A+ A A-

irsyad

(Dengan nama Allah, Segala puji bagi Allah, Selawat dan salam ke atas Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam, keluarga, sahabat dan para pengikut Baginda)

ISLAM menggalakkan para jemaah Sembahyang Fardu Jumaat untuk datang lebih awal ke masjid bagi mengambil tempat duduk masing-masing dan menunggu waktu sembahyang didirikan. Perkara ini disunatkan kepada mereka, kecuali imam dan orang uzur yang sukar baginya datang awal ke masjid.

Waktu yang dituntut untuk datang awal ke masjid itu bermula di awal siang, iaitu terbit fajar shadiq sebagaimana waktu bermula mandi sunat Sembahyang Fardu Jumaat. Orang yang datang awal ke masjid akan dicatat oleh malaikat dan mendapat ganjaran pahala yang besar, sebagaimana disebutkan dalam hadis yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah Radhiallahu anhu, Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam bersabda :

Maksudnya : ''Sesiapa yang mandi pada hari Jumaat (seperti) mandi junub kemudian dia pergi (awal pagi untuk mengerjakan Sembahyang Fardu Jumaat) nescaya ganjarannya sama seperti bersedekah seekor unta; dan sesiapa yang pergi pada waktu yang kedua nescaya ganjarannya sama seperti bersedekah seekor lembu; dan sesiapal yang pergi pada waktu yang ketiga nescaya ganjarannya sama seperti bersedekah seekor kibasy yang bertanduk; dan sesiapa yang pergi pada waktu yang keempat nescaya ganjarannya sama seperti bersedekah seekor ayam; dan sesiapa yang pergi pada waktu yang kelima nescaya ganjarannya sama seperti bersedekah sebiji telur. Apabila imam keluar (menaiki mimbar) maka malaikat hadir untuk mendengar zikir (khutbah).'' (Hadits riwayat Muslim)

Hadis ini jelas menunjukkan galakan supaya datang awal ke masjid untuk mengerjakan Sembahyang Fardu Jumaat dan menjelaskan kelebihan-kelebihan yang diperolehi mengikut peringkat waktu ia datang dan hadir ke masjid dari sebesar ganjarannya sama seperti bersedekah seekor unta sehingga ganjarannya hanya bersedekah sebiji telur.

Alangkah ruginya sesiapa yang datang lewat ke masjid, apatah lagi jika dia datang sewaktu imam menaiki mimbar, kerana malaikat tidak lagi mencatat kehadiran mereka yang datang lewat dan terlepas peluang mereka untuk meraih ganjaran pahala datang awal ke masjid.

Terdapat sebilangan orang yang bukan setakat lewat datang ke masjid bahkan mereka juga hanya sempat masbuq dalam berjemaah Sembahyang Fardu Jumaat. Persoalannya apakah kedudukan Sembahyang Fardu Jumaat bagi makmum yang masbuq ini?

Makmum yang masbuq dalam Sembahyang Fardu Jumaat

Masbuq ialah makmum yang tidak sempat bersama imam dengan masa yang cukup untuk membaca Surah Al-Fatihah dengan kadar bacaan yang sederhana cepat. Adapun muafiq pula ialah makmum yang sempat bersama imam dengan masa yang cukup untuk membaca Surah Al-Fatihah dengan kadar bacaan yang sederhana cepat.

Kedudukan Sembahyang Fardu Jumaat bagi makmum yang masbuq sama ada dia dikira mendapati Sembahyang Fardu Jumaat atau sebaliknya, dilihat pada tiga keadaan berikut :

(1) Sempat rukuk dengan thuma'ninah bersama imam pada rakaat pertama

Makmum yang masbuq, jika dia sempat melakukan rukuk dengan thuma'ninah bersama imam pada rakaat pertama sehingga selesai memberi salam, maka dikira Sembahyang Fardu Jumaatnya dan makmum itu tidak perlu lagi bangkit semula setelah imam selesai memberi salam untuk mengganti rakaat yang pertama itu. Ini kerana dia dikira menyempati rakaat pertama bersama imam.

(2) Tidak sempat rukuk dengan thuma'ninah bersama imam pada rakaat pertama

Makmum yang masbuq, jika dia tidak sempat melakukan rukuk dengan thuma'ninah bersama imam pada rakaat pertama namun dia sempat bersama imam pada rakaat kedua, maka tidak dikira dia menyempati rakaat pertama bersama imam. Oleh itu, hendaklah dia bangkit semula setelah imam selesai memberi salam bagi mengganti rakaat pertama yang tidak dikira itu.

Walau bagaimanapun, Sembahyang Fardu Jumaat bagi makmum tersebut adalah dikira kerana dia sempat bersama imam satu rakaat terakhir itu, akan tetapi tidak mendapat pahala yang sempurna. Diriwayatkan daripada Abu Hurairah Radhiallahu 'anhu, Nabi Sallallahu Alaihi Wasallam bersabda :

Maksudnya : ''Sesiapa yang mendapati satu rakaat daripada Sembahyang Jumaat maka dia mendapati sembahyang itu.'' (Hadits riwayat al-Hakim)

Hadits yang lain lagi, diriwayatkan daripada Abu Hurairah Radhiallahu 'anhu, Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam bersabda :

Maksudnya : ''Sesiapa yang mendapati satu rakaat daripada Sembahyang Jumaat maka hendaklah dia menambah satu rakaat yang lain lagi.'' (Hadits riwayat al-Hakim)

Sungguhpun makmum itu sempat bersama imam satu rakaat dan dikira Sembahyang Fardu Jumaatnya namun dengan syarat bilangan 40 orang jemaah hendaklah berkekalan sehingga sempurna satu rakaat makmum yang masbuq itu.

(3)Tidak sempat rukuk dengan thuma'ninah bersama imam pada rakaat kedua

Makmum yang masbuq, jika dia tidak sempat bersama imam pada rakaat pertama malah dia juga tidak sempat rukuk dengan thuma'ninah bersama imam pada rakaat kedua, maka tidak dikira dia memperolehi Sembahyang Fardu Jumaat itu kerana dia tidak sempat walau satu rakaat pun bersama imam. Maka hendaklah dia bangkit semula setelah imam selesai memberi salam dengan melakukan Sembahyang Fardu Zuhur sebanyak empat rakaat.

Menurut pendapat yang ashah, makmum yang tidak sempat rukuk dengan thuma'ninah bersama imam pada rakaat kedua itu, wajib dia berniat Sembahyang Fardu Jumaat ketika mengikut imam dan tidak perlu dia berniat Sembahyang Fardu Zuhur apabila dia bangkit setelah imam selesai memberi salam.

Sebagai contoh :
Imam mula melakukan sujud pertama pada rakaat kedua sedang makmum baru hendak mula sembahyang. Dalam keadaan ini hendaklah makmum mengangkat takbiratulihram berserta niat Sembahyang Fardu Jumaat dengan mengikut imam. Setelah itu dia terus mengangkat takbir lagi untuk melakukan sujud pertama bersama imam. Kemudian makmum bangkit semula setelah imam selesai memberi salam untuk menyempurnakan Sembahyang Fardu Zuhur sebanyak empat rakaat tanpa berniat semula.

Demikian beberapa penjelasan mengenai hukum orang yang masbuq ketika mengerjakan Sembahyang Fardu Jumaat yang perlu diketahui. Amat rugi orang-orang yang datang lewat ke masjid pada hari Jumaat kerana tidak memperolehi ganjaran pahala orang-orang yang datang awal ke masjid, malah lebih rugi lagi apabila tergolong orang-orang yang tidak dikira Sembahyang Fardu Jumaatnya.

Seterusnya...

menuju

UMAT Islam perlu memperbanyakkan rasa syukur kepada Allah Subhanahu Wata'ala kerana ia adalah tanda keteguhan iman di atas segala nikmat kurniaan-Nya yang tidak terkira banyaknya. Nikmat keamanan yang diterima terusmenerus dan tidak putus-putus ini sepatutnya menambahkan lagi rasa kesyukuran kita kepada Allah Subhanahu Wata'ala dan memperkuatkan lagi ketaatan serta pengabdian kepada-Nya.

Umat Islam sepatutnya bermuhasabah diri seiring dengan usia yang semakin bertambah dan hampir ke penghujungnya. Sayidina Umar al-Khattab Radhiallahu 'anhu pernah meluahkan ungkapan yang terkenal, iaitu :

"Perhitungkanlah (hisablah) dirimu sebelum anda dihitung (dihisab) oleh Allah (pada hari akhirat)."

Orang yang tidak tahu atau tidak mahu bersyukur, maka azab Allah Subhanahu Wata'ala bakal diterimanya di akhirat. Sebaliknya, orang yang tahu bersyukur dan menghargai nikmat pemberian Allah Subhanahu Wata'ala, mereka beruntung kerana Dia berkenan menambahkan lagi pemberian-Nya, sebagaimana firman-Nya dalam Surah Ibrahim, ayat 7 yang tafsirnya :

''Dan (ingatlah) ketika Tuhan kamu memberitahu (dengan sejelas-jelasnya) : ''Demi sesungguhnya jika kamu bersyukur (terhadap segala nikmat-Ku) tentu Aku akan menambah nikmat itu kepada kamu dan demi sesungguhnya jika kamu kufur (terhadap nikmat itu) maka sesungguhnya azab-Ku sangat keras.''

Nikmat Allah Subhanahu Wata'ala yang dianugerahkan kepada manusia khususnya kepada umat Islam boleh dibahagikan kepada dua, iaitu :

- Nikmat untuk menjalani kehidupan di dunia seperti makanan, minuman, pandangan, kekayaan, keamanan, kesihatan, umur dan nikmat berkasih sayang; dan

-Nikmat yang paling tinggi nilainya iaitu nikmat iman dan Islam kerana ia bukan setakat untuk di dunia tetapi berterusan sampai ke hari akhirat.

Umat Islam patut bersyukur kerana dikurniakan nikmat iman dan Islam, di samping nikmat lain yang tidak terkira banyaknya. Allah Subhanahu Wata'ala menghuraikan mengenai banyaknya nikmat kurniaan-Nya kepada manusia yang pasti tidak mampu dihitung. Firman Allah Subhanahu Wata'ala dalam Surah an-Nahl, ayat 18 yang tafsirnya :

''Dan jika kamu menghitung nikmat Allah tentulah kamu tidak dapat menghitung banyaknya. Sesungguhnya Allah adalah Maha Pengampun lagi Maha Pengasih.''

Allah Subhanahu Wata'ala memerintahkan supaya manusia yang banyak menerima nikmat dan kurniaan-Nya supaya bersyukur, seperti firman-Nya dalam Surah an-Nahl, ayat 78 yang tafsirnya :

''Dan Allah mengeluarkan kamu dari perut ibu kamu dalam keadaan tidak mengetahui sesuatu apa pun dan Dia mengurniakan kepada kamu pendengaran, penglihatan serta hati (akal fikiran) supaya kamu bersyukur.''

Terdapat sebuah kisah bahawa ada seorang pemuda pada zaman Sayidina Umar al-Khattab Radhiallahu 'anhu yang sering berdoa di sisi Baitullah yang maksudnya : "Ya Allah! masukkanlah aku dalam golongan yang sedikit." Doa pemuda ini didengar oleh Sayidina Umar Radhiallahu 'anhu ketika beliau (Umar) sedang bertawaf di Kaabah. Umar berasa hairan, iaitu kenapa pemuda berkenaan memohon doa sedemikian rupa.

Selepas selesai melakukan tawaf, Sayidina Umar Radhiallahu 'anhu memanggil pemuda berkenaan lalu bertanya : "Kenapakah engkau berdoa sedemikian rupa (Ya Allah! Masukkanlah aku dalam golongan yang sedikit), apakah tiada permintaan lain yang boleh engkau mohon kepada Allah?"

Pemuda berkenaan menjawab : "Ya Amirul Mukminin! Aku membaca doa berkenaan kerana aku (berasa) takut dengan penjelasan Allah seperti firman-Nya dalam Surah al-A'raaf, ayat 10 yang bermaksud : "Dan demi sesungguhnya Kami telah menempatkan kamu di bumi dan Kami telah menjadikan kamu di bumi itu (berbagai-bagai sumber) penghidupan. Sedikit benar kamu bersyukur." Aku memohon agar Allah memasukkan aku dalam golongan yang sedikit, iaitu (lantaran) terlalu sedikit orang yang tahu bersyukur kepada Allah, jelas pemuda berkenaan.''

Mendengar jawapan itu, Umar al-Khattab Radhiallahu 'anhu menepuk kepalanya sambil berkata kepada dirinya sendiri : "Wahai Umar, alangkah jahilnya engkau, orang ramai lebih alim daripadamu." Memanglah teramat sedikit yang tahu dan mahu bersyukur dan semoga kita termasuk dalam golongan yang sedikit berkenaan (yang bersyukur).

Menurut Imam al-Junaid, "Syukur ialah seseorang yang tidak menggunakan nikmat Allah untuk melakukan maksiat kepada-Nya." Ertinya, tanda bersyukur ialah menggunakan segala nikmat atau rezeki kurniaan Allah Subhanahu Wata'ala untuk melakukan ketaatan kepada-Nya dan memanfaatkannya ke arah kebajikan, bukannya menyalurkan ke kancah maksiat atau kejahatan.

Mentaati perintah dan menjauhi apa jua larangan Allah Subhanahu Wata'ala adalah tanda syukur kepada-Nya. Insaflah bahawa apa jua yang Dia suruh kerjakan dan tinggalkan segala larangan-Nya adalah semata-mata untuk keuntungan manusia sendiri.

Allah Subhanahu Wata'ala tidak mengambil sebarang faedah daripada apa jua yang diperintah dan dilarang-Nya. Dia tidak sekali-kali rugi jika semua manusia sepakat untuk tidak mentaati-Nya dan tidak pula untung sekelumit pun sekiranya semua manusia beriman dan patuh kepada-Nya. Bukankah Allah Subhanahu Wata'ala mewujudkan manusia di muka bumi ini untuk diuji. Dia hendak melihat siapakah antara mereka yang paling baik perbuatannya?

Ini selaras dengan penegasan Allah Subhanahu Wata'ala menerusi firman-Nya dalam Surah al-Kahfi, ayat 7 yang tafsirnya : "Sesungguhnya Kami telah menjadikan apa yang ada di bumi sebagai perhiasan baginya untuk Kami menguji mereka (manusia) siapakah antara mereka yang lebih baik amalannya."

Seterusnya...

6 25 2016 PelitaBrunei PB 25 JUN 2016 Pelita10

MARILAH kita meningkatkan ketakwaan kita kepada Allah Subhanahu Wata'ala dengan penuh keyakinan dan keikhlasan dengan melakukan segala suruhan-Nya dan meninggalkan segala larangan-Nya. Mudah-mudahan kita menjadi insan yang beriman dan bertakwa serta selamat di dunia dan selamat di akhirat.

Islam sangat menggalakkan umatnya untuk mencari rezeki dengan titik peluh sendiri seperti melalui usaha bidang pertanian atau perniagaan. Namun dalam bidang perniagaan, kita hendaklah berhati-hati dengan mengikut syarat-syarat perniagaan atau jual beli yang telah ditentukan oleh syarak. Tidak dinafikan di antara kita yang ingin hidup senang dan mewah dengan cara yang mudah dan cepat.

Sebagaimana yang kita ketahui, penipuan kawangan ataupun diistilahkan sebagai Skim Cepat Kaya bukanlah perkara baharu yang kita dengar, malahan ia sering berlaku dan akan terus berlaku akibat daripada perbuatan individu atau kumpulan tertentu yang merancang untuk melakukan penipuan kewangan tersebut. Pelaburan seperti ini nyata salah dari segi undang-undang apatah lagi dari segi hukum syarak. Ia juga mungkin berlaku akibat daripada kelalaian dan sifat tamak individu-individu tertentu yang menginginkan keuntungan dengan mudah dan cepat tanpa melihat kehalalan pendapatan yang diperolehinya.

Oleh itu, adalah menjadi perkara sia-sia dan mendatangkan dosa apabila kita terlibat sama dengan aktiviti pelaburan seperti ini sama ada secara langsung ataupun tidak. Bagi mengelakkan perkara ini terus berlaku, maka amatlah penting supaya perniagaan berbentuk pelaburan tersebut dikenal pasti berdaftar dan diperakui oleh pihak berkuasa berdasar undang-undang demi menjaga kemaslahatan umat khasnya orang-orang Islam agar pendapatan yang diperolehi adalah halal lagi baik dan mendapat berkat daripada Allah Subhanahu Wata'ala. Firman Allah Subhanahu Wata'ala dalam Surah Al-Baqarah, ayat 168 :

Tafsirnya : ''Wahai manusia! Makanlah dari apa yang ada di bumi yang halal lagi baik, dan janganlah kamu mengikut jejak langkah syaitan. Sesungguhnya ia (syaitan) adalah musuh yang nyata bagi kamu.''

Mereka yang melakukan penipuan kewangan melalui skim yang tidak sah dari segi undang-undang itu begitu licik dan akan sentiasa mencari jalan mudah untuk meyakinkan perniagaan tersebut benar-benar menguntungkan seperti menggunakan daya tarikan media internet, Facebook dan WhatsApp dan menjanjikan pelbagai keuntungan, kekayaan, pendapatan besar dan kenikmatan yang bakal dimiliki oleh mereka yang mengikuti perniagaan tersebut. Kita hendaklah berhati-hati dan sering bertanya serta merujuk kepada pihak berkuasa apabila menerima sebarang tawaran atau maklumat mengenai skim-skim tersebut.

Apa yang amat menyedihkan ialah terdapat dalam kalangan masyarakat Islam kita terpengaruh dengan skim-skim penipuan kewangan ini, tanpa memikirkan hasil pendapatan yang diperolehi ini adalah halal atau sebaliknya. Apa yang membimbangkan lagi hasil pendapatan tersebut dibelanjakan pula untuk memberi nafkah isteri, anak-anak dan keluarga seperti makan minum, pakaian dan tempat tinggal.

Sesungguhnya makanan yang tidak halal dan syubhah sangat bahaya kerana boleh menjauhkan seseorang dari orang yang berbuat kebajikan, meninggalkan dan mengeraskan hati serta memberatkan hati untuk untuk melakukan kebajikan, menjadikannya lupa akan akhirat dan mencintai di dunia sahaja.

Skim pelaburan kewangan seperti ini tidak memenuhi rukun-rukun dan syarat-syarat jual beli dalam Islam, antaranya :

Pertama : Akidah jual beli yang tidak jelas.

Kedua : Barang perniagaan yang diragukan kesihatannya dari segi undang-undang dan hukum syarak, dan mendatangkan ansur-ansur syubhah yang membawa kepada hukum haram.

Ketiga : Jahalah (tidak diketahui atau kekurangan maklumat) dan Gharar (ketidakpastian) merupakan unsur penipuan dan sudah pasti mewujudkan ketidakpatuhan syarak dan berdosa apabila dilakukan. Ansur Jahalah berlaku kerana skim itu tidak diketahui dengan jelas identiti pengurusan dana atau syarikat, tiada lesen untuk membuktikan kewujudan mereka dan tanggungjawab mereka terhadap skim tersebut. Berjual beli dan melabur tanpa mengetahui pengurusannya boleh menyebabkan akad terbatal disebabkan satu daripada syarat sah akad tidak dipenuhi. Sesungguhnya Islam melarang keras jual beli yang berunsurkan penipuan.

Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam bersabda : Maksudnya : ''Dari Abu Hurairah Radiallahuanhu, bahawa Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam bersabda : bukanlah dari golongan kami orang yang menipu.'' (Hadith riwayat Imam Muslim).

Maka kita sewajarnya berwaspada dalam apa jua bentuk taruhan skim pelaburan meragukan yang menjanjikan pulangan keuntungan yang lumayan dan berlaku dalam jangka waktu yang singkat. Bahkan kita tidak pasti apakah tujuan pelaburan tersebut sebenarnya dan kita hendaklah berusaha sedaya upaya untuk tidak bersyubhah atau terlibat dengan kegiatan pelaburan yang menyalahi undang-undang seperti perjudian, pelacuran, rasuah dan seumpamanya.

Bagi mengelakkan diri kita dari menjadi mangsa penipuan kewangan ini, kita hendaklah sentiasa berwaspada dengan berpandukan kepada hukum syarak dan mematuhi undang-undang negara. Oleh itu, mana-mana skim yang ditawarkan kepada orang ramai di negara ini hendaklah dirujuk kepada pihak Autoriti Monetari Brunei Darussalam (AMBD). Apa yang penting adalah kita diwajibkan untuk mencari rezeki daripada sumber yang halal agar kita mendapat berkat dan kebaikan hidup di dunia dan di akhirat seperti mendapat keredaan Allah Subhanahu Wata'ala. Amin ya rabbal alamin.

Firman Allah Subhanahu Wata'ala dalam Surah An Nisaa', ayat 29 : Tafsirnya : ''Wahai orang-orang yang beriman! janganlah kamu saling memakan harta sesama kamu dengan jalan yang bathil (seperti makan riba, merampas, menipu dan berjudi), kecuali dengan jalan perniagaan yang dilakukan secara suka sama suka di antara kamu.''

Seterusnya...

irsyad

KEADAAN kedua : Orang yang lemah dan tidak mampu mengerjakan haji dan umrah dengan diri sendiri. Jika seseorang itu lemah atau terbatas kesempurnaan pergerakannya sama ada disebabkan sangat tua, cacat, sakit yang tidak ada harapan untuk sembuh atau tidak mampu mengerjakan haji dan umrah dengan diri sendiri kerana ada kesukaran yang keterlaluan ketika dalam kenderaan, maka dibolehkan baginya mengerjakan haji dan umrah dengan perantaraan orang lain.

Perkara ini adalah berdasarkan sebuah hadits yang diriwayatkan oleh Al-Fadhl Radhiallahuanhu bahawa seorang perempuan daripada Khats'am berkata :

Maksudnya : ''Wahai Rasulullah! Sesungguhnya bapaku sangat tua sedang ke atasnya kewajipan haji dan dia tidak mampu untuk tetap berada di atas untanya''. Maka Nabi Sallallahu Alaihi Wasallam bersabda : ''Maka engkau kerjakanlah haji untuknya.'' (Hadits riwayat Muslim)

• Mengupah orang lain mengerjakan haji dan umrah bagi dirinya

Jika seseorang itu lemah dan tidak mampu untuk mengerjakan haji dan umrah dengan dirinya sendiri, tetapi ada orang lain yang mampu mengerjakan haji dan umrah bagi dirinya dengan bayaran upah (mengikut kadar bayaran biasa) ataupun orang itu reda tanpa mengambil bayaran upah, maka wajib baginya mengerjakan haji dan umrah dengan perantaraan orang lain. Tetapi jika kadar bayaran upah itu melebihi kadar biasa walaupun hanya sedikit, maka tidak wajib ke atasnya mengupah orang lain untuk mengerjakan ibadat haji dan umrah bagi dirinya.

Orang yang lemah dan tidak mampu mengerjakan haji dan umrah dengan diri sendiri itu disyaratkan dia mempunyai bekalan lebih pada hari dan malam dia mengupah. Iaitu segala keperluannya seperti nafkah, pakaian dan khadam sama ada cukup untuk dirinya atau keluarganya pada hari dan malam dia mengupah itu sebagaimana menurut Imam Khatib Asy-Syarbini Rahimahullahu Ta'ala dalam kitab Mughni Al-Muhtaj.

Ertinya : ''Disyaratkan adanya upah itu lebihan bekalan mereka (keluarga orang yang lemah itu) seperti nafkah, pakaian dan selainnya, dan bekalan untuk dirinya sendiri pada hari dan malam dia mengupah itu.'' (Kitab Mughni Al-Muhtaj : 1 / 632)

Demikian juga disyaratkan ada lebihan semua bekalan tersebut selain nafkah orang yang lemah itu dan keluarganya selepas hari dia mengupah. Ini kerana orang yang lemah itu apabila dia berada di dalam negeri (bermuqim bersama keluarganya) nescaya dia boleh memperolehi nafkah tersebut seperti dengan meminjam. Hal ini disebutkan oleh Sayyid Al-Bakri Rahimahullahu Ta'ala dalam kitab I'anah Ath-Thalibin.

Ertinya : ''Maka tidak disyaratkan adanya upah itu lebihan bekalan nafkah selepas hari dia mengupah. Ini adalah disebabkan apabila dia tidak meninggalkan negeri, nescaya dia boleh memperolehinya (nafkah) walaupun dengan meminjam''. (Kitab Hasyiah I'anah Ath-Thalibin : 2 / 447)

Jika orang yang lemah dan tidak mampu mengerjakan haji dan umrah dengan diri sendiri itu tidak memperolehi orang yang boleh mengerjakan haji dan umrah untuk dirinya atau tidak mempunyai bekalan lebih pada hari dia mengupah dan selepasnya sebagaimana yang disebutkan di atas, maka tidak wajib ibadat haji dan umrah ke atasnya.

• Orang lain yang membayarkan upah

Adapun jika anaknya atau orang asing yang ingin membayarkan upah tersebut bagi pihak orang yang lemah itu, maka menurut pendapat yang ashah tidaklah wajib ke atas orang yang lemah itu menerimanya sebagaimana dikatakan oleh Imam An-Nawawi Rahimahullahu Ta'ala dalam kitab Minhaj Ath-Thalibin.

Ertinya : ''Dan jika anaknya atau orang asing memberi harta (kepada orang yang lemah) untuk membayar upah (kepada orang yang diupah itu), maka tidak wajib (bagi orang yang lemah itu) menerimanya menurut pendapat yang ashah''.
(Kitab Minhaj Ath-Thalibin : 1 / 458)

• Orang lain mengerjakan haji dan umrah secara sukarela

Adapun jika anaknya atau orang asing yang ingin mengerjakan haji untuk dirinya secara sukarela, maka wajib orang yang lemah itu menerimanya (mengizinkannya). Adapun jika dia tidak mengizinkan mereka mengerjakan haji dan umrah untuk dirinya, maka tidaklah perlu hakim mengizinkan bagi pihak dirinya dan janganlah dipaksa orang yang lemah itu supaya mengizinkannya, ini kerana haji tersebut tidak wajib dikerjakan dengan segera.

Perlu diketahui juga bahawa adalah tidak sah mengerjakan haji dan umrah untuk diri orang yang lemah itu apabila dia tidak mengizinkan. Ini kerana ibadat haji itu memerlukan kepada niat sebagaimana disebutkan oleh Imam Al-Malibari Al-Fannani Rahimahullahu Ta'ala dalam kitab Fath Al-Mu'in :

Ertinya : ''Dan tidak sah mengerjakan haji bagi orang yang lemah tanpa izinnya kerana ibadat haji itu perlu kepada niat.'' (Kitab Fath Al-Mu'in : 2 / 324)

Syarat bagi Orang yang Hendak Mengerjakan Haji atau Umrah bagi Pihak Orang Lain

Orang yang hendak mengerjakan ibadat haji atau umrah bagi pihak si mati atau bagi pihak orang yang lemah dan tidak mampu mengerjakan haji atau umrah dengan diri sendiri, disyaratkan orang yang hendak mengerjakan ibadat haji atau umrah bagi pihak orang lain itu tidak tertanggung ke atasnya haji fardu, qada atau nazar.

Diriwayatkan daripada Ibnu Abbas Radhiallahuanhuma, bahawa Nabi Sallallahu Alaihi Wasallam mendengar seorang lelaki berkata :

Maksudnya : ''Aku bagi pihak Syubrumah datang menyahut panggilanMu''. Baginda bertanya : ''Siapa Syubrumah?'' Dia menjawab : ''Saudaraku atau kerabatku''. Baginda bertanya : ''Adakah engkau telah menunaikan haji untuk dirimu?'' Dia menjawab : ''Tidak''. Baginda bersabda : ''Tunaikan haji untuk dirimu dahulu kemudian barulah tunaikan haji untuk Syubrumah''. (Hadits riwayat Abu Daud)

Jika dia berniat ihram untuk orang lain sedangkan dirinya sendiri belum mengerjakan haji atau umrah fardu, qada dan nazar, maka jatuhlah niat ihramnya itu untuk dirinya sendiri bukan untuk orang lain sebagaimana disebutkan dalam kitab Al-Mu'tamad.

Ertinya : ''Jika berniat ihram haji atau umrah untuk orang lain sebelum dia mengerjakan haji atau umrah bagi dirinya maka niat ihram itu jatuh bagi dirinya dan bukan bagi orang yang diniatkannya itu''. (Kitab Al-Muktamad : 2 / 291)

Mengerjakan Haji dan Umrah Sunat dengan Perantaraan Orang Lain

Hukum mengerjakan haji dan umrah sunat dengan perantaraan orang lain dijelaskan seperti berikut :
• Orang yang mampu mengerjakan haji dan umrah sunat dengan diri sendiri tidak harus mengupah orang lain untuk mengerjakan haji dan umrah sunat bagi dirinya.
• Orang yang lemah dan tidak mampu mengerjakan haji dan umrah sunat dengan diri sendiri harus mengupah orang lain untuk mengerjakan haji dan umrah sunat bagi dirinya.
• Tidak harus mengerjakan haji dan umrah sunat bagi si mati melainkan dengan adanya wasiat.

Demikanlah beberapa penjelasan mengenai hukum mengerjakan haji dan umrah fardu dan sunat dengan perantaraan orang lain. Perkara ini perlu diketahui terutama sekali kepada mereka yang telah memenuhi syarat-syarat haji dan umrah dan termasuklah juga ahli waris dan mereka yang diupah untuk mengerjakan haji dan umrah

Seterusnya...

menuju

SESUNGGUHNYA kita umat manusia tidak akan terlepas dari melakukan sebarang kesilapan dan keterlanjuran sama ada sengaja ataupun tidak. Sebaik-baik insan yang melakukan kesilapan itu ialah mereka yang segera bertaubat kepada Allah Subhanahu Wata'ala dan menyesali segala yang telah dilakukannya. Kebanyakan manusia, walaupun tidak semua, masing-masing pernah terlanjur melakukan kesilapan. Kesilapan itu mengakibatkan dosa kerana telah melakukan maksiat.

Kita sentiasa mendengar perkataan bahawa manusia ini dengan segala sifat kemanusiaannya sentiasa terdedah kepada keterlanjuran. Tidak kira sama ada orang bertakwa ataupun sebaliknya perbezaannya orang-orang yang bertakwa, apabila mereka melakukan kesilapan yang mendatangkan dosa, mereka akan segera ingat lalu menyedari hakikat sebenarnya. Berlainan dengan keterlanjuran orang yang kurang bertakwa, apabila terlanjur mungkin saja dia berterusan dalam dosa dan noda. Tidak ada keinginan untuk kembali bertaubat dan terus dengan kelalaian.

Lebih menyedihkan lagi, terdapat dalam kalangan kita yang meremehkan perbuatan maksiat itu kerana sudah terbiasa melakukannya. Walau bagaimanapun, orang seperti itu perlu diberi keyakinan bahawa masih ada jalan untuk pulang. Masih ada peluang untuk mereka kembali serta mendapat keampunan daripada Allah Subhanahu Wata'ala.

Allah menuntut kepada umat manusia agar sentiasa meminta atau memohon keampunan kepada-Nya. Kita diwajibkan memohonkan keampunan daripada Allah Subhanahu Wata'ala dan Dia yang bersifat Pengampun sentiasa mengampunkan orang yang mahu bertaubat. Kita pohonkan keampunan setentunya adalah kerana keinsafan. Apabila kita insaf akan keterlanjuran yang menzalimi diri sendiri dengan kejahatan dan dosa, maka kita segera ingatkan Allah.

Tentunya keinsafan itu didorong oleh takutkan balasan atau akibat buruk dosa atau kesalahan yang dilakukan. Kita takut kepada Allah Subhanahu Wata'ala yang kita ketahui berkuasa mendatangkan balasan itu sama ada lambat atau cepat, di dunia ataupun di akhirat. Ketakutan sedemikian itu dapat kita terima sebagai tanda takwa. Takwa itu dari mula lagi sudah kita miliki menerusi asuhan kerohanian. Tetapi sebagai manusia, lalai dan lupa adalah sifat dominan kita.

Yang penting ialah kita sedar akan kesalahan. Kita insaf akan keterlanjuran. Kita tahu ia dosa yang amat membebankan. Keadaan sedemikian itu ada digambarkan oleh Allah Subhanahu Wata'ala sebagaimana firman-Nya dalam Surah Ali Imran, ayat 135 - 136 yang mafhumnya : ''Dan orang-orang yang apabila melakukan perbuatan keji atau menganiaya diri mereka sendiri, mereka segera ingat kepada Allah lalu memohon ampun terhadap dosa-dosa mereka. Dan sememangnya tidak ada sesiapa yang dapat mengampunkan dosa-dosa selain Allah. Dan mereka juga tidak meneruskan perbuatan keji yang mereka telah lakukan itu sedang mereka Bmengetahui (akibatnya). Mereka itu ganjarannya ialah keampunan daripada Tuhan mereka dan syurga-syurga yang mengalir di bawahnya sungai-sungai, mereka kekal di dalamnya. Dan itulah sebaik-baik ganjaran bagi orangorang yang beramal.''

Adapun perkara yang utama di dalam kita bertaubat dan insaf dari kesalahan yang kita lakukan ialah :

• Insaf akan kesalahan.
• Sedar dan sentiasa ingat akan Allah Subhanahu Wata'ala.
• Segera memohon keampunan.
• Tidak berterusan dengan dosa atau bergelumang dengannya.
• Yakin hanya Allah yang dapat mengampunkan dosa.

Makanya janji Allah untuk kita yang bersikap demikian ialah maghfirah, iaitu pengampunan dan jannah, iaitu syurga-syurga yang kita kelak dikekalkan di dalamnya.

Bertaubat banyak diertikan dengan menyesal, kerana apabila telah melakukan sesuatu, tetapi hasilnya tidak seperti diharapkan, maka kebanyakannya akan mengatakan menyesal sama ada benar-benar kesal atau juga serik. Tetapi dalam keadaan perbuatan yang terlanjur dan membawa dosa bagi erti kata taubat itu memang maknanya menyesali keterlanjuran berbuat dosa lagi. Dalam erti kata lain taubat itu kembali ke pangkal jalan atau kembali ke jalan Allah.

Menyesali dosa itu ertinya insaf bahawa dosa itu jadi pendinding dari beroleh hidayat, rahmat dan berkat Allah. Mungkin tidak semudah itu timbulnya keinsafan. Sebab di dalam diri orang yang bergelumang dosa ia melihat dirinya terus-menerus beruntung dan bertuah. Tetapi jangan lupa tuah untung yang dilihat, dikecapi, dinikmati dalam keadaan bergelumang dosa tidak akan kekal selamanya malah ia boleh membuatkan manusia semakin jauh dari hidayat rahmat dan berkat.

Maka kita perlu ditimbulkan kesedaran, dipupuk keinsafan. Dari situ akan ada rasa menyesal yang disertai dengan memohon ampun kepada Allah Subhanahu Wata'ala dan berazam tidak melakukan dosa seterusnya. Perkara itu dibuat dengan menaruh harapan bahawa Allah yang Maha Pengampun akan memberi ampun. Dengan harapan lalu bertaubat. Taubat itu malah diwajibkan untuk beroleh keampunan. Sebagaimana firman Allah Subhanahu Wata'ala dalam Surah At-Tahrim, ayat 8 yang mafhumnya :

''Wahai orang-orang yang beriman! Bertaubatlah kamu kepada Allah dengan taubat nasuha, mudah-mudahan Tuhan kamu akan menghapuskan kesalahan-kesalahan kamu dan memasukkan kamu ke dalam syurga yang mengalir di bawahnya beberapa sungai.''

Kita yakin taubat kita akan diterima oleh Allah. Kita yakin kerana kita memohonkannya. Kita yakin kerana kita insaf setelah terlanjur dan ingin kembali ke jalan Allah. Kita tidak boleh berlengah-lengah. Kita takut tempoh yang diberikan terlepas. Sebab kita tidak tahu bila nafas kita akan terhenti selamanya.

Yang pasti kita sama sekali tidak ingkarkan Allah Subhanahu Wata'ala sekalipun pernah terlanjur berdosa., kita tetap bertuhankan Allah dan bernabikan Rasul-Nya Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam. Kita akur pada Rukun-rukun Iman dan Rukun-rukun Islam. Kita jadikan Al-Quran dan hadis sumber utama kita dalam kehidupan. Kita beragama Islam. Kita adalah umat yang dikasihi dan disayangi oleh Allah sepanjang zaman.

Seterusnya...

7 30 2016 PelitaBrunei PB 30 JULAI 2016 Pelita10

 

MARILAH kita meningkatkan ketakwaan kita kepada Allah Subhanahu Wata'ala dengan penuh keyakinan dan keikhlasan dengan melakukan segala suruhan-Nya dan meninggalkan segala larangan-Nya. Mudah-mudahan kita menjadi insan yang beriman dan bertakwa serta selamat di dunia dan selamat di akhirat.

Syawal disambut di negara ini dengan semangat yang tinggi dan masing-masing menghulurkan tangan memohon maaf atas segala kesalahan dan kekhilafan yang dilakukan. Walaupun Syawal sudah pun tiba kepada penghujungnya, namun amalan kunjung-mengunjungi dan menjamu selera masih diteruskan. Sememangnya kita digalakkan untuk saling kunjung-mengunjungi dan menjamu tetamu yang datang. Akan tetapi kita janganlah lupa bahawa agama kita mengajarkan untuk mengamalkan gaya hidup bersederhana. Ini termasuk bersederhana dalam pengambilan makanan dan minuman.

Sesungguhnya makan dan minum secara berlebihan, bukan sahaja menyebabkan ketidakselesaan pada tubuh badan, malahan juga boleh menjejaskan kesihatan. Makanan yang berlebihan terutama pengambilan makanan yang kaya dengan gula dan karbohidrat akan mendatangkan rasa letih, malas, penat dan mangantuk. Makanan berkabohidrat seperti nasi, mi atau tepung mengandungi kanji akan dihadam menjadi glukosa. Hal yang sedemikian juga akan menyebabkan paras gula dalam darah meningkat tinggi dan boleh menyebabkan penyakit kencing manis. Dengan amalan kunjung-mengunjungi sambil menjamu selera secara tidak langsung kita akan makan secara berlebihan dan mengambil lebih banyak kalori daripada yang diperlukan. Jika itu tidak dikawal, ia akan memudaratkan kesihatan tubuh badan. Maka hal itu tidak selaras dengan ajaran agama kita yang meletakkan kesihatan dan kesejahteraan itu di tempat yang tinggi selepas keimanan, Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam bersabda yang diriwayatkan oleh Imam Ibnu Majah, maksudnya :

''Dari Abi Bakar Radhiallahuanhu, Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam bersabda : Mintalah kepada Allah kesihatan dan kesejahteraan, kerana sesungguhnya tidak ada perkara yang lebih baik daripada kesihatan yang diberikan kepada seseorang selepas iman.''

Baru-baru ini kita mendengar Laporan Pemakanan Global 2016 yang menempatkan Brunei Darussalam sebagai negara yang mempunyai ranking atau tahap tertinggi bagi obesiti ataupun berat badan berlebihan dalam kalangan orang dewasa di rantau ASEAN. Dalam hal ini, Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam dalam titah perutusan baginda sempena Hari Raya Aidilfitri baru-baru ini telah bertitah mengenai perangkaan obesiti di negara ini amat mencemaskan dan tidak dapat dipandang ringan, melainkan kita perlu mendisiplinkan diri dari sekarang untuk mengatasi gejala ini daripada terus meningkat.

Perkara ini sangat mendukacitakan apatah lagi Wawasan Brunei 2035 berhasrat untuk menjadikan negara ini menjadi antara 10 yang mempunyai kualiti hidup yang tertinggi di dunia.

Sehubungan ini, rakyat sihat yang mempunyai nilai tinggi terhadap agama dan negara adalah diperlukan untuk menjadi sumber tenaga manusia yang lebih berdaya tahan dan produktif yang sudah setentunya meningkatkan kemahiran dan ekonomi negara.

Oleh yang sedemikian, marilah kita sama-sama menjaga dan berhati-hati dalam pemilihan pemakanan pada setiap masa kerana usaha mencegah itu lebih baik daripada mengubati dan Islam sendiri menganjurkan umatnya agar dapat membuat keseimbangan dalam pengambilan pemakanan, sebagaimana sabda Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam bersabda dalam sebuah hadisnya yang diriwayatkan oleh Imam Termizi :

Maksudnya : ''Tidaklah memenuhkan anak Adam itu sebuah bejana atas bekas yang lebih jahat (hina) melainkan memenuhkan perutnya. Sekiranya ia makan memadai dengan suapan yang kecil yang mampu mendirikan (menguatkan) tulang sulbi (tulang belakangnya). Sekiranya dia dikuasai oleh nafsunya, maka hendaklah diisi perutnya dengan sepertiga untuk makanan, sepertiga untuk minuman dan sepertiga untuk nafasnya.''

Ingatlah wahai kaum Muslimin, untuk kekal sihat, cergas dan cerdas, kita hendaklah mengamalkan cara hidup sihat setiap masa.

Antara cara-cara menjaga kesihatan yang boleh diamalkan ialah seperti :
- Melakukan kegiatan-kegiatan aktif sekurang-kurangnya 30 minit sehari seperti bersenam, membersihkan halaman rumah dan seumpamanya.
- Mengamalkan minum air putih sekurang-kurangnya lapan gelas sehari.
- Mengurangkan minum minuman bergas.
- Bagi minuman panas seperti teh atau kopi, kurangkanlah gula dalam minuman tersebut.
- Menggantikan susu pekat manis kepada susu rendah lemak dalam penyediaan minuman.
- Amalkan memakan sayur-sayuran dan buah-buahan.
- Utamakan masakan makanan tanpa menggunakan santan atau memasak dengan minyak yang sedikit.

Ketahuilah bahawa menjaga kesihatan bukan setakat merawat penyakit yang dihadapi, tetapi ia juga bermaksud menjauhkan diri daripada melakukan apa jua perkara-perkara yang boleh menjejaskan kesihatan kita sama ada dari segi jasmani mahupun rohani. Sebahagian orang ada yang masih tidak mengambil endah untuk menjaga pemakanan, malah ada yang berkata ''Jangan watir...... ubat ada.'' Ini jelas bercanggah dengan perintah Allah Subhanahu Wata'ala agar kita tidak melakukan sesuatu yang mendatangkan mudarat kepada diri sendiri, sebagaimana firman Allah Subhanahu Wata'ala dalam Surah Al-Baqarah, ayat 195 :

Tafsirnya : ''...dan janganlah kamu senghaja menjerumuskan diri kamu sendiri ke dalam kebinasaan...''

Adalah menjadi kewajipan kita untuk menjaga kesihatan diri sendiri, keluarga dan masyarakat kerana tanpanya nikmat hidup akan berkurangan. Tanggungjawab dan usaha menaikkan tahap kesihatan seharusnya disokong dan didukung oleh semua lapisan masyarakat di negara ini. Akhirnya marilah kita sama-sama menitikberatkan pengambilan pemakanan yang seimbang dan mengamalkan cara hidup yang sihat. Semoga dengan kesihatan yang dinikmati, kita akan dapat melakukan amal ibadat kepada Allah Subhanahu Wata'ala.

Surah Al-A'raf, ayat 31, tafsirnya : ''Serta makanlah dan minumlah dan janganlah berlebih-lebihan. Sesungguhnya Allah tidak menyukai orang-orang yang berlebih-lebihan.''

Seterusnya...

irsyad

(Dengan nama Allah, segala puji bagi Allah, selawat dan salam ke atas Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam, keluarga, sahabat dan para pengikut.)

IBADAT haji dan umrah diwajibkan ke atas setiap orang yang telah memenuhi syarat-syarat wajib haji dan umrah. Antara syarat-syarat wajib haji dan umrah itu ialah berkemampuan. Jika seseorang itu tidak berkemampuan, maka tidak wajib ke atasnya ibadat haji dan umrah. Kemampuan mengerjakan ibadat haji dan umrah itu terbahagi pada dua bahagian, iaitu :

1. Mampu mengerjakan haji dan umrah dengan diri sendiri.

2. Mampu mengerjakan haji dan umrah dengan perantaraan orang lain.

Ibadat haji dan umrah pada asalnya dituntut mengerjakannya dengan sendiri dan bukan dengan perantaraan orang lain. Ini kerana ibadat haji dan umrah itu merupakan ibadat yang berkaitan dengan kemampuan, iaitu dengan tenaga dan hartanya, sama ada haji fardu ataupun umrah fardu, lebih-lebih lagi ibadat haji sunat dan umrah sunat.

Walau bagaimanapun, terdapat kelonggaran dalam syarak bagi orang yang tidak berkemampuan mengerjakan haji dan umrah dengan sendiri. Oleh itu orang yang tidak berkemampuan boleh mengerjakannya dengan perantaraan orang lain yang mana kelonggaran ini tidak diberikan kepada orang yang berkemampuan mengerjakannya dengan diri sendiri.

Orang yang tidak mampu mengerjakan ibadat haji dan umrah dengan sendiri, wajib ke atasnya mengerjakan haji dan umrah itu dengan perantaraan orang lain apabila dia mempunyai kemampuan dari segi harta. Oleh itu, akan diterangkan keadaan yang membolehkan seseorang itu mengerjakan haji dan umrah dengan perantaraan orang lain.

Kewajipan Haji dan Umrah dengan Perantaraan Orang Lain

Keadaan yang membolehkan seseorang itu mengerjakan haji dan umrah dengan perantaraan orang lain terbahagi pada dua keadaan sebagaimana disebutkan oleh Sayyid Al-Bakri Rahimahullahu Ta'ala dalam kitab I'anah Ath-Thalibin :

Ertinya : "Keadaan istitha'ah yang kedua : Mampu (mengerjakan haji dan umrah) dengan perantaraan orang lain, dan dikatakan (mampu dalam kategori kedua ini) dengan mampu dari segi harta sahaja, dan berlaku kepada orang yang meninggal dunia (yang masih menanggung kewajipan haji dan umrah) dan orang lemah (yang tidak mampu mengerjakan haji dan umrah dengan diri sendiri)."
(Kitab Hasyiah I'anah Ath-Thalibin : 2 / 439 - 440)

Keadaan pertama : Orang yang meninggal dunia tertanggung ke atasnya ibadat haji atau umrah.

Jika seseorang itu meninggal dunia dan dia tidak menunaikan ibadat haji atau umrah semasa hidupnya sama ada haji atau umrah qada, haji atau umrah nazar ataupun haji atau umrah yang diupahkan ke atasnya, sedangkan dia mampu mengerjakannya, maka kewajipan haji atau umrah itu masih tertanggung ke atasnya.

Kewajipan haji atau umrah yang tertanggung ke atas orang yang meninggal dunia itu adalah sama halnya dengan kewajipan membayar hutang yang tertanggung ke atas si mati. Ini kerana kewajipan membayar hutang tidak akan luput walaupun sesudah orang itu meninggal dunia.

Dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Ibnu Abbas Radhiallallahuanhuma bahawa telah datang seorang perempuan bertanyakan kepada Nabi Sallallahu Alaihi Wasallam :

Maksudnya : "Sesungguhnya ibuku telah bernazar untuk mengerjakan haji, lalu dia mati sebelum mengerjakan haji, adakah aku mengerjakan haji untuknya?'' Baginda bersabda : ''Ya, kerjakanlah haji untuknya. Apa pandanganmu apabila ibumu memiliki hutang, adakah engkau akan membayarkannya?'' Dia menjawab : ''Ya''. Baginda bersabda : ''Sempurnakanlah hutang kepada Allah, sesungguhnya hutang kepada Allah lebih berhak ditunaikan." (Hadits riwayat Al-Bukhari)

• Siapakah yang diwajibkan mengerjakan haji dan umrah bagi si mati?

Orang yang diwajibkan mengerjakan haji dan umrah bagi pihak si mati yang tertanggung ke atasnya haji dan umrah adalah seperti berikut :

a. Orang yang diwasiatkan oleh si mati untuk mengerjakan haji atau umrah bagi diri si mati.

b. Jika tidak ada orang yang diwasiatkan, maka kewajipan mengerjakan haji atau umrah itu berpindah kepada ahli waris si mati.

c. Jika tidak ada ahli waris yang boleh mengerjakan haji atau umrah bagi diri si mati maka kewajipan mengerjakan haji atau umrah itu berpindah kepada hakim.

Orang yang diwajibkan mengerjakan haji atau umrah bagi pihak si mati itu harus dia mengerjakannya sama ada dengan diri sendiri ataupun dengan perantaraan orang lain.

• Mengerjakan haji dan umrah bagi si mati dari harta peninggalannya

Orang yang mengerjakan haji dan umrah bagi si mati yang tertanggung ke atasnya haji atau umrah itu hendaklah dia melaksanakannya dengan segera dan perbelanjaannya diambil dari harta peninggalan si mati. Hal ini disebutkan oleh Imam Ibnu Hajar Al-Haitami Rahimahullahu Ta'ala dalam kitab Tuhfah Al-Muhtaj :

Ertinya : "(Menghajikan) atau mengumrahkan (baginya, iaitu si mati dari harta peninggalannya) dikerjakan dengan segera." (Kitab Tuhfah Al-Muhtaj : 4 / 31)

• Si mati tidak ada harta peninggalan

Jika si mati tidak ada harta peninggalan, maka tidak wajib ditunaikan ibadat haji atau umrah itu untuk si mati. Walau bagaimanapun sunat bagi ahli waris mengerjakan haji dan umrah untuk si mati. Demikian juga sunat bagi orang asing mengerjakan haji dan umrah untuk si mati walaupun tanpa izin ahli waris. Sebagaimana menurut Imam Ibnu Hajar Al-Haitami Rahimahullahu Ta'ala :

Ertinya : "Apabila (seseorang itu meninggal dunia) dan tidak meninggalkan harta nescaya tidak wajib seseorang itu haji dan tidak juga wajib dihajikan untuknya, akan tetapi sunat bagi ahli waris dan orang asing (mengerjakan haji bagi si mati) walaupun orang asing itu tidak mendapat keizinan ahli waris." (Kitab Tuhfah Al-Muhtaj : 4 / 31)

• Tidak sempat menunaikan haji atau umrah setelah cukup syarat

Jika seseorang itu mampu mengerjakan haji dan umrah, akan tetapi dia tidak sempat mengerjakannya seperti kerana meninggal dunia atau gila atau hilang hartanya atau lemah kerana sakit sebelum para jemaah mengerjakan haji dan umrah, maka tidak dikerjakan haji dan umrahnya itu dari harta peninggalannya.

BERSAMBUNG

Seterusnya...

menujuBERSEMPENA dengan suasana Hari Raya Aidilfitri ini, sama-samalah kita menjaga adab semasa berkunjungkunjungan ke rumah sanak saudara, jiran dan juga rakan-rakan. Seorang Muslim yang terpelihara dengan adab Islam tidak akan masuk ke rumah orang lain kecuali dengan adanya izin daripada penghuninya ataupun tuan rumah. Izin seperti ini merupakan perintah dan tidak boleh dipertikaikan lagi. Hal ini telah termaktub dalam kitab suci Al-Quran Surah An-Nur, ayat 27-28 yang tafsirnya :

''Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah kamu masuk ke dalam rumah yang bukan rumah kamu sehingga kamu meminta izin serta memberi salam kepada penghuninya. Yang demikian itu lebih baik bagi kamu, mudah-mudahan kamu sentiasa beringat. Jika kamu tidak mendapati seorang pun di dalamnya maka janganlah masuk ke dalam rumah itu sehingga kamu diberi izin dan jika dikatakan kepada kamu : 'Baliklah', maka hendaklah kamu balik. Itu lebih baik bagi kamu. Dan Allah Maha Mengetahui apa yang kamu kerjakan.''

Sesungguhnya masuk ke rumah orang tanpa izin penghuninya atau pemilik atau tuan yang punya rumah boleh menimbulkan fitnah kerana itulah Allah Subhanahu Wata'ala memerintahkan pada setiap hamba-Nya untuk meminta izin jika mahu masuk ke rumah orang.

Ada beberapa adab yang harus dilakukan ketika meminta izin masuk ke dalam rumah sewaktu membuat kunjungan, antaranya ialah :

- Kita hendaklah menunggu dengan sabar sementara tuan rumah memberi keizinan dan menjemput sebagai tetamunya, janganlah berdiri di hadapan muka pintu yang terbuka luas dan lebih elok berdiri pada sebelah kanan atau sebelah kiri pintu. Jangan sekali-kali membiarkan mata kita liar memandang-mandang atau menjeling jeling ke dalam rumah melalui pintu yang sedang terbuka, atau melihat-lihat di celah-celah lubang pintu yang tertutup, kerana ini melambangkan keperibadian yang tidak elok dari segi akhlak dan dianggap kurang sopan. Dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Imam Ahmad dan Abu Daud daripada Abdullah bin Busr Radhiallahuanhu berkata yang bermaksud : ''Jika Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam sampai di pintu rumah seseorang yang dikunjunginya, Baginda tidak menghadap pintu melainkan menunggu di sisi kanan atau kiri, lalu berkata : ''Assalamu'alaikum, Assalamu'alaikum''.

- Tujuannya adalah supaya tetamu yang datang berkunjung tidak melihat terus ke dalam isi rumah yang dikunjungi kerana dikhuatiri adanya penghuni rumah yang tidak menutup aurat dan sebagainya.

- Memberi salam sebelum meminta izin masuk. Imam Ahmad dan Abu Daud telah meriwayatkan dalam sebuah hadis daripada Rib'iy bin Hirasy yang berkata : ''Seorang lelaki dari Bani Amir meminta izin kepada Nabi Sallallahu Alaihi Wasallam. Ketika itu Baginda sedang berada di dalam rumah, maka Baginda berkata, Apakah dia memaksa? Lalu Rasulullah berkata kepada pembantunya, keluarlah dan temui dia dan ajarlah dia untuk mengucapkan salam sebelum meminta izin iaitu dengan mengucapkan Assalamu'alaikum, apakah saya boleh masuk? Nabi mengizinkan, lalu dia pun masuk''.

- Mengenalkan diri atau menyebut nama yang dikenali oleh tuan rumah (sama ada nama asli atau nama panggilan). Apabila ditanya oleh tuan rumah siapa yang datang berkunjung itu, janganlah dijawab dengan hanya mengenalkan diri dengan kata aku atau kadiaku, saya dan sebagainya. Hal ini boleh menyebabkan tuan rumah masih ragu-ragu terhadap siapa yang datang berkunjung, seelok-eloknya sebutlah nama sendiri.

- Jika tiada izin masuk dan diperintahkan balik, maka haruslah balik. Ini adalah perintah yang ditetapkan oleh Allah Subhanahu Wata'ala dalam Surah An-Nur, ayat 28 yang tafsirnya : ''Dan jika dikatakan kepada kamu : 'Baliklah', maka hendaklah kamu balik. Itu lebih baik bagi kamu. Dan Allah Maha Mengetahui apa yang kamu kerjakan''.

- Imam Al-Bukhari dan Imam Muslim ada meriwayatkan dalam sebuah hadis sebagaimana sabda Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam yang bermaksud : ''Apabila salah seorang antara kamu telah meminta izin (memberi salam) sebanyak tiga kali, namun tidak diizinkan, maka hendaklah ia pulang''. Dalam hadis yang lain juga ada menyebutkan mengenai perkara ini, sebagaimana hadis riwayat Muttafaq alaih daripada Abu Musa al-Asyari Radhiallahuanhu, katanya Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam telah bersabda yang bermaksud : ''Permohonan izin (memberi salam) itu sampai tiga kali, maka jika dizinkan bagimu, masuklah dan jika tidak, pulanglah''.

Dengan kemajuan teknologi yang begitu pesat di zaman ini, salah satu cara yang mudah untuk kita meminta izin masuk ke rumah orang yang dikunjungi ialah seperti penggunaan bell, iaitu dengan hanya menekan punat bell atau dengan cara mengetuk pintu rumah sahaja kita sudah dianggap meminta izin. Apabila tuan rumah membuka pintu, hendaklah kita mengucapkan salam. Ini adalah salah satu cara atau adab meminta izin sebelum masuk ke rumah yang dikunjungi.

Oleh itu, jika kita masuk ke tempat yang perlu meminta keizinan terlebih dahulu seperti rumah kediaman dan sebagainya, tetapi kita tidak meminta izin, maka perbuatan itu adalah dianggap suatu perbuatan yang amat jahil dan dikesali lebih-lebih lagi jika ia berlaku dalam kalangan umat Islam, kerana ini bukan akhlak Islam yang diajar oleh Nabi kita Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam. Jangan sekali-kali kita memasuki ke rumah orang lain tanpa izin terlebih dahulu, patuhilah dengan penuh rasa keimanan, takwa dan bertanggungjawab sebagai seorang Muslim.

Seterusnya...

7 23 2016 PelitaBrunei PB 23 JULAI 2016

 

MARILAH kita meningkatkan ketakwaan kita kepada Allah Subhanahu Wata'ala dengan penuh keyakinan dan keikhlasan dengan melakukan segala suruhan-Nya dan meninggalkan segala larangan-Nya. Mudah-mudahan kita menjadi insan yang beriman dan bertakwa serta selamat di dunia dan selamat di akhirat.

Ilmu pengetahuan itu amat berharga, dan ilmu itu dapat diperolehi dari berbagai kaedah dan salah satu daripadanya ialah melalui pendidikan. Sesungguhnya ilmu itu nilainya tinggi melebihi harta duniawi. Realitinya jika seseorang mempunyai harta yang banyak, masyarakat akan beranggapan mereka hidup dalam kemewahan berbanding orang lain, dan kemewahan dan harta yang banyak jika disertai dengan ilmu, akan lebih memberi manfaat dengan mempergunakannya berpandukan kepada ilmu khasnya ilmu keugamaan.

Ilmu yang diperolehi melalui pendidikan adalah satu keperluan bagi perkembangan otak manusia. Sehebat mana pun akal pemikiran seseorang itu, pastinya memerlukan pendidikan sama ada diperolehi secara formal ataupun tidak formal. Justeru, mendapatkan ilmu menerusi pendidikan adalah salah satu proses utama untuk kita mengharungi kehidupan ini.

Sesungguhnya Islam meletakkan usaha ke arah menuntut ilmu di tempat yang amat penting yang mana ditegaskan dalam sebuah hadis Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam yang diriwayatkan oleh Al-Imam Ibnu
Majah :

Maksudnya : ''Daripada Anas bin Malik ia berkata : sabda Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam : menuntut ilmu adalah satu kefarduan ke atas setiap Muslim.''

Tanpa ilmu, manusia boleh membuat kesilapan, sering tersesat, mudah tertipu dan terjerumus ke arah penyesalan. Sebagai ibu bapa adalah bertanggungjawab untuk memberikan didikan yang sempurna kepada anak-anak kerana anak-anak merupakan penerus generasi akan datang, bukan setakat menyediakan makanan, pakaian, tempat tinggal dan memberikan kasih sayang sahaja. Semuanya ini bermatlamat bagi memastikan bahawa ia membawa kesejahteraan hidup dan kedudukan yang tinggi di dunia dan juga di akhirat kepada anak-anak.

Firman Allah Subhanahu Wata'ala dalam Surah Al-Mujaadilah, ayat 11 :

Tafsirnya : ''Allah meninggikan orang-orang yang beriman antara kamu dan orang-orang yang diberi ilmu pengetahuan agama beberapa darjat. Dan Allah Maha Teliti terhadap apa yang kamu kerjakan.''

Perlu diingat bahawa ibu bapa, kanak-kanak dan penjaganya yang hendaklah memberikan pendidikan kepada anak-anak mereka dan menyekolahkan mereka. Perlu diingat bahawa adalah hak kanak-kanak untuk memperolehi pendidikan atau pelajaran. Pendidikan wajib secara formal adalah sangat penting kerana melalui pendidikanlah corak kehidupan yang sejahtera.

Menyedari akan hakikat ini, maka berikanlah perhatian terhadap proses pendidikan anak-anak seawal mungkin. Pendidikan yang diberikan hendaklah merangkumi pendidikan akidah, ibadat dan akhlak. Didikan yang sempurna pula merangkumi pengajaran dan pembelajaran berbagai amalan yang turut melengkapi keperluan hidup kanak-kanak khususnya dari segi rohani, jasmani, emosi, intelektual yang turut meliputi penguasaan kemahiran menulis dan membaca. Kemahiran menulis dan membaca adalah kemahiran yag terungkap pada wahyu pertama diturunkan kepada Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam, iaitu Iqra' di mana ayat ini telah menegaskan bahawa bagi mendapatkan ilmu adalah dengan membaca. Perkara ini menunjukkan bahawa kemahiran menulis dan membaca adalah kunci kepada mendapatkan ilmu pengetahuan dan merupakan kunci kepada memahami, menghayati kandungan kitab suci Al-Quran yang di dalamnya mengandungi berbagai pengetahuan dan ilmu yang berguna kepada manusia. Malah kemahiran menulis dan membaca juga adalah cara berkesan dalam mengajar dan menyebarkan ilmu dan maklumat yang bermanfaat kepada seluruh masyarakat.

Kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia pula dalam memastikan bahawa semua kanak-kanak di negara ini mendapat pendidikan yang sempurna telah mewujudkan Akta Pendidikan Wajib yang mula dikuatkuasakan sejak tahun 2007, manakala Perintah Pendidikan Agama Wajib mula dikuatkuasakan sejak tahun 2012. Ini adalah usaha negara melalui Kementerian Pendidikan dan Kementerian Hal Ehwal Ugama untuk memastikan semua kanak-kanak mengikuti persekolahan umum dan bersekolah agama.

Melalui Akta Pendidikan Wajib ini, para ibu bapa yang gagal menghantar ke sekolah, anak mereka yang telah cukup umur wajib bersekolah akan dikenakan hukuman denda kewangan atau boleh dikenakan hukuman yang lebih berat. Perintah itu antara lain bertujuan memastikan kanak-kanak berumur di antara 6 dan 15 tahun di negara ini menerima pendidikan rendah dan menengah sama ada di sekolah kerajaan ataupun swasta secara berdaftar rasmi serta menerima pendidikan yang bersesuaian di sekolah. Kemudian tidak setakat itu ibu bapa dan penjaga kanak-kanak perlu pula memastikan kehadiran atau kedatangan anak-anak mereka itu ke sekolah mengikuti jadual pelajaran sekolah.

Apa yang penting, semua ibu bapa dan ahli keluarga perlu sama-sama menanai amanah dan tanggungjawab ini supaya negara akan mampu menghasilkan modal insan yang benar-benar boleh membawa negara ke tahap pembangunan yang lebih baik dan berkesan bagi membentuk dan mengembangkan minda, jiwa dan rohani ke arah mengenali diri dan mencapai tahap kehidupan bermasyarakat yang sempurna.

Dalam pada itu, harus juga diingat bahawa setakat menghantar anak-anak ke sekolah sahaja belumlah dikira memadai di mana pendidikan yang khususnya bersifat 'Tarbiyah Islamiyah' hendaklah dimulakan dari rumah lagi di mana ibu bapa memainkan peranan utamamenerapkan atau mengajar pengetahuan asas agama seperti membaca 'Basmallah' ketika melakukan sesuatu atau ketika hendak makan atau minum, membaca dua kalimah syahadat, memberi salam, mendirikan sembahyang lima waktu dan lain-lain lagi. Perkara ini jika diperhatikan merupakan perkara remeh-temeh bagi sebilangan masyarakat, namun harus diingat perkara ini adalah persediaan awal dan tepat dalam menyemaikan roh Islam ke dalam jiwa kanak-kanak.

Bersempena dengan musim penggal ke-3 persekolahan pada tahun 2016 ini, adalah diharapkan para ibu bapa serta penjaga mereka akan terus merangsang anak-anak mereka supaya mencintai ilmu kerana sesungguhnya ilmu merupakan alat atau senjata paling berkesan untuk mencapai kemajuan serta kejayaan dalam hidup. Pendidikan agama
dan akademik hendaklah juga diberikan penekanan yang seimbang memandangkan kedua-duanya merupakan cabang ilmu yang diperlukan bagi mendapatkan kebahagiaan serta kesempurnaan dalam menjalani kehidupan dunia dan akhirat. Surah At- Tahrim, ayat 6 :

Tafsirnya : ''Wahai orang-orang yang beriman! Peliharalah diri kamu dan keluarga kamu daripada api neraka yang bahan-bahan bakarnya ialah manusia (orang kafir) dan batu-batu berhala, penjaganya ialah malaikat-malaikat yang kasar lagi keras layanannya, mereka tidak menderhaka kepada Allah terhadap apa jua yang diperintahkannya kepada mereka dan mereka pula tetap melakukan apa yang diperintahkan.''

Seterusnya...

 irsyad

(Dengan nama Allah, Segala puji bagi Allah, Selawat dan salam ke atas
Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam, keluarga, sahabat dan para pengikut Baginda)

KETIKA mengerjakan sembahyang berjemaah di Masjid Al-Haram, rata-rata para jemaah berebut-rebut hendak mengerjakan sembahyang di saf yang paling hampir dengan Kaabah. Ini menyebabkan setiap saf itu menjadi penuh dan padat sehinggakan sukar untuk berpindah ke saf yang lain kerana tidak ada lagi ruang untuk diisi terutama pada saf-saf hadapan.

Apa yang menjadi kemusykilan di sini ialah percampuran yang berlaku di antara lelaki dengan perempuan dalam satu saf. Adakah perkara ini merosakkan sembahyang seseorang? Adakah terjejas saf berkenaan serta saf-saf di belakangnya? Adakah terjejas sembahyang berjemaah yang didirikan itu atau sebaliknya? Irsyad Hukum kali ini, akan membincangkan persoalan-persoalan tersebut.

Pada dasarnya, dalam keadaan jemaah yang ramai, disunatkan lelaki yang baligh berada di saf hadapan kemudian diikuti oleh kanak-kanak lelaki, khunsa (orang yang tidak diketahui jantinanya adakah lelaki atau perempuan kerana memiliki alat kemaluan lelaki dan perempuan atau tidak memiliki alat kemaluan lelaki dan perempuan) dan barulah jemaah perempuan di saf yang terakhir.

Bagaimanapun, kedudukan saf sembahyang seperti ini, amat sukar untuk dipraktikkan di Masjid Al-Haram yang sentiasa sesak dengan para jemaah yang menunaikan sembahyang ataupun tawaf tidak kira semasa musim haji ataupun umrah. Sebagai contoh ketika di Masjid Al-Haram, jika kita perhatikan ketika sembahyang jemaah hendak didirikan, para jemaah yang sedang mengerjakan tawaf, tidak kira sama ada lelaki ataupun perempuan, kanak-kanak, orang dewasa mahupun orang tua, kebiasaannya akan mengisi saf-saf yang berdekatan dengan mereka. Ini menyebabkan kecelaruan saf di mana dalam satu saf itu berlaku percampuran di antara lelaki dengan perempuan dan perempuan berada pada saf hadapan lelaki.

Sebagaimana yang telah disebutkan sebelum ini, bahawa saf perempuan itu tempatnya adalah di belakang lelaki, kanak-kanak dan khunsa. Jadi apakah pandangan syarak mengenai perkara ini?

Imam An-Nawawi Rahimahullah ada menyebutkan permasalahan ini dengan terperinci dalam kitabnya Al-Majmuk :

(i) Mengenai saf yang bercampur di antara lelaki dengan perempuan, adakah membatalkan sembahyang? Imam An-Nawawi Rahimahullah menjelaskan :

Ertinya : ''Sekiranya seorang lelaki sembahyang dan di sebelahnya ada seorang perempuan, tidak batal sembahyangnya dan juga tidak batal sembahyang perempuan itu sama ada lelaki itu adalah imam ataupun makmum. Ini adalah mazhab kita.''

(ii) Dari sudut hukum mengerjakan sembahyang dengan saf seumpama ini pula, Imam An-Nawawi Rahimahullah berkata :

Ertinya : ''Sembahyang perempuan di hadapan lelaki serta di sebelahnya hukumnya makruh. Dan sah sembahyangnya (perempuan itu) serta (sah) sembahyang makmum-makmum lelaki yang perempuan berada di saf hadapan mereka mahupun sebaris dengan mereka menurut pendapat kita (Mazhab Asy-Syafi'i) serta Jumhur.''

Beliau berkata lagi :

Ertinya : ''Dan hasilnya, bahawa tempat kedudukan-kedudukan (saf) yang disebutkan keseluruhannya itu adalah dalam bentuk istihbab (sunat). Maka jika mereka menyalahinya, hukumnya adalah makruh dan sah sembahyang sebagaimana yang disebutkan oleh pengarang (Imam Asy-Syirazi). Begitu juga (sah sembahyang dan makruh) jika imam sembahyang di tempat lebih tinggi daripada makmum ataupun sebaliknya (makmum sembahyang di tempat lebih tinggi daripada imam) tanpa hajat. Begitu juga (sah sembahyang dan makruh), apabila perempuan berada di hadapan saf lelaki selagi mana dia tidak berada di hadapan imam, atau (perempuan itu) berdiri bersebelahan imam atau bersebelahan makmum lelaki, maka sah sembahyang (perempuan) serta sembahyang (jemaah-jemaah) lelaki tanpa perselisihan menurut pendapat kami.''

Apa yang dapat difahami daripada kata-kata Imam an-Nawawi Rahimahullah itu ialah :

(i) Kedudukan atau susunan saf yang disebutkan oleh para ulama seperti mendahulukan lelaki yang baligh di saf hadapan, kemudian diikuti oleh kanak-kanak lelaki, khunsa dan barulah jemaah perempuan adalah berbentuk istihbab (sunat) dan bukannya wajib.

(ii) Sekiranya kedudukan saf yang sepatutnya ini tidak dapat diikuti, maka ia tidak membatalkan sembahyang dan sembahyang berjemaah itu tetap sah didirikan, akan tetapi hukumnya makruh.

(iii) Sembahyang tanpa mengikut kedudukan saf yang sepatutnya, seperti makmum perempuan berada di sebelah makmum lelaki dalam satu saf ataupun makmum perempuan sembahyang di hadapan saf makmum lelaki tetap sah, akan tetapi hukumnya makruh. Maka tidak batal sembahyang perempuan tersebut, serta tidak batal sembahyang lelaki yang mengerjakan sembahyang di sebelahnya mahupun di belakang makmum perempuan itu.

(iv) Begitu juga sah dan makruh hukumnya sekiranya seorang makmum, sama ada lelaki ataupun perempuan, bersembahyang di sebelah imam mereka.

Bagaimanapun, adalah batal sembahyang makmum sekiranya seorang makmum lelaki ataupun makmum perempuan itu bersembahyang di hadapan imam mereka.

Selain itu, terdapat riwayat yang mendukung kenyataan bahawa keberadaan perempuan dalam saf lelaki tidak membatalkan sembahyang, tidak kira sama ada perempuan itu turut mengerjakan sembahyang ataupun tidak. Dalam sebuah hadis yang diriwayatkan daripada Aisyah Radhiallahuanha, beliau berkata :

Maksudnya : ''Sesungguhnya Nabi Sallallahu Alaihi Wasallam mengerjakan sembahyang pada suatu malam sedangkan aku berada di sisinya dan aku sedang uzur...''
(Hadits riwayat Muslim)

Menurut Imam An-Nawawi, Imam Asy-Syaukani dan Imam Ibnu Rejab Rahimahumullah, hadis di atas merupakan dalil bahawa tidak batal sembahyang seorang lelaki sekiranya di sisinya ada seorang perempuan. Ini adalah pendapat Mazhab Asy-Syafi'i serta Mazhab Jumhur.

Imam An-Nawawi Rahimahullah menambah, berdasarkan hadis di atas, sekiranya keberadaan seorang perempuan yang tidak mengerjakan sembahyang di sisi seorang lelaki yang sedang mengerjakan sembahyang tidak membatalkan sembahyang lelaki tersebut, maka adalah lebih utama tidak membatalkan sembahyang sekiranya perempuan itu juga sedang mengerjakan sembahyang di sisinya.

Demikian penjelasan mengenai permasalahan saf sembahyang yang bercampur di antara lelaki dengan perempuan. Dari penjelasan di atas, dapatlah diambil kesimpulan bahawa percampuran tersebut, sepertimana yang biasa berlaku di Masjid Al-Haram, hukumnya adalah makruh. Bagaimanapun, perkara ini tidaklah membatalkan sembahyang serta tidak menjejaskan sembahyang berjemaah.

Seterusnya...

Ramalan Cuaca

Untuk maklumat lanjut Ramalan Cuaca bagi Negara Brunei Darussalam sila layari www.met.gov.bn

Login or Register

LOG IN

Register

User Registration
or Cancel