A+ A A-

6 25 2016 PelitaBrunei PB 25 JUN 2016 Pelita10

DI hari Jumaat yang mulia ini, marilah kita sama-sama meningkatkan keimanan dan ketakwaan kita kepada Allah Subhanahu Wata'ala dengan sebenarbenar takwa, iaitu istiqamah dalam mengerjakan dalam mengerjakan segala suruhan-Nya dan meninggalkan segala larangan-Nya. Dengan demikian, mudahmudahan kita menjadi umat yang terbaik dan unggul (?????? jawi) serta mendapat keredaan Allah Subhanahu Wata'ala di dunia dan selamat di akhirat.

Kita masih dalam suasana berhari Raya Aidilfitri. Maka dalam bulan Syawal ini, selain kita merayakan Hari Raya Aidilfitri, kita digalakkan untuk melakukan ibadah sunat, iaitu puasa sunat enam hari di bulan Syawal. Adapun puasa enam di bulan Syawal itu bermula pada 2 Syawal, mengerjakannya dengan berturut-turut adalah lebih afdal dan utama. Walau bagaimanapun, tidak menjadi kesalahan jika puasa enam itu dilakukan secara berselang hari atau dibuat pada bila-bila masa asalkan di bulan Syawal.

Sesungguhnya ganjaran bagi orang yang mengerjakan puasa enam hari di bulan Syawal setelah berpuasa sebulan Ramadan, seolah-olah ia berpuasa sepanjang tahun. Sebagaimana hadis Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam :

Maksudnya : Dari Abu Ayub al-Ansari Radhiallahuanhu, ia menceritakan bahawa Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam bersabda : ''Barang siapa yang berpuasa pada bulan Ramadan, kemudian diikuti dengan puasa enam hari pada bulan Syawal, seolah-olah ia berpuasa sepanjang tahun.'' (Riwayat al-Imam Muslim)

Puasa sunat enam pada bulan Syawal sunat dikerjakan oleh orang yang telah mengerjakan puasa Ramadan sebulan penuh dan juga sunat dikerjakan oleh orang yang tidak berpuasa penuh di bulan Ramadan disebabkan keuzuran yang diharuskan oleh syarak. Manakala bagi orang yang sengaja meninggalkan puasa, Ramadan tanpa keuzuran syarak, hukumnya adalah haram melakukan puasa sunat enam selagi belum mengqada puasa itu.

Dalam merayakan hari raya, memang sudah menjadi kelaziman masyarakat di negara kita untuk menghulurkan sedekah atau pemberian duit raya. Amalan ini adalah amalan yang baik kerana ia berkonsepkan sedekah atau pemberian. Sememangnya agama kita sangat menggalakkan kita bersedekah atau memberi sumbangan dan menjadikannya sebagai budaya dan kebiasaan.

Allah Subhanahu Wata'ala berfirman dalam Surah Al-Baqarah, ayat 261, tafsirnya : ''Perumpamaan orang-orang yang membelanjakan harta mereka pada jalan Allah samalah seperti menanam sebiji benih yang menumbuhkan tujuh tangkai, tiap-tiap satu tangkai pula mengandungi seratus biji. Dan Allah menggandakan pahala bagi sesiapa yang dikehendaki-Nya. Dan Allah Maha Luas rahmat dan limpah kurnia-Nya lagi mengetahui.''

Dengan amalan bersedekah atau pemberian itu boleh membentuk akhlak yang luhur serta sifat yang mulia seperti melahirkan sifat pemurah, berlemah lembut dan belas kasihan terhadap saudaranya yang memerlukan. Bersedekah atau memberi sumbangan juga adalah jalan keluar bagi meringankan beban hidup golongan fakir dan miskin kerana kesusahan mereka diambil perhatian dan mendapat hak yang sewajarnya.

Selain itu, dengan bersedekah atau memberi sumbangan dapat mengeratkan ukhuwah Islamiah (persaudaraan Islam), dapat menghilangkan rasa iri hati di antara kita khasnya di kalangan orang-orang yang susah terhadap orang yang hidup senang, dengan ini dapat mengurangkan jurang perbezaan antara kita.

Manakala pemberian duit raya, bukan sahaja bmenambahkan pahala, bahkan lebih daripada itu melahirkan kepuasan, kenikmatan dan kegembiraan, melihat wajah anak-anak kecil yang kita berikan duit raya itu. Mungkin dengan pemberian itu dapat membantu perbelanjaan keluarganya yang memerlukan.

Walau bagaimanapun, pemberian duit raya itu bukanlah satu kemestian sehingga berasa malu jika tidak memberinya. Selain itu, sebagai ibu bapa atau penjaga juga adalah berperanan untuk memahami dan mendidik anak-anak supaya berkunjung ke rumah saudara-mara dan sahabat handai, bukanlah untuk mengharapkan duit raya semata-mata. Jika tidak diberikan duit raya janganlah tuan rumah itu dikatakan kedekut, bakhil dan sebagainya.

Dalam keghairahan kita meraikan hari raya, jangan pula kita sampai lupa akan kewajipan kita sebagai hamba Allah Subhanahu Wata'ala, iaitu sembahyang fardu lima waktu. Jika telah masuk waktu sembahyang, tunaikanlah sembahyang terlebih dahulu sebelum memulakan perjalanan. Jika telah masuk waktu sembahyang semasa dalam perjalanan singgahlah di masjid-masjid, surau-surau ataupun balai-balai ibadat yang berhampiran.

Alhamdulillah dalam suasana kita menyambut hari raya ini, rakyat dan penduduk di negara ini rasa beruntung kerana dapat meraikan dua perayaan di bulan Syawal ini, iaitu Hari Raya Aidilfitri dan Ulang Tahun Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam yang Ke-70 Tahun.

Oleh itu, kita menyeru kepada para jemaah sekalian, bersempena dengan perayaan Hari Ulang Tahun Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam yang Ke-70 Tahun ini, marilah kita hadir ke masjid-masjid, surau-surau dan balai-balai ibadat di seluruh negara bagi sama-sama membaca Surah Yaa Siin, Tahlil dan Doa Kesyukuran pada hari Khamis, 14 Julai 2016 dengan niat mudah-mudahan raja yang kita kasihi akan dilanjutkan usia, sihat walafiat dan kekal karar memerintah negara di bawah perlindungan Allah Subhanahu Wata'ala.

Sesungguhnya pemeliharaan Allah Subhanahu Wata'ala terhadap kedaulatan raja boleh berhasil menerusi doa terhadapnya. Adapun berdoa untuk raja, untuk para pemimpin Islam dan untuk kaum Muslimin sejagat adalah amalan tradisi bagi masyarakat Islam di negara kita. Amalan seperti ini merupakan identiti berharga serta keunikan bagi Negara Brunei Darussalam yang sepatutnya terus dipertahankan sampai bilabila kerana ia selari dengan tuntutan agama.

Akhirnya marilah kita berdoa kepada Allah Subhanahu Wata'ala. Semoga raja kita dilanjutkan usia, sihat walafiat dan memimpin negara dengan petunjuk dan hidayah Allah Subhanahu Wata'ala. Mudah-mudahan negara kita serta sekalian rakyat dan penduduk akan hidup aman dan makmur di bawah kepimpinan baginda yang bijaksana. Amin Ya Rabbal Alamin.

Surah Al-Mukmin, ayat 60, tafsirnya : ''Dan Tuhan kamu berfirman : berdoalah kamu kepada-Ku nescaya Aku perkenankan doa permohonan kamu. Sesungguhnya orang-orang yang sombong takbur daripada beribadat dan berdoa kepada-Ku akan masuk neraka jahanam dalam keadaan hina.''

Seterusnya...

Khutbah Kedua Hari Raya Aidilfitri 1 Syawal 1437


Allahuakbar, Allahuakbar, Allahuakbar

DALAM menyambut bulan Syawal yang mulia ini, seperti lazimnya di negara kita ramai yang akan mengadakan rumah terbuka dengan menjemput kaum keluarga, jiran tetangga dan sahabat handai. Amalan tersebut sememangnya amat baik dan berpahala jika disertai dengan niat ikhlas. Tetapi hendaklah kita ingat supaya mengamalkan sifat sederhana dan berjimat cermat serta tidak bermegah-megah sehingga membawa kepada sifat riak dan pembaziran kerana perbuatan sedemikian hukumnya berdosa dan boleh menyebabkan amalan yang kita lakukan menjadi sia-sia. Sesungguhnya Allah Subhanahu Wata'ala benci kepada orang yang melakukan pembaziran. Firman Allah Subhanahu Wata'ala dalam Surah Al-Isra', ayat 27, tafsirnya :

"Sesungguhnya orang-orang yang membazir (membelanjakan harta pada jalan yang salah) itu ialah saudara-saudara syaitan dan syaitan itu adalah kufur kepada tuhan-Nya."

Sifat bersederhana memang telah diajarkan oleh agama Islam sendiri. Islam menyuruh kita bersifat qanaah iaitu menerima dengan rela apa yang telah ditentukan oleh Allah Subhanahu Wata'ala untuk kita. Sifat ini perlu dipupuk dalam diri kita supaya sifat tamak tidak menguasai diri.

Selaku umat Islam kita sepatutnya mengamalkan jimat cermat serta bersederhana dalam apa-apa juga yang kita belanjakan, kerana amalan jimat cermat itu mendisiplinkan diri kita menuju ke arah sifat qanaah itu sendiri.

Sememangnya kita menyedari bahawa sifat berjimat cermat dalam berbelanja amat dituntut dalam Islam kerana ia menjadi asas bagi kesejahteraan hidup masyarakat dan kemakmuran sesebuah negara. Biasanya amalan tersebut meliputi perbelanjaan untuk keperluan kehidupan kita seharian sesuai dengan fitrah kita sebagai manusia. Oleh itu, jika mahu ekonomi diri kita, keluarga dan masyarakat stabil dan terjamin kita hendaklah mengamalkan cara berbelanja yang bijak dan berperancangan seperti mengutamakan barang-barang yang benar-benar diperlukan, mengamalkan tabiat menyimpan wang (menabung) tidak mengamalkan gaya hidup mewah dan boros, tetapi sebaliknya mengamalkan cara hidup yang sederhana.

Amalan menabung adalah tindakan orang yang bijak merancang perbelanjaan mereka. Sesungguhnya banyak kelebihan yang boleh kita dapat dari amalan menabung, antaranya ekonomi seseorang itu akan lebih teratur dan terancang dan dapat membantu kita membuat persediaan bagi menghadapi keadaan-keadaan yang tertentu di masa akan datang seperti keperluan bagi perbelanjaan pendidikan anak-anak dan sebagainya. Selain itu, amalan menabung juga dapat membantu kita ketikamenghadapi situasi kecemasan seperti perbelanjaan bagi masalah kesihatan ataupun bagi keperluan yang mendesak seperti membaiki kereta rosak dan sebagainya. Wang yang disimpan juga boleh digunakan sebagai modal pelaburan atau perniagaan di masa hadapan seperti bagi keperluan membeli rumah, tanah dan sebagainya, bahkan wang itu juga boleh digunakan sebagai jaminan di hari tua atau apabila bersara kelak bagi menyara perbelanjaan kehidupan. Selain itu, dengan adanya wang simpanan juga membolehkan kita menunaikan ibadah kepada Allah Subhanahu Wata'ala seperti memberi sumbangan wakaf ataupun sedekah, lebih-lebih lagi untuk menyempurnakan rukun Islam yang kelima iaitu menunaikan fardu haji.

Allahuakbar, Allahuakbar, Allahuakbar

Simpanan dan penjimatan merupakan pelaburan yang sangat penting dalam kehidupan setiap peringkat masyarakat khususnya individu, syarikat perniagaan mahupun pihak kerajaan. Ia memainkan peranan utama yang boleh menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi sesebuah negara. Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam bertitah sempena Majlis Pembukaan Rasmi Mesyuarat Pertama
dari Musim Permesyuaratan Kesebelas Majlis Mesyuarat Negara 2015, antaranya titah baginda : "Dari aspek kewangan kita juga perlu mengekalkan dasar kestabilan fiskal atau fiskal stabiliti, terutamanya dalam mempertimbangkan peruntukan kewangan dan perbelanjaan negara yang menitikberatkan perbelanjaan berhemah dan 'value for money'. Dengan amalan seperti ini, InsyaaAllah akan membolehkan negara menjimatkan perbelanjaan dan mampu untuk menabung lebihan pendapatan bagi menampung peruntukan-peruntukan di saat yang memerlukan. Perkara ini perlu juga berlaku dalam pengurusan perbelanjaan di peringkat individu dan keluarga."

Sesungguhnya amalan berjimat cermat sudah pasti akan melahirkan masyarakat yang bijak dan progresif kerana mempunyai sumber kewangan yang mencukupi dan sudah tentu untuk jaminan masa hadapan yang lebih cerah.

Institusi perbankan dan kewangan juga haruslah memainkan peranan dan tanggungjawab masing-masing untuk memupuk kesedaran di kalangan pengguna mengenai manfaat dan kelebihan menabung serta melabur. Kita hendaklah memanfaatkan perkhidmatan yang disediakan oleh institusi-institusi perbankan dan kewangan yang berlesen di negara ini sebagai saluran untuk menyimpan dan melabur wang dengan lebih selamat. Sama-samalah kita beringat agar tidak mudah terpengaruh dengan skim-skim pelaburan yang tidak berlesen yang memberikan pulangan yang menarik dalam masa yang singkat kerana pelaburan seumpama ini boleh mendatangkan kerugian.

Allahuakbar, Allahuakbar, Allahuakbar

Sama-samalah kita mengurus rezeki yang diperolehi mengikut lunas-lunas Islam demi mencapai kebahagiaan, kesenangan dan kesejahteraan hidup. Amalkanlah sikap sederhana dalam berbelanja dan mensyukuri nikmat-nikmat yang dikurniakan Allah Subhanahu Wata'ala. Mudah-mudahan dengan cara demikian kita akan dapat mengukuhkan ekonomi keluarga, menjamin masa hadapan yang lebih baik dan sekali gus dapat memantapkan ekonomi negara. Dan sama-samalah kita berdoa semoga Allah Subhanahu Wata'ala akan sentiasa melimpahkan rahmat dan nikmat yang berkekalan dan memberikan petunjuk serta hidayah supaya kita dapat hidup dengan bahagia dan selamat di dunia dan di akhirat. Amin Ya Rabbal Alamin.

Surah Al-Kahfi, ayat 46, tafsirnya : ''Harta dan anak pinak itu adalah perhiasan kehidupan di dunia dan amalan-amalan soleh yang kekal itu lebih pahalanya di sisi Tuhanmu dan lebih baik menjadi harapan untuk kebahagiaan hidup di akhirat.''

Seterusnya...

Khutbah Pertama Hari Raya Aidilfitri 1 Syawal 1437


Allahuakbar, Allahuakbar, Allahuakbar

ALHAMDULILLAH puji dan syukur ke hadrat Allah Subhanahu Wata'ala yang telah menganugerahkan kepada kita nikmat kebahagiaan dan kegembiraan di pagi hari yang penuh dengan keberkatan ini. Kegembiraan yang kita rasakan pada hari ini adalah kerana pada hari ini kita telah berjaya melaksanakan perintah Allah Subhanahu Wata'ala dengan sempurna, iaitu berpuasa di bulan Ramadan dan dapat meningkatkan iman, amal dan takwa kepada Allah Subhanahu Wata'ala seperti mengerjakan Sembahyang Sunat Tarawih, tadarus Al-Quran, bersedekah, beriktikaf, membanyakkan doa, zikir dan sebagainya.

Hari ini kita juga beruntung kerana mendapat jaminan pengampunan dari Allah Subhanahu Wata'ala kerana telah berjaya melaksanakan puasa di bulan Ramadan. Dengan pengampunan tersebut maka sewajarnya kita mempertingkatkan lagi ketaatan dalam melaksanakan perintah-perintah Allah Subhanahu Wata'ala serta menjauhi
larangan-larangan-Nya dengan niat ikhlas dan penuh berharap akan mendapat keredaan-Nya.

Kita sangat bersyukur umat Islam di semua bperingkat di negara ini sama ada kanak-kanak, belia dan dewasa telah menampakkan peningkatan dalam beramal ibadat khususnya di bulan Ramadan. Antaranya ialah dengan memakmurkan masjid dengan melakukan amal ibadat di sepanjang bulan Ramadan seperti sembahyang fardu berjemaah, Sembahyang Sunat Tarawih, bertadarus Al-Quran dan Qiamullail di sepuluh malam terakhir. Begitu juga peningkatan dalam melakukan amal kebajikan seperti menghulurkan sedekah dan bantuan kepada golongan yang bmemerlukan dan sebagainya.

Allahuakbar, Allahuakbar, Allahuakbar

Bulan Syawal juga boleh diibaratkan sebagai bulan silaturahim. Sebagaimana lazimnya yang diamalkan di negara kita, iaitu amalan ziarah menziarahi, kunjung-mengunjungi dan bbermaaf-maafan antara satu sama lain dapat bmengeratkan lagi hubungan silaturahim sesama binsan agar kita mendapat keberkatan dalam kehidupan. Seandainya, pada waktu itu bulan yang lain kita tidak berkesempatan untuk ziarah-menziarahi kerana kesibukan dengan tugas harian, maka dalam kesempatan inilah masanya untuk kita menjalin semula keakraban kita sesama saudara, jiran tetangga dan juga sahabat handai. Sesungguhnya orang-orang mukmin itu adalah bersaudara.

Firman Allah Subhanahu Wata'ala dalam Surah Al-Hujurat, ayat 10, tafsirnya : "Sesungguhnya orang-orang yang berima itu bersaudara..."

Sabda Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam yang diriwayatkan oleh al-Imam bal-Bukhari yang maksudnya : Dari Abu Hurairah Radhiallahuanhu dari Nabi Sallallahu Alaihi Wasallam Baginda bersabda : ''Barang siapa yang beriman dengan Allah dan hari akhirat maka hendaklah ia menghormati tetamunya dan barang siapa yang beriman dengan Allah dan hari akhirat maka hendaklah ia menyambung silaturahim.''

Allahuakbar, Allahuakbar, Allahuakbar

Islam adalah agama yang cukup lengkap dan sempurna yang menganjurkan umatnya supaya bbersifat hormat-menghormati, berperibahasa mulia dan memberikan layanan kepada tetamu dengan baik. Kerana memuliakan tetamu itu boleh mendapat rahmat daripada Allah Subhanahu Wata'ala. Menghormati tetamu adalah suatu kewajipan ke atas setiap Muslim, oleh itu kita hendaklah melayan mereka mengikut sepatutnya selagi tidak bercanggah dengan ajaran Islam. Antara adab-adab memuliakan tetamu itu ialah :

Pertama : Menyambut kedatangan tetamu dengan perasaan gembira serta wajah yang manis berseri sambil bertanya khabar berita.

Kedua : Menyajikan hidangan yang termampu oleh kita, bukan dengan membazir dan berbangga.

Ketiga : Apabila tetamu hendak pulang, eloklah mereka dihantar hingga ke pintu rumah serta mengiringinya dengan doa. Jika menyambut tetamu ada dengan adab-adab, maka sebagai pengunjung pula ada juga adab-adabnya antaranya :

Pertama : Mengetuk pintu dan memberi salam terlebih dahulu dan bersalaman dengan orang yang dibolehkan oleh syarak sahaja kerana adalah haram bersalaman dengan yang bukan muhrim.

Kedua : Waktu ziarah biarlah pada masa byang sesuai dan jangan duduk terlalu lama, pandangan juga hendaklah dikawal dan dijaga serta menggembirakan tuan rumah dengan kata-kata yang manis dan baik. Firman Allah Subhanahu Wata'ala dalam Surah Al-Mujadalah, ayat 11 yang tafsirnya :

"Wahai orang-orang yang beriman! Apabila dikatakan kepada kamu : "Lapangkanlah tempat duduk di majlis-majlis untuk orang lain," maka lapangkanlah, nescaya Allah memberi kelapangan untuk kamu. Dan apabila dikatakan : "berdirilah" hendaklah kamu bberdiri, nescaya Allah meninggikan borang-orang yang beriman antara kamu dan orang-orang yang diberi ilmu pengetahuan agama beberapa darjat. Dan Allah Maha Teliti terhadap apa yang kamu kerjakan."

Jelas di sini khususnya dalam suasana hari raya, kedua-dua pihak, iaitu pengunjung dan orang yang dikunjungi hendaklah saling faham memahami dan mengamalkan ajaran dan adab-adab tersebut. Oleh itu, para ibu bapa berperanan dalam mengajarkan badab-adab tersebut kepada anak-anak bmereka supaya mereka tidak melakukan perkara yang tidak diingini berlaku semasa ziarah-menziarahi tersebut.

Allahuakbar, Allahuakbar, Allahuakbar

Di samping kesibukan dan keseronokan berziarah dan merayakan hari raya yang berbahagia ini, kita juga perlu ingat jangan sampai lalai sehingga kita meninggalkan kewajipan kita sebagai umat Islam dan melakukan perkara yang boleh mencemarkan kemuliaan hari raya itu seperti meninggalkan sembahyang fardu lima waktu, bergaul bebas antara lelaki dan perempuan, mengumpat, memakai pakaian yang mendedahkan aurat dan bermacam-macam lagi kemungkaran. Demikianlah sebahagian bdari perkara-perkara yang perlu kita hindari. Semoga hari raya yang kita rayakan benar-benar akan membawa berkah dan kesejahteraan kepada kita semua.

Surah Al-Hujurat, ayat 13 tafsirnya : ''Wahai manusia! sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu daripada laki-laki dan perempuan, dan Kami telah menjadikan kamu berbagai-bagai bangsa dan puak supaya kamu berkenal-kenalan. Sesungguhnya semulia-mulia bkamu di sisi Allah ialah orang yang bpaling bertakwa antara kamu. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui lagi Maha Teliti.''

Seterusnya...

menuju

MENJELANGNYA 1 nSyawal bergemalah takbir dan tahmid memuji kebesaran Allah Subhanahu Wata'ala untuk membesarkan kedatangan Aidilfitri dari segenap pelusuk umat Islam seluruh dunia termasuklah Negara Brunei Darussalam. Bertakbir dan bertahmid dilakukan sebagai tanda kemenangan dan syukur umat Islam kepada Allah Subhanahu Wata'ala atas nikmat berhari raya. Takbir Hari Raya Aidilfitri dilaungkan menandakan kemenangan umat Islam melawan hawa nafsu dengan berpuasa sebulan Ramadan dan termasuklah juga melawan nafsu kasihkan harta dengan mengeluarkan zakat.

Kehadiran bulan Syawal menandakan berlalunya bulan kerinduan umat Islam, iaitu bulan Ramadan yang penuh dengan rahmat dan maghfirah. Kita tidak mengetahui apakah kita masih berkesempatan dan berpeluang untuk menyambut kedatangan bulan Ramadan yang akan datang, hanya Allah sahaja yang Maha Mengetahui. Dengan pemergian Ramadan bersama Lailatul Qadar tidak sepatutnya proses tarbiah terhenti setakat itu dan berkurangan bahkan kita sepatutnya dapat meningkatkan kualiti amal ibadah kita agar berubah ke arah yang terbaik.

Kedatangan bulan Syawal bererti hadirnya Aidilfitri yang sewajarnya dihiasi dengan perkara-perkara sunat yang dapat meneruskan lagi kemuliaan Ramadan. Antara perkara-perkara sunat yang boleh lakukan sebelum menunaikan Sembahyang Sunat Hari Raya Aidilfitri ialah :

* Mandi Sunat Hari Raya sebelum keluar menunaikan Sembahyang Sunat Aidilfitri.

* Makan sedikit makanan sebelum pergi ke masjid. Sebagaimana maksud dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Imam al-Bukhari daripada Anas bin Malik Radhiallahuanhu yang memberitahu bahawa : ''Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam tidak keluar rumah pada pagi Hari Raya Aidilfitri melainkan selepas Baginda Sallallahu Alaihi Wasallam memakan beberapa biji kurma.''

* Tidak melalui jalan yang sama ketika pergi dan balik menuju ke masjid. Ia berdasarkan maksud hadis yang diriwayatkan oleh Imam al-Bukhari daripada Jabir Radhiallahuanhu yang menceritakan bahawa : ''Nabi Sallallahu Alaihi Wasallam biasanya pergi dan pulang dengan jalan yang berbeza apabila menunaikan Sembahyang Sunat Aidilfitri.''

* Memakai pakaian yang elok dan berwangi-wangian. Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam menyarankan kepada sahabatnya supaya berpakaian cantik dan elok. Walau bagaimanapun, Islam melarang umatnya membazir dan melampaui batas dalam menyambut Aidilfitri khususnya dari segi makanan, pakaian, perhiasan, termasuklah hiburan yang melampaui batas dan lain-lain lagi.

* Memperbanyakkan bacaan Al-Quran, berzikir, bertahmid dan bertahlil untuk memuji kebesaran Allah Subhanahu Wata'ala.

Takbir yang dilaungkan dengan penuh penghayatan dan bersungguh-sungguh adalah sebagai tanda kesyukuran dan bukti kemenangan melawan hawa nafsu dan mendidik hati menjadi umat Islam yang bertakwa. Sebagaimana firman Allah Subhanahu Wata'ala dalam Surah Al-Baqarah, ayat 185 yang tafsirnya : ''...Hendaklah kamu mencukupkan bilangan (puasa Ramadan) itu dan bertakbirlah (mengagungkan Allah) kerana mendapat petunjuk-Nya dan supaya kamu bersyukur.''

Dalam memeriahkan suasana Aidilfitri pada tahun ini, semoga kedatangannya akan dapat menambahkan kebahagiaan kepada kita semua dan seluruh umat Islam khususnya. Di hari yang mulia ini, janganlah kita cemarinya dengan perkara-perkara maksiat dan kita hendaklah menjaga adab Islam dalam pergaulan antara lelaki dan perempuan serta elakkan daripada membazir.

Di samping keghairahan kita menyambut Aidilftiri, janganlah kita lupa untuk merebut peluang menambahkan saham akhirat dengan berpuasa enam hari di bulan Syawal bagi menyahut sabda Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam, sebagaimana hadis yang diriwayatkan oleh Imam Muslim daripada Abu Ayyub al-Anshari, Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam bersabda yang bermaksud : ''Sesiapa yang berpuasa pada bulan Ramadan kemudian diikuti pula dengan puasa enam hari pada bulan Syawal (puasanya di bulan Ramadan dan enam hari di bulan Syawal itu) seperti puasa sepanjang tahun.''

Amalan bermaaf-maafan dan ziarah-menziarahi antara satu sama lain adalah satu sikap dan perbuatan yang sangat elok dan lumrah dilakukan oleh kebanyakan masyarakat kita di Negara Brunei Darussalam. Ia bertujuan untuk meminta kemaafan atas kesilapan dan keterlanjuran yang lampau sama ada disengajakan atau pun tidak. Bersempena hari mulia dan penuh berkat ini, amalan ziarahmenziarahi sambil saling bermaafmaafan sesama kita adalah bertepatan dengan suruhan agama Islam itu sendiri. Sesungguhnya amalan demikian dapat mengeratkan hubungan silaturahim dan memperkukuhkan ukhuwah. Ziarahmenziarahi dan berkunjung ke rumah sanak-saudara dan rakan-taulan amat digalakkan dalam Islam. Walau bagaimanapun, kita sebagai umat Islam perlu menjaga adab
dan beringat tentang bersalamsalaman dengan yang bukan muhrim khususnya antara lelaki dengan perempuan. Dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Imam at-Thabrani dan al-Baihaqi, Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam bersabda yang bermaksud : ''Dicucuk kepala seorang kamu dengan jarum daripada besi adalah lebih baik baginya daripada menyentuh perempuan yang tidak halal baginya.''

Mengeratkan silaturahim antara sesama Islam adalah satu amalan yang mulia, sebagaimana Imam al-Bukhari telah meriwayatkan dalam sebuah bhadis daripada Abu Hurairah Radhiallahuanhu bahawa Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam telah bersabda yang bermaksud :

''Sesiapa yang mahu diluaskan rezekinya dan dipanjangkan umurnya maka hendaklah dia menghubungkan silaturahim.''

Selain itu, kita juga digalakkan supaya menziarahi kubur kedua ibu bapa kita, keluarga dan sanaksaudara yang telah meninggal dunia dengan menghadiahkan bacaan Tahlil dan Surah Yaa Siin dengan harapan semoga roh mereka sentiasa dicucuri rahmat oleh Allah Subhanahu Wata'ala. Di samping itu juga, banyakkanlah bersedekah agar mereka yang memerlukan bantuan turut bergembira dan mudah-mudahan berkat hari yang mulia ini akan menambah dan merapatkan lagi tali persaudaraan kita.

Seterusnya...

irsyad

(Dengan nama Allah, Segala puji bagi Allah, Selawat dan salam ke atas Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam, keluarga, sahabat dan para pengikut Baginda)

RAMADAN adalah bulan yang penuh dengan keberkatan dan kemuliaan. Di bulan ini, segala amal ibadat baik yang fardu mahupun yang sunat dijanjikan ganjaran pahala yang berlipat ganda berbanding jika ia dikerjakan di bulan-bulan yang lain. Oleh itu, umat Islam perlu merebut peluang tersebut dengan memperbanyakkan amal soleh bagi meraih ganjaran yang telah dijanjikan oleh Allah Subhanahu Wata'ala. Ini membuktikan betapa Ramadan mampu mendidik dan melatih kita untuk lebih tekun beribadat dan giat berusaha bagi mencapai keredaan Allah Subhanahu Wata'ala.

Kini bulan Ramadan telah berlalu, dan kita berdoa semoga dipertemukan lagi dengan Ramadan yang akan datang. Apa yang diharapkan ialah segala amal ibadat yang dikerjakan di bulan Ramadan itu akan istiqamah (konsisten) dikerjakan di bulan-bulan yang lain. Ini juga sebagai salah satu langkah agar kita meneguhkan iman dan takwa kepada Allah Subhanahu Wata'ala dengan istiqamah.

Allah Subhanahu Wata'ala memerintahkan Nabi-Nya Sallallahu Alaihi Wasallam dan orang-orang yang beriman supaya istiqamah dalam mengimani Allah Subhanahu Wata'ala serta tidak menyekutui-Nya dengan mentaati segala suruhan-Nya. Firman Allah Subhanahu Wata'ala :

Tafsirnya : ''Maka hendaklah engkau (wahai Nabi Muhammad) sentiasa beristiqamah (tetap teguh di atas jalan yang benar) sebagaimana yang diperintahkan kepadamu dan orang-orang yang bertaubat bersamamu, dan janganlah kamu melampaui batas. Sesungguhnya Dia Maha Melihat apa yang kamu kerjakan.'' (Surah Hud : 112)

Diriwayatkan daripada Sufyan bin 'Abdullah ats-Tsaqafiy Radhiallahuanhu, beliau bertanya kepada Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam :

Maksudnya : ''Wahai Rasulullah! Katakan kepadaku mengenai Islam satu ungkapan yang aku tidak akan bertanya lagi mengenainya kepada seseorang selepasmu. Baginda bersabda : ''Katakanlah : ''Aku beriman kepada Allah, kemudian istiqamahlah.'' (Hadits riwayat Muslim)

Istiqamah bermaksud lurus, benar, tetap pendirian atas suatu keyakinan. Tetap (teguh) pendirian atas kebenaran ajaran Allah Subhanahu Wata'ala dan melaksanakan segala ketentuan-Nya. Sementara dalam tafsir al-Qurthubi ada menyatakan bahawa istiqamah itu bermaksud tetap atau konsisten pada satu arah tanpa membelok ke kanan dan ke kiri.

Istiqamah pada mengimani Allah Subhanahu Wata'ala dan bertakwa kepada-Nya itu akan tercapai dengan mentaati segala suruhan-Nya, antaranya melakukan perkara-perkara seperti berikut :

1) Istiqamah pada menunaikan segala kewajipan yang difardukan oleh Allah Subhanahu Wata'ala ke atas hamba-hamba-Nya seperti mempercayai bahawa tidak ada Tuhan yang disembah melainkan Allah dan Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam adalah pesuruh Allah, mengerjakan sembahyang fardu lima waktu, membayar zakat, menunaikan puasa dan haji, berjihad di jalan Allah, menyuruh pada melakukan perkara yang makruf dan melarang pada melakukan perkara yang mungkar, dan menunaikan serta menjaga hak-hak manusia.

Demikian juga, istiqamah pada menunaikan perkara-perkara yang disunatkan seperti berterusan mengerjakan sembahyang sunat, puasa sunat, sedekah dan membaca Al-Quran.

2) Istiqamah pada meninggalkan perkara-perkara yang diharamkan seperti menyekutui Allah Subhanahu Wata'ala, bercakap bohong, memfitnah, mencuri dan meninggalkan perkara-perkara yang syubhah. Diriwayatkan daripada an-Nu'man bin Basyir Radhiallahuanhu, beliau mendengar Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam bersabda :

Maksudnya : ''Sesungguhnya yang halal itu jelas dan yang haram itu jelas. Di antara keduanya ada perkara-perkara syubhah yang kebanyakan orang tidak mengetahuinya. Maka sesiapa yang menjauhi perkara-perkara syubhah itu nescaya dia telah memelihara agamanya dan kehormatannya...'' (Hadits riwayat Muslim)

Di samping itu juga, istiqamah pada meninggalkan perkara-perkara yang dimakruhkan.

3) Istiqamah pada mentaati segala suruhan Allah Subhanahu Wata'ala dan bertakwa kepada-Nya hingga ke akhir hayat. Firman Allah Subhanahu Wata'ala :

Tafsirnya : ''Wahai orang-orang yang beriman! Bertakwalah kepada Allah dengan sebenar-benar takwa dan janganlah sekalikali kamu mati melainkan dalam keadaan beragama Islam.'' (Surah ali 'Imran : 102)

Diriwayatkan daripada 'Abdullah bin 'Amr Radhiallahuanhu ketika beliau mendengar khutbah Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam, antara petikannya Baginda bersabda :

Maksudnya : ''Sesiapa yang ingin diselamatkan dari neraka dan dimasukkan ke syurga maka hendaklah kematiannya datang dalam keadaan dia beriman kepada Allah dan hari akhirat dan hendaklah dia bermuamalah dengan orang lain dengan muamalah yang dia sendiri suka apabila orang lain bermuamalah dengannya..'' (Hadits riwayat Muslim)

Oleh itu, kita hendaklah istiqamah dalam mentaati segala suruhan Allah Subhanahu Wata'ala baik yang fardu mahupun yang sunat dan meninggalkan segala larangan-Nya sama ada yang haram ataupun yang makruh. Dengan yang demikian itu, istiqamah pada mengimani Allah Subhanahu Wata'ala dan bertakwa kepada-Nya akan tercapai hingga ke akhir hayat dan seterusnya mencapai kejayaan dan kebahagian hidup di dunia dan di akhirat.

Di bulan Ramadan adalah peluang keemasan bagi kita untuk terus istiqamah melaksanakan amal soleh dan terus istiqamah meninggalkan perkara-perkara maksiat dan dosa di bulan-bulan yang lain. Ini kerana di bulan Ramadan kita sudah terbiasa dan terdidik dengan melaksanakan ibadat sembahyang fardu dengan sempurna, memelihara waktunya, bahkan turut melaksanakannya secara berjemaah. Di samping mengerjakan ibadat yang fardhu, kita juga sudah terbiasa dan terdidik dengan memperbanyakkan amal ibadat yang sunat seperti Sembahyang Sunat Rawatib, Tahajjud, Tasbih, Dhuha dan Witir, bersedekah dan bertadarrus Al-Quran.

Demikian juga, di bulan Ramadan kita sudah terbiasa dan terdidik untuk memelihara anggota dan pancaindera dari melakukan perbuatan dosa dan maksiat, mampumengawal hawa nafsu, meninggalkan perkara-perkara yang dilarang oleh Allah Subhanahu Wata'ala seperti mengumpat dan sebagainya.

Di bulan Ramadan juga, kita mampu melaksanakan ibadat puasa selama sebulan penuh, ini sudah tentu dapat dilaksanakan pada bulan-bulan yang lain dengan melaksanakan puasa-puasa sunat seperti puasa pada hari Isnin dan Khamis, hari Arafah di bulan Zulhijjah, 'Asyura di bulan Muharram, enam hari di bulan Syawal dan puasa di bulan Syaaban.

Oleh itu, amalan yang telah kita laksanakan di bulan Ramadan itu hendaklah tidak terhenti setakat di bulan Ramadan sahaja, akan tetapi terus istiqamah melaksanakannya di bulanbulan yang lain bahkan hingga ke akhir hayat agar kita dapat menjadi hamba Allah yang beriman dan bertaqwa serta mencapai keredaan-Nya.

Seterusnya...

6 25 2016 PelitaBrunei PB 25 JUN 2016 Pelita10

MARILAH kita meningkatkan ketakwaan kita kepada Allah Subhanahu Wata'ala dengan penuh keyakinan dan keikhlasan dengan melakukan segala suruhan-Nya dan meninggalkan segala larangan-Nya. Lebih-lebih lagi ketika kita berada di bulan Ramadan yang Mubarak ini. Mudahmudahan segala amal ibadat kita diterima dan seterusnya kita menjadi insan yang beriman dan bertakwa serta selamat di dunia dan di akhirat.

Sekarang kita berada di penghujung bulan Ramadan dan beberapa hari lagi akan menjelang Hari Raya Aidilfitri. Ramai di kalangan kita mengambil kesempatan untuk menziarahi tanah perkuburan. Sebenarnya amalan menziarahi kubur adalah amalan yang lazim dilakukan oleh umat Islam di negara ini dan amalan tersebut semakin meningkat semasa bulan Ramadan dan di pagi Hari Raya Aidilfitri. Ziarah ke tanah perkuburan ini, pada hakikatnya tidaklah tertumpu pada bulan Ramadan atau bulan Syawal sahaja, akan tetapi kita digalakkan berziarah ke tanah perkuburan pada bila-bila masa. Sabda Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam yang diriwayatkan oleh Al-Imam Ibnu Majah :

Maksudnya : ''Dari Abu Mas'ud Radhiallahuanhu, sesungguhnya Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam bersabda : pada mulanya aku melarang kamu menziarahi kubur, kini bolehlah kamu menziarahinya kerana sesungguhnya menziarahi kubur itu boleh menzuhudkan (menjadikan hidup tidak dikuasai oleh kemewahan dan keseronokan dunia) dan mengingati akhirat.''

Sesungguhnya amalan ziarah kubur ini mempunyai tujuan dan hikmahnya tersendiri, antaranya akan menimbulkan perasaan insaf dan taubat di dalam hati tentang menghadapi hari kematian, alam kubur dan alam akhirat, iaitu dengan muhasabah diri, adakah amalan kita sudah cukup untuk dijadikan bekal di dalam alam barzakh dan alam akhirat.

Ziarah kubur juga bertujuan untuk menggembirakan penghuni kubur, lebih-lebih lagi kepada roh kedua ibu bapa kita, iaitu dengan memberi salam,memohon doa-doa agar dilimpahi dengan rahmat dan pengampunan daripada Allah Subhanahu Wata'ala. Perlulah diketahui bahawa doa anak soleh yang sentiasa mendoakan kedua ibu bapa mereka yang telah meninggal dunia akan diterima oleh Allah Subhanahu Wata'ala serta ditulis oleh Allah Subhanahu Wata'ala sebagai anak yang taat kepada ibu bapanya. Sabda Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Imam Muslim :

Maksudnya : ''Dari Abu Hurairah Radhiallahuanhu, bahawasanya Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam telah bersabda : apabila seseorang manusia itu mati, akan terputuslah daripadanya segala amalannya melainkan tiga perkara : sedekah yang berterusan manfaatnya, ilmu yang dimanfaatkan, atau anak yang soleh yang mendoakan baginya.''

Perlu diingat apabila kita menziarahi tanah perkuburan, jangan pula kita lupa panduan dan adab-adab ziarah kubur yang patut diikuti, antaranya sebelum menziarahi kubur, disunatkan kita berwuduk serta hendaklah memakai pakaian yang bersesuaian dan menutup aurat. Apabila kita sampai di tanah perkuburan, kita disunatkan memberi salam kepada semua ahli atau penghuni kubur seperti : SERUAN SUCI - JAWI
Ertinya : ''Mudah-mudahan Allah melimpahkan salam sejahtera kepada kamu sekalian wahai penghuni kubur orang-orang Mukminin dan Muslimin, dan sesungguhnya kami ini insyaaAllah akan bertemu kamu, kami memohon kepada Allah keafiatan untuk kami dan bagi kamu juga.''

Setelah berada di kubur keluarga yang hendak diziarahi, afdal berdiri di tepi kubur dengan membelakangi kiblat dan menghadapi ke arah muka ahli kubur yang kita ziarahi sambil memberi salam secara khusus seperti ''Assalamualaikum wahai ibuku''. Setelah itu disunatkan duduk menghadapi ke arah mukanya serta membaca ayat suci Al-Quran dan menghadiahkan pahala kepada ahli kubur tersebut. Kemudian disunatkan menghadap kiblat dan berdoa semoga Allah mengampuni dosa dan melimpahkan rahmat ke atas roh ahli kubur.

Az-Zakfarani berkata : ''Saya pernah bertanya kepada Imam Syafie mengenai bacaan Al-Quran di kubur. Ternyata beliau itu (as-Syafie) adalah membolehkannya.'' Demikian juga kenyataan Imam An-Nawawi dalam Syarhul Muhadzab'' disunatkan bagi orang ziarah kubur itu membaca ayat-ayat Al-Quran yang mudah-mudahan baginya dan mendoakan mereka setelah membaca ayat-ayat Al-Quran. Al-Qurubi telah menukilkan bahawa Al-Sheikh Izzuddin bin Abdul Salam telah mengeluarkan fatwa bahawa pahala bacaan Al-Quran itu tidak sampai kepada orang mati. Ketika dia telah meninggal, sebahagian sahabatnya bermimpi bertemu dengannya. Mereka bertanya kepadanya : ''Wahai Izzuddin, tuan telah berfatwa bahawa pahala bacaan Al-Quran tidak sampai kepada orang yang telah meninggal dunia. Lalu bagaimanakah tuan telah menyaksikan perkara itu?'' Izzuddin menjawab : ''Saya mengatakan perkara itu ketika masih di dunia, tetapi sekarang saya sudah meninggalkannya. Saya telah menyaksikan adanya kemurahan Allah Subhanahu Wata'ala dalam perkara ini, yakni pahala itu memang sampai kepada orang yang telah meninggal dunia.'' Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam bersabda dalam sebuah hadisnya yang diriwayatkan oleh Imam Abu Daud :

Maksudnya : ''Dari Ma'kal bin Yasar katanya : Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam bersabda : Bacalah Surah Yaa Siin untuk si mati kamu.''

Berkata Al-Qurtubi mengenai hadis ini : ''Ia adalah mencakupi bacaan keika orang akan mati dan juga bacaan di kuburnya.''

Setelah itu disunatkan pula menjirus air dan meletakkan pelepah yang masih hijau serta tumbuh-tumbuhan wangi yang masih basah di atas kubur. Seperti lazimnya di negara kita, amalan bersedekah selalu dilakukan selepas ziarah kubur, amalan itu sememangnya amalan baik dan terpuji kerana bersedekah adalah antara sunah Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam dan diniatkan kepada ahli kubur agar pahalanya akan sampai kepada penghuni kubur tersebut. Walau bagaimanapun, janganlah dijadikan bersedekah di kubur itu suatu kewajipan atau kemestian.

Marilah kita sama-sama menjaga adab-adab ziarah kubur dan meninggalkan perkara-perkara yang dilarang, apatah lagi yang boleh merosakkan akidah dan keimanan kita. Mudah-mudahan kesan dari amalan ziarah yang kita lakukan itu dapat memberi keinsafan dan kesedaran kepada kita dengan sentiasa mengingati mati dan segera bertaubat kepada Allah Subhanahu Wata'ala. Kita juga berharap agar penghuni-penghuni kubur akan mendapat rahmat daripada Allah Subhanahu Wata'ala dan mendapat keampunan serta terhindar dari seksa kubur dan azab api neraka. Amin ya Rabbal alamin.

Surah Yunus, ayat 25 :
Tafsirnya : ''Itulah dia kesudahan kehidupan dunia dan sebaliknya Allah menyeru manusia ke tempat kediaman yang selamat sentosa, dan Dia sentiasa memberi petunjuk hidayah-Nyakepada sesiapa yang dikehendakinya menurut undang-undang peraturan-Nya ke jalan yang betul lurus yang selamat itu.''

Seterusnya...

menuju

BULAN Ramadan adalah bulan yang terdapat di dalamnya satu malam yang dipanggil Lailatul Qadar iaitu malam yang dipenuhi dengan keberkatan dan malam yang lebih baik daripada seribu bulan sepertimana diriwayatkan oleh Ibn Khuzaimah dari Sulaiman Radhiallahu 'anhu katanya, Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam bersabda :

''Wahai manusia sesungguhnya kamu akan dinaungi oleh satu bulan yang agung lagi penuh keberkatan iaitu bulan yang di dalamnya ada suatu malam yang lebih baik dari seribu bulan.''

Pada malam tersebut, Allah Subhanahu Wata'ala menganugerahkan keberkatan, kerahmatan dan kemuliaan kepada umat Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam sepertimana disebutkan di dalam Al-Quran dalam Surah Al-Qadr, ayat 1-5, Allah Subhanahu Wata'ala berfirman :

''Sesungguhnya Kami telah menurunkan (Al-Quran) ini pada malam Al-Qadr; Dan apakah engkau dapat mengetahui apa dia kebesaran malam Al-Qadr itu? Malam Al-Qadr itu lebih baik daripada seribu bulan. Pada malam itu, para malaikat dan Jibril turun dengan izin Tuhan mereka, untuk mengatur segala urusan. Sejahteralah malam yang berkat) itu hingga terbit fajar.''

Surah ini adalah bukti jelas tentang kemuliaan, keberkatan dan keistimewaan Lailatul Qadar. Malam Lailatul Qadar mempunyai keistimewaan yang sangat besar kerana malam itu menyaksikan turunnya Al-Quran. Pada malam Lailatul Qadar itu juga malaikat turun ke dunia disertai oleh Jibril 'alaihissalam untuk memberikan penghormatan kepada orang-orang yang berpuasa dan menyaksikan amal ibadat mereka, serta untuk memberikan salam sejahtera kepada penduduk bumi.

Allah Subhanahu Wata'ala mengadakan malam Lailatul Qadar yang hanya sekali setahun di dalam bulan Ramadan adalah bagi memperlihatkan kekuasaan, ketinggian, kebesaran dan keagungan Allah kepada para hamba-Nya. Pada malam Lailatul Qadar ini Allah memberi balasan dan ganjaran yang istimewa bagi hamba-hamba-Nya yang taat dan ikhlas melaksanakan ibadah puasa sepanjang bulan Ramadan.

Waktu Lailatul Qadar merupakan perkara rahsia yang hanya diketahui oleh Allah Subhanahu Wata'ala. Bila berlakunya malam Lailatul Qadar itu tidaklah diketahui secara pastinya Allah sahaja yang mengetahuinya, bila masa dan kepada siapa yang dapat dari kalangan hamba-hamba-Nya yang dikehendaki-Nya. Sebahagian besar ulama berpendapat bahawa kemungkinan besar Lailatul Qadar itu berlaku pada 10 hari terakhir bulan Ramadan lebih-lebih lagi di malam-malam yang ganjil sebagaimana berdasarkan hadis riwayat Imam Ahmad dari Ubadah bin as Samad katanya :

''Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam mengkhabarkan kepada kami tentang Lailatul Qadar. Baginda bersabda di dalam bulan Ramadan di puluhan yang akhir malam 21 atau malam 23 atau malam 25, atau malam 27 atau malam 29 atau di akhir malam bulan Ramadan. Barang siapa mengerjakan 'qiam', pada malam itu kerana imannya kepada Allah dan kerana mengharapkan keredhaan-Nya, nescaya diampunkan dosanya yang telah lalu dan dosanya yang akan datang.''

Sementara menurut al-Qurtubi : Jumhur ulama berpendapat bahawa Lailatul Qadar itu ialah pada malam 27, ini berdasarkan hadis yang diriwayatkan oleh Imam Ahmad, daripada Ibnu Umar, Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam bersabda :

''Barang siapa yang ingin mencari Lailatu Qadar, maka hendaklah dia mencarinya di malam 27.''

Walaupun ulama berbeza-beza pendapat dalam menentukan waktunya, namun pendapat yang paling kuat terjadinya malam Lailatul Qadar ialah berdasarkan hadis riwayat Imam al-Bukhari dari 'Aisyah Radhiallahu 'anha bahawasanya sesungguhnya Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam bersabda :

''Carilah malam Lailatul Qadar di malam yang ganjil 10 hari terakhir bulan Ramadan."

Oleh kerana itu, eloklah ibadah kita dimulai dengan penuh keikhlasan dan kesungguhan sejak hari pertama bulan Ramadan lagi hinggalah ke akhir bulan Ramadan, InsyaaAllah, semoga terdapat di dalamnya Lailatul Qadar.

Adapun antara hikmah malam Lailatul Qadar ini dirahsiakan adalah bagi mendorong umat Islam supaya tekun dan besungguh-sungguh mencari Lailatul Qadar dengan memperbanyakkan amal ibadah dan amal kebajikan kerana mengharapkan keredaan-Nya di sepanjang bulan Ramadan khususnya di 10 malam yang terakhir. Jika ditetapkan malam Lailatul Qadar itu, dibimbangi umat Islam tidak akan berusaha untuk merebutnya dengan beramal ibadat atau dia mungkin melakukan maksiat pada malam itu sehingga mendapat kemurkaan Allah.

Para ulama menyatakan, orang yang menghidupkan malam Lailatul Qadar dengan beribadah pahalanya akan dilipatgandakan, begitu juga orang yang bermaksiat akan dilipatgandakan dosanya. Tetapi bagi mereka yang tidak mengetahui malam itu merupakan malam Lailatul Qadar lalu dia bermaksiat maka dosanya tidak dilipatgandakan seperti dilipatgandakan pahala orang yang beribadah.

Tetapi bagaimanakah cara untuk kita mendapatkan Lailatul Qadar itu? Cara terbaik untuk memperolehi Lailatul Qadar itu ialah dengan berusaha bersungguh-sungguh menghidupkan tiap-tiap malam 10 yang terakhir bulan Ramadan dengan memperbanyakkan amal ibadat dan ketaatan kepada Allah Subhanahu Wata'ala dengan meneladani amalan Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam iaitu Baginda benar-benar berusaha untuk memperolehi malam Lailatul Qadar dengan berbuat taat kepada Allah Subhanahu Wata'ala pada setiap malam. Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam juga telah menggariskan beberapa langkah kepada umatnya agar berusaha sedaya upaya mendapat Lailatul Qadar ini. Dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Imam Muslim dari 'Aisyah Radhiallahu 'anha dia berkata :

''Sesungguhnya Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam apabila masuk malam 10 terakhir Ramadan, Baginda menghidupkan malam (dengan amal ibadah) mengejutkan keluarganya (bangun beribadah), bersungguh-sungguh (dalam ibadah) dan uzlah dari isteri-isterinya.''

Pada malam 10 terakhir bulan Ramadan ini eloklah juga kita perbanyakkan membaca doa yang kita sukai, doa untuk kita, ibu bapa kita, anak-anak kita, nenek dan datuk kita, sahabat handai dan semua kaum Muslimin dan Muslimat.

Diriwayatkan oleh Imam at-Tirmidzi dari 'Aisyah Radhiallahu 'anha bahawa pada malam Lailatul Qadar, Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam mengajar 'Aisyah berdoa, yang maksudnya :

''Wahai Tuhanku sesungguhnya Engkau adalah Tuhan yang Maha pemaaf, Engkau menyukai kemaafan, maka maafkanlah aku.''

Sebagai umat Islam kita hendaklah mengambil peluang ini dengan berusaha bersungguhsungguh memperbanyakkan amal ibadat di malam ke-10 akhir bulan Ramadan iaitu dengan mengerjakan Sembahyang Tarawih, membaca Al-Quran, berzikir dan sebagainya kerana sesungguhnya Allah Subhanahu Wata'ala akan memberi keampunan bagi mereka yang menghidupkan malam tersebut. Ini dijelaskan dalam sebuah hadis yang yang diriwayatkan oleh Imam al-Bukhari dan Muslim, dari Abu Hurairah, Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam bersabda :

''Barang siapa yang berdiri (dengan sembahyang dan ibadat) pada malam Lailatul Qadar dengan penuh keimanan dan mengharapkan pahala nescaya Allah mengampuni dosanya yang telah lalu.''

Memandangkan betapa besarnya ganjaran Lailatul Qadar itu, maka rebutlah peluang untuk meningkatkan amal ibadat terutama sekali di 10 terakhir di bulan Ramadan yang hanya datang sekali setahun. Lailatul Qadar yang datang hanya sekali dalam setahun sewajarnyalah kita manfaatkan untuk memohon keampunan atas dosa-dosa kecil yang kita lakukan, di samping dimanfaatkan dengan penuh sedar dan insaf untuk memohon ampun atas dosa-dosa besar dan bertaubat untuk tidak mengulanginya lagi. Semoga segala amal ibadat yang kita lakukan di sepanjang bulan Ramadan ini diterima Allah Subhanahu Wata'ala dan seterusnya akan mendapat keberkatan dan keredaan dari Allah Subhanahu Wata'ala.

Seterusnya...

irsyad

 (Dengan nama Allah, Segala puji bagi Allah, Selawat dan salam ke atas Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam, keluarga, sahabat dan para pengikut Baginda)

ZIARAH kubur merupakan amalan yang pada lazimnya lebih bersemarak di bulan Ramadan serta Hari Raya Aidilfitri. Terdapat juga sesetengah keluarga yang menjadikannya rutin yang dilakukan secara lebih kerap seperti seminggu sekali, umpamanya setiap hari Jumaat, sebulan sekali atau pada waktu-waktu tertentu yang dipersetujui oleh ahli keluarga untuk berziarah beramai-ramai ke kubur.

Ziarah kubur bukan satu amalan biasa. Bahkan ia merupakan satu ibadat. Walaupun kubur merupakan tempat persemadian jasad orang yang sudah meninggal dunia, ia bukan satu tempat sembarangan yang boleh diperlakukan sesuka hati. Oleh sebab itu, dalam syariat Islam, amalan ziarah kubur mempunyai larangan-larangannya yang tersendiri yang perlu dijauhi supaya amalan tersebut, yang asalnya merupakan satu ibadat, tidak menjadi amalan yang sia-sia atau mendatangkan dosa.

Hukum Ziarah Kubur

Hukum menziarahi kubur bagi lelaki adalah sunat. Manakala bagi golongan perempuan pula, sama ada perempuan yang dalam keadaan suci mahupun dalam keadaan haidh atau nifas, hukumnya adalah makruh.

Ini dengan syarat perempuan itu mampu mematuhi segala syarat serta larangan ketika menziarahi kubur, seperti mampu mengawal kesedihan, menjaga aurat, terhindar daripada fitnah dan sebagainya. Sekiranya perempuan itu tidak berupaya untuk mematuhi segala syarat serta larangan tersebut, maka hukum menziarahi kubur bagi perempuan menjadi haram.

Berbeza pula hukumnya menziarahi kubur Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam. Ini kerana menziarahi kubur Baginda disunatkan ke atas lelaki mahupun perempuan. Begitu juga menurut sebahagian ulama, sunat berziarah ke kubur para nabi, para ulama dan aulia.

Hikmah Ziarah Kubur

Ziarah kubur mempunyai banyak hikmah. Antaranya :

1. Supaya dikasihi Allah Subhanahu Wata'ala kerana mengikut dan menghidupkan sunnah Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam.

2. Bagi merenung asal-usul kejadian manusia yang berasal daripada tanah dan akan kembali semula ke tanah.

3. Bermuhasabah dengan mengingati hari kematian, alam kubur (barzakh) dan Hari Kiamat, sama ada akan layak menuju ke syurga atau sebaliknya.

4. Mengambil iktibar serta pengajaran dari apa yang telah berlaku, untuk melembutkan kekerasan hati dan menggamit kesedihan yang membawa kepada kesedaran.

5. Mengingat kembali pengorbanan orang-orang yang berjasa dan orang-orang yang berjihad kerana menegakkan kalimah Tauhid.

6. Mendidik diri agar bersifat zuhud, iaitu tidak rakus dan tidak tamak akan harta benda dunia.

7. Berlaku ihsan kepada penghuni kubur dan menggembirakan mereka dengan memberi salam, berdoa dan memohon keampunan untuk mereka.

Larangan-Larangan Ketika Menziarahi Kubur

Ziarah kubur mempunyai larangan-larangan tertentu yang perlu dijauhi. Antara larangan tersebut ialah :

1. Membuka aurat. Bahkan hendaklah menutup aurat dengan sempurna dengan memakai pakaian yang sopan, bersesuaian dan mematuhi tuntutan syara'.

2. Duduk atau bersandar tanpa apa-apa keperluan di atas kubur kerana perbuatan tersebut hukumnya makruh di sisi syara'.

Bagaimanapun, jika terpaksa melakukannya kerana suatu keperluan atau darurat, contohnya kerana tidak ada ruang disebabkan keadaan tanah perkuburan yang kuburnya sudah sesak dan padat serta berdekatan di antara satu kubur dengan kubur yang lain, maka dalam hal seumpama ini tidak makruh duduk atau bersandar di atasnya.

Larangan duduk di atas kubur itu ada disebutkan dalam hadis yang diriwayatkan daripada Abu Hurairah Radhiallahu 'anhu, bahawa Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam telah bersabda :

Maksudnya : ''Seseorang yang duduk di atas bara api lalu terbakar pakaiannya sehingga terkupas kulitnya, adalah lebih baik baginya daripada dia duduk di atas kubur.'' (Hadits riwayat Muslim)

Adapun duduk di sekitar atau di sekeliling kubur pula, yakni bukan di tempat mayat ditanam di bawahnya adalah tidak dilarang.

3. Berjalan di atas kubur atau memijaknya tanpa keperluan kerana memijak itu sama hukumnya seperti duduk.

Walau bagaimanapun, jika tidak ada jalan lain menuju ke kubur yang hendak diziarahi itu melainkan dengan memijak kubur yang lain, maka dalam keadaan sedemikian harus hukumnya memijak kubur kerana adanya keperluan.

Adapun lalu atau memijak kawasan persekitaran dalam tanah perkuburan yang bukan tempat mayat ditanam di bawahnya adalah tidak makruh walaupun memijaknya atau lalu di atasnya tanpa keperluan. Ini kerana larangan daripada memijak, begitu juga duduk, berbaring atau bersandar itu hanyalah khusus jika dilakukan di atas kubur tempat mayat ditanam sahaja dan bukan di persekitaran atau tempat laluan yang disediakan di kawasan tanah perkuburan.

4. Meratap, memekik, meraung serta memukul-mukul pipi kerana terlalu dukacita. Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam melarang perbuatan sedemikian sepertimana hadis yang diriwayatkan daripada 'Abdullah bin Mas'ud Radhiallahu 'anhu, Baginda bersabda :

Maksudnya : ''Tidak termasuk di dalam golongan kami orang yang memukul-mukul pipinya dan mengoyak-ngoyak koceknya dan berteriak-teriak seperti yang dilakukan oleh orang-orang jahiliah.'' (Hadits riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Adapun perasaan sayu, hiba, sedih atau air mata yang mengalir tanpa pekikan, ratapan dan yang seumpamanya tidak dilarang kerana kesedihan dan air mata itu merupakan tanda rasa kasih terhadap ahli kubur atau kerana perasaan insaf dan gerun terhadap kematian serta hari pembalasan.

5. Berkata batil mahupun bergurau senda, menyanyi-nyanyi dan berbual kosong ketika berziarah.

Sebaliknya hendaklah diisikan waktu ziarah kubur itu dengan bermuhasabah dan mengambil iktibar serta menghadiahkan bacaan ayat suci Al-Quran dan berdoa memohonkan kesejahteraan dan keampunan untuk si mati yang diziarahi serta ahli-ahli kubur yang lain.

6. Melakukan perkara-perkara syirik dan khurafat yang menjejaskan akidah seperti mencium kubur, mengelilinginya, mengambil dan mengusap-usap tanahnya dan yang seumpamanya bagi tujuan pemujaan atau kepercayaan tertentu seperti beroleh berkat, kesembuhan dan sebagainya. Perkara sesat seperti ini adalah haram dan ia akan menjejaskan kesucian agama Islam dan menjatuhkan pelakunya ke lembah syirik.

7. Membuang air kecil ataupun air besar di atas kubur kerana perbuatan tersebut haram di sisi syara'. Begitu juga tidak wajar berak dan kencing di persekitarannya kerana perbuatan tersebut hukumnya makruh dan merupakan perbuatan yang tidak bermoral dan tidak bertamadun.

8. Mengotorkan kawasan tanah perkuburan dengan meninggalkan sisa-sisa plastik, surat khabar, botol dan sebagainya.

Membuang sampah atau apa-apa sisa buangan di kawasan tanah perkuburan bukan sahaja mencemarkan kehormatan kubur serta ahli kubur, bahkan ia turut sama menyusahkan dan menyakiti penziarah kubur yang lain.

Segala kotoran tidak kira sama ada yang mendatangkan bau busuk ataupun tidak, wajib dijauhkan dari kubur orang Islam kerana menyakiti orang Islam yang datang ziarah di situ serta menyakiti mayat orang Islam hukumnya haram.

9. Menurut Imam ad-Dardir Rahimahullah, seorang ulama dari Mazhab Maliki, makruh hukumnya makan dan minum ketika ziarah kubur. Perbuatan seumpama ini jelas sekali tidak selari dengan pensyariatan dan hikmah ziarah kubur yang sepatutnya mendatangkan rasa gerun dan insaf kerana ia memperingatkan perihal kematian dan hari akhirat.

10. Merokok di kawasan tanah perkuburan. Selain haram, merokok juga mengotorkan kerana debu dari puntung rokok yang berterbangan serta puntung rokok yang selalunya akan dibuang merata-rata. Perbuatan sedemikian merupakan satu pencemaran dan pencabulan terhadap hak dan kehormatan kubur serta ahli kubur. Selain itu, ia juga memudharatkan dan mengganggu keselesaan penziarah kubur yang lain. Ini jelas sekali merupakan perbuatan yang tidak elok dan tidak selari dengan perlakuan seorang Muslim. Penziarah kubur bukan sahaja perlu menjaga kehormatan si mati yang mereka ziarahi, bahkan mereka juga perlu menghormati seluruh ahli kubur serta penziarah yang lain.

Tidak sempurna kedudukan seseorang itu sebagai seorang muslim selagi mana dia masih mengganggu dan menyakiti orang lain dengan perbuatan buruknya. Abu Musa al-Asy'arie dan 'Abdullah bin 'Amr Radhiallahu 'anhum meriwayatkan bahawasanya Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam telah bersabda :

Maksudnya : ''Seorang Muslim (yang terbaik dan sempurna) itu ialah siapa yang selamat orang-orang Islam (yang lainnya) dari (perbuatan buruk) lidahnya dan tangannya (segenap perbuatannya).'' (Hadits riwayat al-Bukhari dan Muslim)

11. Khusus bagi golongan perempuan pula, selain larangan-larangan di atas, terdapat beberapa larangan khusus yang patut dijauhi ketika menziarahi kubur, iaitu :

1) Berziarah kubur tanpa keizinan daripada suami atau wali. Sekiranya tiada keizinan daripada suami atau wali, maka perempuan itu tidak dibenarkan untuk berziarah kubur.

2) Bersolek, berhias-hias dalam berpakaian serta memakai harum-haruman ketika ziarah kubur. Ini kerana selain perkara tersebut dilarang di waktu dan tempat yang lain kerana boleh menimbulkan fitnah, ia juga tidak selari dengan hikmah amalan ziarah kubur yang disyariatkan antaranya untuk mengingati mati dan hari akhirat.

3) Berziarah kubur seorang diri. Bahkan hendaklah dia ditemani oleh suami ataupun mahramnya.

4) Melafazkan bacaan Al-Quran bagi perempuan yang dalam haidh atau nifas.

Sepertimana yang diketahui, perempuan yang haidh atau nifas dilarang daripada membaca Al-Quran dengan mengeluarkan suara, walaupun bacaan tersebut hanya dapat didengar oleh dirinya sendiri. Adapun membaca ayat Al-Quran di dalam hati tanpa menggerakkan lidah, atau dengan menggerakkan lidah tetapi tidak kedengaran olehnya sendiri adalah diharuskan.

Oleh yang demikian, perempuan yang haidh atau nifas boleh membaca Al-Quran dalam hati jika dia hafal atau dengan melihat kepada mushaf yang berada pada orang di sebelahnya.

Selain boleh membaca Al-Quran dalam hati ketika menziarahi kubur, perempuan yang haidh atau nifas juga boleh mengisikan waktu ziarah dengan melakukan amalan lain yang bermanfaat contohnya mendoakan ahli kubur dengan doa-doa yang warid yang diajarkan oleh Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam.

Demikian beberapa penjelasan tentang larangan-larangan yang perlu dijauhi ketika ziarah kubur. Mudah-mudahan penjelasan ini dapat membantu kita melaksanakan amalan ziarah kubur dengan lebih sempurna serta terhindar daripada perbuatan-perbuatan yang boleh menjatuhkan amalan tersebut kepada satu perbuatan yang mendatangkan dosa atau dikeji syara'.

Seterusnya...

6 25 2016 PelitaBrunei PB 25 JUN 2016 Pelita10

MARILAH kita sama meningkatkan ketakwaan kita kepada Allah Subhanahu Wata'ala dengan penuh keyakinan dan keikhlasan dengan melakukan segala suruhan-Nya dan meninggalkan segala larangan-Nya. Lebihlebih lagi ketika kita berada di bulan Ramadan yang Mubarak ini. Mudah-mudahan segala amal ibadat kita diterima dan seterusnya kita menjadi insan yang beriman dan bertakwa serta selamat di dunia dan di akhirat.

Sekarang kita telah berada di sepuluh malam terakhir bulan Ramadan yang terdapat di dalamnya satu malam yang mempunyai keberkatan dan kelebihan dari seribu bulan, iaitu Lailatul Qadar. Sebagai umat Islam kita hendaklah melipatgandakan lagi usaha kita untuk merebut kelebihan malam tersebut dengan mengerjakan amal ibadat sebanyak mungkin.

Lailatul Qadar merupakan satu malam yang paling utama di antara malam-malam yang lain. Malam di mana Allah Subhanahu Wata'ala mengampunkan dosa-dosa bagi mereka yang beribadat dengan penuh keikhlasan serta mengharapkan keredaan Allah Subhanahu Wata'ala.

Sabda Rasulullah Sallallahu AlaihiWasallam dalam sebuah hadis :

Maksudnya : ''Dari Abi Hurairah Radhiallahuanhu, dari Nabi Sallallahu Alaihi Wasallam Baginda bersabda : Barang siapa mengerjakan ibadat di malam Lailatul Qadar kerana imannya kepada Allah dan kerana mengharapkan keredaan-Nya nescaya diampunkan dosanya yang telah lalu.'' (Riwayat Al-Imam Al-Bukhari).

Malam yang istimewa ini dianugerahkan oleh Allah Subhanahu Wata'ala kepada umat Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam bagi memuliakan mereka, bahkan pemberian ini tidak pernah berlaku kepada umat-umat yang sebelumnya. Ini adalah kerana mereka (umat-umat yang sebelumnya) memiliki nikmat umur yang panjang dalam mengerjakan amal ibadat. Perkara ini telah menyebabkan timbulnya perasaan cemburu dalam diri para sahabat kerana tidak mungkin mereka akan mampu menandingi amalan umat-umat sebelumnya. Oleh sebab itu, Allah Subhanahu Wata'ala menganugerahkan umat Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam dengan Lailatul Qadar.

Firman Allah Subhanahu Wata'ala dalam Surah Al-Qadr, ayat 1 - 5 :

Tafsirnya : ''Sesungguhnya Kami telah menurunkan Al-Quran itu pada malam Lailatul Qadar. Dan tahukah engkau apakah malam Lailatul Qadar itu? Malam Lailatul Qadar itu lebih baik daripada seribu bulan. Pada malam itu turun malaikat-malaikat dan Malaikat Jibril dengan izin Tuhan mereka untuk mengatur segala urusan. Malam itu penuh kesejahteraan hingga terbit fajar.''

Banyak riwayat yang mengatakan bahawa Lailatul Qadar berlaku pada sepuluh malam terakhir bulan Ramadan. Besar kemungkinan ia berlaku pada malam yang angka ganjil, iaitu malam 21, 23, 25, 27 atau malam 29, ini adalah berdasarkan daripada riwayat Abu Said Al-Khudri Radhiallahuanhu, Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam bersabda :

Maksudnya : ''Hendaklah kamu cari ia (Lailatul Qadar) itu pada sepuluh malam terakhir bulan Ramadan dan kamu cari ia pada tiap-tiap malam yang ganjil.'' (Riwayat Al-Imam Al-Bukhari).

Menurut Imam Syafie, tarikh berlakunya Lailatul Qadar berlaku secara berbeza-beza pada setiap tahun. Jika tahun ini berlaku pada malam 21, pada tahun yang lain pula berlaku pada malam yang lain. Jelas di sini, malam Lailatul Qadar tidak dapat ditentukan secara pasti, akan tetapi di sebalik ketidakpastian ini ada hikmahnya yang sangat besar. Ia membuatkan kita bersungguh-sungguh berusaha untuk mencari malam Lailatul Qadar dengan beribdat setiap malam dengan harapan dapat bertemu dengan malam yang mulia ini, dan bukannya dengan hanya beribadat pada malam yang tertentu sahaja. Terdapat tanda berlakunya Lailatul Qadar itu, antaranya ialah suasana malam yang sunyi dan sepi, penuh dengan ketenangan serta bercahaya, segar, tidak panas dan tidak sejuk. Keadaan ini berterusan sehinggalah terbitnya waktu fajar. Pada waktu pagi pula, matahari akan naik berwarna putih, tidak memancarkan cahaya atau sinar yang terang.

Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam menghidupkan malam-malam Ramadan dengan melakukan berbagai amalan-amalan kebajikan melebihi dari yang biasa Baginda lakukan pada malammalam yang lain. Di antara amalan Baginda dalam menyambut kedatangan Lailatul Qadar ialah beriktiqaf.

Beriktiqaf ialah satu sunah yang amat tinggi nilainya yang boleh mengwujudkan suasana kejiwaan dan memfokuskan fikiran dalam beribadat dan menambahkan keimanan serta ketakwaan kepada Allah Subhanahu Wata'ala. Selagi mana ia dalam keadaan beriktiqaf, selagi itulah dia termasuk dalam golongan orang yang beribadat, sekalipun dia tidak melakukan apa-apa jenis ibadat yang lain dalam iktiqafnya. Bahkan orang yang beriktiqaf itu diberi ganjaran seperti orang yang melakukan kebaikan.

Janganlah kita memandang remeh terhadap segala amalan-amalan sunat, kerana amalan sunatlah yang akan menampal kekurangan serta kecacatan yang kita lakukan dalam amalan fardu yang diwajibkan ke atas kita. Oleh itu, rebutlah peluang keemasan ini dengan memperbanyakkan sembahyangsembahyang sunat, membaca Al-Quran, berzikir dan berdoa bagi memohon keampunan kepada Allah Subhanahu Wata'ala atas segala dosa yang telah dilakukan, dan antara doa yang telah dianjurkan oleh Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam di dalam sebuah hadis :

Maksudnya : ''Sayidina Aisyah Radhiallahuanha meriwayatkan, aku berkata : Wahai Rasulullah, apakah pandangan tuan hamba sekiranya aku mengetahui suatu malam itu Lailatul Qadar, apakah yang aku katakanlah (doa) pada malam itu? Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam bersabda : katakanlah (berdoalah) : Ya Allah, sesungguhnya engkaulah yang mengurniakan keampunan terhadap dosa-dosa ku. Engkaulah Maha Pengampun, maka ampunkanlah aku.'' (Riwayat Al-Imam Ahmad).

Surah At-Zumar, ayat 10 :
Tafsirnya : ''Katakanlah (sampaikanlah firman-Ku ini wahai Nabi Muhammad) : wahai hamba-hamba-Ku yang beriman! Bertakwalah kepada Tuhan kamu. Orang-orang yang berbuat kebaikan di dunia ini akan mendapat kebaikan di dunia dan di akhirat. Dan bumi Allah ini luas untuk kamu berhijrah. Sesungguhnya hanya orang-orang yang bersabar sahaja akan disempurnakan pahala mereka tanpa batasan.''

Seterusnya...

irsyad

(Dengan nama Allah, Segala puji bagi Allah, Selawat dan Salam ke atas Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam, keluarga, sahabat dan para pengikut)

RAMADAN adalah bulan mulia yang penuh keberkatan. Segala amal dilimpahkan ganjaran pahala yang berlipat ganda. Oleh itu, umat Islam perlu merebut peluang untuk meningkatkan amal ibadat di bulan Ramadan ini.

Puasa yang dikerjakan hendaklah dilaksanakan dengan sempurna, iaitu dengan menjaga dan memelihara perkara yang diwajibkan dan disunatkan, dan menjauhi dari melakukan perkara yang boleh menjejaskan kesempurnaan ibadat puasa bahkan perkara-perkara yang boleh membatalkan puasa.

Antara perkara yang boleh membatalkan puasa itu ialah memasukkan sesuatu benda ke dalam rongga mulut dengan sengaja. Apa yang dimaksudkan dengan 'memasukkan sesuatu benda ke dalam rongga mulut dengan sengaja' akan dihuraikan seperti berikut :

Maksud 'Rongga Mulut'

Rongga mulut terbahagi kepada dua bahagian, iaitu had zahir dan had batin. Had zahir mulut itu ialah tempat keluar (makhraj) huruf JAWI 1 dan JAWI 2 manakala had batin mulut pula ialah tempat keluar (makhraj) huruf JAWI 3 dan JAWI 4 Kedua-dua bahagian ini amat penting diketahui dalam menentukan batal atau tidaknya puasa seseorang itu apabila masuk sesuatu benda ke dalam dua bahagian tersebut.

Oleh itu, apa yang dimaksudkan dengan memasukkan sesuatu benda ke dalam rongga mulut yang boleh membatalkan puasa itu ialah apabila sampai sesuatu benda ke had batin mulut. Ini bermakna, apabila sesuatu benda masuk ke had zahir mulut sahaja tidaklah membatalkan puasa.

Maksud 'Sesuatu Benda'

Apa yang dimaksudkan dengan 'sesuatu benda' itu ialah apa-apa jua benda walaupun sedikit, sama ada yang boleh dimakan seperti sebiji lenga (bijan) atau yang tidak boleh dimakan seperti sebutir pasir. Tidak termasuk dalam maksud 'sesuatu benda' itu ialah rasa, warna dan bau. Apabila masuk ke dalam rongga seseorang itu sesuatu yang bukan benda seperti rasa, warna dan bau, ia tidak membatalkan puasa.

Maksud 'Dengan Sengaja'

Apa yang dimaksudkan 'dengan sengaja' pula ialah dilakukan oleh dirinya sendiri atau orang lain dengan keizinannya.

Permasalahan yang berkaitan dengan rongga mulut

1.Merasa makanan

Merasa makanan ketika berpuasa hukumnya makruh bahkan sunat ia ditinggalkan kerana ditakuti sampai makanan itu masuk ke kerongkongnya atau boleh menimbulkan nafsunya untuk makan.

Walau bagaimanapun jika orang yang berpuasa itu merasa makanan kerana keperluan seperti dia seorang tukang masak yang ingin memperbaiki rasa masakannya, maka hukumnya tidak makruh, sekalipun ada di sampingnya orang lain yang tidak berpuasa, kerana kadang-kadang orang lain itu tidak pandai merasa makanan.

2.Mengunyah makanan

Mengunyah makanan ketika perpuasa hukumnya adalah makruh bahkan sunat juga ia ditinggalkan.

Adapun jika orang yang berpuasa itu yakin makanan itu sampai masuk ke dalam kerongkong dengan sengaja maka batal puasanya. Akan tetapi, jika dia hanya syak akan sampai masuk ke dalam kerongkong ataupun cuma rasa atau bau sahaja yang tertelan maka tidaklah batal puasanya.

Jika orang yang berpuasa mengunyah makanan tanpa sebarang keuzuran seperti mengunyah roti hukumnya adalah makruh. Akan tetapi, mengunyah makanan kerana keperluan seperti untuk memberi makan anaknya, maka hukumnya tidak makruh.

3.Terselit sisa makanan pada celah gigi

Jika sisa makanan itu terselit pada celah gigi, lalu ditelannya dengan sengaja, maka batal puasanya. Adapun jika sisa makanan yang terselit dicelah gigi itu tanggal bersama air liur lalu ditelannya tanpa sengaja dan dia tidak mampu membezakannya dan tidak mampu meludahkannya, maka tidaklah batal puasanya. Sebaliknya, jika dia mampu membezakan dan mampu meludahkannya maka batal puasanya.

4.Menelan Air Liur

Menelan air liur yang terbit dari bawah lidah tidak membatalkan puasa walaupun dengan sengaja, kerana terlalu payah atau sukar untuk mengelak dari tidak menelannya. Walaupun air liur itu terkumpul sehingga banyak lalu ditelannya adalah juga tidak membatalkan puasa.

Menurut Imam al-Bujairimi Rahimahullahu Ta'ala ada menyebutkan perkara ini dalam kitab Hasyiah al-Bujairimi 'Ala al-Khatib :

Ertinya : ''Dan tidak memudharatkan (tidak membatalkan puasa) sampai air liurnya dari tempat terbitnya (iaitu di bawah lidah) ke dalam rongga mulutnya.''

Adapun jika air liur yang keluar dari mulut seperti meleleh ke bibir kemudian dimasukkan kembali air liur itu ke dalam mulut dan ditelannya, maka batal puasa kerana air liur itu sudah terpisah dari mulut.

Demikian juga jika orang yang berpuasa itu membasahi benang dengan air liur kemudian dimasukkannya kembali benang yang berair liur itu ke dalam mulut dan ditelannya maka batal puasanya.

Berlainan halnya, jika lidah yang berairliur itu dikeluarkan dari mulut kemudian dimasukkan kembali ke dalam mulut dan ditelannya air liur itu, maka tidak batal puasa kerana air liur itu tidak terpisah dari mulut dan lidah itu masih dikira sebagai dalam mulut.

5.Gusi berdarah

Jika orang yang berpuasa itu menelan air liur yang bercampur dengan sesuatu yang suci atau najis seperti darah gusi maka batal puasanya. Oleh itu, orang yang berdarah gusinya ketika berpuasa hendaklah dia membuang air liur yang bercampur darah itu dan membasuh mulutnya. Jika dia tidak membuang air liur tersebut dan tidak membasuh mulut lalu ditelannya air liur itu maka batal puasanya.

Berbeza halnya sebagaimana menurut al-Azra'ie Rahimahullahu Ta'ala, jika darah gusinya itu sentiasa keluar, maka ia dimaafkan kerana sukar untuk menjaganya. Memadai bagi orang yang sentiasa keluar darah gusinya itu untuk meludahkannya dan kesan darah gusi yang tinggal itu adalah dimaafkan.

6.Kahak

Jika orang yang berpuasa mengeluarkan kahak yang datang dari otak atau perutnya lalu diludahkannya maka tidak batal puasanya. Demikian juga jika kahak itu keluar dengan sendirinya disebabkan batuk lalu diludahkannya, maka tidak batal puasanya.

Adapun jika kahak itu datang dari otak lalu sampai masuk ke had zahir mulut, maka hendaklah dia meludahkannya agar kahak itu tidak sampai masuk ke had batin mulut. Jika dia tidak meludahkan kahak itu sedangkan dia mampu untuk melakukannya lalu ditelannya, maka batal puasanya.

7.Berkumur-kumur

Berkumur-kumur adalah perkara sunat yang dilakukan ketika berwudhu walaupun dalam keadaan berpuasa.

Adapun berkumur-kumur dengan berlebih-lebihan ketika berpuasa adalah makruh. Berlebih-lebihan yang dimaksudkan ketika berkumur-kumur itu ialah memasukkan air ke seluruh bahagian mulut, iaitu berkumur-kumur (bergelagak) sehingga air sampai ke bahagian langit-langit paling dalam.

Akan tetapi, jika air itu masuk melewati bahagian had batin mulut disebabkan berlebih-lebihan ketika berwudhu, adalah bmembatalkan puasa walaupun perbuatan tersebut dilakukan dalam perkara-perkara yang dituntut agama. Jika tidak dilakukan secara berlebih-lebihan, maka puasa tidak menjadi batal asalkan perbuatan itu tidak dilakukan dengan sengaja.

Begitu juga, jika air itu masuk melewati bahagian had batin mulut pada perkara yang tidak dituntut agama seperti membasuh anggota wudhu melebihi tiga kali (iaitu kali keempat atau lebih) atau semata-mata untuk membasahkan dan menyejukkan mulut, maka puasa menjadi batal, tidak kira sama ada ia dilakukan secara berlebih-lebihan atau sebaliknya.

8.Muntah

Secara umumnya jika orang yang berpuasa itu muntah dengan sengaja seperti perbuatan menjolok langit-langit sehingga bmuntah, maka batal puasanya.

Adapun jika dia muntah dengan tidak sengaja seperti muntah yang keluar dengan tiba-tiba yang disebabkan oleh rasa badan yang tidak sehat, maka tidak batal puasanya. Ini adalah berdasarkan hadis yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah Radhiallahuanhu daripada Nabi Sallallahu Alaihi Wasallam, Baginda bersabda :

Maksudnya : ''Barang siapa yang tidak berkuasa menahan muntahnya semasa berpuasa, maka tidak wajib atasnya qadha (tidak batal puasanya) dan barang siapa yang muntah (dengan sengaja, maka wajib dia mengqadha (batal puasanya).'' (Hadits riwayat Ibnu Hibban)

Demikianlah beberapa perbahasan mengenai permasalahan yang berkaitan dengan rongga mulut ketika berpuasa. Perkara ini penting diketahui lebih-lebih lagi bagi orang yang berpuasa demi mencapai kesempurnaan dalam melaksanakan ibadah puasa.

Seterusnya...

Ramalan Cuaca

Untuk maklumat lanjut Ramalan Cuaca bagi Negara Brunei Darussalam sila layari www.met.gov.bn

Login or Register

LOG IN

Register

User Registration
or Cancel