A+ A A-

MENURUT perspektif Islam, pendidikan kanak-kanak ialah proses mendidik, mengasuh dan melatih rohani dan jasmani mereka berteraskan nilai-nilai baik yang bersumberkan Al-Qur'an, Hadits dan pendapat serta pengalaman para ulama. Ia bertujuan melahirkan Insan Rabbani yang beriman, bertaqwa dan beramal soleh.
Falsafah pendidikan sebenarnya menekankan aspek rohani dan jasmani, sesuai dengan kejadian manusia itu sendiri yang terdiri daripada roh dan jasad. Ianya melibatkan beberapa peringkat, bermula dari dalam kandungan sehinggalah ia lahir dan menjadi dewasa.
Membentuk Dunia Kanak-kanak
Sebelum anak-anak dilahirkan, ibu bapa menyediakan tempat yang sesuai untuk membesarkan anak dengan sebaik-baiknya. Ini bermakna dunia kanak-kanak setelah dilahirkan ialah rumah ibu bapa itu sendiri. Untuk mencapai kesempurnaan hidup kanak-kanak, ibu bapa perlu membentuk suasana harmoni dan bercirikan keislaman dalam kehidupan rumah tangga terlebih dahulu.
Jika pasangan suami isteri menghayati nilai-nilai keislaman dalam kehidupan rumahtangganya, mudahlah ia mendidik anak-anaknya dengan benih-benih Islam. Sebaliknya, jika pasangan suami isteri gagal menerapkan nilai-nilai Islam dan mengekalkan kerukunan rumah tangga, sukarlah bagi mereka mentarbiyah anak-anak mengikut acuan dan budaya hidup Islam.
Atas itulah Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam mengingatkan bakal-bakal suami agar memilih bakal isteri yang mempunyai kesungguhan dan penghayataan agama, bukan kerana paras rupa, keturunan atau harta semata-mata. Dalam sebuah hadits yang diriwayatkan oleh Imam Bukhari daripada Abu Hurairah Radhiallahuanhu, dari Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam bersabda:
"Wanita dikahwini kerana empat perkara, iaitu kerana hartanya, keturunannya, kecantikannya dan agamanya. Maka pilihlah yang beragama kerana ia menguntungkan kamu (lebih utama)."
Ketika Anak Dalam Kandungan
Proses pendidikan mula berlaku ketika bayi masih berada dalam kandungan ibunya. Pendidikan pada peringkat ini lebih bercorak kerohanian, iaitu:
1. Bagi ibu-ibu yang mengandung digalakkan supaya memperbanyakkan bacaan Al-Qur'an terutama Surah Yusuf, Maryam, Luqman dan At Taubah.
2. Ibu hendaklah sentiasa berdoa kepada Allah Subhanahu Wata'ala agar anak yang bakal dilahirkan itu nanti menjadi seorang anak yang soleh, berilmu, beriman, bertaqwa dan berakhlak mulia.
3. Ibu bapa hendaklah mendapat rezeki daripada sumber yang halal supaya benih yang bakal dilahirkan itu nanti datang daripada darah daging yang halal.
4. Ibu hendaklah makan makanan yang berzat dan sentiasa menjaga kesihatan tubuh badannya. Kebersihan diri hendaklah diutamakan bagi menjamin kesihatan anak-anak dalam kandungan. Faktor kesihatan amat dititik beratkan oleh Islam sehingga Islam memberikan kelonggaran kepada ibu yang mengandung untuk berbuka puasa sekiranya merasakan puasa itu menjejaskan kesihatan diri dan anaknya.
5. Ketika mengandung, ibu perlulah menyesuaikan diri dengan perubahan-perubahan yang berlaku kepada dirinya. Pada waktu begini sememangnya keadaan ibu agak berbeza dari waktu-waktu biasa, terutamanya bagi ibu yang bakal melahirkan anak yang pertama.
Mungkin selera makannya hilang, perasaan agak terganggu (sensitif) dan hatinya boleh berdebar-debar kerana bayi dalam kandungannya itu adalah sebahagian daripada dirinya. Ketika ini para suami hendaklah lebih memahami keadaan isteri serta memberi dorongan yang kuat kepadanya.
Bersambung

Seterusnya...

RASULULLAH Shallallahu 'alaihi wasallam merupakan seorang yang amat agung dan mulia, dianggap oleh Allah Subhanahu wa Ta'ala sebagai kekasih-Nya dan menjadi kesayangan umat Islam sejagat. Tidak ada kata-kata yang dapat menggambarkan tentang diri Rasulullah Shallallahu 'alaihi wasallam itu, hanya kita berpandukan dengan firman Allah Subhanahu wa Ta'ala:
Tafsir-Nya: "Dan bahawa sesungguhnya engkau mempunyai akhlak yang sangat-sangat mulia." (Surah al-Qalam: 4)
Firman Allah Subhanahu wa Ta'ala lagi:
Tafsir-Nya: "Dan Kami tidak mengutus engkau (wahai Nabi Muhammad) melainkan untuk menjadi rahmat bagi sekalian alam)" (Surah al-Anbiya': 107)
Terdapat lagi lain-lain ayat dan hadits yang banyak memperkatakan tentang kemuliaan dan keagungan diri Rasulullah Shallallahu 'alaihi wasallam.
Kedatangan Baginda dengan membawa syariat Islam telah memberi sinar hidayah kepada manusia, menyuluh kehidupan manusia yang dahulunya berada dalam kegelapan kepada cahaya kehidupan yang penuh keimanan serta mengangkat wanita dari serendah-rendah martabat kepada kedudukan yang tinggi, bahkan mengangkat manusia seluruhnya kepada kedudukan yang mulia.
Hukum Mencintai Rasulullah Shallallahu 'Alaihi Wasallam
Mencintai Rasulullah Shallallahu 'alaihi wasallam merupakan satu tuntutan agama dan mentaati perintah Baginda adalah satu perintah daripada Allah Subhanahu wa Ta'ala. Perintah ini jelas disebut dalam firman-Nya:
Tafsirnya: "Katakanlah (wahai Nabi Muhammad): "Taatlah kamu kepada Allah dan Rasul-Nya. Jika kamu berpaling (derhaka terhadap Allah Subhanahu wa Ta'ala dan Rasul-Nya), maka sesungguhnya Allah tidak menyukai orang-orang yang kafir". (Surah ali 'Imran : 32) Firman Allah Subanahu wa Ta'ala:
Tafsirnya: "Dan taatlah kamu kepada Allah serta taatlah kepada Rasul Allah, maka jika kamu berpaling (daripada mentaati rasul Kami, kamulah yang akan menderita, bukan rasul Kami) kerana sesungguhnya kewajipan rasul Kami hanyalah menyampaikan (perintahperintah) dengan jelas nyata." (Surah ath-Thagabun: 12)
Bagaimana Mencintai Rasulullah Shallallahu 'Alaihi Wasallam?
Memang tidak dinafikan bahawa kasih sayang umat Islam terhadap Junjungan Besar Rasulullah Shallallahu 'alaihi wasallam amat besar. Baginda dipuja, disanjungi dan dihormati bukan sahaja kerana Baginda adalah kekasih Allah Subhanahu wa Ta'ala, malahan juga kerana kukuhnya nama Baginda dalam hati setiap umat Islam. Sebarang cacian yang dilemparkan kepada Baginda oleh pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab amat mengusik hati umat Islam sehingga ada yang bangkit menyatakan rasa marah bahkan rela berkorban demi mempertahankan kehormatan dan kesucian Rasullullah Shallallahu 'alaihi wasallam.
Antara cara menyatakan kecintaan kepada Baginda yang jelas disebutkan dalam ajaran Islam:
1. Mentaati segala suruhan dan meninggalkan segala larangan Baginda Shallallahu 'alaihi wasallam.
Di dalam al-Qur'anul karim, Allah Subhanahu wa Ta'ala memerintahkan kepada umat manusia untuk mentaati suruhan dan meninggalkan larangan Rasul-Nya. Firman-Nya:
Tafsir-Nya: "Dan apa jua suruhan yang dibawa oleh rasul Allah kepada kamu maka ambillah akan dia serta amalkan, dan apa jua yang dilarangnya kamu melakukannya maka patuhilah larangannya. Dan bertaqwalah kamu kepada Allah." (Surah al-Hasyr: 7)
2. Meneladani akhlak Baginda Shallallahu 'alaihi wasallam.
Rasulullah Shallallahu 'alaihi wasallam diutus untuk menyempurnakan akhlak manusia. Diriwayatkan daripada Abu Hurairah Radhiallahu 'anhu, Rasulullah Shallallahu 'alaihi wasallam bersabda:
Maksudnya: "Sesungguhnya aku diutus untuk menyempurnakan semulia-mulia akhlak." (Hadits riwayat Ahmad)
Allah Subhanahu wa Ta'ala memuji akhlak Rasulullah Shallallahu 'alaihi wasallam sebagaimana dalam firman-Nya:
Tafsir-Nya: Dan bahawa sesungguhnya engkau mempunyai akhlak yang sangat-sangat mulia. (Surah al-Qalam: 4)
Justeru itu adalah semestinya kita mencontohi atau meneladani akhlak Baginda Shallallahu 'alaihi wasallam. Allah Subhanahu wa Ta'ala berfirman:
Tafsir-Nya: "Demi sesungguhnya! adalah bagi kamu pada diri Rasulullah Shallallahu 'alaihi wasallam itu contoh ikutan yang baik, iaitu bagi orang yang sentiasa mengharapkan (keredhaan) Allah dan (balasan baik) hari Akhirat." (Surah al-Ahzab: 21)
BERSAMBUNG

Seterusnya...

seruan suci

MARILAH kita meningkatkan ketaqwaan kita kepada Allah Subhanahu Wata'ala dengan penuh keyakinan dan keikhlasan dengan melakukan segala suruhan-Nya dan meninggalkan segala larangan-Nya. Mudah-mudahan kita menjadi insan yang bertaqwa dan beriman serta selamat di dunia dan selamat di Akhirat.
Firman Allah SubhanahuWata'ala dalam Surah Al Anfaal ayat 104 yang tafsir-Nya:
"Dan hendaklah ada antara kamu segolongan umat yang menyeru kepada kebajikan (kebaikan). Dan menyuruh berbuat yang makruf, serta melarang daripada yang mungkar. Dan mereka itulah orang-orang yang berjaya."
'Amar Makruf Nahi Munkar' iaitu menyuruh kepada berbuat kebaikan dan mencegah dari berbuat kemungkaran adalah satu tugas yang mulia dan besar ganjarannya. Dengan melakukan perkara tersebut akan dapat menjadikan masyarakat yang harmoni dan negara yang aman serta memartabatkan ajaran Islam. Ia juga dapat mengelakkan masyarakat dan negara dari ditimpa kekacauan, perpecahan dan juga kesengsaraan hidup seharian.
Memang tidak dinafikan untuk melakukan 'Amar Makruf Nahi Munkar' itu bukanlah satu perkara yang mudah. Tetapi sebagai umat Islam yang beriman, kita disarankan agar tidak berdiam diri apabila kemungkaran berlaku. Sesuatu perlu dilakukan untuk mencegah kemungkaran tersebut daripada terus merebak dan mengganggu ketenteraman kita, keluarga dan masyarakat.
Bagi mencegah berlakunya kemungkaran di negara ini, salah satu agensi kerajaan yang bertanggungjawab untuk mencegahnya ialah Pasukan Polis Diraja Brunei. Maka dengan amanah yang telah dipertanggungjawabkan kepada Pasukan Polis Diraja Brunei, ketenteraman masyarakat akan lebih terjamin melalui Pasukan Polis yang bertugas sepanjang masa. Namun demikian, ini tidak bermakna kita menyerahkan tugas berkenaan sepenuhnya kepada Pasukan Polis, bahkan kita sebagai masyarakat juga bertanggungjawab mencegah kemungkaran dengan memberikan kerjasama dan bantuan yang sewajarnya. Sabda Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam yang maksudnya:
"Dari Abi Said Al Qudhri Radiallahu'anhu ia berkata: Saya telah mendengar Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam bersabda: Barang siapa diantara kamu yang melihat sesuatu kemungkaran, maka hendaklah ia mengubahnya (mencegahnya) dengan tangannya, dan jika ia tidak berkuasa maka dengan lidahnya, dan jika ia tidak berkuasa, maka dengan hatinya, yang demikian itu adalah selemah-lemah iman." (Riwayat Al-Imam Muslim).
Adapun di antara kemungkaran yang semakin meningkat di negara ini ialah masalah sosial dan isu jenayah dalam kalangan remaja. Oleh yang demikian, peranan ibu bapa adalah amat penting dalam memberikan perhatian yang serius dengan memperhatikan setiap gerak-geri anak-anak mereka. Ibu bapa juga hendaklah mengenali rakan-rakan anak mereka dan memantau pergaulan anak-anak mereka agar terhindar daripada terjebak ke dalam kancah kesalahan dan jenayah. Inilah tanggungjawab ibu bapa dalam memelihara keluarga mereka agar selamat di dunia dan di Akhirat, seperti mana firman Allah Subhanahu Wata'ala dalam Surah At Tahrim ayat 6 yang tafsir-Nya:
"Wahai orang-orang yang beriman, peliharalah diri kamu dan keluarga kamu dari api Neraka yang bahan bakarannya manusia dan batu berhala."
Sesungguhnya ibu bapa telah diamanahkan oleh Allah Subhanahu Wata'ala untuk mendidik anak-anak mereka menjadi seorang insan yang berjaya terutama sekali dalam suasana dunia sekarang yang penuh dengan cabaran dan dugaan.
Sememangnya nilai dan gaya hidup ibu bapa akan mempengaruhi tarbiah atau pendidikan anak-anak khususnya remaja di mana mereka akan melakukan apa yang mereka lihat dan akan mengingatinya untuk dicontohi.
Dalam keadaan dunia sekarang yang serba canggih, jenayah juga boleh berlaku melalui teknologi maklumat. Sebagai contoh pada kebelakangan ini kita telah menerima beberapa maklumat sama ada berbentuk peringatan atau amaran yang disalurkan atau diedarkan melalui media sosial iaitu aplikasi 'Whatsapp' dan 'Facebook' di mana kebanyakan kandungannya yang direka, dikirim dan dihantar adalah isi kandungan yang tidak sihat, antara lain kandungan tersebut ialah:
Pertama: Berbentuk ancaman iaitu mengencam keselamatan umum atau ketenteraman awam.
Kedua: Kandungan tidak bermoral.
Ketiga: Berbentuk cerita atau maklumat yang salah atau tidak tepat dan mengelirukan.
Keempat: Kandungan yang menimbulkan rasa takut dan cemas kepada masyarakat.
Kelima: Penipuan iaitu kemenangan hadiah berunsurkan wang ringgit.
Adapun perbuatan sedemikian adalah berdosa dan dilarang oleh agama Islam, kerana ada di antara perbuatan tersebut berunsurkan fitnah. Ketahuilah bahawa perbuatan memfitnah adalah lebih buruk dan dahsyat daripada membunuh. Firman Allah Subhanahu Wata'ala dalam Surah Al Baqarah ayat 191, tafsir-Nya:
"Dan fitnah itu lebih besar bahayanya daripada pembunuhan."
Ketahuilah wahai kaum Muslimin, bahawa penyebaran maklumat palsu atau yang menggemparkan adalah menjadi kesalahan di dalam akta dan boleh didakwa di mahkamah dan dihukum penjara.
Oleh yang demikian, sama-samalah kita menjaga keamanan dan keharmonian negara dengan mengamalkan 'Amar Makruf Nahi Munkar' serta memberikan kerjasama kepada Pasukan Polis Diraja Brunei dalam sama-sama membanteras jenayah di negara ini.
Akhirnya, bersempena memperingati Sambutan Hari Polis Ke-92 Tahun pada tahun ini, sama-samalah kita berdoa semoga Pasukan Polis Diraja Brunei dapat menjalankan tugas yang telah dipertanggungjawabkan itu dengan jujur, amanah, ikhlas dan dedikasi. Mudah-mudahan dengan yang demikian negara kita akan aman sejahtera serta sentiasa mendapat perlindungan Allah Subhanahu Wata'ala. Amin Ya Rabbal'alamin.
Allah Subhanahu Wata'ala berfirman dalam Surah Al Anfaal ayat 27 yang tafsir-Nya:
"Wahai orang-orang yang beriman, janganlah kamu mengkhianati Allah dan rasul-Nya dan janganlah kamu mengkhianati amanah-amanah yang diamanahkan kepada kamu sedang kamu mengetahui salahnya."

Seterusnya...

MKAFACEBOOK, blog, handphone 3g dan seumpamanya adalah bentuk-bentuk kemudahan yang dihasilkan oleh manusia untuk mengindahkan dan memudahkan lagi kehidupan seharian kita di abad ini. Banyak perkara menjadi pantas dan segera dengan adanya pelbagai gadjet yang ada di pasaran. Walaupun kedudukan seorang berada di selatan, beribu batu jaraknya dan seorang laginya berada di utara dengan kecanggihan yang ada kedua-duanya dapat berhubung dengan mudah tanpa perlu bersusah payah menempah tiket untuk sebuah pertemuan. Murah dan cepat!
Alhamdulillah, pada mereka yang memilihnya sebagai ruang berdakwah kepada manusia lain, meluaskan hubungan dan jaringan (network), merapatkan ukhuwah yang jauh dan berkasih sayang sesama manusia. Namun, adalah amat mengecewakan apabila kecanggihan teknologi ini lebih menjadikan penggunanya banyak membuang masa, chatting yang tiada hadnya dengan isi perbincangan yang lebih ke arah merapuh dan sia-sia. Hanya borak kosong sebagai kesimpulan dan point ceritanya. Hal ini, sebenarnya meragut nilai-nilai murni dan kesedaran sivik pengguna yang majoritinya banyak berlaku dalam kalangan anak-anak muda.
Di sebalik kebaikan padanya juga ada keburukan. Semuanya terletak pada diri pengguna itu sendiri sejauh mana ianya digunakan. Teknologi ini adakalanya membunuh fitrah manusia, kerana semakin ianya mudah untuk menghubungkan seseorang dengan seseorang yang lain, maka semakin besarlah cabaran yang tersedia.
Dengan kemudahan komunikasi yang semakin meluas, ianya juga seakan memberi ruang kepada syaitan untuk menyelinap di hati, membakarbakar emosi dan nafsu yang pada mereka yang suka mencuba. Daripada cubaan berkenalkenalan sehinggalah cubaan ke fasa yang lebih menyeronokkan. Pada mulanya bersendirian dan apabila adanya pertemuan demi pertemuan, maka tidak mustahil akan ada pula adegan yang mungkin sahaja lebih berani dilakukan.
Bagi yang mempunyai laman sosial Facebook dialog dihiasi dengan pameran kemesraan yang diterjemahkan dalam gambar intim berdua sebagai tanda kesaksian percintaan mereka untuk dikongsi bersama dengan kenalan-kenalan Facebook yang ada. Laman sosial yang sepatutnya digunakan untuk perkara-perkara yang baik dan perkongsian ilmu lebih digunakan sebagai mewarwarkan kemesraan dan keintiman bagi pasangan belum ada apa-apa ikatan menghalalkannya.
Selain itu, ada juga yang menjadi model-model yang tidak dibayar oleh mana-mana syarikat modeling. Menjadi model pada photographer tidak bertauliah dengan memberikan aksi-aksi istimewa untuk paparan umum. Pelbagai gaya manja, cantik, senyuman menggoda dari pelbagai sudut dipaparkan tanpa batasan diuploadkan tanpa sekelumit perasaan sedangkan ianya hanyalah merugikan diri sendiri dan menjadi asbab bertambahnya dosa dan noda mazmumah dalam diri. Rasanya kalau ditonton pada keluarga mesti ada yang mengucap panjang.
Umumnya, aurat itu di dalam bahasa Arab membawa maksud aib atau malu iaitu lebih merujuk kepada sesuatu yang memalukan. Sesuatu yang aib fitrahnya melibatkan perkara-perkara yang membawa maksud kepada kekurangan, kelemahan dan sesuatu perkara yang boleh memalukan seseorang. Maka, memperlihatkan aurat di khalayak ramai walaupun secara maya samalah seolah-olah dengan rela hati memperlihatkan kelemahan dan kekurangan diri sendiri yang mana ianya boleh memalukan diri sendiri. Walaupun, adakalanya dengan sepuluh orang yang memuji like gaya mereka, membuatkan mereka terasa di awang-awangan, namun tanpa mereka sedari seribu orang malah lebih pula yang merasa geli dan jijik dengan tingkah mereka.
Semua ini tidak mungkin terjadi jika iman mendahului emosi. Tanpa pengawasan ibu bapa juga sewenang-wenangnya remaja menekan keyboard tanpa berfikir akan membawa imej keluarga dan agama bersama. Namun segala-galanya bermula dari hati sendiri. Hati yang bersih akan menterjemahkan perilaku yang bersih. Demikianlah dinding-dinding Facebook yang ada sebagai petunjuk kepada diri seseorang itu. Andai imannya mendahului emosi, sudah pastilah dinding-dinding (wall) itu dipenuhi dengan perkongsian yang bermanfaat.
Kesimpulannya, berhati-hatilah dengan kemudahan yang ada. Manfaatkanlah kebaikan di ruang maya supaya dapat memberikan kebaikan berterusan pada diri kita dan kepada orang yang membacanya. Hiasilah akhlak dengan perasaan malu untuk memelihara tingkah laku mahupun aurat kerana hanya orang tertentu sahaja layak melihatnya.
Sama-samalah kita manfaatkan kemudahan ke arah yang lebih baik demi maruah agama dan keluarga, ke arah menjadi mukmin yang berjaya! Ketika azan berkumandang, tinggalkanlah dahulu kemudahan-kemudahan dunia yang mengasyikkan kerana ianya hanyalah bersifat sementara.
Jangan hanya kemudahan itu dapat memberikan kemudahan untuk kita di dunia sahaja, tetapi menyusahkan diri kita apabila berada di alam yang lebih abadi nanti asbab diri kita sendiri yang kurang bijak menggunakannya.

Seterusnya...

irsyad logo

Tuntutan menghormati arah kiblat itu dapat dilihat dalam berbagai perkara. Antaranya ialah dalam perkara qadha hajat. Apabila kita hendak qadha hajat haram hukumnya menghadap atau membelakangi kiblat jika dalam keadaan terbuka seperti di gurun sahara iaitu padang pasir. Namun harus jika qadha hajat itu dalam keadaan berdinding. Sekurang-kurang dinding itu ialah tiga hasta tinggi dan tidak kurang tiga hasta jaraknya. Jika dalam keadaan sedemikian hukumnya adalah harus. Lebih lagi harus jika qadha hajat itu dalam tandas kerana sememangnya dalam keadaan tertutup.
Bagaimana pula hukum tidur dengan mengunjurkan kaki ke arah kiblat? Adakah tidur seperti ini termasuk dalam perkara tidak menghormati arah kiblat? Untuk menjawab persoalan ini, elok kita rujuk pandangan ulama mengenainya.
Imam Al-Ghazali Rahimahullahu Ta'ala ada menerangkan bahawa salah satu cara tidur menghadap kiblat itu ialah seperti menghadapkan orang yang hampir mati ke arah kiblat iaitu dalam keadaan terlentang, muka dan dua tapak kakinya menghadap ke arah kiblat. Perkara ini jelas disebutkan dalam kitabnya Ihya 'Ulumiddin dengan katanya:
Ertinya: "(Adab tidur yang) ke tujuh ialah (sunat) tidur menghadap kiblat. Menghadap kiblat itu ada dua cara : Salah satunya: (Seperti cara) menghadapkan orang yang hampir mati iaitu terlentang atas belakang (badannya), muka dan dua tapak kakinya menghadap ke arah kiblat. Kedua: (Seperti cara) menghadap (kiblat di dalam) lubang kubur iaitu baring secara mengiring dengan mukanya serta bahagian hadapan badannya ke arah (kiblat) ketika berbaring pada posisi sebelah kanan."
(Kitab Ihya 'Ulumiddin: 1/448)
Selain tidur, dalam perkara sembahyang, di dalam keadaan tertentu ketika sakit seseorang itu dibenarkan bersembahyang secara menelentang dan kedua kaki menghadap ke arah kiblat. Hal ini disebutkan oleh Imam Zakaria al-Anshari Rahimahullahu Ta'ala dalam kitab Asna al-Mathalib:
Ertinya: "Jika dengan duduk itu dia mendapat kesusahan, (iaitu kesusahan yang sama) dirasainya (ketika dia bersembahyang) dengan cara berdiri, maka wajib sembahyang (dengan cara) berbaring atas rusuknya dengan wajah dan (sebelah) hadapan badannyamenghadap kiblat. Dan berbaring atas rusuk sebelah kanan adalah lebih afdhal. Dan makruh jika berbaring di atas rusuk sebelah kiri tanpa ada sebarang keuzuran sebagaimana ditetapkan dalam kitab al-Majmu'. Kemudian jika terdapat keuzuran untuk berbaring maka sembahyanglah dalam keadaan menelentang dan dua tapak kakinya mengarah ke kiblat, seperti halnya orang yang hampir mati apabila tidak dapat dibaringkan di atas rusuknya barulah dibaringkan secara menelentang. Dan (orang yang dibaringkan secara menelentang itu) kepalanya lebih tinggi dengan meninggikan bantalnya supaya menghadap wajahnya ke arah kiblat."
(Kitab Asna al-Mathalib: 1/148)
Sementara itu, menurut Syeikh Muhammad bin Shaleh al-'Uthaimin Rahimahullahu Ta'ala apabila ditanya mengenai hukum tidur dengan mengunjurkan kaki ke arah kiblat, beliau memfatwakan dengan berkata:
Ertinya: "Tidak mengapa ke atas seseorang apabila dia tidur kedua kakinya menghala ke arah Ka'bah (kiblat). Bahkan ulama fiqh Rahimahumullahu Ta'ala berkata: "Sesungguhnya orang sakit yang tidak mampu berdiri dan tidak mampu duduk, (maka dia) bersembahyang dengan cara miring dan wajahnya menghadap ke arah kiblat dan jika tidak mampu juga maka (hendaklah) bersembahyang dengan cara terlentang dan kedua kakinya menghadap ke arah kiblat."
(Fatawa Ibnu al-'Uthaimin: Soalan ke 1576)
Maka berdasarkan beberapa pandangan ulama di atas, dapatlah disimpulkan bahawa tidur menelentang dengan mengunjurkan kaki ke arah kiblat itu tidaklah mengapa bahkan tidak dikira berdosa. Sebab, tidur dalam keadaan mengunjur kaki ke arah kiblat itu sama dengan keadaan sembahyang orang yang sakit dan tidak mampu sembahyang dalam keadaan berdiri ataupun duduk. Diharuskan sembahyang miring atas rusuknya yang kanan ataupun dalam keadaan menelentang dengan wajah dan kedua kakinya menghadap ke arah kiblat.

WALLAHU'ALAM

Seterusnya...

seruan suci
MARILAH
kita sama-sama meningkatkan keimanan dan ketaqwaan kepada Allah Subhanahu Wata’ala dengan melakukan segala suruhannya dan meninggalkan segala larangan. Di samping itu kita bersyukur kepada Allah Subhanahu Wata’ala di atas limpah kurnia-Nya yang tidak terhingga banyaknya kepada kita supaya dapat menikmati dan segala suruhan-Nya sehingga kita menjadi hamba-hambanya yang dikasihi di dunia dan di Akhirat. Kita baru sahaja meninggalkan tahun 1433 Hijriah dan baru sahaja memasuki tahun baru 1434 Hijriah. Ini bererti Hijrah Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam itu sudah pun berlalu lebih 14 abad, namun ia tetap menjadi kenangan dan ristaan zaman berzaman hingga ke hari ini. Peristiwa Hijrah Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam sememangnya tidak boleh dilupakan kerana peristiwa tersebut merupakan sejarah agung yang telah membawa perubahan kepada kehidupan umat Islam iaitu dari kehidupan jahiliah kepada kehidupan yang sempurna.

Sebagaimana yang kita maklum, penghijrahan Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam dari Mekah Al-Mukaramah ke Madinah Al-Munawarah adalah atas perintah Allah Subhanahu Wata’ala bagi tujuan mengembangkan lagi syariat agama Islam.

Sesungguhnya peristiwa Hijrah Rasulullah Sallallahu AlaihiWasallam bersama para sahabat dan pengikut-pengikut Baginda dari Mekah Al-Mukaramah ke Madinah Al-Munawarah telah membawa lembaran sejarah yang paling agung, bukan sahaja dalam perkembangan agama Islam tetapi juga pada tamadun manusia keseluruhannya. Dengan hijrahnya Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam ke Madinah, maka berbentuklah negara Islam yang pertama yang berjaya melahirkan satu umat yang bersatu padu, bersaudara, dihormati dan menjadi contoh sehingga melahirkan kemakmuran yang dapat dinikmati oleh rakyatnya secara adil dan saksama.

Peristiwa Hijrah Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam telah banyak memberikan pengajaran yang amat berharga dan merupakan urusan yang tidak ternilai harganya untuk umat Islam dalam usaha melahirkan 'Baldatun Tayyibatun Wa Rabbun Ghafurr' iaitu negara aman makmur dan mendapat keampunan serta pertolongan dari Allah Subhanahu Wata'ala.

Jika kita amat-amati peristiwa Hijrah Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam itu, terdapat banyak pengajaran yang boleh kita ambil yang kita jadikan pedoman dalam usaha memperbaiki diri untuk berubah ke arah yang lebih baik. Antara pengajaran dari Hijrah itu ialah dari makna Hijrah itu sendiri. Hijrah bukan sahaja bererti berpindah suatu tempat ke tempat yang lain tetapi juga bererti meninggalkan suatu perbuatan yang tidak baik. Sesungguhnya Hijrah sebagaimana Hijrah Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam dari Mekah Al-Mukaramah ke Madinah Al-Munawarah itu tidak akan berlaku lagi kepada umat Islam masa kini tetapi kita masih tetap dapat melakukan Hijrah dalam erti meninggalkan semua perbuatan yang dilarang oleh Allah Subhanahu Wata’ala. Hijrah ini iaitu meninggalkan semua perbuatan yang dilarang oleh Allah Subhanahu Wata’ala. Itu adalah wajib dikerjakan oleh tiap-tiap orang Islam. Sabda Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam, Riwayat Al-Imam Al-Bukhari, maksudnya :

Dari Abdullah bin 'Amru Radiallahuanhuma berkata, dari Nabi Sallallahu Alaihi Wasallam, baginda bersabda : “Orang yang berhijrah itu orang yang meninggalkan perkara-perkara yang dilarang oleh Allah.”

Dari hadis tersebut, jelaslah betapa kita wajib melakukan Hijrah iaitu meninggalkan apa jua perbuatan dan sikap yang kurang elok dan tidak baik, lebih-lebih lagi yang diharamkan oleh agama. Kita mesti berubah jika mahu memperbaiki dan memajukan diri untuk menjadi Muslim yang beriman dan bertakwa dan seterusnya menjadi hamba yang dikasihi oleh Allah Subhanahu Wata’ala.

Oleh yang demikian, jika seseorang itu merasakan terdapat sikap dan peribadinya yang kurang elok seperti kurang sabar, malas, cepat berputus asa dan sebagainya, maka berusahalah untuk berhijrah atau berubah dengan memperbaiki diri agar menjadi seorang Muslim yang baik, berbudi pekerti, penyabar, rajin berusaha, mempunyai azam yang kuat dan sebagainya. Begitu juga jika seseorang itu sedar bahawa ia telah melakukan perkara dosa maka segeralah ia bertaubat dan memohon keampunan dari Allah Subhanahu Wata’ala serta kembali ke pangkal jalan.

Sesungguhnya semua perubahan kepada kebaikan itu banyak mendatangkan keuntungan dan manfaat, bukan sahaja kepada diri, individu itu sendiri bahkan juga menguntungkan keluarga, masyarakat dan negara.

Pengajaran dari peristiwa Hijrah yang seterusnya pula ialah ikatan persaudaraan dan mahabbah sesama umat Islam. Semasa hijrahnya Nabi Muhammad Sallallahu AlaihiWasallam dan kaum Muslimin dari Mekah ke Madinah, mereka meninggalkan rumah dan harta benda mereka semata-mata untuk mencari keredaan Allah Subhanahu Wata’ala. Saudara-saudara Muslimin yang di Madinah tidak membiarkan saudara-saudaranya yang datang berhijrah itu susah dan menderita. Mereka telah menyediakan rumah-rumah sebagai tempat tinggal dan menyediakan makanan, minuman, pakaian dan segala barang-barang keperluan walaupun mereka sendiri turut sama berhajat kepada keperluankeperluan tersebut. Namun mereka ikhlas untuk memberikan dan membantunya dan disebabkan kemuliaan hati dan sikap yang terpuji itu.

Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam telah menanam mereka sebagai kaum Ansar yang bererti penolong, penyokong atau pembantu. Ini, jelas sebagaimana Firman Allah Subhanahu Wata’ala yang memuji sifat orang-orang Ansar itu sebagaimana dalam Surah Al Hasyr, ayat 9, tafsirnya : “Dan orang-orang Ansar yang mendiami negeri Madinah serta beriman sebelum mereka, mengasihi orang-orang yang berhijrah ke negeri mereka, dan tidak ada pula dalam hati mereka perasaan berhajatkan apa yang telah diberi kepada orang-orang yang berhijrah itu; dan mereka juga mengutamakan orang-orang yang berhijrah itu lebih daripada diri mereka sendiri, sekalipun mereka dalam keadaan kekurangan dan amat berhajat. Dan ingatlah, sesiapa yang menjaga serta memelihara dirinya daripada dipengaruhi oleh tabiat bakhilnya, maka merekalah orang-orang yang berjaya. ”

Adapun ikatan muhibah di antara kaum Ansar dan Muhajirin merupakan contoh terbaik yang perlu diteladani dan diamalkan dalam menjalani kehidupan ini, lebih-lebih lagi pada masa ini didapati penghayatan dalam berkasih sayang sesama saudara-saudara itu sudah berkurang terutama kepada saudara-saudara yang tiada ikatan kekeluargaan sedang Allah Subhanahu Wata’ala telah jelas menyatakan dalam firmannya, Surah Al-Hujuraat, ayat 10, tafsirnya :

“Sebenarnya orang-orang yang beriman itu adalah bersaudara.”

Pengajaran yang seterusnya ialah niat ikhlas. Segala peribadatan dan perbuatan hendaklah dilakukan semata-mata kerana Allah Subhanahu Wata’ala, Firman Allah Subhanahu Wata’ala dalam Surah Al-An'aam, ayat 162, tafsirnya :

“Katakanlah : Sesungguhnya sembahyangku, ibadatku, hidupku dan matiku hanyalah untuk Allah, pencipta dan pentadbir sekalian alam.”

Kerana itu, jika hendak beribadat membuat amal kebajikan ataupun berusaha untuk memperbaiki diri, biarlah niat itu dari hati yang ikhlas bukan kerana takut dan malu atau kerana suruhan seseorang atau menunjuk-nunjuk dan sebagainya. Ingatlah bahawa niat yang ikhlas kerana Allah Subhanahu Wata’ala sahajalah menyebabkan segala amalan diterima Allah Subhanahu Wata’ala. Perkara ini dijelaskan dalam sebuah hadis Rasulullah Alaihi Wasallam, riwayat Al-Imam Al-Bukhari, maksudnya :

Dari Umar bin Al-Khatab Radiallahuanhu berkata : “Aku mendengar bahawasanya Rasulullah Alaihi Wasallam bersabda : “Sesungguh setiap amalan itu dengan niat. Sesungguhnya balasan bagi setiap orang itu mengikut apa yang diniatkan. Maka barang siapa yang berhijrah kerana untuk mendapatkan dunia maka ia akan memperolehinya atau untuk mendapatkan wanita maka ia akan mengkahwininya. Maka hijrahnya mengikut apa yang diniatkan kepadanya.”

Marilah kita sama-sama mengambil iktibar dan pengajaran dari peristiwa Hijrah tersebut, mudah-mudahan segala niat dan perbuatan kita akan mendapat keredaan dari Allah Subhanahu Wata’ala. Maka bersempena tahun baru 1434 Hijriah ini sama-samalah kita berazam membuat perubahan untuk menjadi Muslim yang beriman dan bertakwa seperti melipat ganda lagi amal ibadah dan perbuatan yang berkebajikan. Akhirnya sama-samalah kita berdoa semoga kita mendapat taufik dan hidayah serta petunjuk dan rahmat dari Allah Subhanahu Wata’ala. Amin Ya Rabbal Alamin.

Surah Al Anfaal, ayat 74, tafsirnya :

“Dan orang-orang yang beriman dan berhijrah serta berjihad pada jalan Allah untuk membela Islam), dan orang-orang Ansar yang memberi tempat kediaman dan pertolongan kepada orang-orang Islam yang berhijrah itu, merekalah orang-orang yang beriman dengan sebenar-benarnya. Mereka beroleh keampunan dan limpah kurnia yang mulia.”

Seterusnya...

Ramalan Cuaca

Untuk maklumat lanjut Ramalan Cuaca bagi Negara Brunei Darussalam sila layari www.met.gov.bn

Login or Register

LOG IN

Register

User Registration
or Cancel