A+ A A-

seruanMARILAH kita meningkatkan ketakwaan kita kepada Allah Subhanahu Wata'ala dengan penuh keyakinan dan keikhlasan dengan melakukan segala suruhan-Nya dan meninggalkan segala larangan-Nya. Mudah-mudahan kita menjadi insan yang beriman dan bertakwa serta selamat di dunia dan selamat di akhirat.

Sesungguhnya kehidupan manusia di dunia ini tidak kekal, kehidupan ini akan berakhir, iaitu sama ada dengan kesudahan yang baik atau sebaliknya. Bagi mendapatkan kehidupan yang baik di akhirat kelak, setiap manusia hendaklah beriman dan beramal soleh. Kerana jika tidak, maka kesudahan kehidupannya di akhirat akan berakhir dengan kesudahan yang buruk, penuh dengan seksaan dan penderitaan. Oleh itu, kita sering diingatkan untuk menghargai nikmat umur dan memanfaatkannya dengan ketaatan kepada Allah Subhanahu Wata'ala dan memperbanyakkan amal soleh.

Sabda Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam maksudnya : "Dari Abdurrahman bin Abi Bakrah dari ayahnya, seorang lelaki telah berkata : Wahai Rasulullah siapakah sebaik-baik manusia? Rasulullah bersabda : Sebaik-baik manusia ialah orang yang dipanjangkan umurnya dan umurnya itu dipergunakan untuk berbuat kebajikan. Berkata lelaki itu lagi : Siapakah sejahat-jahat manusia? Rasulullah bersabda : Sejahat-jahat manusia ialah orang yang dipanjangkan umurnya tetapi digunakannya untuk berbuat kejahatan."

Di dalam Al-Quran terdapat banyak firman Allah Subhanahu Wata'ala yang menggandingkan sebutan 090416 SERUAN SUCI 01 yakni orang-orang yang beriman dan beramal soleh di mana mereka itu telah dijanjikan dengan ganjaran yang amat tinggi nilainya daripada Allah Subhanahu Wata'ala. Gandingan tersebut juga membuktikan betapa orang yang beriman hendaklah juga beramal soleh bagi mendapatkan ganjaran-ganjaran tersebut. Oleh itu, tidak cukup jika seseorang itu hanya mengaku beriman, iaitu melafazkan dua kalimah syahadah dan melaksanakan rukun-rukun Islam sahaja, tetapi hendaklah juga melakukan amal soleh.

Namun siapakah orang yang beriman dan beramal soleh tersebut? Mereka ialah seorang mukmin yang sebenar, iaitu sentiasa mengabdikan diri kepada Allah Subhanahu Wata'ala, beribadat hanya kepada-Nya, melaksanakan suruhan-Nya, memelihara dan menjauhkan dirinya daripada apa jua perbuatan yang boleh mendatangkan dosa. Orang yang beriman akan sentiasa kembali kepada Allah Subhanahu Wata'ala, bertaubat kepada-Nya dan memohon keampunan setiap waktu dan masa. Orang yang beriman juga akan sentiasa mengerjakan amal soleh dengan penuh keikhlasan, sentiasa mengharapkan agar amalannya diterima dan mendapat ganjaran dari Allah Subhanahu Wata'ala.

Amal soleh itu sangat luas maknanya. Amal soleh ialah apa jua perbuatan yang baik, bermanfaat dan berguna sama ada bagi dirinya mahupun kepada orang lain. Antara perbuatan amal soleh itu ialah orang yang memperbanyakkan doa dan zikir, membaca Al-Quran, melaksanakan tanggungjawabnya dengan amanah seperti kepada ibu bapa, keluarga dan masyarakat, mengamalkan sikap yang mulia seperti tolong-menolong dan melaksanakan 'amar makruf nahi mungkar, mencari rezeki dengan cara yang jujur, menuntut, memberi dan mengamalkan ilmu yang bermanfaat, membelanjakan hartanya dengan jalan yang diredhai Allah Subhanahu Wata'ala seperti bersedekah, berwakaf, menderma dan sebagainya.

Orang-orang yang beriman dan beramal soleh telah dijanjikan dengan ganjaran yang besar dari Allah Subhanahu Wata'ala antaranya mendapat ganjaran pahala, tiada dukacita baginya, tergolong orang-orang yang soleh, dihapuskan kesalahannya bahkan dan dikurniakan ganjaran apa yang telah mereka kerjakan itu dengan sebaik-baik ganjaran. Adapun antara sebaik-baik ganjaran itu ialah syurga sebagaimana firman Allah Subhanahu Wata'ala dalan Surah Al 'Ankabuut ayat 58 :

Tafsirnya : "Dan orang-orang yang beriman dan mengerjakan amalan-amalan soleh, kami tentu akan menempatkan mereka di tempat-tempat yang tinggi (mahligai) di dalam Syurga yang mengalir di bawahnya sungai-sungai, mereka kekal di dalamnya, itulah sebaik-baik ganjaran bagi orang-orang yang beramal."

Oleh itu, beruntunglah orang-orang yang menghabiskan umurnya untuk taat dan beribadat kepada Allah Subhanahu Wata'ala dan memperbanyakkan amalan soleh, dan alangkah ruginya orang-orang yang mensia-siakan umur dengan menderhaka kepada Allah Subhanahu Wata'ala, melakukan perbuatan yang berdosa dan maksiat, berbuat kejahatan dan kemungkaran, kerana apa yang diterima hanyalah kemurkaan Allah Subhanahu Wata'ala.

Sememangnya semua manusia mengimpikan agar kehidupan di akhirat kelak berakhir dengan kebaikan dan kebahagiaan, iaitu hidup kekal di dalam Syurga yang penuh dengan kesenangan dan kelazatan. Semua itu boleh dicapai dengan menjadi orang yang beriman dan beramal soleh. Terdapat sebilangan orang yang bercita-cita agar Allah Subhanahu Wata'ala akan memuliakannya dan mengangkat darjatnya dalam Syurga bersama-sama dengan orang yang beramal soleh. Tetapi mereka tidak melakukan amal soleh, leka dan sibuk dengan urusan dunia, hakikatnya itu hanyalah angan-angan kosong.

Allah Subhanahu Wata'ala telah berfirman dalam Surah Shaad ayat 28 :

Tafsirnya : "Patutkah kami menjadikan orang-orang yang beriman dan mengerjakan amalan-amalan soleh itu sama seperti orang-orang yang berbuat kerosakan di bumi? Atau patutkah kami menjadikan orang-orang yang bertakwa itu sama seperti orang-orang yang berdosa?"

Hari Akhirat atau Hari Kiamat, adalah hari di mana manusia akan dihisab mengikut amal perbuatan mereka semasa hayat di dunia. Dalam Surah Al Jaatsiyah ayat 28 - 30 ada menjelaskan bahawa pada Hari Kiamat setiap manusia akan berlutut dalam keadaan cemas dan menunggu panggilan. Setiap dari mereka itu akan dipanggil untuk menerima buku catatan amalnya serta dikatakan kepada mereka, "Pada hari ini kamu dibalas menurut apa yang kamu telah kerjakan."

Sesungguhnya Allah telah memerintahkan malaikat mencatat apa sahaja yang telah manusia kerjakan semasa mereka hidup di dunia di dalam buku catatan amal. Adapun orang-orang yang beriman dan mengerjakan amalan-amalan soleh maka mereka akan dimasukkan oleh Tuhan ke dalam rahmat-Nya, iaitu Syurga. Manakala bagi orang-orang yang tidak beriman, maka balasan mereka ialah Neraka.

Ingatlah wahai saudara-saudara sekalian, pohonlah pertolongan kepada Allah Subhanahu Wata'ala agar kita bersungguh-sungguh, sabar dan istiqomah dalam melaksanakan amal soleh. Manfaatkanlah peluang hidup ini sebelum ajal tiba. Jangan sampai umur kita tersisa pada sesuatu yang tidak bermanfaat agar tiada penyesalan dan berdukacita setelah mati. Apabila kematian telah tiba, barulah kita sedar bahawa kita telah mensia-siakan umur di masa hidup di dunia dahulu. Oleh itu, kita hendaklah bersegera dalam beribadat dan beramal soleh, dan jangan sekali-kali menangguhkannya ke masa yang lain.

Firman Allah Subhanahu Wata'ala dalam Surah As Sajdah ayat 12 :

Tafsirnya : "Dan alangkah ngerinya kalau engkau wahai Nabi Muhammad melihat orang-orang yang berdosa itu menundukkan kepala mereka di hadapan Tuhan mereka sambil merayu-rayu : Ya Tuhan kami! Kami telah melihat dan mendengar maka kembalikanlah kami (ke dunia) supaya kami mengerjakan amalan soleh, sesungguhnya kami sekarang telah yakin."

Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam ada mengingatkan kita tentang masa dalam sebuah hadis yang diriwayatkan dari Ibnu Abbas Radiallahu'anha ia berkata : Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam bersabda kepada seorang lelaki dan Baginda menasihatinya :

Maksudnya : "Rebutlah lima perkara sebelum kami didatangi oleh lima perkara yang lain. Masa muda mu sebelum tua mu, masa sihat mu sebelum sakit mu, masa kaya mu sebelum fakir mu, masa lapang mu sebelum kesibukan mu dan masa hidup mu sebelum mati mu."

Akhirnya marilah kita sama-sama berdoa semoga Allah Subhanahu Wata'ala memberikan petunjuk, hidayah dan rahmat-Nya kepada kita dan semoga kehidupan kita di dunia ini sentiasa berada di landasan yang benar dan diredhai Allah agar kita mendapat kehidupan yang selamat dan bahagia di hari akhirat. Amin Ya Rabbal Alamin.

Surah Al Kahfi ayat 107 - 108 :

Tafsirnya : "Sesungguhnya orang-orang yang beriman dan mengerjakan amalan-amalan soleh adalah bagi mereka syurga-syurga Firdaus sebagai tempat tinggal mereka, mereka kekal di dalamnya, mereka tidak ingin berpindah daripadanya."

 

Seterusnya...

irsyad

 

Keluaran Kedua

Beberapa Permasalahan Mengenai Sembahyang Duduk

1. Mampu berdiri, tetapi tidak mampu ruku' dan sujud.

Jika seseorang mampu berdiri, akan tetapi dia tidak mampu ruku' dan sujud, umpamanya disebabkan terdapat masalah pada bahagian belakangnya, maka wajib ke atasnya mengerjakan sembahyang dengan berdiri. Adapun rukuk dan sujud dilakukan dalam keadaan berdiri dengan membongkokkan tulang belakangnya sekadar yang dia mampu sahaja.

Jika dia tidak mampu membongkokkan tulang belakangnya untuk ruku' dan sujud, maka hendaklah dia menundukkan leher dan kepalanya, dan jika tidak mampu juga maka hendaklah dengan isyarat.

Dalam keadaan di atas, menurut Imam al-Halabi, apabila seseorang itu selesai melakukan sujud pertama dengan isyarat ketika dalam keadaan berdiri, kemudian dia melakukan duduk di antara dua sujud seperti biasa, setelah itu hendaklah dia melakukan sujud kedua dengan isyarat dalam keadaan dia duduk bukan dengan berdiri. Ini kerana sujud keduanya dalam keadaan dia duduk itu lebih dekat dengan tempat sujud.

2. Mampu berdiri dan berbaring sahaja.

Jika seseorang mampu berdiri dan berbaring sahaja, dan tidak mampu duduk, maka hendaklah dia mengerjakan sembahyang dengan berdiri dan memberi isyarat ruku' dan sujud sekadar yang mampu. Demikian juga dalam melakukan tasyahhud (tahiyyat), hendaklah dia melakukannya dalam keadaan berdiri.

3. Mampu berdiri apabila sembahyang bersendirian sahaja.

Jika seseorang mampu berdiri apabila sembahyang bersendirian, tetapi menghadapi kesulitan untuk berdiri apabila sembahyang berjemaah, melainkan dengan duduk pada sebahagian sembahyangnya, maka dalam keadaan tersebut, adalah afdhal baginya untuk sembahyang bersendirian sahaja. Namun sembahyangnya tetap sah jika dia berjemaah dan duduk pada sebahagian sembahyangnya itu.

4. Berlaku keuzuran di pertengahan sembahyang.

Apabila seorang yang sihat menunaikan sembahyang seperti biasa, tiba-tiba berlaku keuzuran yang menyebabkannya tidak mampu untuk berdiri, maka dalam hal tersebut harus dia melakukan daripada keadaan yang dia tidak mampu, iaitu berdiri kepada yang termampu olehnya, iaitu duduk.

Jika berlaku keuzuran ketika dia sedang membaca sebahagian Surah Al-Fatihah, wajib dia meneruskan bacaan Al-Fatihah dalam waktu dia bergerak merendah untuk duduk itu.

5. Hilang keuzuran di pertengahan sembahyang.

Apabila seorang yang uzur mengerjakan sembahyang dengan cara duduk, tiba-tiba hilang keuzurannya dan mampu untuk berdiri, maka wajib baginya untuk segera bangkit dan berdiri.

Jika dia mampu untuk berdiri disebabkan hilang keuzuran atau berkurangan keuzurannya sebelum dia membaca Surah Al-Fatihah, maka hendaklah dia bangkit berdiri dan membaca Surah Al-Fatihah dalam keadaan berdiri.

Demikian juga, jika dia berdaya untuk berdiri disebabkan hilang atau berkurangan keuzuran ketika dia sedang membaca Surah Al-Fatihah, maka hendaklah dia bangkit dan menyambung bacaannya setelah dia sempurna berdiri. Wajib ke atasnya untuk tidak meneruskan membaca Surah Al-Fatihah sehinggalah dia sempurna berdiri kerana tidak memadai atau tidak dikira bacaannya jika dia membacanya ketika bergerak untuk berdiri.

Adapun jika dia mampu untuk berdiri setelah selesai membaca Surah Al-Fatihah sebelum lagi melakukan rukuk, maka hendaklah dia bangkit berdiri untuk tunduk ruku' tanpa perlu thuma'ninah dan disunatkan untuk membaca semula Surah Al-Fatihah dalam keadaan berdiri sebelum ruku'.

Dalam keadaan yang lain pula, jika seorang bersembahyang duduk lalu hilang keuzurannya ketika dia melakukan ruku' dalam keadaan duduk dan sebelum thuma'ninah, maka hendaklah dia terus berdiri dalam keadaan ruku' dan jangan berdiri tegak. Sembahyangnya menjadi batal jika dia berdiri tegak terlebih dahulu dan kemudian baru rukuk. Ini adalah kerana jika dia berdiri tegak terlebih dahulu, nescaya dia menambah rukun fi'li sembahyang, iaitu berdiri.

Manakala jika keuzurannya itu hilang selepas thuma'ninah, maka ruku'nya adalah sempurna dan wajib dia berdiri dalam keadaan i'tidal kemudian baharulah dia sujud tanpa perlu ruku'. Jika dia melakukan ruku', sembahyangnya menjadi batal kerana dia menambah satu lagi rukun fi'li sembahyang, iaitu ruku'.

Jika keuzurannya hilang ketika melakukan i'tidal dalam keadaan duduk sebelum berlaku thuma'ninah, maka hendaklah dia bangkit berdiri untuk i'tidal dan thuma'ninah. Sementara itu, jika keuzurannya hilang selepas berlaku thuma'ninah, maka menurut pendapat yang ashah, tidak perlu lagi dia berdiri supaya tidak berlaku perbuatan memanjangkan tempoh i'tidal, kerana i'tidal merupakan rukun pendek. Adapun jika keuzurannya hilang selepas thuma'ninah di rakaat kedua Sembahyang Subuh, sebelum dia membaca Doa Qunut, maka hendaklah dia bangkit berdiri untuk membaca Doa Qunut. Jika dia tidak bangkit berdiri namun dia terus membaca Doa Qunut dalam keadaannya duduk, maka batal sembahyangnya kerana perbuatan tersebut dikira menambah perbuatan duduk yang bukan sepatutnya.

6. Tidak mampu berdiri lama.

Seseorang yang ada keuzuran untuk berdiri pada kadar yang lama, iaitu dia hanya mampu untuk berdiri sekadar sempat untuk membaca Surah Al-Fatihah sahaja dan jika dia membaca surah lain selepas itu, nescaya dia tidak mampu lagi untuk berdiri, dalam hal yang demikian, afdhal baginya membaca Surah Al-Fatihah sahaja tanpa membaca surah lain selepas Al-Fatihah itu. Ini kerana menjaga rukun sembahyang (berdiri) itu adalah lebih utama.

Berdasarkan penjelasan di atas, dapat diambil kesimpulan bahawa setiap rukun di dalam sembahyang fardhu tetap wajib untuk dikerjakan oleh setiap mukallaf mengikut kadar kemampuannya.

Antaranya, bagi seseorang yang mempunyai keuzuran sehingga menyebabkan dia tidak mampu berdiri, akan tetapi dia mampu untuk duduk, maka dia hendaklah mengerjakan rukun berdiri dengan cara duduk mengikut ketetapan seperti yang telah dijelaskan. Pahala sembahyangnya sama sahaja seperti pahala sembahyang yang dikerjakan dengan berdiri.

Sementara itu pula, diharuskan mengerjakan sembahyang sunat dalam keadaan duduk walaupun seseorang itu mampu untuk berdiri. Walau bagaimanapun, pahala sembahyangnya adalah separuh daripada pahala sembahyang sunat yang dikerjakan dengan berdiri.

Seterusnya...

menuju

RUMAH tangga menurut Islam ialah suatu cara hidup atau suatu bentuk kehidupan yang diikat dengan akad perkahwinan serta diperkuatkan dengan beberapa undang-undang dan peraturan yang diluluskan oleh Islam yang terdiri dari seorang suami dan seorang isteri atau beberapa orang isteri dan anak-anak dan sebagainya.

Apabila mendirikan rumah tangga, sebagai seorang suami atau seorang bapa, maka Islam meletakkannya sebagai ketua dalam rumah tangga dengan menanggung beberapa kewajipan iaitu, antaranya :

• Memberi sara hidup zahir dan batin terhadap isteri serta nafkah terhadap anak-anaknya. Menyediakan segala keperluan hidup menurut kemampuan serta mengadakan tempat kediaman yang sesuai.

• Membentuk keluarga bahagia termasuk memberi pengajaran dan pendidikan yang sempurna menurut Islam.

• Mempunyai sifat bertimbang rasa dan lapang dada serta pastikan sentiasa mematuhi perintah-perintah Allah.

• Berusaha bagi melahirkan persefahaman dan kasih sayang serta menjamin kerukunan dan ketenteraman rumah tangga.

Manakala peranan wanita sebagai isteri dan ibu pula antaranya ialah :

• Bertanggungjawab bagi melahirkan zuriat, keturunan bani insan dan memperbanyakkan umat Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam.

• Selain dari mentaati Allah dan Rasul, isteri juga berkewajipan mentaati suami selagi tidak bercanggah dengan kehendak-kehendak Islam.

• Berkewajipan memelihara diri dan melayani kehendak-kehendak suaminya yang tidak terkeluar dari nilai-nilai perikemanusiaan.

• Menjaga dan memelihara harta benda suami dengan penuh amanah lagi bertanggungjawab.

• Memelihara dan menguruskan rumah tangga dengan baik lagi sempurna serta mengawal anak-anaknya.

Adalah menjadi harapan bagi setiap pasangan suami dan isteri untuk melahirkan keluarga yang bahagia dalam sebuah rumah tangga. Islam telah meletakkan beberapa garis panduan bermula dari pemilihan pasangan hidup itu sendiri. Sebagaimana dalam sebuah hadits yang diriwayatkan oleh Imam al-Bukhari bahawa Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam telah bersabda yang bermaksud : "Dikahwinkan seseorang perempuan itu berdasarkan kepada empat perkara, pertama, kerana kekayaannya, kedua, kerana kecantikannya, ketiga, kerana bangsanya, keempat, kerana agamanya. Maka pilihlah perempuan yang kuat pegangan agamanya nescaya membahagiakan dikau."

Berdasarkan daripada hadits tersebut, ia jelas menjadi garis panduan bagi mendapatkan pasangan hidup dengan berdasarkan kepada empat faktor iaitu kerana kekayaannya, kecantikannya, bangsanya dan agamanya. Memandangkan kesukaran pada zaman ini untuk mendapatkan perempuan yang mempunyai ciri atau sifat seperti yang disarankan Rasulullah, maka Baginda Rasulullah menyarankan supaya pilihan muktamad hendaklah berdasarkan kepada agama atau perempuan yang berpendidikan agama Islam kerana dengan ini akan memudahkan dan menolong kita ke arah pembentukan keluarga yang sakinah dan mawaddah.

Dalam kehidupan berumah tangga, kaum lelaki mempunyai kelebihan sehingga diletakkan sebagai ketua rumah tangga dan hak suami itu menjadi kewajipan isteri, sebagaimana firman Allah dalam Surah An-Nisaa', ayat 34 yang tafsirnya :

"Laki-laki adalah pemimpin terhadap kaum perempuan kerana Allah telah melebihkan laki-laki (dengan beberapa keistimewaan) atas kaum perempuan dan juga kerana laki-laki memberi nafkah daripada harta mereka. Maka perempuan-perempuan yang soleh itu ialah yang taat (kepada Allah dan suaminya) memelihara kehormatan dirinya dan menjaga hak-hak suami ketika suami tidak ada bersamanya dengan pemeliharaan Allah. Dan perempuan-perempuan yang kamu khuatiri melakukan perbuatan derhaka (nusyuz) maka nasihatlah mereka dan (jika tidak ada perubahan dan mereka tetap berdegil) pisahkanlah tempat tidur mereka dan (kalau masih degil juga) pukullah mereka (dengan pukulan yang ringan yang bertujuan mengajarnya). Kemudian jika mereka telah mentaati kamu maka janganlah kamu mencari-cari jalan untuk menyusahkan mereka. Sesungguhnya Allah adalah Maha Tinggi lagi Maha Besar."

Dalam sebuah hadits yang diriwayatkan oleh Imam Abu Daud bahawa Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam telah bersabda yang bermaksud : "Jika aku memerintahkan seseorang untuk sujud pada yang lain, maka tentu aku akan memerintahkan para wanita untuk sujud pada suaminya kerana Allah telah menjadikan begitu besarnya hak suami yang menjadi kewajipan isteri."

Isteri yang taat kepada suaminya akan menyebabkannya masuk syurga sebagaimana hadits yang diriwayatkan oleh Imam Ahmad bahawa Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam bersabda yang bermaksud : "Jika seorang wanita selalu menjaga sembahyang fardu lima waktu, berpuasa sebulan (di bulan Ramadan), serta betul-betul menjaga kemaluannya (dari perbuatan zina) dan benar-benar taat pada suaminya, maka dikatakan pada wanita yang memiliki sifat mulia ini; masuklah kedalam syurga melalui mana-mana pintu yang engkau suka."

Manakala jika isteri tidak taat kepada suami seperti enggan mematuhi kehendak suaminya untuk berjima' bukan disebabkan adanya uzur syar'ie maka ia adalah suatu sikap yang dilarang oleh Islam lagi dikutuk oleh para malaikat. Perkara ini dijelaskan dalam sebuah hadits yang diriwayatkan oleh Imam al-Bukhari bahawa Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam telah bersabda yang bermaksud : "Apabila suami mengajak isterinya ke tempat tidur, lalu isteri menolak, maka tidurlah suami itu dengan perasaan marahnya, nescaya dikutuk ke atasnya (isteri) oleh malaikat hingga menjelang subuh."

Sesungguhnya hakikat kehidupan yang sakinah adalah suatu kehidupan yang dilandasi mawaddah warahmah (cinta dan kasih sayang) dari Allah Subhanahu Wata'ala iaitu sebuah kehidupan yang diredai oleh Allah dengan cara melakukan setiap apa yang diperintahkan dan meninggalkan segala apa yang dilarang oleh Allah dan rasul-Nya.

Maka dapat disimpulkan bahawa hakikat sebuah kehidupan rumah tangga yang sakinah adalah terletak pada penerapan nilai-nilai agama dalam kehidupan berumah tangga yang bertujuan mencari keredaan Allah Subhanahu Wata'ala, sebagaimana firman Allah dalam Surah Al-Fath, ayat 4 yang tafsirnya :

"Dialah yang telah menurunkan ketenangan dalam hati orang-orang yang beriman supaya keimanan mereka bertambah, di samping keimanan mereka yang sedia ada."

Seterusnya...

seruan

MARILAH kita meningkatkan ketakwaan kita kepada Allah Subhanahu Wata'ala dengan penuh keyakinan dan keikhlasan dengan melakukan segala suruhan-Nya dan meninggalkan segala larangan-Nya. Mudah-mudahan kita menjadi insan yang beriman dan bertakwa serta selamat di dunia dan selamat di akhirat.

Islam adalah agama yang sempurna. Islam bukan sahaja menyuruh umatnya untuk beribadat seperti sembahyang, puasa dan naik haji. Malahan Islam juga menyuruh umatnya untuk menjaga kemaslahatan dan kesejahteraan hidup sesama umat manusia agar dapat membangun ukhuwah yang teguh dan bersatu, bekerjasama dan bantu-membantu antara satu sama lain. Oleh itu, bagi mencapai tujuan tersebut, Islam mengajar umatnya untuk saling nasihat-menasihati dan tegur-menegur yang antaranya boleh dicapai melalui amalan "amar ma'ruf nahi munkar", iaitu menyuruh membuat perkara kebaikan dan menegah dari perbuatan munkar.

Ini bermakna didikan, bimbingan, nasihat dan teguran hendaklah dijadikan sebagai budaya yang amalkan oleh setiap Muslim. Sesungguhnya melaksanakan "amar ma'ruf nahi munkar" adalah ciri-ciri orang yang beriman dan perkara tersebut juga adalah sangat penting untuk diamalkan kerana ia menyebabkan umat Islam dikenali sebagai umat terbaik sebagaimana firman Allah Subhanahu Wata'ala dalam Surah Ali Imran, ayat 110 yang tafsirnya :
''Kamu (wahai umat Nabi Muhammad) adalah sebaik-baik umat yang dilahirkan untuk manusia kerana kamu menyuruh berbuat yang ma'ruf dan melarang daripada yang mungkar dan beriman kepada Allah.''

Allah Subhanahu Wata'ala mengingatkan kita untuk melaksanakan "amar ma'ruf nahi munkar" namun sejauh manakah perintah tersebut kita laksanakan dalam kehidupan kita? Ketahuilah melaksanakan "amar ma'ruf nahi munkar" ini mempunyai banyak manfaat, antaranya agar umat Islam sentiasa berada di landasan yang benar dan mengikut ajaran yang telah ditetapkan oleh agama Islam dan dapat menjamin keselamatan kehidupan manusia dari bahaya perbuatan mungkar dan maksiat. Selain itu juga dapat menghindarkan diri dari mendapat azab Allah Subhanahu Wata'ala.

Perlulah diketahui bahawa apabila kemungkaran telah dilakukan secara terang- terangan dalam sesebuah masyarakat dan tidak ada orang yang berusaha untuk mencegahnya, maka kemungkaran akan semakin menjadi-jadi dan bermaharajalela. Kemungkaran itu pula apabila sudah biasa dilihat dan didengar, maka perkara tersebut akan mula dianggap remeh dan ringan atau biasa-biasa sahaja. Masyarakat tidak akan melihat kemungkaran itu sebagai dosa. Dan inilah yang perlu kita sedari dan ubah kerana setiap kemungkaran akan mengundang kepada dosa, dan setiap dosa itu akan mengundang kepada kemurkaan Allah. Dalam keadaan tersebut adalah tidak mustahil Allah Subhanahu Wata'ala akan menurunkan azab berbentuk bala bencana, di mana bencana itu bukan hanya menimpa orang yang berbuat maksiat, tetapi juga kepada seluruh masyarakat yang tinggal di tempat itu walaupun mereka tidak melakukan perbuatan maksiat tersebut. Firman Allah Subhanahu Wata'ala dalam Surah Al-Anfal, ayat 25 yang tafsirnya :
"Dan peliharalah diri kamu daripada berlakunya fitnah yang membawa bala bencana yang bukan sahaja akan menimpa orang-orang yang zalim antara kamu secara khusus, tetapi akan menimpa kamu kesemuanya. Dan ketahuilah bahawa Allah sangat berat seksa-Nya."

Adapun maksud fitnah dalam ayat tersebut ialah ujian yang berupa bala bencana seperti kemarau, bencana alam, penyakit dan sebagainya. Oleh yang demikian, kita hendaklah mencegah kemungkaran, dan semoga dengan demikian kita akan diselamatkan dari mendapat azab Allah Subhanahu Wata'ala.

Sesungguhnya Allah melaknat kepada orang yang mengabaikan daripada melaksanakan tanggungjawab mereka untuk mencegah kemungkaran sedangkan mereka berkuasa atau mampu untuk melakukannya. Firman Allah Subhanahu Wata'ala dalam Surah Al Maa-idah, ayat 78 hingga ayat 79 yang tafsirnya :

"Orang-orang kafir daripada Bani Israel telah dilaknat melalui lisan Nabi Daud dan Nabi Isa ibnu Mariam. Yang demikan itu disebabkan mereka menderhaka dan selalu melampaui batas. Mereka itu tidak saling melarang satu sama lain terhadap kemungkaran yang mereka lakukan. Sesungguhnya sangat buruk apa yang mereka lakukan."

Ayat tersebut menjelaskan bahawa Bani Israel telah melakukan banyak kemungkaran, dan tidak ada pula golongan yang mahu menegakkan amar ma'ruf dan nahi munkar di dalam masyarakatnya sehingga menjadikan mereka kaum yang dimurkai dan dilaknat Allah Subhanahu Wata'ala. Dalam sebuah hadis dari Abu Said Radhiallahuanhu, Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam bersabda yang maksudnya :

"Barangsiapa di antara kamu yang melihat kemungkaran, maka ubahlah dengan tangannya, jika tidak mampu maka ubahlah dengan lisannya, dan jika tidak mampu maka ubahlah dengan hatinya, dan yang demikian adalah selemah-lemah iman." (Riwayat Imam Muslim).

Mencegah kemungkaran dengan hati hukumnya fardu ain bagi setiap kamu Muslimin dalam seluruh keadaan kerana tidak ada seseorang pun yang mampu menghalang hati orang lain untuk membenci kemungkaran. Andainya seseorang yang melihat kemungkaran kemudian hatinya tidak juga terdetik untuk membenci kemungkaran tersebut, dan lebih buruk lagi jika dia selesa dengan kemungkaran yang terjadi itu, maka tidaklah sempurna imannya.

Bagi mencapai keberkesanan dalam usaha untuk mencegah kemungkaran ini, perlu diambil kira juga tatacara untuk melaksanakannya, antaranya ialah dengan berhikmah dan sabar ketika menegur dan tidak putus asa. Kerana tidak mustahil orang yang berusaha mencegah kemungkaran itu akan berhadapan dengan pelbagai kerenah manusia seperti degil, marah, cacian dan sebagainya.

Akhirnya marilah kita berdoa agar kita diberi kekuatan untuk melaksanakan perintah Allah tersebut dengan menyeru keluarga dan masyarakat untuk berbuat kebaikan dan melarang dari perbuatan mungkar. Semoga dengan demikian, kita dapat menikmati kehidupan yang aman dan sentosa di bawah rahmat dan lindungan Allah Subhanahu Wata'ala jua. Amin ya Rabbal Alamin.

Surah Lukman, ayat 17 yang tafsirnya :
"Wahai anakku! Dirikanlah sembahyang dan suruhlah manusia berbuat yang ma'ruf serta laranglah daripada melakukan yang mungkar dan bersabarlah atas segala bala-bala bencana yang menimpamu. Sesungguhnya yang demikian itu adalah daripada perkara-perkara yang mesti diambil berat untuk dilaksanakan."

Seterusnya...

menuju

 

"DAN perbuatan bermaaf-maafan (halal-menghalalkan) itu lebih hampir kepada taqwa.'' (Surah al-Baqarah, ayat : 237).

Islam merupakan agama yang syumul. Allah Subhanahu Wata'ala telah mengurniakan manusia dengan akal untuk berfikir dalam apa jua hal yang kita lakukan dimuka bumi ini dan dengan itu dapatlah kita melaksanakan tanggungjawab kita sebagai khalifah di muka bumi ini. Kita hanya makhluk Allah Subhanahu Wata'ala dan dalam dan tidak akan terlepas dari melakukan kesilapan dan kesalahan. Bermaaf-maafan adalah antara sifat terpuji yang perlu dilakukan sepanjang masa. Jikalau seseorang telah melakukan hal yang menyakitkan hati pada diri kita setentunya sukar untuk diterima apalagi untuk dimaafkan. Perkara pertama yang akan muncul di minda kita mungkin, ''aku inda maafkan ia pasalnya ia buat perkara yang buruk arahku yang inda dapat aku maafkan''. Namun kita seharusnya menyedari dan cermin diri adakalanya kita sendiri telah melakukan banyak kesilapan dan sengaja melakukan dosa. Kekhilafan diri sebegini memungkinkan kita untuk mengungkapkan kitani manusia biasa, maafkantah saja.

Anjuran Memaafkan

''Dan (juga bagi) orang-orang yang apabila dizalimi, mereka membela diri (tanpa melampaui batas). Dan balasan sesuatu kejahatan adalah kejahatan yang setimpal dengannya, maka sesiapa yang memaafkan dan berbuat baik (kepada orang yang menzaliminya) maka pahalanya dijamin oleh Allah.  Sesungguhnya Dia tidak menyukai orang-orang yang zalim.'' (Surah asy-Syura, ayat : 39 - 40).

Keutamaan Memberi Maaf

Agama Islam menegaskan bahawa Allah Subahanhu Wata'ala Yang Maha Pemaaf dan Maha Pengampun menyuruh kita supaya selalu memaafkan kesalahan orang seperti dalam firman-Nya :

''Jadilah seorang pemaaf dan suruhlah orang mengerjakan yang ma'ruf serta berpalinglah daripada orang-orang yang jahil.'' (Surah al-A'raf, ayat : 199).

''Jika kamu menzahirkan sesuatu kebaikan atau menyembunyikannya atau kamu memaafkan kesalahan (yang dilakukan terhadap kamu) maka sesungguhnya Allah adalah Maha Pemaaf lagi Maha Berkuasa.'' (Surah an-Nisa, ayat : 149).

Peluang Kemaafan

Mohon maaf zahir dan batin itulah yang sering kali kita dengar apabila menjelangnya Hari Raya Aidilfitri, namun jauh di sudut hati adakah kita mengikhlaskannya tanyalah pada diri sendiri. Betapa indahnya Islam memberikan kesempatan kepada umatnya untuk saling bermaafan dan hendaklah kita usahakan agar kita menjadi seorang pemaaf dan saling berlapang dada untuk menghulurkan kemaafan walaupun tidak dipinta. Bersedialah untuk memaafkan kesalahan dan keterlanjuran orang terhadap kita.

Sekiranya kita melakukan kesilapan terhadap orang lain, segeralah memohon kemaafan dari mereka, kerana perbuatan yang menyakiti hati orang lain, boleh menyebabkan berdendamnya seseorang dalam hubungan kita sesama manusia. Tambahan pula, kita tidak tahu bila ajal akan menjemput kita. Terdapat juga sesetengah individu amat berat untuk memberikan kemaafan dan bertekad untuk tidak memaafkan sampai bila-bila dan ada juga yang memberi maaf tapi masih berdendam. Di manakah diri kita?

''Dan bersegeralah kamu (mengerjakan amal kebajikan untuk membawa kamu) kepada keampunan daripada Tuhan kamu dan ke syurga yang luasnya seluas langit dan bumi yang disediakan untuk orang-orang yang bertaqwa. (Iaitu) orang-orang yang membelanjakan (hartanya) pada masa senang dan susah dan orang-orang yang menahan kemarahannya serta memaafkan (kesalahan) orang.  Dan Allah mengasihi orang-orang yang berbuat kebaikan.'' (Surah 'Ali Imran, ayat : 133 - 134).

Seterusnya...

irsyad

(Dengan nama Allah, Segala puji bagi Allah, Selawat dan salam ke atas
Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam, keluarga, sahabat dan para pengikut Baginda)

BERDIRI dengan betul, iaitu berdiri dengan menegakkan atau meluruskan sendi dan tulang belakang adalah antara rukun dalam sembahyang fardu. Hukum menyempurnakannya adalah wajib bagi orang yang mampu berdiri, bahkan kegagalan melaksanakannya dengan sempurna boleh menyebabkan sembahyang seseorang itu batal kerana rukun adalah sebahagian daripada sembahyang.

Sementara itu, diharuskan mengerjakan sembahyang sunat dalam keadaan duduk atau berbaring walaupun seseorang itu mampu untuk berdiri. Walau bagaimanapun, pahala bagi orang yang mampu untuk berdiri jika dia mengerjakan sembahyang sunat dalam keadaan duduk adalah separuh daripada pahala sembahyang sunat yang dikerjakan dengan berdiri dan pahala orang yang mengerjakan sembahyang sunat dalam keadaan berbaring adalah separuh daripada pahala sembahyang sunat yang dikerjakan dengan duduk. Oleh itu, mengerjakan sembahyang sunat dengan berdiri adalah afdhal (lebih utama).

Hukum sembahyang fardu dengan duduk

Orang yang tidak mampu mengerjakan sembahyang fardhu dengan berdiri hendaklah dia mengerjakannya dengan cara duduk. Manakala jika dia tidak mampu berdiri dan duduk, maka hendaklah dia mengerjakan sembahyang dengan cara berbaring sebagaimana sabda Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam :

Maksudnya : ''Sembahyanglah dengan cara berdiri, jika engkau tidak berdaya maka dengan cara duduk, dan jika engkau tidak berdaya (dengan cara duduk) maka dengan cara berbaring (dengan rusuk mengiring).''

(Hadits riwayat al-Bukhari)

Sembahyang yang dikerjakan dengan cara duduk atau berbaring tidak lagi perlu diulang apabila seseorang itu telah mampu berdiri setelah hilang keuzuran.

Mengenai dengan pahala pula, pahala seseorang yang sembahyang fardu dengan cara duduk atau berbaring disebabkan keuzuran tidak akan berkurang, bahkan sama sahaja pahalanya seperti pahala sembahyang yang dikerjakan dengan berdiri.

Sebab-sebab yang mengharuskan sembahyang fardu dikerjakan dengan cara duduk

Seorang mukallaf harus mengerjakan sembahyang dengan cara duduk atau berbaring jika dia tidak mampu berdiri. Menurut Imam ar-Rafi'i rahimahullah, yang dimaksudkan dengan 'tidak mampu' itu bukan setakat hilang keupayaan untuk berdiri, bahkan juga disebabkan takut akan berlaku kerosakan atau kemudaratan ke atas diri, takut tenggelam atau pening apabila berdiri di atas perahu, takut akan menambahkan lagi kesakitan, takut air kencing terus mengalir keluar jika berdiri dan tidak mungkin menahan hadats kecuali dengan duduk, atau dinasihati oleh doktor yang dipercayai jika dengan duduk atau menelentang akan dapat membantu sakitnya sembuh. Selain itu diharuskan juga sembahyang dengan cara duduk jika seseorang mengalami masyaqqah (kesukaran) yang bersangatan sehingga boleh mengganggu dan menghilangkan khusyu' dalam sembahyang.

Cara duduk yang afdhal

Tidak ditentukan cara dan keadaan duduk bagi orang yang tidak mampu untuk berdiri dan ingin menunaikan sembahyang dengan cara duduk. Bahkan adalah memadai dengan kesemua cara dan keadaan duduk sebagai ganti perbuatan berdiri.

Walau bagaimanapun, duduk dalam keadaan iftirasy (seperti duduk tahiyyat awal) adalah afdhal untuk dilakukan berbanding dengan duduk tarabbu' (bersila) dan duduk yang lain. Ini kerana duduk iftirasy adalah cara yang disyariatkan di dalam sembahyang, maka ia adalah lebih awla (lebih utama).

Demikian juga duduk dalam keadaan iftirasy adalah afdhal berbanding dengan duduk tawarruk (seperti duduk tahiyyat akhir), kerana duduk iftirasy merupakan duduk yang tidak diikuti selepasnya oleh salam.

Sementara itu, makruh hukumnya duduk dalam keadaan iq'a (bertinggung) kerana duduk tersebut menyerupai anjing dan monyet.

Cara ruku', i'tidal dan sujud bagi sembahyang duduk

Apabila seorang mukallaf tidak mampu untuk berdiri dan dia mengerjakan sembahyang fardhu dengan cara duduk, maka cara ruku', i'tidal dan sujudnya adalah seperti berikut:

i - Ruku'
Ruku' sekurang-kurangnya dengan membongkokkan badan sekira-kira dahi setentang dengan lutut. Sementara cara yang paling sempurna ialah dengan membongkokkan badan sekira-kira dahi setentang dengan tempat sujud.

ii - I'tidal
I'tidal ialah kembali kepada keadaan sebelum ruku' iaitu duduk dengan betul. Jika dia tidak mampu untuk kembali dengan duduk betul, maka hendaklah kembali sekadar yang termampu olehnya.

iii - Sujud
Cara sujud bagi orang yang sembahyang duduk sama sahaja seperti sujud biasa.

Tetapi jika dia tidak mampu untuk sujud seperti biasa iaitu meletakkan dahi ke lantai, maka perlu dilihat kepada dua keadaan berikut :

Pertama: Jika dia mampu untuk melakukan sekurang-kurang ruku' atau ruku' yang paling sempurna ketika dalam keadaan duduk akan tetapi tidak melebihi daripada kadar demikian, maka lakukan kadar yang termampu itu sekali untuk ruku' dan sekali lagi untuk sujud sekalipun kadar perbuatannya itu sama.

Kedua: Jika dia mampu untuk melakukan kadar yang melebihi daripada kadar ruku' yang sempurna, maka wajib dia ruku' dengan tidak melebihi kadar sempurna ruku' itu. Sementara sujud pula dilakukan dengan kadar yang melebihi ruku' yang sempurna itu bagi membezakan antara sujud dan ruku'.

Sementara itu, jika orang yang bersembahyang duduk itu tidak mampu juga untuk melakukan ruku' dan sujud seperti yang dijelaskan di atas, maka dia hendaklah melakukan ruku' dan sujud tersebut dalam keadaan duduk itu secara isyarat. Sabda Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam:

Maksudnya : ''Dan jika aku memerintahkan kamu untuk mengerjakan sesuatu, maka kerjakanlah ia dengan apa yang kamu terdaya.''
(Hadits riwayat al-Bukhari)

Cara melakukan isyarat itu adalah dengan kepala. Jika dia tidak terdaya melakukan isyarat dengan kepala, maka hendaklah dengan mata. Jika tidak terdaya juga, maka hendaklah dengan hati.

Tidak pula disyariatkan untuk meletakkan kerusi atau selainnya seperti meja sebagai tempat untuk sujud di atasnya jika seorang itu tidak mampu tunduk dan membongkok untuk melakukan sujud seperti biasa.

Sembahyang duduk di atas kerusi

Berdasarkan kepada keumuman maksud hadits yang membolehkan sembahyang secara duduk yang dijelaskan di atas dapat difahami bahawa sembahyang dengan cara duduk di atas kerusi bagi orang yang tidak mampu untuk berdiri juga adalah dibolehkan kerana tidak ada ditetapkan cara dan keadaan duduk yang khusus mengenainya.

Apabila seorang mukallaf tidak mampu untuk berdiri dan dia mengerjakan sembahyang dengan cara duduk di atas kerusi, maka hendaklah dia ruku' dalam keadaan duduk di atas kerusi dengan membongkokkan badan sekira-kira dahi setentang dengan lutut dan paling sempurna dengan membongkokkan badan sekira-kira dahi setentang dengan tempat sujud.

Kemudian kembali duduk dengan betul untuk melakukan i'tidal. Jika dia tidak mampu kembali duduk dengan betul, maka hendaklah kembali sekadar yang termampu olehnya.

Setelah itu, sujud seperti biasa dengan meletakkan dahi ke lantai.

Jika dia tidak mampu untuk sujud dengan meletakkan dahi ke lantai, akan tetapi dia mampu untuk membongkokkan badan pada kadar ruku' paling kurang atau paling sempurna akan tetapi tidak mampu melebihi kadar demikian itu, maka bolehlah dia melakukan pada kadar yang termampu itu sekali untuk ruku' dan sekali lagi untuk sujud dalam keadaan duduk di atas kerusi.

Adapun jika dia mampu untuk membongkok melebihi kadar ruku' paling sempurna, maka wajib dia ruku' dengan tidak melebihi kadar ruku' paling sempurna dan wajib dia sujud dalam keadaan duduk di atas kerusi dengan kadar yang melebihi kadar ruku' paling sempurna itu.

Sementara itu, jika dia tidak mampu juga untuk melakukan ruku' dan sujud, maka dia hendaklah melakukan ruku' dan sujud tersebut dalam keadaan duduk di atas kerusi itu secara isyarat sebagaimana yang telah dijelaskan.

Seterusnya...

seruan

MARILAH kita meningkatkan ketakwaan kita kepada Allah Subhanahu Wata'ala dengan penuh keyakinan dan keikhlasan dengan melakukan segala suruhan-Nya dan meninggalkan segala larangan-Nya. Mudah-mudahan kita menjadi insan yang beriman dan bertaqwa serta selamat di dunia dan selamat di akhirat.

Alhamdulillah, segala puji dan syukur ke hadrat Allah Subhanahu Wata'ala di atas limpah kurnia-Nya kita dapat merasai segala nikmat yang telah dianugerahkan-Nya kepada kita. Segala kenikmatan itu sama ada kita sedari atau tidak, telah mendatangkan kemanfaatan atau faedah untuk kehidupan kita di dunia ini.

Sememangnya jika hendak dikira satu persatu nikmat yang Allah Subhanahu Wata'ala kurniakan kepada kita sudah tentu tidak akan terhitung banyaknya. Sebagaimana firman Allah Subhanahu Wata'ala dalam Surah Ibrahim ayat 34 yang tafsirnya :

"Dan jika kamu menghitung nikmat Allah tentulah kamu tidak terkira banyaknya."

Adapun salah satu nikmat yang dikurniakan Allah Subhanahu Wata'ala kepada kita ialah air. Air bukan sahaja menjadi sumber asasi kepada manusia, bahkan ia juga adalah sumber kehidupan kepada makhluk lain ciptaan Allah Subhanahu Wata'ala seperti haiwan, tumbuh-tumbuhan dan buah-buahan. Tanpa air, bumi akan menjadi gersang dan tandus dan semua yang hidup akan menderita dan binasa.

Firman Allah Subhanahu Wata'ala dalam Surah an-Nahl ayat 10 - 11 yang tafsirnya :

"Dialah yang menurunkan air hujan dari langit untuk kamu, sebahagiannya menjadi minuman kamu dan sebahagiannya menyuburkan tumbuh-tumbuhan yang padanya kamu mengembalakan ternakan kamu. Dialah juga yang menumbuhkan bagi kamu dengan air hujan itu tanam-tanaman, zaitun, kurma, anggur dan segala jenis buah-buahan. Sesungguhnya pada yang dimakan itu terdapat tanda kekuasaan Allah bagi kaum yang mahu berfikir."

Pentingnya air untuk kehidupan manusia bukan setakat untuk keperluan harian sahaja, bahkan air juga diperlukan untuk beribadat, untuk pertanian, pengangkutan dan mampu membawa pembangunan di sesebuah tempat. Kita imbas kembali kepada kisah Nabi Ibrahim Alaihissalam meninggalkan isterinya Siti Hajar dan puteranya Ismail di sebuah tempat yang kering dan tandus, tiada air dan kehidupan dan tidak berpenghuni. Baginda meninggalkan mereka berdua kerana melaksanakan perintah Allah Suubhanahu Wata'ala yang sudah setentunya mempunyai rahsia yang tersirat. Ketika bekalan makanan dan air habis, Siti Hajar berusaha mencari air dengan berlari-lari anak dari Bukit Safa ke Bukit Marwah sambil memohon pertolongan kepada Allah. Dengan kehendak Allah Subhanahu Wata'ala, air memancar di antara kedua kaki Ismail. Apabila diketahui bahawa tempat gersang itu telah mempunyai sumber air, secara perlahan-lahan manusia mula datang ke tempat tersebut dan tinggal di situ. Sejarah ini jelas membuktikan betapa sumber air itu sangat penting sehingga mampu menjana pembangunan di sesebuah tempat.

Perlu diketahui bahawa masih terdapat lebih dari satu bilion orang yang belum dapat menikmati kemudahan air yang bersih, bahkan terdapat juga orang yang terpaksa bersusah payah mengangkat sendiri air dari telaga atau sungai ke rumah masing-masing. Oleh itu, kita amat bersyukur dan berterima kasih kepada pihak kerajaan yang telah membekalkan air yang bersih untuk keperluan kita semua.

Air yang bersih adalah nikmat yang besar kepada kehidupan kita. Cuba kita bayangkan, apa akan terjadi jika tidak ada air bersih untuk kegunaan kita sehari-hari. Sememangnya jika kita meminum dan menggunakan air yang tidak bersih, kesannya boleh menyebabkan masalah kepada kesihatan dan sebagainya. Oleh yang demikian, kita wajib bersyukur ke hadrat Allah Subhanahu Wata'ala dengan limpah kurnia tersebut, sebagaimana firman-Nya dalam Surah Al-Waqi'ah ayat 68 - 70 yang tafsirnya :

"Tidakkah kamu perhatikan air yang kamu minum? Adakah kamu yang menurunkan dari awan sebagai hujan atau Kami yang menurunkannya? Kalau Kami kehendaki Kami jadikan ia masin maka mengapakah kamu tidak bersyukur?"

Sebagai pengguna juga kita perlu bijak dalam menggunakan air, iaitu dengan berjimat cermat dan tidak membazir, lebih-lebih lagi sebagaimana yang kita maklumi pada masa ini bahawa negara kita sedang mengalami cuaca kering dan panas berikutan adanya fenomena El-Nino. Keadaan ini sedikit sebanyak boleh mengakibatkan penurunan hujan yang sedikit dan boleh mengurangkan kapasiti simpanan ampangan air di negara ini. Oleh itu, kita hendaklah menggunakan air dengan kadar yang berpatutan dan yang diperlukan sahaja.

Selain itu, kita hendaklah juga mengambil langkah positif dengan menanamkan sikap untuk lebih menghargai nikmat air. Ini kerana menurut kajian daripada Jabatan Perkhidmatan Air bahawa kadar penggunaan air di negara ini adalah yang tertinggi di rantau ini. Kita sangatlah beruntung kerana kadar tarif air di negara ini adalah rendah, namun itu bukanlah alasan untuk kita menggunakan air secara berlebihan, kerana agama Islam juga melarang kita dari melakukan pembaziran.

Ingatlah bahawa Allah Subhanahu Wata'ala berkuasa menurunkan hujan dan berkuasa pula untuk melenyapkannya. Bayangkanlah jika Allah Subhanahu Wata'ala melenyapkan nikmat yang telah dianugerahkan kepada kita, maka apakah yang akan terjadi kepada kita semua? Firman Allah Subhanahu Wata'ala dalam Surah Al-Mu'minun ayat 18 yang tafsirnya :

"Dan Kami menurunkan air hujan dari langit dengan kadar yang tertentu serta Kami menempatkannya (tersimpan) di bumi, dan sesungguhnya Kami tentu berkuasa melenyapkannya."

Akhirnya sama-samalah kita berdoa semoga Allah Subhanahu Wata'ala akan terus melimpahkan nikmat kurnia-Nya ke atas kita dan negara kita dengan rezeki yang luas lagi diberkati secara berpanjangan. Amin ya Rabbal Alamin.

Surah Al-Mulk ayat 30 yang tafsirnya :

"Katakanlah : Terangkanlah kepada-Ku jika sumber air kamu menjadi kering meresap ke dalam bumi maka siapakah pula selain Allah yang dapat mendatangkan kepada kamu air yang sentiasa mengalir?"

Seterusnya...

menujuDAN adapun orang yang takut akan kebesaran Tuhannya dan dia menahan dirinya daripada menurut hawa nafsunya. Maka sesungguhnya syurga ialah tempat tinggalnya. Surah an-Nazi'at : 37-41

Jihad terhadap diri sendiri (hawa nafsu) harus didahulukan daripada jihad melawan orang-orang kafir (peperangan). Jihad melawan hawa nafsu ini merupakan asas untuk melakukan jihad yang lain. Apabila seorang individu tidak berjihad melawan hawa nafsu sendiri, bagaimanakah dia mampu berjihad sedangkan diri sendiri masih dikuasai oleh hawa nafsu, keadaan ini dapat dilihat dalam melaksanakan kewajipan mentaati perintah Allah Subhanahu Wata'ala. Kadangkala nafsu membisikan kita agar melalaikan dari melakukan suruhan Allah Subhanahu Wata'ala dan yang paling ketara apabila meninggalkan sembahyang fardu lima waktu.

Jihad dalaman seharusnya dimulakan dari dalam diri sendiri iaitu dengan mengawal hawa nafsu. Hawa nafsu adalah pendorong utama seseorang untuk melakukan maksiat dan melakukan penyelewengan yang melampaui batas. Bukannya mudah untuk menghalang hawa nafsu dan ia amat memerlukan jihad yang sebenar-benarnya kerana dengan menjihadkan diri akan mendorong manusia untuk taat kepada Allah Subhanahu Wata'ala jua. Dengan adanya pengawalan dan jihad hawa nafsu ini akan melahirkan perpaduan dan kesatuan dalam kalangan umat Islam, begitulah indah dan cantiknya Islam.

Terkini dan mutakhir apa yang kita ketahui dan dipaparkan perkataan jihad telah disalahertikan dan lebih malang lagi ia telah dikotori oleh umat Islam itu sendiri. Ia sudah dicemari dengan segala perbuatan yang berbentuk teroris dan keganasan, pembunuhan orang yang tidak bersalah, serangan bom tembak-menembak, serangan berani mati, sabotaj dan perbuatan ekstrim yang lain sedangkan ajaran Islam itu mendidik dengan sifat-sifat yang indah dan mulia, sama sekali tidak mendidik masyarakatnya berbuat sedemikian. Ruang lingkup jihad itu kalau dihayati dan dilaksanakan dengan tepat akan melahirkan dan mengembangkan syiar agama Islam yang indah dalam kehidupan bermasyarakat dan bernegara yang mencetuskan kecemerlangan dan kegemilangan negara dan masyarakat Islam.

Demikianlah jihad yang sebenarnya adalah seorang hamba berjihad melawan nafsunya untuk menundukkan hati, lidah, dan fizikalnya kepada Allah Subhanahu Wata'ala sehingga segala sesuatu itu hanya untuk Allah Subhanahu Wata'ala jua.

''Pergilah segera untuk berjihad (pada jalan Allah) sama ada dalam keadaan ringan mahupun dalam keadaan berat, dan berjihadlah dengan harta-benda dan jiwa kamu pada jalan Allah. Yang demikian itu lebih baik bagi kamu jika benar kamu mengetahui.'' (Surah at-Taubah : 41)

Seterusnya...

irsyadKeluaran kedua

MERUJUK kepada riwayat di atas, apakah maksud ''menjana keuntungan daripada hutang'' yang dilarang itu?

Para ulama telah menghuraikan mengenai aktiviti mualamat hutang yang termasuk di dalam kategori ''menjana keuntungan melalui hutang'' yang dilarang sebagaimana riwayat di atas dengan membawakan beberapa contoh akad seperti berikut :

1. Pemiutang meletakkan syarat supaya penghutang membayar lebih daripada kadar hutang.

Sebagai contoh, pemiutang berkata kepada penghutang : ''Saya boleh menghutangkan kepada tuan wang sebanyak $100/=, dengan syarat tuan mesti membayar balik kepada saya sebanyak $120/=.''

Sebagai contoh lagi, pemiutang berkata kepada penghutang: ''Saya boleh menghutangkan kepada tuan wang sebanyak $50/=, dengan syarat tuan mesti belanja saya makan sekali di restoran.''

Pengenaan syarat oleh pemiutang kepada penghutang seperti dua contoh akad di atas iaitu ''membayar lebih daripada yang dihutangkan iaitu sebanyak $20/='' dan ''belanja makan di restoran'' merupakan akad yang dilarang dan termasuk di dalam kategori ''menjana keuntungan melalui hutang.''

2. Pemiutang meletakkan syarat supaya penghutang membayar balik dengan barang yang lebih elok berbanding dengan barang yang dihutangkan.

Sebagai contoh, pemiutang berkata kepada penghutang : ''Saya boleh menghutangkan atau meminjamkan tuan sekilo beras Gred 'C', dan tuan mesti bayar atau ganti balik kepada saya dengan sekilo beras yang lebih baik mutunya iaitu sekilo beras Gred 'A'.

Sebagai contoh lagi, pemiutang berkata kepada penghutang : ''Saya bersedia menghutangkan kepada tuan seekor kambing saya yang tempang ini (tempang kerana salah satu kakinya patah) untuk disembelih. Tetapi saya mahu tuan membayar atau mengganti balik kambing saya ini nanti dengan seekor kambing yang tidak tempang.''

Pengenaan syarat kepada penghutang iaitu ''membayar balik dengan beras daripada Gred yang lebih baik (Gred 'A')'' dan ''membayar atau mengganti balik dengan kambing yang tidak tempang'' di dalam dua contoh di atas merupakan akad hutang yang dilarang dan termasuk di dalam kategori ''menjana keuntungan melalui hutang.''

3. Pemiutang meletakkan syarat supaya penghutang menyewa barang milik pemiutang dengan harga sewaan yang lebih tinggi.

Sebagai contoh, pemiutang berkata kepada penghutang : ''Saya boleh menghutangkan tuan wang sebanyak $500/=, tetapi tuan hendaklah menyewa rumah saya ini dengan harga sewaan $50/= lebih tinggi daripada harga sewaan
biasa.''

Pengenaan syarat oleh pemiutang kepada penghutang seperti contoh akad di dalam senario di atas iaitu mensyaratkan penghutang menyewa rumah pemiutang dengan membayar harga sewa $50/= lebih tinggi daripada harga sewaan biasa merupakan perbuatan yang dilarang dan termasuk di dalam kategori ''menjana keuntungan melalui hutang.''

4. Pemiutang meletakkan syarat supaya penghutang menjual sesuatu barang miliknya kepada pemiutang.

Sebagai contoh, si A (penghutang) terdesak untuk berhutang duit bagi membiayai sesuatu keperluan. Lalu si A pun pergi kepada si B (pemiutang) untuk berhutang duit sebanyak $2,000/=. Apabila si A menyampaikan hasratnya itu kepada si B, si B pun bersetuju dengan bersyarat. Si B berkata:

''Saya boleh menghutangkan kepada tuan wang sebanyak $2,000/=, dengan syarat tuan jual tanah tuan itu kepada saya.''

Akad seperti ini juga termasuk di dalam kategori ''menjana keuntungan melalui hutang''. Akad hutang dan jualan dalam satu masa seperti ini adalah tidak sah dan haram hukumnya. Ini adalah berdasarkan hadits Nabi Sallallahu Alaihi Wasallam, Baginda bersabda :

Maksudnya : ''Tidak halal hutang bersama jualan.''
(Hadits riwayat at-Tirmidzi)

Membayar balik hutang melebihi jumlah yang dihutangkan

Bagaimana pula hukumnya jika penghutang dengan sukarela, tanpa disyaratkan oleh pemiutang, membayar balik hutangnya dengan melebihi daripada kadar yang dihutangkan atau membayar balik dengan sesuatu yang lebih baik daripada apa yang dihutangkan?

Seorang yang berhutang, apabila dia membayar balik hutangnya dengan kadar melebihi jumlah yang dihutangkan atau membayar balik dengan sesuatu yang lebih baik daripada barang yang dihutangkan dengan kehendak dan kerelaan orang yang berhutang itu sendiri, dan tanpa diminta atau disyaratkan oleh pemiutang, maka bayaran yang lebih itu atau bayaran dengan sesuatu yang lebih baik itu bukan dinamakan riba. Bahkan pembayaran yang sedemikian itu adalah suatu perkara yang elok dan hukumnya adalah sunat. Bayaran lebihan itu dianggap sebagai pemberian (tabarru') daripada penghutang. Berlainan keadaannya jika lebihan itu disebut atau disyaratkan dalam akad, maka yang demikian itu dinamakan riba.

Perkara ini berdasarkan riwayat daripada Abu Rafi' Radhiallahu 'anhu, sesungguhnya Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam pernah berhutang seekor unta muda kepada seorang lelaki. Kemudian Baginda mendapat unta sedekah, lalu memerintahkan Abu Rafi' membayarkan hutang Baginda kepada lelaki tadi dengan seekor unta muda. Abu Rafi' kembali kepada Baginda dan berkata :

''Saya tidak menemukan dalam kumpulan unta sedekah itu kecuali unta yang bagus.''
Lalu Baginda bersabda :

Maksudnya : ''Bayarkan kepadanya, kerana sesungguhnya sebaik-baik manusia adalah yang paling baik dalam membayar hutangnya.''
(Hadits riwayat Muslim)

 Akad Hutang Bersyarat Yang Tidak Dilarang

Bagi tujuan pengesahan atau bagi memelihara akad hutang itu sendiri daripada berlaku kemungkiran di pihak yang berhutang, pemiutang boleh mengenakan syarat supaya akad hutang di antara penghutang dan pemiutang dibuat secara bertulis, mengadakan saksi, atau mensyaratkan penghutang mengadakan barang jaminan atau penjamin.

Keharusan pengenaan syarat bagi semua atau salah satu daripada perkara di atas merupakan sesuatu yang disyariatkan sebagaimana dijelaskan di dalam beberapa ayat Al-Qur'an seperti berikut :

1. Firman Allah Ta'ala:

Tafsirnya : ''Wahai orang-orang yang beriman! Apabila kamu membuat urusan hutang-piutang yang diberi tempoh hingga ke suatu masa yang tertentu maka hendaklah kamu menulisnya (mencatatkan hutang dan masa bayarannya). Dan hendaklah pencatat (hutang) antara kamu itu mencatatkannya dengan adil (untuk mengelakkan perselisihan).''
(Surah Al-Baqarah, ayat 282)

2. Firman Allah Ta'ala :

Tafsirnya : ''Dan hendaklah kamu mengadakan dua orang saksi laki-laki daripada kalangan kamu. Sekiranya tidak ada dua orang saksi laki-laki maka bolehlah seorang laki-laki dan dua orang perempuan daripada orang-orang yang kamu setujui untuk menjadi saksi supaya jika yang seorang lupa daripada saksi-saksi perempuan yang berdua itu maka dapat diingatkan oleh yang seorang lagi.''
(Surah Al-Baqarah, ayat 282)

3. Firman Allah Ta'ala :

Tafsirnya : ''Dan jika kamu sedang musafir (lalu kamu berhutang atau memberi hutang yang bertempoh) sedang kamu tidak mendapati pencatat maka hendaklah diadakan barang jaminan untuk dipegang (oleh orang yang memberi hutang).''
(Surah Al-Baqarah, ayat 283)

Kesimpulan

Apa yang dapat disimpulkan dari penjelasan di atas, akad hutang disyariatkan bukan bertujuan untuk membuka ruang kepada pemiutang meraih atau membuat keuntungan daripada harta yang dipinjamkan atau dihutangkan kepada penghutang tetapi semata-mata demi membantu penghutang. Apatah lagi jika penghutang itu merupakan seorang yang dalam kesusahan hidup dan memerlukan pinjaman bagi menampung keperluannya.

Memberi pinjam atau menghutangkan kepada orang lain bagi maksud untuk menjana atau mengaut sebarang keuntungan atau manfaat daripada penghutang adalah dilarang dan termasuk di dalam kategori aktiviti riba.

Seterusnya...

seruan

MARILAH kita meningkatkan keimanan dan ketakwaan kita kepada Allah Subhanahu Wata'ala dengan penuh keyakinan dan keikhlasan dengan melakukan segala suruhan-Nya dan meninggalkan segala larangan-Nya. Mudah-mudahan kita menjadi insan yang beriman dan bertakwa serta selamat di dunia dan selamat di akhirat.

Sebagaimana dimaklumi bahawa di negara kita pada masa ini masih berlangsung Persidangan Mesyuarat Pertama dari Musim Permesyuaratan Ke-12, Majlis Mesyuarat Negara 2016. Ini bererti sudah 12 tahun persidangan ini berlangsung yang merupakan satu platform membincangkan pelbagai perkara yang banyak memfokuskan ke arah kemajuan negara, termasuklah sesi membincangkan peruntukan belanjawan negara bagi tahun kewangan 2016 / 2017.

Kita bersyukur ke hadrat Allah Subhanahu Wata'ala yang Maha Pemurah, kerana Kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam masih dapat menyediakan peruntukan belanjawan untuk kemaslahatan, pembangunan dan kemajuan rakyat dan penduduk negara ini. Walaupun keadaan ekonomi pada masa ini sedikit sebanyak menjejaskan hasil pendapatan kerajaan dan negara, namun kita masih dapat menikmati keamanan, kemakmuran, ketenteraman dan kesejahteraan hidup. Kita berdoa semoga nikmat tersebut akan dapat berterusan dinikmati oleh generasi-generasi yang akan datang.

Bersyukur adalah sifat orang yang beriman, dan menzahirkan kesyukuran itu hendaklah turut disertakan dengan ketaatan kepada Allah Subhanahu Wata'ala. Mudah-mudahan dengan amalan bersyukur kita akan dapat terus menikmati limpahan kurnia dari Allah Subhanahu Wata'ala. Itulah janji Allah Subhanahu Wata'ala sebagaimana firman-Nya dalam Surah Ibrahim, ayat 7, yang tafsirnya :

"Dan ingatlah ketika Tuhan kamu memberitahu dengan sejelas-jelasnya : Demi sesungguhnya jika kamu bersyukur terhadap segala nikmat-Ku tentu Aku akan menambah nikmat itu kepada kamu dan demi sesungguhnya jika kamu kufur terhadap nikmat itu maka sesungguhnya azab-Ku sangat keras."

Kita sedia maklum kejatuhan harga minyak global yang merundum sehingga lebih 70% benar-benar telah menjejaskan hasil pendapatan ke semua negara pengeluar minyak termasuklah negara kita. Inilah ujian dari Allah Subhanahu Wata'ala. Ketahuilah bahawa ujian yang berupa kesukaran dan kesusahan adalah kerana Allah Subhanahu Wata'ala kasih kepada hamba-hamba-Nya agar mereka tidak lalai dan leka, dan seterusnya akan dapat mendorong mereka untuk terus ingat kepada Allah Subhanahu Wata'ala, redha dengan ketentuan-Nya, berserah dan memohon hanya kepada-Nya. Yakinlah bahawa setiap kesusahan itu akan berakhir dengan kesenangan sepertimana firman Allah Subhanahu Wata'ala dalam Surah Al-Insyirah, ayat 5 - 6, yang tafsirnya :

"Maka sesungguhnya bersama kesusahan ada kesenangan. Sesungguhnya bersama kesusahan ada kesenangan."

Jelaslah ayat tersebut memberikan gambaran kepada umat Islam bahawa tidak selamanya kesusahan itu akan menjadi kesusahan, pasti akan diakhiri dengan kesenangan. Ketahuilah bahawa Allah Subhanahu Wata'ala tetap memberikan umat Islam jalan keluar daripada kesusahan dengan syarat kembali kepada cara hidup yang sebenar, iaitu dengan meningkatkan ketakwaan kepada Allah Subhanahu Wata'ala.

Firman Allah Subhanahu Wata'ala dalam Surah Al-Talaq, ayat 2 - 3, yang tafsirnya :

"...dan sesiapa yang bertakwa kepada Allah nescaya Allah akan memudahkan baginya jalan keluar dalam urusannya. Dan Dia mengurniakannya rezeki dari arah yang tidak terlintas di fikirannya. Dan sesiapa yang bertawakal kepada Allah maka cukuplah Allah itu baginya. Sesungguhnya Allah melaksanakan urusan-Nya. Allah telah menetapkan ketentuan bagi tiap-tiap sesuatu."

Perlu disedari bahawa ujian kesukaran dan kepayahan tersebut mengandungi pelbagai hikmah. Apa yang penting ujian itu dihadapi dengan sabar. Sesungguhnya Allah Subhanahu Wata'ala telah menjanjikan kepada mereka ganjaran pahala yang berlipat ganda, akan dikasihi oleh-Nya, mendapat pengampunan, rahmat dan petunjuk dari Allah Subhanahu Wata'ala. Bukankah ganjaran tersebut merupakan nikmat dan rahmat dari Allah kepada hamba-hamba-Nya yang dikasihi?
Allah Subhanahu Wata'ala berfirman dalam Surah Al-Baqarah, ayat 155-157, yang tafsirnya :

"Dan sesungguhnya Kami pasti akan menguji kamu dengan sedikit perasaan takut dan kelaparan dan kekurangan harta benda dan jiwa dan buah-buahan (kerana Kami hendak melihat sama ada kamu sabar atau tidak atas ujian itu). Dan sampaikanlah berita gembira kepada orang-orang yang sabar. Iaitu orang-orang yang apabila ditimpa oleh sesuatu musibah mereka berkata Inna lillahi wa inna ilaihi raji'un (Sesungguhnya kami adalah kepunyaan Allah dan kepada-Nya jualah kami kembali). Mereka itulah orang yang mendapat keampunan daripada Tuhan mereka dan mendapat rahmat-Nya dan mereka itulah orang-orang yang mendapat hidayat."

Sebenarnya jika dilihat dari sudut positif, ujian yang dihadapi masa kini juga telah mendorong kita untuk menjadi orang yang lebih gigih berusaha dan berdikari, mendidik kita menjadi orang yang lebih berwaspada, kreatif, siap siaga dan berhemah.

Cuba kita imbas kembali kisah yang pernah berlaku pada zaman Nabi Yusof, di mana negara tersebut telah menghadapi krisis ekonomi yang amat mencabar berpunca dari kemarau yang berpanjangan hingga menjejaskan tanaman mereka selama bertahun-tahun lamanya. Namun atas nasihat dan kebijaksanaan Nabi Yusof Alaihissalam, akhirnya penduduk negara itu berjaya mengharungi kesukaran tersebut. Kisah tersebut ada disebutkan dalam Surah Yusof, ayat 47 - 48, yang tafsirnya :

"Nabi Yusof berkata : hendaklah kamu bercucuk tanam seperti biasa selama tujuh tahun berturut-turut, kemudian apa yang kamu tuai biarkanlah ia pada tangkai-tangkainya (supaya ia tidak cepat rosak) kecuali sedikit untuk kamu makan. Kemudian akan datang sesudah itu tujuh tahun musim kemarau yang dahsyat yang akan menghabiskan bekalan makanan yang kamu sediakan untuk menghadapinya kecuali sedikit daripada apa yang kamu simpan (untuk dijadikan benih)."

Dari kisah tersebut kita dapat lihat langkah-langkah persediaan yang dilakukan dalam menghadapi masa-masa susah, iaitu dengan membuat perancangan yang teratur, berjimat cermat dan terus berusaha. Inilah pengajaran dari al-Quran yang wajar kita teladani dan ambil iktibar khususnya dalam kita menghadapi situasi masa kini.

Dalam persidangan majlis mesyuarat negara baru-baru ini, di antara perkara yang turut ditekankan ialah agar rakyat dan penduduk negara ini tidak melihat pihak kerajaan sebagai satu-satunya tempat bergantung dalam pembangunan ekonomi serta dalam pemberian pekerjaan. Oleh itu, masyarakat hendaklah menyahut seruan tersebut dengan lebih berdikari dan lebih gigih berusaha dalam mencari sumber pendapatan, antaranya melalui bidang perniagaan. Bidang tersebut dilihat berpotensi dan mampu untuk menjana perkembangan ekonomi rakyat di negara ini. Ini juga yang dihasratkan oleh Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam sempena Majlis Pembukaan Rasmi Mesyuarat Pertama dari Musim Permesyuaratan Ke-12 pada tahun ini yang menjelaskan betapa kerajaan telah mengambil langkah-langkah konkrit untuk membantu memperbaiki persekitaran perniagaan. Ini termasuk infrastrukur perundangan yang pro-bisnes. Selain itu, baginda juga berharap dengan adanya pusat perusahaan kecil dan sederhana, maka dapatlah perusahaan-perusahaan tempatan yang berskala kecil dan sederhana untuk berkembang maju sehingga ke peringkat antarabangsa.

Melihat kepada banyaknya peluang dan kemudahan yang telah disediakan, maka sudah sewajarnya kita merebut dan memanfaatkannya dengan sebaik mungkin. Berniaga adalah pekerjaan yang mulia untuk mendapatkan sumber rezeki yang baik dan halal. Selain itu, berniaga juga merupakan sunnah nabi. Oleh itu, masyarakat hendaklah mengubah minda supaya tidak hanya bergantung kepada sektor awam khususnya dalam mata pencarian.

Inilah peluang untuk kita meningkatkan potensi diri dengan menyahut seruan kerajaan dalam mengembangkan ekonomi. Bahkan dengan berkembang kepelbagaian aktiviti perekonomian di negara ini akan dapat menjana sumber pendapatan negara dari terus bergatung kepada sumber asli semata-mata.

Akhirnya marilah kita sama-sama terus menyokong, mendukung dan melaksanakan hasrat dan aspirasi negara dengan penuh iltizam dan keazaman dalam meningkatkan kestabilan dan keamanan negara. Kita berdoa semoga Allah Subhanahu Wata'ala akan terus mengurniakan nikmat dan rahmat-Nya kepada kita semua. Amin ya Rabbal Alamin.

Surah Al-A'raf, ayat 96, tafsirnya :

"Dan kalaulah penduduk sesebuah negeri itu beriman dan bertakwa tentulah Kami akan melimpahkan kepada mereka berkah dari langit dan bumi, tetapi mereka mendustakan (rasul-rasul Kami) lalu Kami menimpakan mereka (dengan azab) disebabkan apa yang mereka telah usahakan."

Seterusnya...

Ramalan Cuaca

Untuk maklumat lanjut Ramalan Cuaca bagi Negara Brunei Darussalam sila layari www.met.gov.bn

Login or Register

LOG IN

Register

User Registration
or Cancel