ''Dan wahai kaumku! Sempurnakanlah sukatan dan timbangan dengan adil, dan janganlah kamu kurangkan bagi manusia barang-barang (dan perkara-perkara yang menjadi hak) mereka dan janganlah kamu berbuat onar di muka bumi dengan bencana kerosakan.''

Sesungguhnya dalam surah tersebut juga ada diceritakan perihal Allah Subhanahu Wata'ala yang telah mengutus Nabi Syu'ib Alaihisalam kepada penduduk Madyan. Penduduk Madyan adalah kaum kafir yang menyembah berhala dan suka melakukan penipuan terutama dalam urusan perniagaan. Nabi Syu'ib mengajak mereka untuk beriman kepada Allah Subhanahu Wata'ala dan menyeru mereka agar meninggalkan penipuan dalam berniaga. Nabi Syu'ib menyuruh mereka untuk berlaku jujur dengan menyempurnakan sukatan, menimbang dengan cara yang betul, tidak mengurangi hak orang ramai dan tidak bermaharaja lela melakukan kerosakkan di muka bumi. Baginda juga sering mengingatkan kaumnya akan azab Allah Subhanahu Wata'ala dan menyuruh mereka supaya segera bertaubat. Dakwah dan ajaran Nabi Syu'ib disambut dengan ejekan dan cercaan dan mereka terus sahaja melakukan kemungkaran dan penipuan. Akhirnya Allah SubhanahuWata'ala menurunkan bala-bala ke atas kaum tersebut dengan mereka telah dibinasakan oleh satu tempikan suara yang kuat sehingga mereka pun menjadi mayat-mayat yang bergelimpangan di tempat tinggal mereka. Mereka hancur binasa seakan-akan mereka tidak pernah mendiami tempat itu. Dengan azab tersebut, binasalah kaum Madyan kecuali Nabi Syu'ib bersama orang-orang yang beriman. Oleh itu ambillah pengajaran dari kisah yang berlaku kepada kaum terdahulu yang musnah oleh azab Allah Subhanahu Wata'ala kerana mengingkari perintah Allah Subhanahu Wata'ala untuk beriman dan enggan meninggalkan perbuatan mungkar yang dilakukan.

Sesungguhnya orang yang jujur dalam berniaga dengan menyukat dan menimbang barangnya dengan sempurna akan mendapat ganjaran dari Allah Subhanahu Wata'ala antaranya ialah akan mendapat berkat dalam kehidupannya dan mendapat kebaikan di dunia dan di akhirat sebagaimana firman Allah Subhanahu Wata'ala dalam Surah Al Israa' ayat 35 :

Tafsirnya : ''Dan sempurnakanlah sukatan apabila kamu menyukat dan timbanglah dengan timbangan yang betul. Yang demikian itu baik (di dunia) dan lebih baik pula kesudahannya (di akhirat).''

Manakala orang yang tidak bersifat jujur dalam berniaga pula akan mendapat dosa, terkeluar daripada golongan umat Nabi MuhammadSallallahu Alaihi Wasallam, tiada memperolehi keberkatan hasil dari perniagaan yang dijalankannya itu dan dijanjikan pula dengan mendapat kecelakaan di akhirat kelak baik berupa azab yang amat pedih. Firman Allah Subhanahu Wata'ala dalam Surah Al-Muthaffifiin ayat 1-3 :

Tafsirnya : ''Kecelakaan besar bagi orang-orang yang curang dalam timbangan dan sukatan. Iaitu mereka yang apabila merima sukatan (gantang-cupak) dari orang lain mereka mengambilnya dengan cukup. Dan sebaliknya apabila mereka menyukat atau menimbang untuk orang lain, mereka kurangi.''

Dalam Kitab Azzawajir, diceritakan kisah seorang yang sakit menghadapi sakaratul maut, akan tetapi dia masih tidak dapat mengucapkan syahadah sekalipun telah dibimbing oleh seorang yang soleh. Apabila dia sedar (sembuh), orang soleh itu pun bertanya : ''Wahai saudaraku, mengapakah setelah aku bimbing engkau untuk mengucapkan syahadah, lidahmu masih tetap tidak dapat mengucapkannya?''. Lantas orang yang sakit itu menjawab : ''Wahai saudaraku, berat timbangan (Mizan) itu berada di atas lidahku dan itulah yang menghalangku daripada mengucapkan syahadah.''

Orang soleh itu pun bertanya lagi. ''Demi Allah!Apakah engkau telah mengurangi timbangan?''. Dia pun menjawab : ''Demi Allah! Tidak demikian! Akan tetapi apabila aku menimbang barang, aku sekadar menimbangnya seketika sahaja dan kurang mempedulikan jarum penimbang dengan tepat.'' Kisah ini memberi pengajaran bahawa jika kelalaian dan kecuaian yang dilakukan ketika menimbang barang pun mendapat balasan berat sedemikian rupa, maka bagaimanakah pula wahai para ahli Jumaat sekalian, bagi orang yang menimbangsengaja mengurangkan, menipu atau sengaja mengubah suai timbangan dengan maksud untuk melakukan penipuan dalam timbangan?.

Memang diakui bahawa manusia itu memiliki kekurangan dan tidak mustahil boleh sahaja terjadi pengurangan tanpa disenghajakan. Jika seseorang itu telah berusaha untuk menyempurnakan sukatan dan timbangan dengan baik, tetapi jika dia tersilap tanpa disenghajakan, maka tiadalah dia berdosa. Sungguhpun demikian, jika dia masih merasa was-was dan takut berlaku kecuaian yang tidak disenghajakan, maka Rasulullah Sallallahu Alaihi Wassalam telah mengajarkan sepertimana dalam sebuah hadis diriwayatkan oleh Qais Bin Ibnu Gharazat Radhiallahu Anhu, Baginda bersabda :

Maksudnya : ''Wahai para pedagang! Sesungguhnya syaitan dan dosa itu selalu mendatangi jual beli. Maka campurkanlah jual belimu dengan sedekah.''

Dari hadis tersebut jelas menunjukkan cara untuk mengelakkan dari sebarang kemungkinan berlaku kekurangan dalam sukatan atau timbangan, iaitu dengan menambah dan melebihkan sedikit dalam sukatan atau timbangan tersebut. Dengan tambahan dan lebihan tersebut, selamatlah para peniaga dari melakukan kesalahan pengurangan yang dilakukan secara tidak senghaja, dan jika pun ternyata sukatan atau timbangan itu sebenarnya telah mencukupi, maka tambahan itu akan menjadi sedekah. Bukankah ganjaran dari amalan sedekah itu sangat baik?. Maka dengan amalan tersebut, mereka bukan sahaja mendapat ganjaran yang baik dari amalan sedekah, bahkan juga mendapat kepercayaan dari pembeli dan orang ramai.

Berlaku jujur dalam berniaga itu bukan sahaja dari aspek menjaga sukatan dan timbangan sahaja. Ini kerana barang dagangan ada juga dijual dalam bentuk bungkusan, ikatan dan sebagainya. Maka peniaga yang berlaku jujur, sudah tentu tidak akan mencampur adukan barangan yang baik dengan barangan yang tidak baik atau sudah rosak. Berlaku jujur itu termasuklah juga menyatakan secara benar terhadap barang jualan tersebut. Semoga dengan sifat jujur tersebut, hasil pendapatan yang diperolehi akan menjadi lebih berkat.

Peniaga yang jujur dan amanah akan mendapat keuntungan di dunia dan di akhirat. Keuntungan tersebut walaupun sedikit, tetapi jika dilaksanakan dengan jalan yang halal, maka itu adalah lebih baik daripada mendapat keuntungan yang banyak tetapi dengan jalan yang haram di mana perbuatan tersebut hanya akan mengheret mereka ke dalam api neraka. Akhirnya, sama-samalah kita berdoa semoga kita semua akan terus belaku jujur dan amanah dalam kehidupan kita seharian, dengan itu kehidupan yang aman dan harmoni akan dapat dicapai dan dikecapi dan seterusnya berkat dan rahmat dari Allah SubhanahuWata'ala juga akan sentiasa dilimpahi ke atas kita semua. Amin Ya Rabbal Alamin.

Firman Allah Subhanahu Wata'ala dalam Surah Huud ayat : 67

Tafsirnya : ''Limpah kurnia (keuntungan yang halal daripada) Allah lebih baik bagi kamu (daripada harta yang haram walaupun banyak) jika benar kamu orang-orang yang beriman. Dan aku bukanlah penjaga kamu (tetapi hanyalah sebagai pemberi peringatan).''

Seterusnya...

Ramalan Cuaca

Untuk maklumat lanjut Ramalan Cuaca bagi Negara Brunei Darussalam sila layari www.met.gov.bn

Login or Register

LOG IN

Register

User Registration
or Cancel