A+ A A-

irsyad

Keluaran Ketiga

Kedudukan Anak Yang Berbakti Kepada Orang Tua

RASULULLAH Sallallahu Alaihi Wasallam ada bersabda dalam sebuah hadis mengenai seorang sahabat yang mempunyai kedudukan yang tinggi di sisi Allah sehingga kisah sahabat itu telah dikhabarkan oleh Baginda Sallallahu Alaihi Wasallam kepada Sayyidina Umar al-Khattab Radhiallahuanhu. Orang yang dimaksudkan itu ialah Uwais bin Amir Al Qarni Radhiallahuanhu.

Kisah Uwais bin Amir Al Qarni Radhiallahuanhu boleh dijadikan iktibar dan pengajaran kerana baktinya kepada orang tuanya. Dia mempunyai kedudukan tinggi di sisi Allah Ta'ala dan merupakan salah seorang yang doanya mustajab sehingga Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam sendiri mengakuinya.

Kisahnya bermula dari pertemuannya dengan Umar bin Al Khattab Radhiallahuanhu. Ketika Umar bin Al Khattab didatangi oleh serombongan pasukan dari Yaman, dia pun bertanya kepada mereka : ''Adakah di kalangan kamu yang bernama Uwais bin Amir?'', sehinggalah Umar bertemu dengan Uwais, lalu Umar mendekati Uwais dan bertanya lagi : ''Adakah engkau benar-benar Uwais bin Amir?'' Uwais pun menjawab : ''Ya.'' Umar bertanya lagi : ''Benar engkau dari Murad dan Qaran?'' Uwais menjawab : ''Ya.'' 'Umar bertanya lagi : ''Adakah engkau memiliki penyakit kulit, tetapi sudah sembuh kecuali hanya yang tinggal sebesar satu dirham?'' Uwais menjawab : ''Ya.'' Umar bertanya lagi : ''Benar engkau mempunyai seorang ibu? ''Uwais menjawab : ''Ya.''

Umar berkata : "Aku mendengar Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam bersabda : ''Nanti akan datang seseorang bernama Uwais bin Amir bersama serombongan kumpulan dari Yaman. Dia berasal dari Murad dan Qaran. Dia memiliki penyakit kulit kemudian sembuh darinya kecuali sebahagian kecil sebesar satu dirham. Dia ada seorang ibu dan dia sangat berbakti padanya. Seandainya dia berdoa kepada Allah, maka akan diperkenankan apa yang dipohonkannya. Jika engkau mampu agar dia mahu memintakan kepada Allah supaya engkau diampuni, mohonlah kepadanya supaya dia memohonkan keampunan kepada Allah bagimu."

Umar pun bertanya pada Uwais : ''Engkau hendak ke mana?'' Uwais menjawab : ''Kufah.'' Umar pun berkata : ''Tidakkah engkau mahu aku menulis surat kepada penguasanya?'' Uwais menjawab : ''Aku lebih suka menjadi orang yang lemah (miskin).''

Tahun berikutnya, ada seseorang dari kalangan terhormat dari mereka pergi berhaji dan dia bertemu Umar. Umar pun bertanya tentang Uwais. Orang yang terhormat tersebut menjawab, ''Aku tinggalkan Uwais dalam keadaan rumahnya miskin dan barang-barangnya sedikit.'' Umar pun berkata, aku mendengar Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam bersabda : ''Nanti akan datang seseorang bernama Uwais bin Amir bersama serombongan kumpulan dari Yaman. Dia berasal dari Murad kemudian dari Qaran. Dia memiliki penyakit kulit kemudian sembuh darinya kecuali sebahagian kecil sebesar satu dirham. Dia mempunyai seorang ibu dan sangat berbakti kepada ibunya. Seandainya dia berdoa pada Allah, maka akan diperkenankan apa yang dipintanya. Jika engkau mampu agar dia meminta kepada Allah supaya engkau diampuni, mintalah kepadanya.''

Orang yang terhormat itu pun mendatangi Uwais, dia pun meminta kepada Uwais, ''Mintalah keampunan kepada Allah untukku.'' Uwais menjawab : ''Bukankah engkau baru saja pulang dari safar yang baik (iaitu haji), mintalah keampunan kepada Allah untukku.'' Orang itu mengatakan kepada Uwais : ''Bukankah engkau telah bertemu Umar.'' Uwais menjawab : ''Ya.'' Uwais pun memintakan keampunan kepada Allah untuknya.

Orang lain pun tahu akan keistimewaan Uwais. Lantaran itu, dia mengasingkan diri menjauh dari manusia.

Hukum Anak Yang DerhakaKepada Kedua Ibu bapa

Hukum derhaka kepada kedua ibu bapa termasuk di antara dosa besar sebagaimana disebutkan dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Abdullah bin Amr Radhiallahuanhu, beliau berkata : Maksudnya : ''Seorang berbangsa Arab datang kepada Nabi Sallallahu Alaihi Wasallam lalu berkata : ''Wahai Rasulullah apakah dia dosa besar?'' Nabi Sallallahu Alaihi Wasallam bersabda : ''Menyekutukan Allah.'' Dia (orang Arab itu) berkata lagi : ''Kemudian apa?'', Baginda Sallallahu Alaihi Wasallam bersabda : ''Kemudian menderhaka kepada kedua ibu bapa ...''
(Hadits riwayat Al-Bukhari).

Oleh itu, elakkanlah dari membuat kedua ibu bapa terguris hati, menangis kerana terluka. Sebab, salah satu di antara tanda-tanda di mana anak tergolong sebagai orang yang derhaka kepada ibu bapanya ialah membuatkan hati mereka terluka sehingga menyebabkan mereka menangis. Ini jelas sebagaimana yang diriwayatkan daripada Ibnu Umar Radhiallahuanhuma, beliau berkata :

Maksudnya : ''Menyebabkan kedua ibu bapa menangis termasuk di antara perkara derhaka dan dosa-dosa besar.''
(Kitab Al-Adab Al-Mufrad).

Apa yang dimaksudkan dengan derhaka ialah apa sahaja perbuatan yang boleh menyinggung atau menyakiti hati kedua ibu bapa. Begitu juga dikira derhaka jika anak tidak menurut perintah mereka. Ini kerana taat perintah kedua ibu bapa hukumnya adalah wajib.

Sebagai kesimpulan, seorang anak perlu menyedari betapa seseorang ibu atau bapa itu memerlukan pertolongan atau bantuan anak-anak ketika mereka sudah berumur lanjut. Setiap anak-anak bertanggungjawab untuk sentiasa menghormati dan menjaga kebajikan kedua ibu bapa mereka yang sudah berumur lanjut dengan memberikan kasih sayang dan memastikan kesempurnaan hidup mereka terjamin. Janganlah sesekali mengabaikan dan mensia-siakan hidup mereka serta sentiasa mendoakan mereka agar mereka mendapat perlindungan dan rahmat daripada Allah Subhanahu Wata'ala.

Ingatlah bahawa keredaan Allah terletak pada keredaan ibu bapa sebagaimana disebutkan dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Abdullah bin Amr Radhiallahuanhu bahawa Nabi Sallallahu Alaihi Wasallam bersabda :

Maksudnya : ''Keredaan Tuhan (kepada hamba-Nya) terletak pada keredaan bapa (begitu juga ibu bahkan lebih utama), manakala kemurkaan Tuhan (kepada hamba-Nya) adalah terletak pada kemurkaan bapa.''
(Hadits riwayat at-Tirmidzi).

Hadis di atas menjelaskan bahawa untuk mendapatkan keredaan Allah Ta'ala, seorang anak perlu mendapatkan keredaan kedua ibu bapanya. Ini kerana mentaati dan menghormati kedua ibu bapa merupakan perintah Allah Ta'ala.

Oleh itu, sesiapa yang mentaati kedua ibu bapa maka dia telah mentaati Allah Ta'ala dan siapa yang tidak mentaati kedua ibu bapanya maka sesungguhnya Allah Ta'ala akan murka kepadanya. Sesiapa yang derhaka kepada kedua ibu bapanya, hukumnya adalah berdosa besar.

Seterusnya...

menuju

BERBAGAI-BAGAI ragam dan gelagat manusia yang kita dapat temui di dunia ini. Namun begitu, segalanya kita ambil iktibar. Yang baik jadi ikutan dan sebaliknya yang tidak baik kita ambil sempadan. Semuanya tergantung kepada diri kita sendiri. Hati dan jiwa mesti ikhlas dan jujur kerana kejujuran mencerminkan suatu tabiat yang memungkinkan diri kita dipercayai dan disanjungi. Dan kerana kejujuran inilah juga yang memungkinkan orang sekeliling kita tertarik untuk bersikap jujur.

Sifat jujur merangkumi kepada perbuatan, tingkah laku, perkataan dan sebagainya. Imam Ghazali menjelaskan, terdapat enam makna sifat jujur (as-Siddiq) itu :

1. Jujur pada perkataan
2. Jujur pada amalan
3. Jujur pada merealisasikan tuntutan agama
4. Jujur pada niat
5. Jujur pada keazaman, dan
6. Jujur dalam menunaikan keazaman.

Firman Allah Subhanahu Wata'ala dalam Surah at-Taubah, ayat 119, tafsirnya :

''Wahai orang-orang yang beriman! Bertakwalah kepada Allah, dan hendaklah kamu bersama orang-orang yang benar.''

Allah Subhanahu Wata'ala menyeru hamba-Nya untuk beriman kepada-Nya dan Rasul-Nya, agar mereka tetap dalam ketakwaan serta mengharapkan reda-Nya, dengan cara menunaikan segala kewajiban yang telah ditetapkan-Nya, dan menjauhi segala larangan yang telah ditentukan-Nya, dan hendaklah sentiasa bersama orang-orang yang benar dan jujur, mengikuti ketakwaan, kebenaran dan kejujuran mereka. Untuk menjadi seorang yang jujur, hendaklah sentiasa membaca dan menghayati sirah Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam yang sentiasa bersifat jujur dalam apa jua keadaan. Diriwayatkan oleh Ibnu Abi al-Dunya, Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam bersabda, maksudnya :

''Berusahalah untuk sentiasa berlaku jujur walaupun kamu melihat ia akan membawa kesusahan kepadamu. Sesungguhnya pada sifat jujur itu ada keselamatan.''

Selain itu, haruslah diketahui akan ancaman atau balasan buruk kerana tidak bersikap jujur. Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam bersabda yang diriwayatkan oleh Imam al-Bukhari dan Muslim, maksudnya :

''Awasi dan jauhilah sifat dusta kerana dusta membawa kepada kejahatan. Sedangkan kejahatan itu membawa ke neraka. Seseorang hamba akan selalu berdusta dan melazimi pendustaan sehinggalah dicatat di sisi Allah Subhanahu Wata'ala bahawa dia seorang pendusta.''

Dalam kehidupan sehari-hari, berperilaku jujur sangatlah penting kerana kejujuran memiliki banyak manfaat di dunia dan di akhirat, antaranya :

1. Seseorang yang bersikap jujur akan selalu didampingi keberkatan dalam segala urusan kerana kejujuran adalah kunci kejayaan dan keberkatan hidup.

2. Dijamin masuk syurga. Allah Subhanahu Wata'ala menjamin hamba-Nya yang bersikap jujur akan masuk syurga sebagaimana firman-Nya dalam Surah Al Maa-idah, ayat 119, tafsirnya :

''Ini adalah hari (kiamat) yang (padanya) orang yang benar (pada tutur kata dan amal perbuatan) mendapat manfaat dari kebenaran mereka itu, bagi mereka syurga-syurga yang mengalir di bawahnya sungai-sungai, mereka kekal di dalamnya selama-lamanya.''

3. Mendapat kepercayaan daripada orang lain. Seandainya kita tidak jujur (berdusta) maka sangat sulit bagi kita untuk mengembalikan kepercayaan tersebut.

4. Memperoleh keampunan daripada Allah Subhanahu Wata'ala atas dosa-dosa yang dilakukan sebagaimana firman-Nya dalam Surah al Ahzab, ayat 70 - 71, tafsirnya :

''Wahai orang-orang yang beriman! Bertakwalah kepada Allah dan ucapkanlah perkataan yang benar. Nescaya Allah memperbaiki amalan-amalan kamu dan mengampunkan dosa-dosa kamu. Dan sesiapa yang taat kepada Allah dan Rasul-Nya, maka sesungguhnya dia mendapat kemenangan yang besar.''

5. Selain jiwa merasa tenang, juga mempunyai ramai teman di samping beroleh pahala yang besar dan mendapat berkat daripada Allah Subhanahu Wata'ala.

Terdapat banyak manfaat yang diperoleh apabila memiliki sikap jujur untuk kita mencapai keredaan daripada Allah Subhanahu Wata'ala. Dari itu, amat penting bagi kita menerapkan perilaku jujur ini dalam kehidupan sehari-hari. Mulai dari hal-hal kecil seperti tidak berbohong kepada orang tua dan saudara dan kepada siapa saja. Jika kita sudah terbiasa bersikap jujur insyaaAllah kita akan merasakan manfaat dari perilaku jujur tersebut.

Seterusnya...

seruanMARILAH kita meningkatkan ketakwaan kita kepada Allah Subhanahu Wata'ala dengan penuh keyakinan dan keikhlasan dengan melakukan segala suruhan-Nya dan meninggalkan segala larangan-Nya. Mudah-mudahan kita menjadi insan yang beriman dan bertakwa serta selamat di dunia dan selamat di akhirat.

Bulan Rejab adalah bulan yang mencatatkan sejarah yang sentiasa diingati setiap tahun khususnya seluruh umat Islam, kerana dalam bulan yang mulia inilah berlakunya peristiwa Israk dan Mikraj Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam. Peristiwa Israk dan Mikraj adalah mukjizat terbesar Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam selepas Al-Quran dan merupakan peristiwa agung yang penuh pengajaran dan iktibar.Dalam peristiwa ini Baginda Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam telah di Israkkan (diperjalankan) dari Masjidil Haram di Mekah ke Masjid Aqsa di Palestin dan telah di Mikrajkan (dinaikkan) ke langit menuju ke Sidratul Muntaha. Dalam peristiwa tersebut Baginda telah menyaksikan tanda-tanda kebesaran dan kekuasaan Allah Subhanahu Wata'ala dan Baginda juga diperlihatkan dengan berbagai-bagai kejadian dan peristiwa aneh yang menunjukkan keadaan perilaku manusia dengan balasan-balasan yang bakal mereka terima. Di kemuncak peristiwa inilah Allah Subhanahu Wata'ala telah memfardukan sembahyang lima waktu kepada umat Islam.

Firman Allah Subhanahu Wata'ala dalam Surah Al-Isra' ayat 1 tafsirnya :

''Maha suci Allah yang telah memperjalankan hambanya (Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam dengan roh dan jasadnya) pada waktu malam dari Masjidil Haram di Mekah ke Masjid Aqsa (Baitul Muqadis di Palestine), yang kami berkati sekelilingnya supaya kami memperlihatkan kepadanya sebahagian daripada tanda-tanda kebesaran dan kekuasaan kami. Sesungguhnya Allah Maha Mendengar lagi Maha Melihat.''

Pada setiap tahun, kita meraikan sambutan Israk dan Mikraj sebagai sebahagian daripada usaha mensyiarkan agama kita meraikannya dengan mengadakan pelbagai majlis ilmu dan keagamaan, supaya dengan kita memperingatinya itu kita mengambil iktibar atau pengajaran dan seterusnya mengukuhkan keimanan kepada Allah Subhanahu Wata'ala. Dengan demikian kita akan lebih taat menunaikan kewajipan-kewajipan agama dan menjauhi perkara-perkara dan hal-hal yang di larang oleh Allah Subhanahu Wata'ala dan rasul-Nya.

Sesungguhnya ibadat sembahyang itu terlalu istimewa di sisi Allah Subhanahu Wata'ala kerana Baginda Nabi Sallallahu Alaihi Wasallam sendiri telah menerimanya secara langsung daripada Allah Subhanahu Wata'ala di 'Sidratul Muntaha' dalam peristiwa Israk dan Mikraj. Perintah ibadat sembahyang ini adalah berbeza dengan ibadat-ibaat yang lain seperti ibadat puasa, zakat, haji dan lain-lain yang diterima melalui wahyu dengan perantaraan Malaikat Jibril Alaihissalam. Ini menunjukkan bahawa ibadat sembahyang itu terlalu istimewa di sisi Allah Subhanahu Wata'ala.

Oleh itu, ibadat sembahyang tidak boleh diremeh-remehkan seperti juga tidak boleh menurut hawa nafsu melakukan maksiat kerana meremehkan sembahyang itu adalah dicela oleh Allah Subhanahu Wata'ala, mereka itu adalah golongan yang sesat. Allah Subhanahu Wata'ala berfirman dalam Surah Mariam ayat 59 yang tafsirnya :

''Kemudian mereka digantikan oleh keturunan-keturunan yang mencuaikan sembahyang serta menurut hawa nafsu dengan melakukan maksiat, maka mereka akan menghadapi azab dalam neraka.''

Abdullah bin Abbas Radhiallahu 'anhuma berkata, maksud mensia-siakan sembahyang bukanlah meninggalkan sembahyang sama sekali, tetapi melewatkan dari waktunya, umpamanya mereka melaksanakan Sembahyang Zuhur dalam waktu Asar, Sembahyang Asar didalam waktu Maghrib, Sembahyang Isyak ditangguhkan sehingga masuk waktu Subuh serta Sembahyang Subuh dilaksanakan selepas matahari terbit. Sesiapa yang mati dalam keadaan ini tanpa bertaubat dia akan dihumbankan ke dalam sebuah lembah yang bernama al-Ghai'a di dalam neraka dan diberikan makanan yang amat jijik. Jika mengerjakan sembahyang fardu di luar waktu sudah sebegini hukumnya, bayangkanlah azab yang bakal menimpa mereka yang tidak bersembahyang fardu sama sekali.

Justeru itu, melaksanakan sembahyang fardu dalam waktu yang ditetapkan merupakan sebahagian daripada disiplin Islam yang wajib dilaksanakan.

Dalam peristiwa Israk dan Mikraj juga, Baginda Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam telah melihat segolongan manusia yang masing-masing menghadapi dua bekas, bekas yang satu berisi daging yang sudah masak dan yang satu lagi berisi daging yang mentah. Tetapi yang anehnya, mereka memilih untuk makan daging yang mentah. Lalu Baginda pun bertanya kepada Jibril Alaihissalam : Siapakah mereka itu? Jibril menjawab : mereka adalah gambaran antara umatmu yang suka berzina. Mereka sbenarnya masih suka melepaskan nafsu syahwatnya dengan perempuan-perempuan lain walaupun mereka telah beristeri. Begitulah pula halnya dengan perempuan yang telah bersuami secara sah, akan tetapi mereka juga melakukan zina dengan lelaki lain yang bukan suaminya. Sesungguhnya Allah SubhanahuWata'ala telah mengingatkan hamba-hamba-Nya untuk tidak mendekati zina sebagaimana firman Allah Subhanahu Wata'ala dalam Surah Al-Isra' ayat 32, tafsirnya :

''Dan janganlah kamu menghampiri zina, sesungguhnya zina itu ialah suatu perbuatan yang keji dan jalan yang buruk.''

Ingatlah, zina merupakan perbuatan keji dan hina yang merosakkan diri, akhlak, keturunan dan masyarakat. Antara keburukan zina adalah keruntuhan moral dan akhlak, mengandungkan anak luar nikah, yang akibatnya seseorang itu boleh bertindak di luar batasan dan di luar naluri seseorang manusia seperti berusaha untuk menggugurkan anak dalam kandungan dan lebih dahsyat lagi sanggup membuang anak yang baru dilahirkan. Perbuatan itu dilakukan kerana malu dan juga kerana hendak menyembunyikan perbuatan keji yang telah dilakukan. Begitu juga keruntuhan akhlak yang berhubung kait dengan perbuatan zina ialah kejadian sumbang mahram. Nauzubillahi min zalik.

Sebagai orang Islam kita hendaklah mematuhi ajaran dan hukum-hukum yang telah ditetapkan oleh agama Islam, bukan mengingkarinya dan hanya menurut kehendak hawa nafsu tanpa memikirkan akibat perbuatan yang dilakukan. Itulah pentingnya akal dan fikiran yang Allah Subhanahu Wata'ala kurniakan kepada manusia supaya manusia berfikir dan bertindak dengan waras dan betul, iaitu melalui kesedaran beragama.

Akhirnya, marilah kita sama-sama menghayati dan mengambil iktibar dari peristiwa Israk dan Mikraj sebagai pengajaran yang dapat menguatkan dan meningkatkan iman dan takwa kepada Allah Subhanahu Wata'ala. Mudah-mudahan kita akan sentiasa endapat hidayah dan petunjuk ke jalan yang diredai oleh Allah Subhanahu Wata'ala serta selamat di dunia dan di akhirat.

Surah Al-Isra' ayat 60, tafsirnya :

''Dan ingatlah ketika kami wahyukan kepada mu wahai Nabi Muhammad : sesungguhnya tuhanmu, ilmu dan kekuasaannya meliputi sekalian manusia. Dan kami tidak menjadikan pandangan pada malam Mikraj yang Kami perlihatkan kepadamu melainkan sebagai ujian bagi manusia dan demikian juga pokok Zakkum yang di laknat dalam Al-Quran.''

Seterusnya...

irsyad

Keluaran Kedua

2. Berbahasa dengan lembut dan sopan.

Dalam menjaga ibu bapa yang sudah dalam keadaan tua atau uzur, anak-anak hendaklah berbahasa dengan bahasa yang lembut dan sopan santun dan jangan sekali-kali menyinggung perasaan mereka. Itulah yang dimaksudkan dengan perkataan yang mulia sebagaimana disebutkan dalam ayat di atas. Walau bermacam-macam kerenah yang mereka lakukan ketika dalam usia lanjut ini maka anggaplah ia sebagai cubaan atau dugaan. Cubaan atau dugaan yang diterima dengan baik dan ikhlas setentunya akan mendapat ganjaran pahala yang berlipat ganda.

3. Jangan menghina atau menengking.

Sebagaimana disebutkan sebelum ini, bahawa apabila ibu bapa sudah uzur atau mencapai umur lanjut, bermacam-macam kerenah yang dihadapi oleh anak-anak. Oleh itu, menjaga atau memelihara mereka dalam keadaan ini merupakan cubaan yang sangat mencabar.

Ada di antara mereka yang dapat bersabar dan ada juga yang tidak dapat bersabar dengan cubaan-cubaan sebegini, dan mungkin ada yang sanggup menghina dan menengking, umpamanya ketika mendapati mereka membuang air besar atau kencing maka janganlah mereka dicaci ketika membersihkan air kencing atau kotoran mereka dengan perkataan-perkataan yang buruk seperti mengatakan mereka pengotor ataupun sebagainya.

Ingatlah bahawa larangan menengking kedua ibu bapa jelas disebutkan dalam Al-Quran sebagaimana disebutkan sebelum ini yang tafsirnya ''dan janganlah engkau menengking keduanya.''

4. Mendoakan ibu bapa.

Antara tanggungjawab anak kepada kedua ibu bapa ialah sentiasa mendoakan mereka dengan kebaikan dan memohon keampunan terhadap dosa-dosa mereka yang telah mereka lakukan.

Apabila anak-anak melihat ibu bapa mereka sudah lanjut usia, hendaklah mereka merendahkan diri mereka dengan rasa tawadhu dan tidak melakukan perbuatan yang di anggap melampau kepada mereka dan menjaganya dengan penuh kasih sayang, di samping itu mendoakan mereka. Antara doa yang boleh dibaca sebagaimana disebutkan dalam ayat Al-Quran di atas ialah :

IRSYAD HUKUM RABU 04052016 JANGAN ABAIKAN IBU BAPA YANG BERUMUR LANJUT

Ertinya: ''Ya Allah! Kurniakanlah rahmat kepada mereka berdua sebagaimana mereka telah memelihara dan mendidikku dari kecil (lagi).''
(Surah Al-Isra' : 24)

Anak-anak selain bertanggungjawab mendoakan ibu bapa ketika keduanya masih hidup, mereka juga bertanggungjawab mendoakan ibu bapa setelah keduanya sudah meninggal dunia. Ini kerana doa anak yang soleh itu merupakan salah satu amalan yang tidak putus setelah ibu atau bapa meninggal dunia sebagaimana disebutkan dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah Radhiallahu 'anhu bahawa Nabi Sallallahu Alaihi Wasallam bersabda :

Maksudnya : ''Apabila mati seseorang manusia maka terputuslah amalannnya melainkan tiga perkara iaitu : Sedekah jariah, ilmu yang bermanfaat dan anak soleh yang mendoakannya.''

(Hadits riwayat Muslim)

Sementara itu, perkara berbakti kepada kedua ibu bapa setelah mereka meninggal dunia ini juga pernah ditanyakan kepada Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam sebagaimana hadis yang diriwayatkan oleh Abu Usaid Malik bin Rabi'ah Assa'idi Radhiallahu 'anhu :

Maksudnya : ''Ketika kami duduk di sisi Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam, tiba-tiba datang seorang laki-laki dari suku Bani Salamah lalu bertanya : ''Wahai Rasulullah, apakah masih ada kebaikan yang dapatku lakukan untuk berbakti kepada kedua orang tuaku setelah mereka meninggal dunia?'' Rasulullah bersabda : ''Ya ada, mengerjakan sembahyang ke atas keduanya, meminta keampunan bagi keduanya, memenuhi janji mereka yang belum terlaksana, menyambung tali persaudaraan yang dahulu biasa mereka lakukan dan menghormati sahabat-sahabat mereka.'' (Hadits riwayat Abu Daud)

Berdasarkan hadis di atas, selain mendoakan mereka, anak-anak hendaklah juga turut menyembahyangkan jenazah mereka, memenuhi janji mereka yang belum terlaksana, menyambung tali persaudaraan dan menghormati sahabat-sahabat mereka. Ini merupakan perkara kebaikan yang boleh dilakukan untuk berbakti terhadap orang tua.

5. Memberi nafkah

Termasuk dalam tuntutan berbuat al-ihsan, iaitu berbuat baik kepada ibu bapa juga ialah memberi nafkah kepadanya, hatta kepada ibu bapa yang bukan Islam.

Firman Allah Ta'ala :

Tafsirnya : ''Dan bergaullah dengan mereka di dunia dengan cara yang baik.'' (Surah Al-Luqman : 15)

Para ulama sepakat mengatakan bahawa anak wajib memberikan nafkah kepada kedua ibu bapa yang tidak ada pendapatan atau tidak ada harta sebagaimana disebutkan oleh Ibnu al-Munzir rahimahullahu Ta'ala.

Oleh itu, jika seorang anak mempunyai ibu bapa yang tidak mempunyai harta (fakir), ataupun tidak berdaya untuk mencari nafkah kerana sakit umpamanya, sedang anak itu mempunyai kemampuan dari segi harta ataupun mampu untuk mencari nafkah, maka dalam keadaan ini anak tersebut wajib memberi nafkah ibu bapanya itu.

Hatta jika ibu bapa yang fakir itu mampu untuk bekerja mencari nafkah, kewajipan memberi mereka nafkah tetap tertanggung ke atas anaknya yang mempunyai kemampuan harta atau kemampuan untuk bekerja mencari nafkah. Ini kerana anak-anak adalah diperintahkan untuk berbuat baik kepada kedua ibu bapa, dan adalah tidak patut jika ibu bapa dibebankan untuk bekerja mencari nafkah dalam keadaan mereka yang sudah umur lanjut dan lemah anggota badan.

Dalam konteks ibu bapa yang sudah lanjut usia, setentunya mereka tidak lagi mampu untuk mencari rezeki sendiri. Oleh itu, anak-anak bertanggungjawab untuk memenuhi segala keperluan serta mengurus segala kebajikan yang berkaitan dengan mereka. Inilah antara beberapa tanggungjawab anak kepada ibu bapa.

Bersambung

Seterusnya...

menuju

IBU bapa adalah insan yang perlu kita hormat dan sanjungi. Tanpa ibu bapa, tidak mungkin kita akan wujud di dunia ini menyaksikan keindahan alam semesta ciptaan Allah Subhanahu Wata'ala. Dan kerana kasih sayang mereka inilah kita mengenal erti kasih sayang terhadap manusia lain.

Sebagai hamba-Nya kita hendaklah mensyukuri kehadiran kita di dunia ini dengan melafazkan ucapan syukur ke hadrat Ilahi. Kemudian bersyukur dan berterima kasih pula kepada kedua ibu bapa kita yang melahir dan membesarkan kita dengan menjaga, menghormati dan memberi kasih sayang. Sesuai dengan firman Allah Subhanahu Wata'ala dalam Surah Luqman, ayat 14, tafsirnya :

''Dan Kami memerintahkan manusia supaya berbuat baik kepada ibu bapanya, ibunya telah mengandungkannya dengan menanggung kelemahan demi kelemahan dan tempoh menghentikan penyusuannya dalam dua tahun, (dengan demikian) : ''Bersyukurlah kepada-Ku dan kepada ibu bapamu. Kepada Aku jualah tempat kembali.''

Allah Subhanahu Wata'ala memerintahkan agar setiap anak berlaku baik terhadap ibu bapanya dengan tidak memberikan alasan bahawa kesibukan kerja menjadi penghalang bagi mereka untuk menziarahi dan memberikan kasih sayang kepada keduanya. Luangkan masa untuk menziarahi keduanya kerana dengan menatap anak dan cucu-cucunya pasti akan menggembirakan hati mereka. Dan dengan menggembirakan hati mereka pula bererti kita telah berlaku ihsan terhadap mereka.

Hadis riwayat Imam Al-Bukhari dan Muslim, daripada Ibnu Masud, Nabi Sallallahu Alaihi Wasallam pernah ditanya tentang amalan yang disukai Allah Subhanahu Wata'ala. Maka jawab Rasulullah : ''Sembahyang pada waktunya.'' Maka ditanya lagi : ''Apakah yang seterusnya?'' Maka Baginda menjawab : ''Mentaati kedua ibu bapa.''

Ketahuilah sesungguhnya dengan menghormati, mentaati dan memelihara ibu bapa akan dapat menghapuskan dosa-dosa besar. Tidak dinafikan sememangnya menjaga dan mengurus keduanya bukanlah satu tugas yang mudah. Dengan tubuh yang lemah dan pergerakan yang terbatas berserta akal dan ingatan yang berkurangan semestinya memerlukan perhatian dan pemedulian yang banyak dari seorang anak. Sesuatu perkara yang amat terpuji ialah dengan memastikan kesejahteraan atau kesihatan mereka dalam keadaan terbaik.

Justeru itu, seorang anak perlu memiliki kesabaran yang mantap dan penuh ikhlas dan redha dalam memelihara dan memeduli orang tuanya. Kenanglah akan jasa dan pengorbanan mereka melahirkan dan memelihara kita sewaktu kita masih kecil. Peruntukkanlah wang sagu hati untuk mereka setiap bulan selama mereka masih hidup walaupun kita ketahui apa yang kita berikan tidak setimpal dengan jasa dan pengorbanan yang mereka curahkan dalam melahirkan dan memelihara kita. Kecekalan dan keikhlasan dalam menghadapi kerenah keduanya dan menjaga mereka dengan baik dalam apa jua keadaan akan memberi peluang kita untuk memasuki syurga.

Tanggungjawab berbuat baik dengan keikhlasan dan keredaan terhadap kedua ibu bapa tidak terhenti selepas mereka meninggal dunia.

Hadits riwayat Imam Abu Dawud, bahawasanya Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam pernah ditanya oleh seorang sahabat dari kaum Ansar mengenai tanggungjawab seorang anak terhadap ibu bapa yang sudah meninggal dunia. Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam menjawab :

''Ada, iaitu berdoa, beristighfar untuk keduanya, menyempurnakan janji, memuliakan sahabat-sahabat kedua-duanya, dan menyambungkan silaturahim yang tidak sempat dijalinkan oleh kedua- duanya.''

Selain itu, anak-anak masih boleh mendoakan ibu bapanya agar mendapat keredaan dan keampunan dari Allah Subhanahu Wata'ala. Hadis riwayat Imam al-Bukhari, Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam bersabda:

“Apabila mati anak Adam, terputuslah semua amalannya kecuali tiga perkara : Sedekah jariah, ilmu yang dimanfaatkan dan anak yang soleh yang mendoakannya.”

Segala suruhan baik yang kita amalkan hasil dari didikan ibu bapa kita juga berperanan menambahkan ganjaran ibu bapa kita di akhirat kerana sesiapa yang menunjukkan kebaikan, maka baginya pahala seperti pahala orang yang melakukannya.

Sebagai bukti kasih sayang terhadap kepada ibu bapa, perbanyakkanlah doa dan amal kebajikan. Semoga keredaan dan keikhlasan kita terhadap mereka akan mendapat keberkatan di dunia dan di akhirat.

Seterusnya...

seruanMARILAH kita meningkatkan ketakwaan kita kepada Allah Subhanahu Wata'ala dengan penuh keyakinan dan keikhlasan dengan melakukan segala suruhan-Nya dan meninggalkan segala larangan-Nya. Mudah-mudahan kita menjadi insan yang beriman dan bertakwa serta selamat di dunia dan selamat di akhirat.

Firman Allah Subhanahu Wata'ala dalam Surah Yaa Siin, ayat 36 yang tafsirnya :

"Maha suci Allah yang telah menciptakan semuanya berpasang-pasangan sama ada yang tumbuh di bumi atau daripada mereka sendiri ataupun daripada yang mereka tidak mengetahuinya."

Perkahwinan adalah satu ibadat yang dituntut oleh syara'. Perkahwinan boleh mendatangkan keberkatan dan keharmonian dalam kehidupan dan juga mengeratkan hubungan antara sesama manusia. Bagaimanapun, untuk membentuk dan mengekalkan sesebuah keluarga bahagia itu bukanlah suatu perkara yang mudah, kerana ia memerlukan keimanan dan ketakwaan kepada Allah Subhanahu Wata'ala.

Islam mengajarkan umatnya agar menjadikan rumah tangga sebagai sebuah institusi yang aman, selamat, sihat, harmoni dan bahagia buat seluruh keluarga. Oleh itu, pembinaan keluarga yang bahagia ini perlu dilihat kepada peranan dan tanggungjawab yang dimainkan oleh setiap isi rumah, merangkumi ibu bapa dan anak-anak. Tanggungjawab ini haruslah disemai sejak di awal perkahwinan lagi supaya ibu bapa menjadi orang pertama memberi bimbingan dan tunjuk ajar yang betul kepada anak-anak. Suami atau ayah sebagai ketua keluarga adalah orang yang berperanan penting dan bertanggungjawab dalam menjaga kemaslahatan, memberikan bimbingan, pimpinan serta didikan kepada isteri, anak-anak dan keluarga agar mereka menjadi orang-orang mukmin yang bertakwa serta hidup bahagia lagi sempurna di dunia dan di akhirat. Ini tidak akan dapat dicapai melainkan suami atau ayah itu sendiri terlebih dahulu menghayati dan mengamalkan ajaran agama Islam, kerana pimpinan dan ikutan yang berkesan itu adalah melalui contoh dan teladan. Allah Subhanahu Wata'ala berfirman dalam Surah An-Nisa ayat 34 :

Tafsirnya : "Laki-laki adalah pemimpin terhadap kaum perempuan kerana Allah telah melebihkan laki-laki dengan beberapa keistimewaan atas kaum perempuan, dan juga kerana laki-laki memberi nafkah dari harta mereka."

Kita menyedari bahawa fenomena keluarga masa kini sangat mencabar berbanding zaman dahulu. Sebagai ketua keluarga, suami perlu menjadikan konsep 'mawadah warahmah' (kasih sayang dan belas kasihan) sebagai asas yang penting dalam kekeluargaan. Para suami hendaklah memiliki sifat mesra, menyayangi, mengasihi dan balas kasihan terhadap isteri. Allah Subhanahu Wata'ala berfirman dalam Surah Ar-Rum ayat 21 :

Tafsirnya : "Dan antara tanda-tanda kekuasaan-Nya bahawa dia menciptakan bagi isteri-isteri daripada jenis kamu sendiri supaya kamu cenderong dan merasa senang kepada-Nya dan dijadikan-Nya di antara kamu suami isteri perasaan kasih sayang dan rahmat (balas kasihan)."

Dalam kehidupan berumah tangga, perlu ada sikap saling bantu membantu antara suami isteri. Semangat dan sikap bantu membantu adalah nilai-nilai yang luhur dan mulia yang boleh membahagiakan keluarga dan diredhai oleh Allah Subhanahu Wata'ala. Para suami digalakkan untuk menolong dan membantu isteri bagi meringankan tugas isteri, di samping tidak meninggalkan tanggungjawab yang telah diberikan. Inilah yang dilakukan oleh Rasullullah Sallallahu Alaihi Wasallam dengan membantu isterinya membuat kerja-kerja rumah. Rasullullah Sallallahu Alaihi Wasallam adalah contoh teladan kepada umat manusia. Baginda telah menunjukkan peribadi yang baik terhadap keluarga sebagai seorang suami, bapa dan sekali gus ketua keluarga. Selain sebagai seorang rasul, nabi dan ketua negara, Baginda juga telah berjaya menjadi seorang suami mithali.

Manakala peranan isteri pula wajiblah mentaati suami dan bertanggungjawab menjaga rumah tangga dengan membantu dan bekerjasama dalam usaha mewujudkan rumah tangga yang bahagia. Sabda Rasullullah Sallallahu Alaihi Wasallam dalam sebuah hadisnya yang diriwayatkan oleh Al-Imam Al-Bukhari :

Maksudnya : "Dari Abdullah bin Umar Radhiallahu Anhuma, Rasullullah Sallallahu Alaihi Wasallam bersabda : Setiap daripada kamu adalah pemimpin dan kamu semua bertanggungjawab terhadap orang di bawah jagaanmu. Seorang pemerintah adalah pemimpin dan bertanggungjawab terhadap rakyatnya, seorang lelaki adalah pemimpin kepada keluarganya dan bertanggungjawab terhadap ahli keluarganya, seorang perempuan adalah penjaga kepada rumah suaminya dan dia bertanggungjawab terhadapnya."

Selain ayah dan ibu, anak-anak juga mempunyai peranan dalam sesebuah keluarga, peranan dan tanggungjawab anak-anak ialah mentaati kedua ibu bapa mereka, bersikap dan bercakaplah dengan berlemah lembut dan bersopan santun. Sesungguhnya kedudukan ibu bapa di dalam Islam amat tinggi sehingga seorang anak diwajibkan menghormati dan memuliakan ibu bapanya. Pengorbanan dan jasa kedua ibu bapa amat besar, mereka merupakan insan mulia dan berjasa dalam mengasuh, membesarkan, mendidik dan melengkapkan setiap keperluan anak dengan kesabaran, keikhlasan dan rasa kasih sayang yang tidak berbelah bagi. Sebagai seorang anak hendaklah menanamkan rasa cinta dan kasih sayang kepada ibu bapa untuk mendapat keredaan Allah Subhanahu Wata'ala.

Dalam era globalisasi ini peralatan moden sememangnya boleh merapatkan hubungan, namun apa yang menyedihkan, kegunaannya telah disalahgunakan oleh sebilangan orang menyebabkan hubungan mesra bersama keluarga menjadi renggang. Masing-masing sibuk dengan telefon bimbit, komputer, televisyen dan sebagainya. Ini boleh diatasi dengan beberapa cara bagi mengukuhkan institusi kekeluargaan, antaranya ialah dengan menggunakan segala peralatan tersebut dengan bijak. Selain itu, untuk merapatkan hubungan kekeluargaan ialah dengan mengamalkan sembahyang berjemaah bersama keluarga. Sembahyang berjemaah mempunyai fadhilat dan ganjaran pahala yang amat besar. Oleh itu, dirikanlah sembahyang berjemaah bersama keluarga secara rutin kerana mendirikan sembahyang secara berjemaah bersama isteri, anak-anak dan keluarga itu boleh menjadikan sebuah keluarga yang sakinah 'mawadah warahmah', iaitu keluarga yang aman, penuh kasih sayang dan balas kasihan.

Seterusnya ialah mengadakan aktiviti kerohanian di rumah seperti membaca Al-Quran, berzikir dan sebagainya. Al-Quran adalah kalamullah yang mempunyai hikmah dan fadilat bagi setiap yang membacanya sekalipun hanya mendengarnya. Suami isteri dan keluarga dianjurkan mendampingi, membaca dan beramal dengan Al-Quran. Sesungguhnya rumah yang dibacakan Al-Quran akan mendapat keluasan rezeki, sentiasa dihadiri oleh malaikat, menjauhkan syaitan dan sentiasa mendapat kebaikan serta keberkatan. Manakala rumah yang tidak dibacakan di dalamnya Al-Quran, boleh menjauhkan para malaikat dan dihampiri oleh syaitan serta tidak mendapat keberkatan kepada ahlinya.

Amalan makan bersama atau berjemaah juga boleh mengukuhkan keakraban dan kemesraan sesama ahli keluarga. Melalui amalan ini akan memberi peluang ahli keluarga berinteraksi dan beramah mesra. Sesungguhnya makan secara berjemaah boleh mendatangkan berkat, sebagaimana sabda Rasullullah Sallallahu Alaihi Wasallam dalam sebuah hadisnya, riwayat Al-Imam Ibnu Majah :

Maksudnya : "Dari Umar bin Al-Khatab katanya : Rasullullah Sallallahu Alaihi Wasallam bersabda : makanlah kamu bersama-sama dan janganlah kamu makan sendiri-sendiri maka sesungguhnya berkat itu adalah dalam berjemaah."

Sama-samalah kita mengambil tahu serta melaksanakan peranan, tugas dan tanggungjawab masing-masing di dalam sesebuah keluarga. Mudah-mudahan kita akan memperolehi keluarga yang bahagia, harmoni serta sentiasa dalam rahmat Allah Subhanahu Wata'ala. Berdoalah kita semoga menjadi orang yang sentiasa menunaikan tanggungjawab dalam keluarga dan semoga keluarga kita menjadi sebuah keluarga yang sentiasa dalam perlindungan Allah Subhanahu Wata'ala serta mendapat kejayaan dan kebahagiaan di dunia dan di akhirat. Amin ya Rabbal Alamin.

Surah Al-Furqan ayat 74 :

Tafsirnya : "Dan juga mereka yang berdoa : Ya tuhan kami, kurniakanlah kepada kami isteri-isteri kami dan zuriat-zuriat keturunan kami sebagai penyenang hati dan jadiahkanlah kami pemimpin bagi orang-orang yang bertakwa."

 

Seterusnya...

irsyad

(Dengan nama Allah, Segala puji bagi Allah, Selawat dan salam ke atas
Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam, keluarga, sahabat dan para pengikut.

ANAK merupakan amanah Allah Subhanahu Wata'ala yang dipertanggungjawabkan kepada para ibu dan bapa. Ibu bapa yang mengetahui akan amanah yang dipertanggungjawabkan kepada mereka sememangnya akan berusaha sedaya upaya mengasuh, mendidik dan membimbing anak-anak mereka sehingga mereka menjadi orang yang berguna nanti setelah anak-anak itu dewasa sehingga mendirikan rumah tangga. Asuhan, didikan dan bimbingan yang baik dari ibu bapa akan menjadikan anak-anak itu orang yang berguna dan bertanggungjawab. Kemudian setelah kedua ibu bapa semakin tua dan lanjut usia mereka pula yang akan memikul tanggungjawab menjaga ibu bapa mereka. Begitulah lumrah kehidupan yang silih berganti.

Apa yang menyedihkan, terdapat sebilangan anak-anak yang lupa akan pengorbanan yang telah ibu bapa lakukan itu. Tanggungjawab yang sepatutnya dipikul dengan penuh kesabaran menjadi satu bebanan yang membimbangkan mereka. Anak-anak seperti ini sesuai diibaratkan seperti pepatah melayu yang berbunyi 'bagai kacang lupakan kulit'.

Perkara pengabaian ibu bapa khususnya ibu bapa yang berumur lanjut memang berlaku dalam masyarakat tidak terkecuali di negara kita Brunei Darussalam. Menurut statistik daripada Jabatan Pembangunan Masyarakat Brunei terdapat sebanyak 22 kes pengabaian warga emas ataupun orang tua berlaku dalam tempoh lima tahun kebelakangan, iaitu dari tahun 2011 hingga 2015.

Definisi Warga Tua

Menurut Kamus Dewan, warga tua didefinisikan sebagai ahli keluarga yang sudah tua atau lanjut usia. Biasanya warga tua dapat dikesan melalui ciri-ciri fizikal seperti muka berkedut, badan lemah, penglihatan kabur dan sebagainya. Selain daripada itu, warga tua juga dapat dilihat daripada biologinya, sebagai contoh berlaku menopause kepada wanita dan 'andropaus" kepada lelaki.

Pada usia ini, kebiasaannya mereka menghendaki dan memerlukan perhatian dan kasih sayang kerana tahap perkembangan usia mereka akan menurun ke tahap seperti kanak-kanak. Di Negara Brunei Darussalam, definisi warga emas adalah mereka yang berusia 60 tahun ke atas.

Menurut Imam Fakhruddin ar-Razi rahimahullahu Ta'ala, usia lanjut ialah batasan akhir umur di mana keadaan seseorang itu menjadi lemah sebagaimana keadaan di awal umur ketika masih anak damit.

Tanggungjawab Anak Terhadap Ibu Bapa Yang Berumur Lanjut

Apabila ibu bapa kita mencapai umur lanjut, adakalanya bermacam-macam kerenah yang kita hadapi sebagai seorang anak. Ada yang sikapnya semakin cerewet, ada juga yang semakin sensitif (mudah tersinggung perasaan), ada juga yang semakin hilang daya kewarasan dan sebagainya. Semua ini tidak syak lagi merupakan ujian atau dugaan yang amat besar kepada anak-anak.

Dalam sebuah hadis ada disebutkan bahawa seseorang anak akan dipandang hina dan tidak akan masuk syurga jika dia mencuaikan atau tidak berbuat baik kepada ibu bapanya yang sudah tua atau berumur lanjut. Ini jelas sebagaimana hadis yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah Radhiallahuanhu bahawa Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam pernah bersabda :

Maksudnya : "Sungguh hina, sungguh hina, sungguh hina.'' Baginda ditanya : ''Siapakah (yang hina itu) wahai Rasulullah?'' Baginda menjawab : ''Orang yang mendapati kedua ibu bapanya ketika mereka dalam keadaan tua sama ada salah seorang atau kedua-duanya, kemudian dia tidak masuk syurga."
(Hadits riwayat Muslim)

Sebagaimana dijelaskan oleh Imam an-Nawawi ketika mensyarahkan hadis di atas bahawa hadis tersebut mendorong anak-anak untuk berbuat baik kepada kedua ibu bapa yang sudah lanjut usia dan ketika berkeadaan lemah dengan berbakti dan memberikan nafkah atau seumpamanya, kerana dengan berbuat demikian akan mendapat pahala yang besar dan dijanjikan masuk syurga. Namun jika anak-anak berbuat sebaliknya iaitu tidak berbuat baik kepada kedua ibu bapa mereka maka akan dipandang hina oleh Allah Ta'ala dan tidak akan dimasukkan ke dalam syurga.

Maka seorang anak hendaklah bersabar dalam membuat kebaikan dan berbakti kepada ibu bapa apatah lagi kepada ibu bapa yang berumur lanjut.

Ini kerana anak-anak tidak boleh melupakan dan menafikan jasa dan pengorbanan kedua ibu bapa yang amat besar khususnya dalam membesarkan dan mendidik mereka. Jasa mereka tidak akan dapat dibalas walau dengan apapun juga. Umpamanya pengorbanan ibu semasa melahirkan ada disebutkan dalam Al-Quran, Allah Subhanahu Wata'ala berfirman :

Tafsirnya : "Dan Kami perintahkan manusia supaya berbuat baik kepada kedua ibu bapanya, ibunya telah mengandungnya dengan susah payah. Sedang tempoh menghentikan penyusuannya ialah dalam masa 30 bulan. Apabila dia cukup dewasa dan sampai ke peringkat umur 40 tahun, dia berdoa : ''Ya Tuhanku! Kurniakanlah aku ilham supaya aku tetap bersyukur terhadap nikmat-Mu yang Engkau kurniakan kepadaku dan kepada kedua ibu bapaku, dan supaya aku tetap mengerjakan amalan soleh yang Engkau redai, dan kurniakanlah kebaikan kepadaku dengan (mengurniakan kebaikan) kepada zuriat keturunanku. Sesungguhnya aku bertaubat kepada-Mu, dan sesungguhnya aku termasuk orang-orang yang berserah diri (kepada-Mu)."
(Surah al-Ahqaf : 15)

Bagaimana mungkin pengorbanan ibu sepertimana disebutkan di dalam ayat Al-Quran di atas dapat dibalas oleh anak-anak. Oleh sebab itu, anak-anak wajib melaksanakan tanggungjawab mereka dalam menjaga hak kedua ibu bapanya apatah lagi ketika mereka sudah berumur lanjut sebagai membalas jasa dan pengorbanan ibu bapa terhadap anak-anak. Antara tanggungjawab anak terhadap ibu bapanya termasuk ibu bapa yang sudah berumur lanjut ialah :

1. Berbuat baik kepada ibu bapa.

Tuntutan berbuat baik kepada ibu bapa apatah lagi yang sudah berumur lanjut bukanlah berdasarkan adat atau kebiasaan yang diwarisi turun-temurun tetapi merupakan tuntutan syara'. Islam menuntut supaya setiap orang berbuat baik kepada ibu bapa mereka.

Dalil perintah berbuat baik kepada ibu bapa yang sudah lanjut usia ini ada disebutkan dalam Al-Quran, Allah Subhanahu Wata'ala berfirman dalam Surah al-Isra' :

Tafsirnya : "Dan Tuhanmu telah memerintahkan supaya kamu jangan menyembah melainkan Dia semata-mata dan hendaklah kamu berbuat baik kepada kedua ibu bapa dengan sebaik-baiknya. Jika salah seorang daripada keduanya atau kedua-duanya berumur lanjut dalam jagaan dan peliharaanmu, maka janganlah sekali-kali engkau mengatakan kepada keduanya (sebarang perkataan yang boleh menyinggung perasaan seperti perkataan) ''ah'' dan janganlah engkau menengking keduanya, tetapi ucapkanlah kepada keduanya perkataan yang mulia (dengan berlemah-lembut dan bersopan-santun). Dan hendaklah engkau merendah diri dengan penuh kasih sayang dan berdoalah (untuk keduanya) : ''Ya Allah! Kurniakanlah rahmat kepada mereka berdua sebagaimana mereka telah memelihara dan mendidikku dari kecil (lagi)."
(Surah al-Isra' : 23-24)

Dalam kitab tafsir al-Qurtubi menjelaskan bahawa jika salah seorang atau kedua ibu bapa sudah berumur lanjut iaitu sudah tua dan berkeadaan lemah maka setentunya ketika inilah mereka lebih memerlukan jagaan atau pemedulian yang lebih banyak daripada sebelumnya sebagaimana halnya kanak-kanak yang sentiasa memerlukan belaian dan kasih sayang ketika masih dalam usia anak damit.

Sebagai seorang yang beragama, bertanggungjawab dan prihatin serta mempunyai sifat kemanusiaan, kita mestilah menjaga kebajikan mereka kerana sememangnya mereka dalam usia yang lanjut tidak lagi terdaya menguruskan diri, dan tidak berkeupayaan dalam membuat kerja hariannya. Inilah masanya mereka sangat memerlukan anak-anaknya dalam menguruskan hari-hari mereka yang mendatang.

Sesuai dengan maksud perkataan ''dalam jagaan atau peliharaanmu'' dalam ayat Al-Quran di atas memberikan gambaran betapa ibu bapa yang lanjut usia sangat memerlukan perlindungan dan belaian kasih sayang ketika mereka sudah tua dan dalam keadaan lemah sebagaimana dijelaskan dalam kitab tafsir al-Alusi.

Namun begitu, perlu dingat, perintah berbuat baik kepada kedua ibu bapa bukan saja ketika mereka sudah berumur lanjut, bahkan ketika mereka belum sampai lanjut usia pun Allah Ta'ala dan Rasul-Nya, Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam memerintahkan untuk berbuat baik kepada mereka.

Ayat-ayat Al-Quran yang memerintahkan untuk berbuat baik kepada kedua ibu bapa, antaranya ialah :

Tafsirnya : "Dan (ingatlah wahai Nabi Muhammad) ketika Kami mengikat perjanjian dengan Bani Israel (dengan berfirman) : ''Janganlah kamu menyembah melainkan Allah dan berbuat baiklah kepada kedua ibu bapa..."

(Surah al-Baqarah: 83)

Tafsirnya : "Dan sembahlah Allah dan janganlah kamu mempersekutukan-Nya dengan suatu apapun. Dan berbuat baiklah kepada kedua ibu bapa..."
(Surah an-Nisa' : 36)

Tafsirnya : "Katakanlah : ''Marilah aku bacakan apa yang diharamkan oleh Tuhan kamu ke atas kamu, iaitu jangan kamu mempersekutukan-Nya dengan sesuatupun dan berbuat baiklah kepada kedua ibu bapa..."

(Surah al-An'am : 151)

Dalam sebuah hadits, Abdullah bin Mas'ud Radhiallahuanhu pernah bertanya kepada Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam :

Maksudnya : "Apakah amalan yang lebih disukai Allah Ta'ala? Rasulullah bersabda : ''Sembahyang pada waktunya.'' Beliau bertanya lagi : ''Kemudian apa?'' Rasulullah bersabda lagi : ''Kemudian berbuat baik kepada kedua ibu bapa.'' Beliau bertanya lagi : ''Kemudian apa?'' Rasulullah bersabda lagi : ''Berjihad di jalan Allah."
(Hadits riwayat al-Bukhari)

Oleh yang demikian, tidak dinafikan lagi bahawa anak wajib berbuat baik kepada kedua ibu bapa sebagaimana disebutkan dalam ayat-ayat Al-Quran dan hadits di atas.

Bersambung

Seterusnya...

menuju

SEMBAHYANG berjemaah adalah sembahyang yang dilakukan lebih daripada seorang atau secara beramai-ramai dengan diketuai oleh seorang imam. Imam al-Bukhari dan Muslim telah meriwayatkan bahawa Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam telah bersabda yang bermaksud: ''Sembahyang berjemaah itu lebih afdhal (baik) daripada sembahyang bersendirian dengan 27 kali darjat.''

Sembahyang berjemaah terdiri daripada seorang imam dan sekurang-kurangnya seorang makmum. Sembahyang secara berjemaah sangat dituntut dalam Islam. Bagi Mazhab Syafi'e hukumnya ialah fardu kifayah, manakala sesetengah pendapat mengatakan sembahyang berjemaah hukumnya sunat muakkad atau sunat yang sangat dituntut dalam Islam. Mereka yang terlewat mengikuti sembahyang berjemaah, dikenali sebagai masbuq.

Antara sembahyang yang biasa ditunaikan secara berjemaah ialah sembahyang fardu lima waktu, Sembahyang Sunat Hari Raya, Sembahyang Sunat Istisqa, Sembahyang Sunat Tarawih dan Sembahyang Sunat Witir. Tetapi bagi Sembahyang Jumaat, ia wajib dikerjakan secara berjemaah.

Syarat-syarat sah sembahyang berjemaah :

1. Berniat mengikut / menjadi imam.

2. Mengetahui segala apa yang dikerjakan oleh imam.

3. Tiada dinding yang menghalangi antara imam dan makmum, kecuali bagi makmum perempuan di masjid hendaklah ada pembatas.

4. Tidak mendahului imam dalam takbir dan tidak pula melambatkannya.

5. Tidak mendahului imam dalam rukun-rukun sembahyang.

6. Kedudukan imam ialah di hadapan makmum, sekurang-kurangnya di takat tumit. Makmum tidak boleh berada di hadapan atau sebaris dengan imam.

7. Sembahyang makmum harus sama dengan sembahyang imam, misalnya sama-sama Sembahyang Fardu Zuhur, Jumaat, Qasar, Jama' dan sebagainya.

8. Makmum lelaki tidak mengikut imam perempuan.

Sembahyang yang dikerjakan secara sendirian di rumah tanpa berjemaah di masjid pada dasarnya adalah sah asalkan dikerjakan dengan memenuhi syarat-syarat dan menyempurnakan segala rukunnya. Tetapi perlu diingat bahawa sembahyang yang diwajibkan itu amatlah digalakkan supaya dikerjakan secara berjemaah lebih-lebih lagi bagi orang-orang yang tinggal berhampiran dengan masjid. Ini amatlah jelas sekali dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Daruquthni sebagaimana sabda Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam yang bermaksud :

"Tidak sempurna sembahyang bagi orang-orang yang berjiran dengan masjid melainkan di masjid."

Sembahyang berjemaah boleh dilakukan dengan keluarga yang terdiri daripada ayah, ibu atau suami, isteri dan anak-anak, tidak kiralah sama ada di masjid, surau atau di rumah dan sebagainya kerana syarat berjemaah itu sekurang-kurangnya seorang imam dan seorang makmum, maka sudah berhasil mendapat ganjaran pahala berjemaah, tetapi kalau lebih ramai jemaahnya maka tentulah lebih banyak ganjarannya. Imam Abu Daud dan an-Nasa'ie telah meriwayatkan dalam sebuah hadis bahawa Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam telah bersabda yang bermaksud :

"Sembahyang seorang lelaki berserta seorang lelaki yang lain (berjemaah) adalah lebih baik daripada sembahyang bersendirian dan sembahyang berserta dengan dua orang lelaki adalah lebih baik daripada sembahyang dengan seorang lelaki dan setiap berjemaah yang lebih ramai maka itulah yang lebih dikasihi di sisi Allah (Azzawajalla)."

Dalam sembahyang berjemaah seringkali timbul masalah orang muwafiq dan masbuq. Kedua-duanya wujud pada makmum yang berlainan. Orang muwafiq adalah makmum yang bersembahyang dengan imam yang sempat membaca Al-Fatihah dalam masa imamnya berdiri. Manakala orang masbuq ertinya ialah makmum yang tidak sempat membaca Al-Fatihah dalam masa imamnya berdiri seperti sebaik sahaja makmum bertakbiratulihram, kemudian imam pun rukuk atau hanya sempat membaca sebahagian dari Al-Fatihahnya maka itulah dinamakan masbuq.

Islam itu memang indah, kaum wanita juga diharuskan untuk turut serta berjemaah di masjid bersama kaum lelaki selagi tidak menimbulkan fitnah dengan kehadiran mereka. Tetapi adalah lebih baik jika mereka bersembahyang di rumah sahaja. Hal ini bertepatan dengan hadis yang diriwayatkan oleh al-Imam Abu Daud bahawa Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam telah bersabda yang bermaksud :

"Janganlah kamu tegah perempuan-perempuan kamu ke masjid (untuk sembahyang berjemaah) walaupun bersembahyang di rumah itu adalah lebih baik bagi mereka."

Antara hikmah sembahyang berjemaah itu ialah :

- Menanamkan sifat taat dan hormat kepada pemimpin yang jujur dan amanah.

- Apabila pemimpin (imam) melakukan kesilapan, makmum berhak mengingatkan.

- Dengan berjemaah ia dapat mendidik disiplin diri.

- Menanamkan sikap hormat-menghormati antara satu dengan yang lain.

- Dapat meningkatkan ukhuwah Islamiah.

Sembahyang berjemaah sangat dituntut dalam Islam kerana ia dapat menzahirkan syiar Islam dan memupuk semangat perpaduan dalam kalangan Muslimin. Perkara inilah yang perlu dihidupkan dalam kehidupan seharian kita selaku insan bergelar Muslim. Allah Subhanahu Wata'ala berfirman dalam Surah at-Taubah, ayat 18 yang tafsirnya :

"Orang-orang yang layak mengimarahkan masjid-masjid Allah itu hanyalah mereka yang beriman kepada Allah dan hari akhirat, mendirikan sembahyang dan membayar zakat serta tidak takut melainkan kepada Allah. (Dengan adanya sifat-sifat yang tersebut) maka mudah-mudahan mereka termasuk dalam golongan yang mendapat petunjuk."

Seterusnya...

seruan


MARILAH kita sama meningkatkan ketakwaan kita kepada Allah Subhanahu Wata'ala dengan penuh keyakinan dan keikhlasan dengan melakukan segala suruhan-Nya dan meninggalkan segala larangan-Nya. Mudah-mudahan kita menjadi insan yang beriman dan bertakwa serta selamat di dunia dan selamat di akhirat.

Sesungguhnya beriman dan bertakwa kepada Allah Subhanahu Wata'ala adalah tanggungjawab yang mesti dilaksanakan oleh setiap orang Islam untuk menjadi seorang mukmin yang sejati.

Adapun orang mukmin yang kuat dan teguh imannya itu ialah orang mukmin yang bukan sahaja beriman kepada Allah Subhanahu Wata'ala dengan hati dan mengakui dengan lisan, bahkan melaksanakan segala perintah Allah serta menjauhi segala larangan dan tegahan-Nya.

Manakala orang mukin yang lemah imannya pula ialah orang mukmin yang sekadar percaya (beriman) kepada Allah Subhanahu Wata'ala dengan hatinya, mempercayai dan membenarkan adanya Allah, mengakui dengan lisan dengan mengucap dua kalimah syahadat, tetapi cara hidup dan tingkah laku mereka bercanggah dengan akhlak dan syariat Islam.

Allah Subhanahu Wata'ala berfirman dalam Surah Al-Anfal ayat 2 - 4 :

Tafsirnya : "Sesungguhnya orang-orang yang benar-benar beriman itu ialah mereka yang apabila disebut nama Allah gementarlah hati mereka dan apabila dibacakan kepada mereka ayat-ayat-Nya, bertambah kuat iman mereka dan hanya kepada tuhan mereka sahajalah mereka bertawakal. Iaitu orang-orang yang mendirikan sembahyang dengan sempurnanya dan membelanjakan sebahagian daripada rezeki yang kami telah kurniakan kepada mereka. Mereka itulah orang yang beriman dengan sebenar-benarnya. Mereka akan mendapat beberapa darjat ketinggian di sisi tuhan mereka dan keampunan serta rezeki nikmat yang mulia yang tidak putus-putus di syurga."

Berdasarkan ayat Al-Quran tersebut dapatlah kita ambil kesimpulan bahawa di antara ciri-ciri atau sifat yang perlu ada bagi orang-orang mukmin sejati itu ialah :

Pertama : Sentiasa mengingati Allah Subhanahu Wata'ala (zikrullah) : Orang-orang yang beriman itu : apabila mereka mendengar nama Allah disebut, maka gementarlah hati mereka kerana diliputi oleh perasaan takut. Perasaan takut itulah yang dapat mencegah mereka daripada melakukan sesuatu perbuatan yang jahat (mungkar) dan akan mendorong mereka untuk melaksanakan perkara-perkara yang disuruh oleh Allah Subhanahu Wata'ala.

Orang yang hatinya sentiasa ingat kepada Allah tidak akan melupakan Allah di waktu senang mahupun di waktu susah, kerana Allah Subhanahu Wata'ala telah memberi jaminan akan memberikan bimbingan dan perlindungan kepada mereka, sebagaimana firman Allah Subhanahu Wata'ala dalam Surah Al-Baqarah, ayat 152 :

Tafsirnya : "Maka ingatlah kamu kepada-Ku dengan melakukan sembahyang, berzikir dan lain-lain perbuatan taat nescaya Aku akan mengingati kamu. Dan bersyukurlah kepada-Ku dengan taat mengerjakan suruhan-Ku dan janganlah kamu mengingkari-Ku dengan berbuat derhaka dan maksiat."

Kedua : Mendirikan sembahyang, sembahyang merupakan benteng dan perisai yang amat kuat dan kukuh bagi seorang mukmin yang boleh mencegah daripada melakukan perbuatan yang keji dan mungkar. Allah Subhanahu Wata'ala berfirman dalam Surah Al-Ankabut, ayat 45 :

Tafsirnya : "Bacalah wahai Muhammad apa yang diwahyukan kepadamu daripada Al-Quran dan dirikanlah sembahyang, sesungguhnya sembahyang itu mencegah daripada perbuatan keji dan mungkar, dan sesungguhnya mengingati Allah adalah lebih besar manfaat dan kesannya dan Allah mengetahui apa yang kamu perbuat."

Ketiga : Bertambah kuat imannya apabila mendengar dan memahami ayat-ayat Al-Quran yang dibacakan yang mana di dalamnya mengandungi hikmah, peringatan dan berita-berita mengembirakan, pengajaran yang sebenar lagi berkesan serta menjanjikan ganjaran dan sebaginya.

Keempat : Tawakal kepada Allah Subhanahu Wata'ala. Tawakal ialah berserah diri secara mutlak kepada Allah Subhanahu Wata'ala setelah segala usaha dan ikhtiar dijalankan di dalam menghadapi sesuatu perkara atau keadaan. Sifat tersebut hendaklah dijadikan sebagai prinsip di dalam kehidupan seharian kerana ianya menanamkan semangat keteguhan hati, ketenangan, keberanian dan sebagainya.

Kelima : Membelanjakan sebahagian daripada rezekinya (hartanya) ke jalan Allah Subhanahu Wata'ala. Bagi mereka yang mempunyai rezeki hendaklah membelanjakan sebahagian daripada rezeki mereka itu untuk amal kebajikan, menolong orang yang susah, orang yang kurang bernasib baik dan membelanjakannya ke jalan yang diredhai Allah Subhanahu Wata'ala.

Setelah kita mengetahui di antara ciri-ciri orang mukmin sejati, maka hendaklah kita muhasabah diri kita dan berazam serta berusaha untuk menjadi seorang mukmin yang sejati. Sebagai seorang Islam, kita mestilah mempunyai iman yang kuat dan mantap. Bagi menguatkan dan meningkatkan iman kita serta untuk mencapai dan menjadikan diri kita mukmin sejati, ada beberapa amalan yang boleh kita lakukan, antaranya ialah dengan membaca dan tadabur (merenung atau memikirkan) isi kandungan Al-Quran. Sesungguhnya orang yang membaca dan memperhatikan isi kandungan Al-Quran akan mendapatkan ilmu dan pengetahuan yang menjadikan imannya kuat dan bertambah. Selain itu, ialah dengan mengenal Asma'ul Husna dan sifat-sifat Allah Subhanahu Wata'ala yang menunjukkan kesempurnaan Allah Subhanahu Wata'ala secara mutlak. Apabila seorang hamba mengenal Allah Subhanahu Wata'ala dengan jalan yang benar, maka ia diberi taufik dalam mendapatkan iman yang kuat dan ketaatan kepada Allah Subhanahu Wata'ala.

Kita juga boleh meningkatkan iman kita dengan memerhatikan sirah atau perjalanan hidup Rasullullah Sallallahu Alaihi Wasallam, iaitu dengan mengamati dan mempelajari sirah Baginda dan sifat-sifatnya yang baik serta perangainya yang mulia.

Itulah beberapa amalan yang dengannya insyaaAllah akan dapat menyebabkan bertambahnya keimanan. Adapun hal-hal yang dapat melemahkan iman seseorang adalah sebaliknya, di antaranya, kejahilan terhadap syariat Islam, lalai, lupa dan berpaling dari ketaatan, melakukan kemaksiatan dan dosa-dosa besar, mengikut hawa nafsu dan sebagainya.

Oleh yang demikian, wahai kaum muslimin, sama-samalah kita berdoa mudah-mudahan kita semua tergolong dalam golongan orang-orang yang sentiasa bertambah iman dan dijauhkan dari kelemahan dan kehinaan serta tergolong dalam golongan orang-orang yang benar-benar beriman dengan keimanan yang teguh dan tulen. Amin Ya Rabbal Alamin.

Surah Al Hujurat, ayat 15 :

Tafsirnya : "Sesungguhnya orang-orang yang benar-benar beriman hanyalah mereka yang beriman kepada Allah dan rasul-Nya, kemudian mereka tidak ragu-ragu serta mereka berjihad dengan harta benda dan jiwa mereka pada jalan Allah, mereka ialah orang-orang yang benar."

Seterusnya...

irsyad

Keluaran Kedua

Berhati-Hati Menyebarkan Hadis Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam di Media Sosial

TELAH pun dijelaskan sebelum ini bahawa meriwayat dan menyebarkan hadis maudhu' merupakan satu dosa besar dan satu perbuatan yang dijanjikan neraka. Bahkan kita juga dilarang daripada meriwayat dan menyebarkan hadis-hadis yang dikhuatiri maudhu' atau berkemungkinan tidak sabit daripada Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam.

Bagaimana pula kedudukannya jika perkara ini dilakukan bukan dengan senghaja dan bukan dengan niat buruk, akan tetapi disebabkan jahil, lalai, silap atau kurang berhati-hati dalam mengambil maklumat sepertimana yang berlaku di kalangan sebilangan masyarakat yang suka mengongsikan dan menyebar-nyebarkan (ataupun yang lebih dikenali pada masa ini dengan istilah share, forward atau copy & paste) apa sahaja yang diterimanya tanpa usul periksa, yang mana, termasuk dalam sebaran serta perkongsian tersebut adalah hadis-hadis maudhu' dan tidak ada asalnya? Adakah ia termasuk dalam kecaman serta janji buruk di atas? Atau adakah golongan ini dimaafkan atas kejahilan serta kecuaian mereka?

Menurut ulama, berhati-hati dalam mengambil dan menyebarkan hadis hukumnya wajib. Menurut Imam an-Nawawi Rahimahullah, sebagai menjaga kesucian hadis Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam, sayugia tidak diterima mana-mana hadis kecuali daripada sumbernya yang betul serta ahlinya yang muktabar.

Ulama-ulama besar Islam sangat bersungguh-sungguh dan berhati-hati dalam menilai kesahihan sesuatu hadis sekalipun mereka adalah orang-orang yang diperakui dan tinggi ilmunya. Sebagai contoh, Imam al-Auza'ie Rahimahumullah, sebaik sahaja mendengar suatu hadis, beliau akan merujuk terlebih dahulu kepada pakar-pakar hadis untuk mendapatkan kepastian tentang status kesahihannya.

Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam sendiri menegah daripada meriwayatkan dan menyebarkan hadis kecuali jika hadis tersebut benar-benar sabit sahih daripada Baginda.

Abu Qatadah Radhiallahuanhu meriwayatkan bahawasanya beliau telah mendengar Rasullullah Sallallahu Alaihi Wasallam bersabda di atas mimbar :

Maksudnya : "Wahai sekalian manusia, jauhi oleh kamu terlalu banyak meriwayatkan hadis daripadaku. Barangsiapa yang menisbahkan suatu kata kepadaku, maka janganlah dia berkata-kata kecuali yang hak - atau semata-mata yang benar. Maka barangsiapa menisbahkan suatu kata kepadaku padahal aku sendiri tidak pernah mengatakannya, maka hendaklah dia mempersiapkan tempat tinggalnya di neraka."

(Hadis riwayat Ibnu Majah, ad-Darimi dan Ahmad).

Jika kita baca serta amat-amati sirah para sahabat Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam yang mendampingi serta mendengar sendiri hadis-hadis Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam secara langsung daripada Baginda, kita dapati mereka ini sangat berhati-hati serta sangat berwaspada dalam meriwayatkan suatu hadis. Mereka tidak akan meriwayatkan suatu hadis kecuali jika mereka benar-benar yakin akan ketepatan periwayatan mereka itu.

Ini tidak lain adalah kerana mereka khuatir akan melakukan kesilapan dalam periwayatan mereka yang mungkin sekaligus akan mengakibatkan mereka menisbahkan sesuatu yang tidak benar kepada Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam secara tidak senghaja. Sikap ini lahir daripada keikhlasan serta kesungguhan mereka untuk memelihara kemurnian agama Islam serta mempertahankan kesucian sunnah Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam.

Bukan itu sahaja, bahkan dalam menerima hadis yang didatangkan oleh para sahabat yang lain pun mereka ini cukup tegas, ketat dan kritis. Ini jelas dengan adanya beberapa riwayat di mana para sahabat menuntut daripada perawi yang juga daripada golongan sahabat supaya bersumpah atau mendatangkan saksi bagi membuktikan bahawa riwayat yang mereka bawakan adalah sabit dan sahih daripada Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam. Ini bukan kerana mereka ragu, buruk sangka atau kurang percaya akan para sahabat yang lain, jauh sekali menuduh mereka berdusta. Bahkan ini mereka lakukan semata-mata kerana mahu memastikan hadis-hadis Baginda suci dan selamat daripada sebarang kekurangan atau tokok tambah. Dengan ini, kesucian dan ketulenan syari'at Islam akan terus terpelihara.

Bagaimanapun, sikap prihatin serta waspada para sahabat ini tidaklah menghalang atau membantutkan usaha mereka daripada menyebarkan hadis serta ajaran Baginda Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam. Sememangnya tidak ada golongan yang lebih tekun dan bersungguh-sungguh berjuang dalam mempertahan dan menyebarkan sunnah Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam lebih daripada para sahabat Baginda yang diredhai Allah Subhanahu Wata'ala ini. Sikap prihatin serta waspada para sahabat ini sewajarnya dicontohi dan sepatutnya menjadi peringatan supaya sentiasa berhati-hati dalam meriwayat dan menyebarkan hadis Baginda.

Apabila para sahabat serta para ulama muktabar salaf dan khalaf sangat berwaspada serta sangat berhati-hati dalam meriwayat, menerima riwayat serta menyebarkan hadis-hadis Baginda, maka siapakah kita ini untuk bertindak terburu-buru, selarah-larahnya dan dengan sewenangnya menyebarkan setiap hadis tanpa usul periksa serta tanpa merujuk dahulu kepada ahlinya?

Seseorang yang meriwayat atau menyebarkan hadis palsu secara tidak senghaja, umpamanya kerana jahil, terlupa, tersilap, terlalai dan seumpamanya menurut hukum asalnya tidaklah berdosa. Ini kerana dalam syarak, perbuatan tidak senghaja seperti itu adalah dimaafkan daripada menanggung dosa. Bagaimanapun, perbuatan ini jika dilakukan secara terus menerus akan mengakibatkan dosa. Iaitu dosa kerana cuai serta tidak menanamkan sikap berhati-hati dalam menyebarkan hadis Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam.

Sikap suka meriwayat atau menyebarkan hadis tanpa usul periksa serta tanpa memastikan dahulu akan kesabitannya sewajarnya dijauhi. Imam ad-Darimi Rahimahullah berkata sepertimana yang dinukilkan daripadanya oleh Imam at-Tirmizi Rahimahullah, bahawa sesiapa yang meriwayat atau menyebarkan hadis sedangkan keaslian serta kesabitan hadis tersebut dari Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam tidak diketahui, maka dikhuatiri dia termasuk dalam golongan yang dijanjikan ancaman neraka.

Manakala penulis kitab al-Minhaj al-Hadis fi 'Ulum al-Hadis, iaitu Ustaz Doktor Syarf al-Qudhah Hafizhahullah pula menyatakan dalam kitab tersebut bahawa seseorang yang menyebut atau meriwayatkan satu hadis maudhu' sedangkan dia sendiri jahil dan tidak mengetahui kedudukan hadis yang diriwayatkannya itu, maka dia menanggung dosa.

Dari penjelasan-penjelasan di atas, dapatlah disimpulkan bahawa sikap tidak berwaspada serta membiarkan diri jahil hukum dan ilmu agama bukanlah suatu keuzuran yang boleh dipertimbangkan syarak untuk seseorang itu bebas melakukan apa sahaja tanpa usul periksa. Terutama dalam hal menjaga keshahihan sumber tasyre' kedua Islam, iaitu hadis Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam.

Bahkan jika dilihat dari sudut pengertian "dusta" itu sendiri, menurut Ahli as-Sunnah ia bermaksud "mengkhabarkan sesuatu secara bertentangan dengan kebenaran, sama ada dengan senghaja ataupun tidak senghaja". Menurut Imam an-Nawawi Rahimahullah, definisi ini adalah definisi "dusta" yang tepat dan masyhur dalam pegangan Ahli as-Sunnah. Maka, menurut definisi atau takrifan ini, selagimana perkhabaran yang disampaikan itu tidak sahih, tidak kira sama ada ia dilakukan secara senghaja ataupun tidak senghaja, dan tidak kira sama ada dia mengetahui ataupun jahil mengenainya, semua itu termasuk dalam kategori melakukan "dusta".

Pendapat Ahli as-Sunnah ini diperkuatkan lagi oleh sebuah hadis sahih yang diriwayatkan daripada Abu Hurairah Radhiallahuanhu bahawasanya Baginda Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam telah bersabda :

Maksudnya : "Sudah memadai seorang itu dikirakan sebagai pendusta apabila dia menyampaikan segala apa yang dia dengar."

(Hadis riwayat Muslim).

Hadis ini secara umum mencela dan menegah daripada mengambil, menyampaikan atau memberitakan segala apa sahaja yang kita dengar tanpa usul periksa. Jika tidak berhati-hati dalam menyampaikan perkara-perkara biasa pun sudah mendapat tegahan serta celaan, apatah lagi tidak berhati-hati dalam menyampaikan perkara-perkara yang dinisbahkan kepada Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam.

Perlu diingat bahawa menisbahkan suatu dusta kepada Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam itu tidak sama dengan menisbahkan suatu dusta kepada orang lain. Jika berdusta itu secara umum adalah dicela dan merupakan satu dosa, sudah setentunya melakukan pendustaan terhadap Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam itu adalah lebih hebat celaannya dan lebih besar dosanya.

Al-Mughirah bin Syu'bah Radhiallahuanhu meriwayatkan bahawasanya Rasulullah

Sallallahu Alaihi Wasallam telah bersabda :

Maksudnya : "Sesungguhnya pendustaan terhadapku tidak sama seperti pendustaan terhadap orang lain. Barangsiapa yang melakukan pendustaan terhadapku dengan senghaja, maka hendaklah dia mempersiapkan tempat tinggalnya di neraka".

(Hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim).

Mendengar dan menerima hadis dari sumber yang diragui wajib dijauhi. Imam Ibnu Sirin Rahimahullah pernah berkata : "Sesungguhnya ilmu ini (hadis) adalah agama, maka perhatikanlah daripada siapa kamu mengambil agama kamu".

Dengan menanamkan sikap prihatin dan waspada dalam menerima hadis-hadis Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam ini, kita dengan sendirinya telah melakukan suatu khidmat yang sangat besar dalam memperjuangkan kesucian sunnah Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam dengan menjadi perisai yang menghalang dan menghentikan penyebaran hadis palsu daripada menyelinap masuk ke dalam syariat Islam. Inilah bukti kecintaan sejati terhadap Rasul junjungan kita Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam.

Kita perlu menanamkan sikap sentiasa berawas-awas dalam menerima setiap ilmu serta maklumat. Ini kerana setiap ilmu serta maklumat yang kita dengar, baca dan

sebagainya sudah pasti tidak akan lari daripada dua keadaan, iaitu sama ada ia sesuatu yang sabit dan benar ataupun sebaliknya. Jika segala ilmu dan maklumat itu diterima bulat-bulat dan disebarkan tanpa berawas-awas dan tanpa usul periksa, ini tidak syak lagi akan memungkinkan kita terjerumus melakukan pendustaan.

Dalam menerima setiap sesuatu yang dinisbahkan kepada Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam, sikap prihatin, waspada serta berhati-hati perlu ada dalam diri setiap individu Muslim. Sayugia tidak diamalkan serta tidak disebarkan sesuka hati tanpa merujuk terlebih dahulu kepada para ulama serta ahli-ahlinya yang berkelayakan terutama sekali yang beredar di laman sesawang mahupun melalui aplikasi-aplikasi media sosial.

Apa yang sewajarnya dilakukan ialah kita teliti kandungan maklumat yang diterima. Jika telah pasti kesahihan atau benarnya maklumat yang diterima itu, barulah kita kongsikan atau menyebarkannya terutama sekali yang berhubung dengan hadis Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam.

Seterusnya...

Ramalan Cuaca

Untuk maklumat lanjut Ramalan Cuaca bagi Negara Brunei Darussalam sila layari www.met.gov.bn

Login or Register

LOG IN

Register

User Registration
or Cancel