A+ A A-

logo seruan suci 04042015

MARILAH kita meningkatkan ketaqwaan kita kepada Allah Subhanahu Wata'ala dengan penuh keyakinan dan keikhlasan dengan melakukan segala suruhan-Nya dan meninggalkan segala larangan-Nya. Mudah-mudahan kita menjadi insan yang beriman dan bertaqwa serta selamat di dunia dan selamat di akhirat.

Sesungguhnya Allah Subhanahu Wata'ala itu Maha Pengasih dan Maha Penyayang kepada hamba-hamba-Nya dengan melimpahkan nikmat yang tidak terkira banyaknya. Selaku hamba Allah yang mengaku beriman kepada-Nya, maka kita wajiblah bersyukur di atas anugerah tersebut. Antara anugerah Allah Subhanahu Wata'ala yang amat berharga kepada kita ialah anak. Anak merupakan amanah Allah Subhanahu Wata'ala kepada kita, maka kita hendaklah menjaga, memelihara dan mendidiknya dengan sebaik-baiknya. Firman Allah Subhanahu Wata'ala dalam Surah At Tahriim ayat 6:

Tafsirnya : “Wahai orang-orang yang beriman! Peliharalah diri kamu dan keluarga kamu daripada api neraka yang bahan-bahan bakarnya ialah manusia (orang kafir) dan batu-batu berhala, penjaganya ialah malaikatmalaikat yang kasar lagi keras layanannya, mereka tidak menderhaka kepada Allah terhadap apa jua yang diperintahkan-Nya kepada mereka dan mereka pula tetap melakukan apa yang diperintahkan.”

Ibu bapa adalah bertanggungjawab memelihara dan mendidik anak-anak dengan ilmu pengetahuan. Ilmu pengetahuan adalah suatu yang sangat penting dalam kehidupan manusia, kerana itu Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam bersabda:

Maksudnya : “Dari Anas bin Malik ia berkata : sabda Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam : Menuntut ilmu adalah satu kefardhuan ke atas setiap Muslim.” (Riwayat Al-Imam Ibnu Majah)

Tanpa ilmu pengetahuan, hidup manusia seperti dalam kegelapan kerana ilmu itu adalah cahaya yang menerangi kehidupan. Tanpa ilmu, kehidupan manusia tidak akan maju dan tanpa ilmu juga manusia tidak akan dapat membezakan antara kebenaran dengan kebathilan. Dengan ilmu sahajalah seseorang akan terselamat dari tipu daya syaitan.

Firman Allah Subhanahu Wata'ala dalam Surah Al-Baqarah ayat 269:

Tafsirnya : “Dia (Allah) memberikan hikmah kepada sesiapa yang dikehendaki-Nya, dan sesiapa yang diberikan hikmah itu, maka sesungguhnya Dia telah diberikan kebajikan yang banyak. Dan tiadalah yang dapat mengambil pengajaran melainkan orang-orang yang mempunyai akal yang dapat memikir dan memahaminya.”

Walaupun pendidikan itu bermula dari rumah, akan tetapi dalam konteks yang ada pada hari ini, salah satu usaha memberikan pendidikan yang baik dan sempurna kepada anak-anak ialah dengan menghantar mereka ke sekolah dengan harapan agar anak-anak dapat mempelajari ilmu-ilmu dunia dan akhirat, dan dengan kedua-dua ilmu ini nanti anak-anak akan menjadi manusia yang berguna kepada agama, bangsa dan negara.

Wawasan 2035 menggariskan hasrat negara untuk melahirkan warganegara yang berkemahiran dan berpendidikan tinggi dan akan dikenali sebagai sebuah negara yang mempunyai sumber manusia yang berilmu, berkemahiran dan bertemadun tinggi. Ke arah ini, tumpuan kepada pengukuhan pembelajaran di peringat rendah merupakan tumpuan utama dalam pendidikan. Kementerian Pendidikan pada ketika ini aktif memberi sokongan kepada para pemimpin sekolah melalui pemberian hak dan kuasa dalam aspek kokurikulum, penilaian dan sumber pengajaran dan pembelajaran demi kepentingan meningkatkan kesan pembelajaran untuk para pelajar.

Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam sempena Tahun Baru Masihi 2015, telah bertitah dan menetapkan sekurang-kurangnya 90% pelajar mencapai gred A-C dalam Penilaian Sekolah Rendah menjelang tahun 2017.

Dalam usaha untuk memperkemas dan memastikan tahap kedatangan murid-murid ke sekolah adalah konsistan, Kementerian Pendidikan telah menetapkan sasaran 95% kehadiran sekolah bagi semua pelajar mulai 10 Februari 2015.

Apa yang mendukacitakan, terdapat sebilangan ibu bapa yang tidak menghantar anak-anak mereka ke sekolah lebih-lebih lagi setelah selesai ujian atau peperiksaan dan terdapat juga sebilangan ibu bapa mencutikan anak mereka terlalu awal seperti dua atau tiga hari sebelum cuti persekolahan dan lebih buruk lagi mencutikan anak-anak mereka selepas musim persekolahan berjalan dengan alasan hendak melancong keluar negeri dan bermacam-macam lagi alasan.

Perkara ini adalah amat dikesali, kerana walaupun peperiksaan atau ujian sudah selesai anak-anak mestilah hadir ke sekolah. Perkara seperti ini sedikit sebanyak boleh menjejaskan peratus kehadiran anak-anak ke sekolah.

Bagi memastikan para pelajar menghadiri sesi persekolahan secara berterusan, Kementerian Pendidikan akan terus berusaha memantapkan pelaksanaan Akta Pendidikan Wajib 2007 agar tidak ada pelajar yang tercicir daripada memasuki persekolahaan peringkat rendah dan menengah dalam tempoh penguatkuasaan Pendidikan Wajib tersebut.

Perintah Pendidikan Wajib yang telah dikuatkuasakan sejak tahun 2007, dan dipinda pada tahun 2011 serta perintah pendidikan agama wajib 2012 adalah usaha negara melalui Kementerian Pendidikan dan Kementerian Hal Ehwal Ugama untuk memastikan semua kanak-kanak menghadiri persekolahan dan pendidikan agama.

Kehadiran para pelajar dipantau rapi melalui sistem bersepadu kebangsaan pendidikan maklumat. Pelajar-pelajar yang tidak hadir berulang kali dan berterusan sedang diusahakan untuk dikenal pasti puncanya dan pilihan-pilihan pendekatan yang bersesuaian akan diterapkan dan dilaksanakan bagi membantu mereka untuk hadir ke sekolah secara berterusan.

Antara usaha yang dilaksanakan dalam membantu para pelajar yang menghadapi cabaranuntuk hadir ke sekolah itu ialah menyediakanbantuan kemudahan asrama dan pengangkutan kepada para pelajar Tahun 6. Di samping itu, kemudahan pengangkutan juga disediakan bagipara pelajar yang dikenal pasti memerlukannya untuk mengikuti kelas-kelas tambahan di luar waktu sekolah.

Dengan adanya perintah pendidikan ini menunjukkan betapa gigihnya pihak kerajaan untuk menghasilkan modal insan yang boleh membawa negara ke tahap pembangunan yang lebih baik dan berkesan serta kehidupan bermasyarakat yang lebih sempurna.

Oleh yang demikian, adalah disarankan dan diperingatkan kepada para ibu bapa dan semuapihak agar memberikan kerjasama dalam melaksanakan amanah dan tanggungjawab ini supaya dengannya Wawasan Negara 2035 akandapat dicapai. Maka ibu bapa atau penjaga hendaklah memberi dorongan dan memastikan agar anak-anak sentiasa hadir ke sekolah supaya mereka dapat mengikuti pembelajaran dengan lebih baik dan berkesan.

Sama-samalah kita berdoa semoga kita semua tergolong dalam kalangan orang-orang yang dianugerahkan ilmu pengetahuan oleh Allah Subhanahu Wata'ala dan seterusnya akan mendapat kejayaan hidup di dunia dan di akhirat. Amin Ya Rabbal'alamin.

Firman Allah Subhanahu Wata'ala dalam Surah Al-Mujaadalah ayat 11:

Tafsirnya: “Allah meninggikan orang-orang yang beriman antara kamu dan orang-orang yang diberi ilmu pengetahuan agama beberapa darjat. Dan Allah Maha Teliti terhadap apa yang kamu kerjakan.”

Seterusnya...

Ramalan Cuaca

Untuk maklumat lanjut Ramalan Cuaca bagi Negara Brunei Darussalam sila layari www.met.gov.bn

Login or Register

LOG IN

Register

User Registration
or Cancel