A+ A A-

 seruan suci

MARILAH kita meningkatkan ketaqwaan kita kepada Allah Subhanahu Wata'ala dengan penuh keyakinan dan keikhlasan dengan melakukan segala suruhanNya dan meninggalkan segala larangan-Nya. Mudah-mudahan kita menjadi insan yang bertaqwa dan beriman serta selamat di dunia dan selamat di akhirat.

Sesungguhnya bulan Ramadan adalah bulan yang penuh dengan kemuliaan, bulan keberkatan dan bulan limpahan pahala, bahkan setiap amalan akan dilipatgandakan di bulan ini berbanding dengan bulan-bulan yang lain.

Alangkah ruginya jika kita tidak merebut peluang segala kelebihan dan kebajikan yang sangat istimewa yang terdapat dalam bulan Ramadan ini. Selaku umat Islam kita adalah dituntut untuk meningkatkan amal ibadah pada setiap masa, namun bulan Ramadan merupakan waktu terbaik untuk melipatgandakan amalan yang biasa dikerjakan. Antara amalan yang elok diperbanyakkan ialah amalan bersedekah.

Agama Islam sangat menggalakkan umatnya bersedekah dan menjadikannya sebagai budaya dan kebiasaan dengan cara memberikan bantuan sama ada berupa wang ringgit, makanan, pakaian dan sebagainya bagi membantu mereka yang dalam kesusahan dan yang sangat memerlukannya, lebih-lebih lagi ketika berlakunya bencana alam dan kemalangan seperti banjir, kebakaran, sakit, kematian dan sebagainya. Allah Subhanahu Wata'ala berfirman dalam Surah Al-Baqarah ayat 261 :

Tafsirnya : ''Perumpamaan nafkah yang dikeluarkan oleh orang-orang yang memanfaatkan pada jalan Allah adalah serupa dengan sebutir benih yang menumbuhkan tujuh butir, pada setiap-setiap butir seratus biji Allah melipatgandakan (ganjaran) bagi siapa yang dikehendaki. Dan Allah Maha Luas Kurnianya lagi Maha Mengetahui.''

Galakan bersedekah ini dikuatkan lagi dengan hadith Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam :

Maksudnya : "Sesungguhnya Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam merupakan manusia yang paling pemurah, dan Baginda itu lebih pemurah lagi dalam bulan Ramadan."

Amalan bersedekah banyak mendatangkan manfaat dan faedah, lebih-lebih lagi jika dilakukan di dalam bulan Ramadan yang penuh berkah ini. Antaranya bersedekah adalah menjadi jalan bagi seorang hamba mendekatkan dirinya kepada Allah Subhanahu Wata'ala, menambah keimanannya, menghapuskan dosa serta mendapat ganjaran pahala daripada Allah Subhanahu Wata'ala. Allah Subhanahu Wata'ala berfirman dalam Surah Al-Baqarah ayat 274 :

Tafsirnya : ''Orang-orang yang membelanjakan harta-harta mereka pada waktu malam dan siang dengan cara bersembunyi-sembunyi dan berterang-terangan maka bagi mereka ganjaran pahala di sisi Tuhan mereka dan tidaklah ada ketakutan atas mereka dan mereka pula tidak akan berdukacita.''

Dengan amalan bersedekah itu ia boleh membentuk akhlak yang luhur serta sifat yang mulia kepada pemberiannya, seperti melahirkan sifat pemurah, belas kasihan dan berlemah lembut terhadap saudaranya yang memerlukannya.

Bersedekah juga adalah jalan keluar bagi meringankan beban hidup golongan fakir dan miskin kerana kesusahan mereka diambil perhatian dan mendapat pembelaan sewajarnya.

Selain itu, dengan bersedekah dapat mengeratkan ukhuwah Islamiah, dapat menghilangkan rasa dengki dan iri hati golongan miskin terhadap golongan kaya serta dapat mengurangkan jurang perbezaan antara mereka.

Alhamdulillah, di negara kita banyak peluang untuk menghulurkan sedekah seperti melalui khidmat pesanan ringkas (SMS), tabung-tabung kutipan derma yang telah diletakkan di tempat-tempat khusus di seluruh negara dan seumpamanya. Di antara tabung yang dibukakan pada masa ini ialah, Tabung Dana Pengiran Muda Mahkota Al-Muhtadee Billah Untuk Anak-Anak Yatim, Tabung Dana Bagi Pembinaan Masjid, Tabung Anak-Anak Yatim Kebangsaan, Tabung Kemanusiaan Bencana Gempa Bumi Nepal, iaitu bagi orang ramai untuk sama-sama menghulurkan sedekah seangkat-angkat hati mengikut kemampuan masing-masing.

Marilah kita mewujudkan suasana masyarakat yang sentiasa prihatin terhadap kesusahan orang lain, di samping memupuk budaya suka menghulurkan bantuan melalui sedekah. Selaku ibu bapa dan penjaga kita mestilah menjadi contoh teladan kepada anak-anak. Ajar dan didiklah anak-anak supaya sayang kepada anak-anak yatim, orang-orang tua dan fakir miskin dengan menghulurkan sedekah kepada mereka, mendermalah kepada Tabung Dana Bagi Pembinaan Masjid yang ganjarannya adalah begitu besar sekali. Dengan cara itu akan tumbuhlah dalam jiwa mereka rasa kasih sayang, suka menolong serta menjauhkan diri mereka dari sifat-sifat negatif.

Selain daripada itu, buangkanlah sifat bakhil atau kedekut dalam menghulurkan bantuan kepada mereka yang memerlukannya. Tunjukkanlah sifat-sifat pemurah terhadap ahli keluarga dengan cara sentiasa mengambil berat dan menunjukkan contoh teladan yang baik kepada mereka. Melalui contoh yang baik yang ditunjukkan itu akan memberikan kesan yang mendalam terhadap pembinaan jiwa dan sahsiah anak-anak. Hasilnya maka akan lahirlah masyarakat yang harmoni, berkasih sayang dan hidup dalam aman dan damai.

Akhirnya, marilah kita menghulurkan sedekah dengan ikhlas kepada orang susah, fakir dan miskin, mendermalah kepada tabung masjid, tolonglah pesakit dengan mendermakan darah, bantulah anak-anak yatim dan sumbangkanlah wang ringgit kita mengikut kemampuan masing-masing lebih-lebih lagi semasa kita berada di bulan Ramadan yang penuh keberkatan ini. Mudah-mudahan segala amal jariah yang kita lakukan akan diterima oleh Allah Subhanahu Wata'ala. Amin ya rabbal alamin.

Firman Allah Subhanahu Wata'ala dalam Surah Al-Baqarah ayat 265 :

Tafsirnya : "Dan perumpamaan orang-orang yang membelanjakan harta-harta mereka kerana mengharapkan keredhaan Allah dan kerana keyakinan yang teguh daripada jiwa mereka samalah seperti sebuah kebun di tanah tinggi yang subur, yang ditimpa hujan lebat lalu mengeluarkan hasilnya dua kali ganda banyaknya. Jika sekiranya ia tidak ditimpa hujan yang lebat maka dengan hujan renyai-renyai pun memadai. Dan Allah Maha Melihat apa yang kamu kerjakan."

Seterusnya...

Ramalan Cuaca

Untuk maklumat lanjut Ramalan Cuaca bagi Negara Brunei Darussalam sila layari www.met.gov.bn

Login or Register

LOG IN

Register

User Registration
or Cancel