A+ A A-

seruan suci

MARILAH kita meningkatkan ketakwaan kita kepada Allah Subhanahu Wata'ala dengan penuh keyakinan dan keikhlasan dengan melakukan segala suruhan-Nya dan meninggalkan segala larangan-nya. Mudah-mudahan kita menjadi insan yang beriman dan bertakwa serta selamat di dunia dan selamat di akhirat.

Alhamdulillah, bersyukur kita ke hadrat Allah Subhanahu Wata'ala kerana telah diberi peluang untuk berada di bulan yang penuh keberkatan ini, iaitu bulan Ramadan Al-Mubarak, bulan yang permulaannya rahmat, pertengahan pengampunan dan penghujungnya terlepas daripada api neraka. Maka kita sebagai umat Islam semestinya menyambut kedatangan bulan Ramadan ini dengan penuh rasa syukur dan gembira kerana berpeluang melipatgandakan amal ibadat di bulan yang dijanjikan pahala berlipat kali ganda oleh Allah Subhanahu Wata'ala.

Sesungguhnya puasa adalah ibadat yang istimewa di sisi Allah Subhanahu Wata'ala kerana ganjaran dan balasan bagi orang yang berpuasa dinilai sendiri oleh Allah Subhanahu Wata'ala sepertimana yang disebutkan dalam hadis Nabi Sallallahu Alaihi Wasallam :

Maksudnya : ''Dari Abu Hurairah Radhiallahu anhu katanya, Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam bersabda : Allah Subhanahu Wata'ala berfirman : Setiap amalan anak Adam adalah untuknya, melainkan puasa, maka sesungguhnya puasa itu adalah untuk Ku dan oleh sebab itu Aku sendirilah yang akan menentukan berapa balasan yang perlu diberikan kepada mereka yang berpuasa.'' (Hadis riwayat Imam Al-Bukhari).

Kita dituntut untuk meningkatkan amal ibadat lebih-lebih lagi di bulan Ramadan, iaitu dengan memperbanyakkan istighfar, bertaubat, sembahyang sunat, bersedekah, berzikir dan membaca Al-Quran. Begitu juga dengan melatih diri kita sembahyang berjemaah di masjid. Bayangkanlah jika kita sembahyang berjemaah di luar bulan Ramadan sudah digandakan sebanyak 27 kali ganda, apatah lagi pada bulan Ramadan. Begitu juga dengan amalan, bersedekah yang pada lazimnya gandaan ganjaran yang disebut dalam firman Allah Subhanahu Wata'ala, dalam Surah Al-Baqarah ayat 261 :

Tafsirnya : ''Perbandingan orang-orang yang membelanjakan harta mereka pada jalan Allah samalah seperti menanam sebiji benih yang menumbuhkan tujuh tangkai, tiap-tiap satu tangkai itu pula mengandungi seratus biji. Dan Allah menggandakan pahala bagi sesiapa yang dikehendakinya, dan Allah Maha Luas lagi Maha Mengetahui.''

Di samping bersedekah kita juga digalakkan untuk memperbanyakkan berdoa, kerana doa orang yang berpuasa terutama ketika waktu berbuka adalah sangat mustajab, sepertimana yang dinyatakan dalam sebuah hadis Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam, riwayat Ibnu Majah :

Maksudnya : ''Dari Abdillah bin Amru bin Al-Ash katanya : Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam bersabda : Sesungguhnya bagiku orang yang berpuasa ketika dia berbuka itu adalah waktu berdoa yang tidak akan tertolak.''

Apa yang perlu diketahui di dalam kita melakukan ibadat puasa ialah mengamalkan perkara-perkara sunat ketika berpuasa, antaranya ialah bersahur. Ingatlah bahawa dalam waktu bersahur itu mempunyai keutamaan dan keberkahannya yang tersendiri. Oleh itu, janganlah kita meninggalkan bersahur walaupun dengan hanya meminum seteguk air. Ketahuilah bahawa adalah afdal kita mengakhirkan waktu bersahur dengan anggaran membaca lima puluh ayat Al-Quran antara waktu sahur dan azan Subuh dilaungkan.

Manakala pada waktu berbuka pula, kita disunatkan menyegerakan berbuka. Dalam pada itu harus diingat janganlah kita berlebih-lebihan makan ketika berbuka, sehingga perut kita terlalu kenyang. Apalah gunanya, kita berpuasa menahan nafsu di siang hari, tetapi gagal mengawal nafsu ketika berbuka. Jika ini kita jadikan amalan, maka akan hilanglah konsep berpuasa yang melatih individu untuk mengawal diri daripada
berlebih-lebihan, sesungguhnya berlebih-lebihan itu merupakan suatu pembaziran yang amat dibenci oleh Allah Subhanahu Wata'ala.

Allah Subhanahu Wata'ala berfirman dalam Surah Al-Isra', ayat 27 :

Tafsirnya : ''Sesungguhnya orang-orang yang membazir (membelanjakan harta pada jalan yang salah) itu adalah saudara-saudara syaitan dan syaitan itu adalah sangat kufur kepada tuhannya.''

Matlamat puasa itu bukan semata-mata menjaga kewajipan-kewajipan zahiriyah, bahkan wajib juga menjaga kewajipan batiniah. Antara kewajipan-kewajipan batiniah yang perlu dijaga menurut Imam Ghazali ialah:

Pertama : Menjaga mata daripada memandang perkara yang dilarang oleh Islam dan yang boleh menggangu hati serta melalaikan diri daripada mengingati Allah Subhanahu Wata'ala.

Kedua : Memelihara lidah daripada berkata-kata kosong, bohong, mengumpat, membuat fitnah, mengucapkan kata-kata angkuh, takjub dan ria atau apa-apa pun yang boleh menimbulkan permusuhan.

Ketiga : Menjaga telinga daripada mendengar hal-hal yang dilarang dan dibenci oleh Allah Subhanahu Wata'ala, kerana setiap apa yang haram diucapkan, haram pula Didengarkan.

Keempat : Memelihara seluruh anggota tubuh badan yang lain daripada membuat dosa dan segala perkara yang dibenci. Begitu juga menahan perut daripada berbuka dengan makanan yang subhah, kerana apalah gunanya berpuasa dengan menahan lapar dan dahaga, kemudian berbuka dengan makanan yang haram.

Akhirnya marilah kita sama-sama saling berpesan dan ingat-mengingati serta nasihat menasihati di antara satu sama yang lain, akan perkara-perkara yang telah disebutkan tadi kerana umat Islam itu adalah seperti sebuah bangunan, sebahagiannya menguatkan sebahagian yang lain. Sama-sama kita berdoa semoga puasa kita kali ini adalah puasa yang terbaik daripada yang sebelumnya, danmudah-mudahan segala ibadah dan amal kebajikan kita diterima Allah Subhanahu Wata'ala, Amin ya Rabbal Alamin.

Seterusnya...

menuju

DALAM menjalani ibadah puasa, kita sangat digalakkan untuk bersahur. Tetapi berapa ramaikah yang bangun untuk bersahur? Mengantuk dan letih kerap dijadikan alasan untuk tidak bersahur. Pernahkah kita terfikir, apakah 'sebab sebenar' kenapa kita perlu bersahur? Kalau mengetahui kelebihan dan fadilat bersahur ini. Awda pasti tidak mahu terlepas sahur selepas ini.

Bersahur bermaksud makan atau minum di waktu akhir malam sehingga hampir waktu fajar sebelum berpuasa di siang harinya. Kita perlu bersahur kerana bersahur itu mempunyai banyak kelebihannya kepada diri kita. Bersahur dapat memberikan kekuatan kepada diri kita untuk mengerjakan ibadah puasa pada siang harinya sebagaimana disebutkan dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Ibnu Khuzaimah dari Ibnu 'Abbas dari Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam yang sabdanya :

''Minta bantulah puasamu di siang hari itu dengan makan sahur, dan sembahyang malammu dengan tidur sedikit di waktu siang.''

Bersahur itu adalah sunnah. Sekalipun ia tidak diwajibkan namun amalan bersahur adalah amalan yang sangat digalakkan. Bahkan ia dijadikan sebagai pembeza antara puasa orang Islam dengan puasa orang Yahudi dan Nasrani (ahli kitab). Hal ini disebutkan dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Imam Muslim daripada 'Amr bin 'Ash Radhiallahu 'anhu, bahawa Rasulullah Sallallahu Alaihi wasallam bersabda :

''Yang membezakan antara puasa kita dengan puasa Ahli Kitab ialah makan sahur.''

Sesungguhnya dalam bersahur itu ada keberkatan. Ini bersandarkan kepada hadis yang diriwayatkan oleh Imam Ahmad, al-Bukhari dan Muslim daripada Anas bin Malik Radhiallahu 'anhu katanya bahawa, Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam bersabda yang maksudnya :

''Bersahurlah kamu, kerana sesungguhnya pada sahur itu ada keberkatan.''

Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam sendiri menggalakkan umatnya bersahur walaupun dengan hanya meminum seteguk air kerana banyak keberkatan yang boleh didapati daripada amalan bersahur. Antaranya ialah memperolehi balasan dan ganjaran pahala yang sangat besar daripada Allah Subhanahu Wata'ala dan para malaikat-Nya mendoakan orang-orang yang bersahur sepertimana disebut dalam hadis yang diriwayatkan oleh Imam Ahmad dari Abu Said al-Khudri ia berkata bahawa Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam bersabda yang maksudnya :

''Bersahur itu satu keberkatan, maka janganlah kamu meninggalkannya sekalipun kamu hanya meminum seteguk air, kerana Allah dan para malaikat berselawat ke atas orang-orang yang bersahur (makan sahur).''

Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam juga mendoakan keberkatan bagi orang yang bersahur, sebagaimana yang diriwayatkan oleh Imam At-Thabarani daripada Abu Umamah, Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam bersabda :

''Ya Allah berkatilah umatku dalam sahurnya, makan sahurlah kamu walau hanya dengan seteguk air atau sepotong kurma atau sebiji kismis, kerana para malaikat itu mendoakan kamu.''

Begitulah besarnya kurnia Allah kepada hamba-Nya yang bersahur hanya dengan bersahur kita mendapat rahmat daripada Allah. Oleh itu, kita tidak boleh meringankan sahur walaupun ia tidak wajib untuk dilakukan. Sebaliknya kita perlu berusaha untuk bersahur kerana ia boleh memberi manfaat kepada diri kita sendiri. Amat merugikan jika kita tidak bersahur kerana kita tidak dapat mengambil keberkatan yang ada dalam sahur itu.

Selain disunatkan untuk bangun makan sahur, kita juga disunatkan untuk melambatkan waktu bersahur. Melambat-lambatkan makan sahur merupakan sunnah Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam dan para sahabat sebagaimana hadis yang diriwayatkan oleh Imam at-Thabarani daripada Utbah bin 'Abd katanya, Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam bersabda :

''Makanlah sahur di akhir waktu malam, dan baginda juga bersabda ia merupakan makanan yang penuh berkah.''

Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam sendiri bersahur ketika hampir subuh. Diriwayatkan oleh Imam al-Bukhari dan Muslim dari Zaid bin Tsabit Radhiallahu 'anhu pernah berkata :

Kami telah bersahur dengan Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam, kemudian kami berdiri mengerjakan sembahyang Subuh, lalu Anas Radhiallahu 'anhu bertanya kepada Zaid : Berapa lama tempoh antara habis makan sahur dengan sembahyang? Zaid menjawab : Sekadar membaca 50 ayat Al-Quran.

Waktu yang terbaik untuk makan sahur adalah di akhir malam iaitu sebelum masuknya waktu subuh atau biasanya kita panggil waktu imsak. Waktu imsak adalah kira-kira 10 minit terakhir sebelum masuk waktu subuh, iaitu bersamaan dengan bacaan 50 ayat Al-Quran.Tetapi hendaklah sentiasa beringat supaya tidak jatuh ke dalam waktu syak sebagaimana firman Allah Subhanahu Wata'ala dalam Surah Al-Baqarah ayat 187 yang tafsirnya :

''Makan serta minumlah kamu (pada waktu malam bulan Ramadan itu) sehingga nyata kepada kamu benang putih (cahaya siang) daripada benang hitam (kegelapan malam), iaitu waktu fajar. Kemudian sempurnakanlah puasa itu sehingga waktu malam (Maghrib).''

Sementara itu, makanan terbaik ketika bersahur adalah yang manis-manis terutama kurma.

Hadits riwayat Imam Ibnu Hibban daripada Abu Hurairah, Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam bersabda :

''Sebaik-baik sahur orang mukmin itu adalah kurma.''

Maka, ambillah sekurang-kurangnya sebiji tamar semasa bersahur semoga mendapat pahala tambahan. Pada tamar ada kelebihan yang memberikan kekuatan untuk seseorang berpuasa. Bagaimanapun, sebagai bekalan tenaga sepanjang hari, disarankan bersahur dengan makanan yang berkhasiat dan berzat supaya dapat menahan diri daripada kelaparan dan mendapat kekuatan.

Oleh itu, marilah kita bersama-sama menghidupkan bulan yang penuh dengan kemuliaan ini dengan bersahur. Selain itu, ini adalah peluang terbaik bagi kita melatih diri bangun pada awal pagi. Bangun awal pagi untuk bersahur juga memberi peluang kepada kita untuk melakukan amal ibadat seperti mengingati Allah, berzikir, membaca Al-Quran dan menunaikan Sunat Tahajud dan berdoa ke hadrat Allah. Bangun dan berdoa pada waktu sahur sebenarnya mempunyai barakah yang besar dan merupakan ciri-ciri orang yang bertakwa. Firman Allah Subhanahu Wata'ala dalam Surah Az-Zariyat, ayat 18, tafsirnya :

''Dan pada waktu akhir malam (sebelum fajar), mereka selalu beristighfar kepada Allah memohon ampun.''

Jadi jelaslah bahawa makan sahur itu sangat digalakkan kerana ia bertujuan memberikan tenaga kekuatan umatnya supaya tidak terasa terlalu lapar di siang hari. Bersahur juga memberi kekuatan untuk beribadat dan meningkatkan lagi keikhlasan untuk beribadat. Oleh itu, janganlah kita lupa bersahur walaupun dengan beberapa biji kurma dan segelas air.

Seterusnya...

menuju

ALHAMDULILLAH, hanya tinggal beberapa hari sahaja lagi umat Islam seluruh dunia akan menyambut bulan Ramadan Al-Mubarak. Kedatangan bulan Ramadan yang mulia ini sememangnya dinanti-nantikan kerana Ramadan adalah bulan yang dijanjikan Allah sebagai sebaik-baik bulan. Bulan suci ini terdapat banyak kelebihan dan keistimewaan serta hikmah atau manfaat di dalamnya. Di antara kelebihan dan keistimewaan bulan Ramadan itu ialah Allah turunnya kitab suci Al-Quran pada bulan tersebut yang menjadi panduan dan petunjuk bagi manusia. Allah Subhanahu Wata'ala berfirman dalam Surah Al-Baqarah ayat 185 tafsirnya :

''Bulan Ramadan yang diturunkan padanya Al-Qur'an sebagai petunjuk kepada manusia dan sebagai keterangan-keterangan yang menjelaskan petunjuk itu dan menjelaskan perbezaan antara yang benar dengan yang salah.''

Dalam bulan Ramadan ini seluruh umat Islam yang mukallaf diwajibkan berpuasa selama satu bulan penuh yang merupakan salah satu dari Rukun Islam yang lima. Ini diterangkan dengan jelas dalam Al-Quran, Surah Al-Baqarah ayat 183, Allah Subhanahu Wata'ala berfirman tafsirnya :

''Wahai orang-orang yang beriman! Diwajibkan atas kamu berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang yang sebelum kamu supaya kamu bertakwa.''

Puasa di bulan Ramadan tidak hanya sekadar menahan rasa haus dan lapar saja, tapi bulan Ramadan adalah bulan kita melatih diri berjihad, memerangi hawa nafsu, tamak dan loba. Bulan ini juga adalah bulan kita bercucuk tanam untuk akhirat, bulan untuk menyediakan bekalan bagi hari kemudian, bulan kita membersihkan dan menyucikan diri kita dari berbagai dosa serta menghias diri kita dengan budi pekerti yang tinggi dan luhur.

Bulan Ramadan juga adalah merupakan bulan muhasabah. Bagi para mukmin, bulan Ramadan adalah bulan penyucian hati dan jiwa. Bulan untuk kita menjaga dan memelihara diri dari melakukan maksiat. Inilah juga bulan untuk membaiki hubungan kita dengan Allah dan hubungan kita dengan sesama manusia. Oleh itu, persiapkanlah diri kita dengan bekalan bagi menghadapi bulan mulia ini.

Dalam bulan mulia ini kita digalakkan merebut peluang untuk memperbanyakkan amal ibadat kepada Allah Subhanahu Wata'ala seperti bersedekah, berzikir, memperbanyakkan membaca Al-Quran, menunaikan Sembahyang Tarawih, Sembahyang Sunat Tahajjud dan sebagainya kerana bulan ini penuh dengan keberkatan dan rahmat.

Segala amal ibadah dan kebajikan yang dilakukan di sepanjang bulan Ramadan akan digandakan oleh Allah di mana yang sunat diberi pahala wajib atau fardu dan yang fardu menyamai dengan 70 fardu di bulan-bulan yang lain. Hal ini diterangkan dalam hadis yang diriwayatkan oleh Ibn Khuzaimah dari Sulaiman Radhiallahu 'anhu katanya Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam bersabda :

''Barang siapa yang mendekatkan dirinya kepada Allah dengan suatu pekerjaan kebajikan di dalamnya (di bulan yang mubarak ini) samalah dia dengan orang yang menunaikan suatu fardu di bulan yang lain. Dan barang siapa yang menunaikan suatu fardu di bulan Ramadan, samalah dia dengan orang yang mengerjakan tujuh puluh fardu di bulan yang lain.''

Bulan Ramadan adalah bulan mulia, bulan yang sangat tinggi darjatnya di sisi Allah Subhanahu Wata'ala, bulan yang penuh dengan keberkatan, bulan keampunan, serta bulan yang mana terdapat satu malam yang dipanggil lailatul qadar, satu malam yang lebih baik dari seribu bulan. Pada bulan ini Allah membuka pintu syurga, menutup pintu neraka dan mengikat syaitan-syaitan untuk memberi peluang kepada manusia membersihkan diri mereka daripada dosa-dosa yang mereka lakukan. Hal ini diriwayatkan dari Ahmad, an-Nasai'e, al-Baihaqi dan Abu Hurairah Radhiallahu 'anhu bahawa Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam memberi khabar gembira kepada para sahabatnya dengan bersabda :

"Sesungguhnya telah datang kepadamu bulan Ramadan, bulan yang diberkati. Allah memerintahkan kamu puasa di dalamnya; pada bulan ini pintu-pintu syurga dibuka, pintu-pintu neraka ditutup dan para syaitan diikat; juga terdapat pada bulan ini malam yang lebih baik daripada seribu bulan, barangsiapa tidak memperoleh kebaikannya maka dia tidak memperoleh apa-apa'."

Dalam hadis lain, diriwayatkan oleh Imam Ahmad, daripada Abu Hurairah Radhiallahu 'anhu, Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam bersabda :

''Apabila datang bulan Ramadan, maka dibukalah pintu syurga, dan ditutuplah pintu neraka dan syaitan-syaitan dibelenggu.''

Dari keterangan hadis di atas wajarlah bulan Ramadan itu menjadi bulan yang dinanti-nantikan dengan penuh kegembiraan dan menjadi bulan kerinduan kita semua umat Islam di seluruh dunia. Maka itu sebagai umat Islam, kita wajib bersyukur kepada Allah Subhanahu Wata'ala kerana dipanjangkan umur dan masih diberi peluang untuk melakukan ibadat puasa di bulan Ramadan yang mubarak ini dan seterusnya melakukan ibadat-ibadat lain yang ganjaran pahalanya berlipat ganda di sisi Allah Subhanahu Wata'ala.

Maka itu rebutlah peluang yang Allah berikan kepada kita semua untuk melaksanakan segala apa yang disediakan dalam bulan Ramadan ini. Inilah peluang terbaik untuk kita memperbaiki diri dengan memperbanyakkan amal ibadah di dalam bulan Ramadan. Jangan lepaskan peluang ini, kerana bagi sesiapa yang terlepas peluang ini akan mengalami kerugian yang amat besar dan belum tentu lagi kita dapat bersama pada Ramadan akan datang.

Alangkah ruginya jika kita tidak merebut peluang segala kelebihan dan kebajikan yang sangat istimewa yang terdapat dalam bulan Ramadan ini. Selaku umat Islam kita adalah dituntut untuk meningkatkan amal ibadah pada setiap masa, namun bulan Ramadan merupakan waktu terbaik untuk melipatgandakan amalan yang biasa dikerjakan. Marilah kita berlumba-lumba untuk mendapatkan semua keutamaan Ramadan agar kita mendapatkan kebahagiaan di dunia dan di akhirat. Semoga Ramadan pada kali ini menjadi Ramadan yang lebih baik dari sebelumnya.

Seterusnya...

irsyad

(Dengan nama Allah, Segala puji bagi Allah, Selawat dan salam ke atas
Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam, keluarga, sahabat dan para pengikut Baginda)

MEMBACA Al-Quran merupakan salah satu ibadat yang sangat dituntut oleh syarak, sama ada membacanya di luar ataupun dalam sembahyang. Bahkan ganjaran yang dijanjikan kepada orang yang membaca Al-Quran juga sangat hebat.

Ganjaran yang bakal diraih daripada membaca Al-Quran amatlah besar dan telah disebutkan dalam banyak hadis Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam. Antaranya ialah daripada 'Abdullah ibn Mas'ud Radhiallahu 'anhu berkata bahawa Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam bersabda :

Maksudnya : ''Siapa yang membaca satu huruf daripada Kitab Allah (Al-Quran), maka baginya satu kebaikan. Sedangkan satu kebaikan itu menyamai (akan diganda menjadi) sepuluh kebaikan. Aku tidak mengatakan bahawa 'alif , lam, mim' itu satu huruf, akan tetapi 'alif' satu huruf, 'lam' satu huruf dan 'mim' satu huruf."
(Hadits riwayat at-Tirmidzi)

Dalam sebuah hadis yang lain pula, diriwayatkan daripada Abu Umamah al-Bahiliy Radhiallahu 'anhu bahawa beliau mendengar Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam bersabda :

Maksudnya : ''Bacalah oleh kamu Al-Quran, sesungguhnya Al-Quran akan mendatangimu pada hari Kiamat sebagai syafaat kepada tuannya.''
(Hadits riwayat Muslim)

Membaca Al-Quran pada waktu malam adalah antara waktu yang afdhal dan dianjurkan berbanding pada waktu siang. Pada malam hari, waktu yang afdhal ialah separuh akhir daripada malam berbanding separuh awal malam, semasa waktu sahur dan di antara waktu Maghrib dan Isyak. Manakala pada siang hari pula, waktu yang afdhal adalah selepas Subuh. Bagaimanapun membaca Al-Quran pada mana-mana waktu selain waktu yang telah disebutkan tidaklah dihukumkan makruh.

Oleh itu, sangat wajar untuk kita memperbanyakkan membaca Al-Quran lebih-lebih lagi pada bulan Ramadan yang mulia dan penuh keberkatan ini.

Memperbanyakkan Membaca Al-Quran

Menyibukkan diri atau memenuhi masa yang terluang dengan membaca Al-Quran adalah amalan yang dianjurkan oleh agama. Ini kerana membaca Al-Quran itu adalah ibadat yang lebih utama sebagaimana hadis yang diriwayatkan daripada Nu'man bin Basyir Radhiallahu 'anhu, Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam bersabda:

Maksudnya : ''Ibadat umatku yang paling afdhal adalah membaca Al-Quran.''
(Hadits riwayat al-Baihaqi)

Dalam keghairahan kita memperbanyakkan membaca Al-Quran itu perlu juga dijaga kesempurnaan bacaan Al-Quran, baik dari segi hukum tajwid dan makhraj huruf, bahkan dituntut juga ketika membaca Al-Quran dengan tadabbur dan tartil.

Tadabbur Ketika Membaca Al-Quran

Apabila seseorang memulakan pembacaan Al-Quran, hendaklah dirinya dalam keadaan khusyu'. Maksud khusyuk di sini ialah merendah diri, melemparkan pandangan mata ke bumi dan merendahkan suara serta tenang atau diam segala anggota. Kemudian hendaklah dalam keadaan tawaduk dan tadabbur (menghayati dan merenung) ketika membaca ayat-ayat Al-Quran. Inilah antara perkara yang dituntut, kerana dengan tadabbur ketika membaca Al-Quran akan melapangkan dan menenangkan jiwa serta menerangkan hati.

Dalil mengenai tadabbur ketika membaca Al-Quran sangat banyak, antaranya ialah firman Allah Ta'ala :

Tafsirnya : ''Tidakkah mereka itu memperhatikan (dan memikirkan tentang) Al-Quran?''
(Surah an-Nisaa : 82)

Demikian juga anjuran apabila membaca Al-Quran dalam sembahyang. Di antara perkara yang disunatkan ketika membaca ayat-ayat Al-Quran di dalam sembahyang ialah membacanya dengan tadabbur, iaitu merenung dan mengamati dengan menumpukan perhatian pada makna ayat-ayat yang dibaca. Bagaimanapun adalah memadai bagi orang yang membaca Al-Quran itu untuk memahami makna ayat Al-Quran secara rumusan (ijmal) dan bukannya secara terperinci (tafshil). Selain itu, membaca Al-Quran dalam sembahyang dengan tadabbur juga merupakan antara cara atau jalan yang dianjurkan ke arah mencapai khusyuk dalam sembahyang.

Sesungguhnya orang yang membaca Al-Quran dengan tadabbur, iaitu merenung dan memahami Al-Quran adalah orang yang paling Allah Ta'ala sukai pada bacaan Al-Qurannya. Anjuran tadabbur akan makna ayat Al-Quran yang dibaca itu pula adalah bersesuaian menurut kemampuan seseorang.

Tartil Ketika Membaca Al-Quran

Membaca Al-Quran secara tartil adalah sangat dituntut. Bacaan tartil ialah membaca dengan perlahan (teratur) serta menyempurnakan setiap tempat keluar huruf tersebut dengan jelas. Membaca Al-Quran dengan menyempurnakan sebutan setiap huruf-hurufnya dinamakan oleh ahli Qura' sebagai bertajwid dalam bacaan Al-Quran.

Ulama telah sepakat bahawa bacaan Al-Quran secara tartil adalah sangat dianjurkan berdasarkan firman Allah Subhanahu Wata'ala:

Tafsirannya : ''Dan bacalah Al-Quran dengan tartil (teratur dan jelas).''
(Surah al-Muzammil : 4)

Menurut Imam ar-Razi Rahimahullah, penggunaan perkataan tartil dan pengulangannya dalam ayat di atas menguatkan lagi suruhan untuk membaca Al-Quran secara tartil. Oleh itu, ia adalah suatu perkara yang mesti dilaksanakan oleh para qari (pembaca) Al-Quran.

Bacaan secara tartil juga telah sabit daripada Ummu Salamah Radhiallahu 'anha ketika ditanya kepadanya mengenai cara bacaan Al-Quran Nabi Sallallahu Alaihi Wasallam. Lalu beliau menyifatkan (meniru) bacaan Baginda, iaitu dengan bacaan yang jelas pada setiap huruf-hurufnya satu persatu.

Diceritakan oleh al-Hasan Radhiallahu 'anhu bahawa Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam bertemu dengan seorang lelaki yang sedang membaca satu ayat Al-Quran lalu lelaki tersebut pun menangis. Lalu Baginda pun bersabda : ''Adakah kamu tidak mendengar firman Allah Ta'ala, IRSYAD 01 HUKUM RABU 08062016 TADABBUR DAN TARTIL Beginilah yang dinamakan (bacaan) tartil.''

Oleh itu, bacalah Al-Quran dalam keadaan tenang dan teratur (tartil) serta tadabbur akan kandungan dan makna-makna Al-Quran dan janganlah mempercepatkan atau bergegas-gegas membacanya.

Demikian juga, membaca Al-Quran di dalam sembahyang disunatkan dengan bacaan tartil, yakni membaca dengan perlahan (teratur) serta menyempurnakan setiap tempat keluar huruf tersebut dengan jelas. Sedangkan mempercepatkan bacaan secara keterlaluan adalah makruh serta dilarang.

Diriwayatkan oleh Anas bin Malik Radhiallahu 'anhu bahawa Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam memanjangkan bacaan ketika membaca Al-Quran. Menurut beliau, apabila Nabi Sallallahu 'Alaihi Wasallam membaca basmalah, Baginda memanjangkan bacaan IRSYAD 02 HUKUM RABU 08062016 TADABBUR DAN TARTIL , kemudian memanjangkan bacaan IRSYAD 03 HUKUM RABU 08062016 TADABBUR DAN TARTIL , kemudian memanjangkan bacaan IRSYAD 04 HUKUM RABU 08062016 TADABBUR DAN TARTIL . Maksud Baginda memanjangkan bacaan ialah memanjangkan pada huruf madd dan huruf lin. Bagaimanapun Baginda tidak keterlaluan memanjangkan bacaan Baginda kerana bacaan yang sedemikian itu adalah dianggap mencuaikan bacaan serta dicela.

Selain itu, disebutkan juga cara bacaan Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam ialah Baginda membaca dengan berhenti dari satu ayat ke satu ayat yang lain. Ketika membaca Surah Al-Fatihah sebagai contoh, Baginda mulakan bacaan dengan basmalah dan berhenti, kemudian membaca ayat pertama dan berhenti, kemudian membaca ayat kedua dan berhenti dan seterusnya dengan cara yang disebutkan.

Perkara mengenai bacaan secara tartil pernah ditanyakan kepada Mujahid Rahimahullah mengenai dua orang lelaki yang sembahyang, salah seorang daripadanya membaca dua surah, iaitu surah Al-Baqarah dan Surah Ali 'Imran, manakala yang seorang lagi membaca Surah Al-Baqarah sahaja, namun masa atau tempoh sembahyang keduanya, rukuk, sujud dan duduk keduanya adalah sama. Lalu Mujahid Rahimahullah pun menjawab bahawa dalam perkara ini lelaki yang membaca satu surah sahaja, iaitu Surah Al-Baqarah, adalah afdhal antara keduanya kerana bacaan Al-Quran dalam sembahyangnya itu adalah secara tartil.

Satu huruf yang dibacakan secara tartil adalah afdhal berbanding dua huruf yang dibaca tanpa tartil. Demikian juga separuh (setengah) surah yang dibaca secara tartil adalah afdhal berbanding menghabiskan keseluruhan surah yang dibaca tanpa tartil, melainkan dalam beberapa keadaan yang dituntut antaranya membaca Surah Al-Kahfi pada hari Jumat. Menyempurnakan (menghabiskan) membaca keseluruhan surah Al-Kahfi sekalipun dengan bacaan secara cepat, kerana untuk mencapai tuntutan sunat membacanya pada hari tersebut, adalah afdhal berbanding membaca hanya sebahagian besar Surah Al-Kahfi dengan bacaan tartil.

Kebaikan Membaca Secara Tartil

Antara kebaikan membaca Al-Quran dengan tartil ialah membantu dalam memahamkan Al-Quran dan merenung (tadabbur) akan isi kandungan serta makna ayat-ayat Al-Quran. Beginilah cara Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam sendiri ketika membaca Al-Quran. Oleh kerana itu, menurut ulama, bacaan tartil digalakkan bagi orang 'ajamiy (selain daripada orang Arab) yang tidak faham akan makna ayat-ayat yang dibacanya kerana dengan cara ini akan lebih dekat membawanya kepada sifat bersopan-santun dan menghormati Al-Quran serta mampu memberi kesan yang mendalam kepada hati.

Menurut al-Imam Muhammad ar-Razi Rahimahullah ketika mentafsir Surah Al-Muzammil ayat 4, tatkala Allah Ta'ala memerintahkan Baginda untuk bangun dan sembahyang pada waktu malam, Baginda diperintahkan untuk membaca Al-Quran dengan tartil sehingga membolehkan hati merenung hakikat dan perincian ayat-ayat Al-Quran yang dibacanya. Apabila sampai bacaan pada ayat yang mengingatkan dirinya akan Allah Ta'ala, maka akan terasa kebesaran-Nya dan keagungan-Nya. Ketika sampai bacaan pada ayat mengenai janji pembalasan baik, maka akan membuahkan harapan, dan pada janji pembalasan buruk pula akan melahirkan perasaan gentar.

Sebaliknya, membaca ayat-ayat Al-Quran dengan cara yang cepat boleh menyebabkan orang yang membacanya tidak berpeluang untuk memahami makna ayat-ayat tersebut. Pada kebiasaannya, hati seseorang itu akan merasa bahagia apabila mengingati penciptanya Allah 'Azza wa Jalla. Sesiapa yang merasa bahagia dengan sesuatu perkara, maka pasti dia suka untuk mengingati dan merenung perkara tersebut. Dan sesiapa yang suka akan sesuatu perkara, dia tidak akan segera atau cepat-cepat meninggalkannya atau melaluinya. Maka nyatalah, antara maksud daripada bacaan tartil itu ialah menghadirkan hati dan mendekatkan diri kepada Allah Ta'ala.

Sebagai kesimpulan, membaca Al-Quran adalah suatu ibadat yang pastinya dijanjikan dengan ganjaran dan pahala yang hebat. Oleh itu, sewajarnya bagi kita untuk memperbanyakkan membaca Al-Quran lebih-lebih lagi di sepanjang bulan Ramadan sepertimana yang dianjurkan.

Di samping memperbanyakkan bacaan Al-Quran sebagai ibadat, adalah utama untuk kita membacanya secara tartil (teratur) dan tadabbur sepertimana yang dianjurkan oleh agama. Alangkah beruntungnya jika kehebatan daripada membaca Al-Quran itu dapat diraih, iaitu membacanya dengan tadabbur, mengamati, merenung dan menghayati isi kandungan dan makna ayat-ayat Al-Quran, serta mampu membawa kita kepada satu peringkat yang lebih tinggi, iaitu mengenal dan memahami isi kandungan Al-Quran dan mendekat diri kepada Allah Subhanahu Wata'ala.

Seterusnya...

seruan suci

MARILAH kita meningkatkan keimanan dan ketakwaan kita kepada Allah Subhanahu Wata'ala dengan sebenar-benar takwa, iaitu istiqamah dalam mengerjakan segala suruhan-Nya dan meninggalkan segala larangan-Nya dengan demikian, mudah-mudahan kita menjadi umat yang terbaik dan unggul serta mendapat keredhaan Allah Subhanahu Wata'ala di dunia dan di akhirat.

Alhamdulillah, tidak terasa beberapa hari sahaja lagi kita akan menyambut bulan Ramadan yang penuh dengan rahmat dan keampunan dari Allah Subhanahu Wata'ala. Sesungguhnya bulan Ramadan adalah penghulu segala bulan, bulan yang sentiasa dirindui oleh sekalian umat Islam yang hidupnya sentiasa dihiasi dengan mengabdikan diri kepada Allah Subhanahu Wata'ala. Bulan yang diwajibkan bagi seluruh umat Islam bumi ini untuk mengerjakan ibadat puasa, iaitu salah satu daripada rukun Islam yang lima, sebagaimana firman Allah Subhanahu Wata'ala dalam Surah Al-Baqarah ayat 183 :

Tafsirnya : ''Wahai orang-orang yang beriman, diwajibkan atas kamu berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang yang sebelum kamu supaya kamu bertakwa.''

Jelas di dalam ayat tadi, seluruh umat Islam diwajibkan untuk mengerjakan ibadat puasa, barang siapa yang meninggalkan dengan senghaja tanpa ada keuzuran yang diharuskan oleh syarak, bukan sahaja dosa besar baginya bahkan tidak dapat ditebus dengan apa jua cara sekalipun. Tidak boleh ditukar ganti, sekalipun ia berpuasa seumur hidup.

Sabda Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam :

Maksudnya : ''Dari Abu Hurairah Radhiallahu Anhu berkata: bersabda Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam : sesiapa berbuka satu hari pada bulan Ramadan tanpa ada rukhsah (keringanan) dan tidak juga kerana sakit, dia tidak akan dapat melunaskan (mengganti) puasa yang ditinggalkannya itu, sekalipun dia berpuasa seumur hidup.'' (Riwayat Al-Imam At-Termizi).

Sebelum kita melangkah kebulan Ramadan Al-Mubarak, kita perlu mempersiapkan diri untuk menghadapinya, antaranya ialah :

Pertama : Mensucikan diri kita dari segala sifat-sifat yang keji dan di benci oleh Islam dan juga kepada segala sesuatu yang boleh menggangu hati serta melalaikannya daripada mengingati Allah Subhanahu Wata'ala. Memelihara lidah daripada bercakap-cakap yang kosong, memelihara seluruh anggota tubuh badan yang lain daripada membuat dosa dan daripada segala yang di benci.

Kedua : Berjihad melawan hawa nafsu, iaitu menanamkan dalam diri keazaman yang tinggi untuk mengejar segala kebaikan di bulan Ramadan. Imam Ghazali pernah berpesan bahawa nafsu tidak dapat dikalahkan melainkan dengan melawannya dengan bersungguh-sungguh dan beristiqamah. Lebih-lebih lagi di bulan Ramadan ini, jihad melawan hawa nafsu itu dapat dilakukan dengan berpuasa.

Ketiga : Sentiasa berdoa memohon keampunan kepada Allah Subhanahu Wata'ala, beriman kepada-Nya dan menerima kedatangan bulan Ramadan dengan penuh takwa. Kita mesti yakin bahawa jika kita bertaubat kepada Allah Subhanahu Wata'ala dengan taubat yang sebenar-benarnya, maka Allah Subhanahu Wata'ala akan membuka pintu rahmat dan menerima taubatnya.

Sedarlah bahawa kita adalah manusia yang tidak pernah lari dari membuat kesilapan dan dosa samada dosa besar atau dosa kecil. Oleh itu, adalah elok bagi kita membersihkan diri dengan memohon keampunan dan bertaubat. Jika seseorang mahu bertaubat ketika memasuki bulan Ramadan, maka dia akan keluar dari bulan Ramadan dengan berbekalkan taubat dan keampunan.

Apabila seseorang menyambut Ramadan dengan bertaubat dan sembahyang malam, maka pada bulan-bulan yang lain dia juga akan melakukan sedemikian. Dia akan keluar dari bulan Ramadan dengan membawa puasa bersama Allah Subhanahu Wata'ala, membawa zikir bersama Allah Subhanahu Wata'ala, membawa bacaan Al-Quran bersama Allah Subhanahu Wata'ala, membawa kebaikan bersama Allah Subhanahu Wata'ala, membawa kerinduan, cinta dan ketaatan kepada yang Maha Agung lagi Maha Tinggi. Sebaliknya, apabila seseorang menyambut bulan Ramadan dengan kemaksiatan, maka dia akan melepaskannya nya dengan kemaksiatan dan apabila dia
menyambut dengan kelalaian, maka dia akan melepaskannya dengan kelalaian.

Oleh itu dengan menjelangnya bulan Ramadan ini, jangan lepaskan peluang untuk memohon keampunan kerana Allah Subhanahu Wata'ala sentiasa menerima taubat hamba-Nya. Firman Allah Subhanahu Wata'ala dalam Surah At-Taubah, ayat 118 :

Tafsirnya : ''Sesungguhnya Allah Maha penerima taubat lagi maha pengasih.''

Dan Sabda Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam : ''Dari Abu Hurairah Radhiallahu anhu berkata: Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam bersabda : Sesiapa yang berpuasa Ramadan dengan penuh keimanan dan mengharapkan pahala daripada Allah, akan diampunkan dosanya yang terdahulu.'' (Riwayat Al-Imam Al-Bukhari).

Sama-samalah kita meningkatkan keimanan dan ketakwaan kita kepada Allah Subhanahu Wata'ala. Bulan Ramadan yang akan datang inilah masanya untuk kita melipatgandakan amalan dan mengabdikan diri kepada-Nya. Sesungguhnya bulan yang penuh berkah dan rahmat ini merupakan anugerah dari Allah Subhanahu Wata'ala bagi insan yang terpilih.

Hiasilah diri kita dengan amalan-amalan yang berkebajikan dan jauhilah daripada segala perbuatan yang dilarang, bentuklah ahli keluarga kita menjadi insan yang bertakwa dengan menunaikan puasa wajib, diiringi dengan amalan-amalan sunat yang digalakkan siang dan malam disepanjang bulan Ramadan.

Surah Fatir ayat 10 :

Tafsirnya : ''Sesiapa yang menghendaki kemuliaan maka hendaklah dia memohon kepada Allah kerana kemuliaan itu semuanya milik Allah. Kepada Allah jualah naik (di terima) segala perkataan yang baik dan amalan soleh pula diangkat-Nya naik (di terima). Dan orang-orang yang merancang kejahatan akan ditimpa azab yang berat dan rancangan jahat mereka itu akan binasa.''

Seterusnya...

menuju

DALAM Islam, puasa (disebut juga Shaum) adalah wajib dilakukan bagi setiap muslim yang baligh, berakal, tiada keuzuran dan tidak bermusafir pada bulan Ramadan. Mereka wajib berpuasa selama satu bulan penuh dengan menahan diri dari makan dan minum dan dari segala perbuatan yang boleh membatalkan puasa mulai dari terbit fajar hingga terbenam matahari dengan niat sesuai perintah Allah Subhanahu Wata'ala dalam Al-Quran. Puasa juga menolong menanam sikap yang baik dan kesemuanya itu diharapkan berlanjutan ke bulan-bulan berikutnya dan tidak hanya pada bulan puasa.

Adalah menjadi kewajipan dan tanggungjawab ibu bapa dalam mendidik anak-anak mereka yang masih kecil untuk mengerjakan ibadah puasa. Dalam hadis yang diriwayatkan oleh Imam al-Bukhari daripada al-Rubaiyyi' binti Mu'awwiz Radhiallahuanhu, Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam bersabda bahawasanya wanita-wanita Ansar akan berpuasa dan mendidik anak-anak kecil mereka untuk turut berpuasa. Apabila anak mereka menangis kerana lapar, maka mereka akan memberikan sejenis permainan kepada anak-anak mereka untuk bermain dengan tujuan agar tidak terasa masa yang dilalui mereka sehinggalah waktu berbuka puasa.

Setiap perkara ibadah setentunya mendapat ganjarannya dan ganjaran di sisi Allah adalah sebesar-besar kelebihan. Imam an-Nawawi rahimahullah menyebutkan dalam kitabnya al-Majmu' bahawa kanak-kanak akan mendapat ganjaran bagi setiap kebajikan yang dilakukan, dan tidak akan ditulis baginya dosa seandainya melakukan maksiat.

Setiap perkara kebajikan dan keburukan akan disaksikan Allah Subhanahu Wata'ala walaupun sebesar zarah. Ini termasuk juga halnya dengan anak-anak yang masih dalam proses pentarbiahan dan pendidikan. Tidak menjadi masalah seandainya mereka tiada kesanggupan untuk meneruskan puasa mereka oleh sebab-sebab tertentu dan tiada paksaan untuk mereka meneruskan puasa mereka sehingga tiba masa berbuka puasa.

Firman Allah Subhanahu Wata'ala dalam Surah Al-Baqarah, ayat 286, tafsirnya :

''Allah tidak membebani seseorang melainkan apa yang terdaya olehnya.''

Terdapat beberapa kaedah dalam mendidik anak berpuasa, antaranya :

- Memberi penjelasan mengenai puasa dan kebaikan berpuasa, di samping menanamkan di dalam hati kanak-kanak tersebut akan keuntungan orang yang berpuasa.

- Memberikan pujian kepada anak yang berpuasa walaupun tidak sepenuhnya. Seandainya mereka tidak dapat meneruskan puasa jangan memarahi dan memaksanya kerana paksaan akan memburukkan keadaan.

- Bantu mereka untuk berpuasa dengan memastikan mereka bersahur pada awal pagi dengan menghidangkan makanan yang berkhasiat dan memberi kekuatan tenaga.

- Hindari daripada menunjukkan makanan yang membuka selera di hadapan mereka kerana ia akan melunturkan semangat mereka untuk meneruskan puasa.

- Menyediakan dan menyusun aktiviti yang berfaedah untuk anak-anak dan menasihati mereka dari melakukan aktiviti-aktiviti bermain yang boleh meletihkan badan.

- Memberi ganjaran kepada anak-anak yang berpuasa dengan sempurna.

Perkara di atas juga bertujuan bukan sahaja untuk mendidik mereka berpuasa malahan juga sebagai kaedah untuk mendidik mereka berpuasa secara jujur. Ini kerana paksaan boleh membuat diri mereka terarah kepada melakukan penipuan dengan berbuka secara sembunyi.

Oleh yang demikian, perana ibu bapa sangatlah penting dalam menanamkan amalan mulia ini dalam diri anak-anak kerana pendidikan awal yang sempurna dan seimbang dalam aspek agama sebagai pegangan dan akademik dapat membentuk jati diri yang mantap dan seterusnya akan mewujudkan sebuah keluarga Islam yang harmoni dan diberkati oleh Allah Subhanahu Wata'ala.

Seterusnya...

irsyad logo

(Dengan nama Allah, Segala puji bagi Allah, Selawat dan salam ke atas
Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam, keluarga, sahabat dan para pengikut Baginda)

PUASA Ramadan wajib dikerjakan oleh setiap orang Islam yang mukallaf. Ia wajib dilaksanakan melainkan ada keuzuran yang diharuskan oleh syarak untuk berbuka puasa. Walau bagaimanapun orang yang ada keuzuran untuk berpuasa itu masih juga dituntut untuk melaksanakannya sama ada dengan mengqadha puasa atau membayar fidyah ataupun kedua-duanya sekali.

Orang yang berbuka puasa kerana adanya uzur syar'ie seperti perempuan yang didatangi haid, orang yang musafir atau sakit adalah diwajibkan mengqadha puasanya itu. Kewajipan mengqadha puasa itu tidak wajib dilakukan dengan segera selagi mana tidak masuk ke bulan Ramadan yang baru. Walau bagaimanapun sunat bagi orang yang berbuka puasa kerana adanya uzur syar'ie itu mengqadha puasanya dengan segera.

Berlainan halnya bagi orang yang berbuka puasa dengan senghaja tanpa uzur syar'ie. Menurut pendapat yang ashah, mereka diwajibkan mengqadha puasa yang ditinggalkan itu dengan segera.

Menurut Imam Ibnu Hajr al-Haitami Rahimahullah, orang yang berbuka puasa dengan senghaja tanpa uzur syar'ie itu adalah fasik dan wajib bertaubat dengan segera. Tidak sah taubat melainkan setelah mengqadha puasa yang ditinggalkan itu. Apabila qadha puasa itu dilengah-lengahkan tanpa keuzuran, ini bererti dia berterusan dalam kefasikan sedangkan berterusan dalam kefasikan itu merupakan suatu dosa.

Demikian juga perlu diingat, orang yang berbuka puasa Ramadan sama ada disebabkan keuzuran ataupun tidak, adalah berdosa melengah-lengahkan qadha puasa Ramadan sehingga masuk ke bulan Ramadan yang baru tanpa ada keuzuran yang menyebabkan dia tidak dapat mengqadhanya seperti sakit yang berpanjangan.

Dalam perkara mengqadha puasa Ramadan ini, timbul persoalan hukum mengqadha puasa bagi pihak orang lain sama ada orang tersebut masih hidup ataupun sudah meninggal dunia.

Hukum mengqadha puasa bagi pihak orang lain yang masih hidup

Mengqadha puasa bagi pihak orang yang masih hidup sama ada orang yang masih hidup itu berupaya untuk mengqadhapuasanya ataupun dia tidak berupaya mengqadha puasanya seperti kerana sakit, tidak boleh orang lain mengqadha puasa bagi pihaknya, sebagaimana Imam an-Nawawi Rahimahullah berkata :

Ertinya : ''Berkata sahabat-sahabat kami dan selain mereka: ''Tidak boleh berpuasa bagi pihak orang lain yang masih hidup sama ada dia tidak berupaya ataupun berupaya untuk berpuasa tanpa khilaf ulama.''

Hukum mengqadha puasa bagi pihak orang lain yang sudah meninggal dunia

Adapun hukum mengqadha puasa bagi pihak orang lain yang sudah meninggal dunia dilihat pada dua keadaan sama ada dia meninggal dunia sebelum ada kesempatan ataupun setelah ada kesempatan untuk mengqadha puasa.

1. Meninggal dunia sebelum ada kesempatan untuk mengqadha puasa terbahagi kepada dua keadaan :

i) Meninggalkan puasa Ramadan kerana adanya uzur syar'ie

Jika seseorang itu meninggalkan puasa Ramadhan kerana adanya uzur syar'ie lalu dia meninggal dunia sebelum ada kesempatan mengqadha puasanya, maka dia tidak berdosa serta tidak tertanggung ke atasnya qadha puasa dan tidak juga dia dituntut membayar fidyah kerana bukan disebabkan kecuaiannya. Oleh itu, kaum kerabat si mati tidak perlu mengqadha puasa dan membayar fidyah bagi pihak si mati tersebut.

Apa yang dimaksudkan dengan ''sebelum ada kesempatan untuk mengqadha puasa'' ialah seseorang itu tidak ada kesempatan mengqadha puasanya selepas bulan Ramadan kerana berterusan dalam keuzuran syar'ie sehingga dia meninggal dunia ataupun dia meninggal dunia semasa dalam bulan Ramadan.

Sebagai contoh, sebelum terbit fajar pada hari kedua bulan Syawal (2hb Syawal), seseorang itu masih ditimpa sakit atau baru ditimpa sakit dan berterusan sehingga dia meninggal dunia adalah termasuk dalam golongan orang yang tidak ada kesempatan mengqadha puasanya. Selain ditimpa sakit, ini termasuk juga keuzuran lain seperti musafir yang diharuskan syarak, didatangi haid dan nifas.

ii) Meninggalkan puasa Ramadan bukan kerana uzur syar'ie

Jika seseorang itu meninggalkan puasa Ramadan bukan kerana uzur syar'ie seperti senghaja makan di siang Ramadan lalu dia meninggal dunia sebelum ada kesempatan mengqadha puasanya, maka dia berdosa dan tertanggung ke atasnya qadha puasa.

Oleh itu, menurut qaul qadim Imam asy-Syafi'e Rahimahullah dan merupakan pendapat yang azhar, jika si mati itu ada meninggalkan harta pusaka maka kaum kerabat si mati wajib memilih sama ada mengqadha puasa bagi pihak si mati ataupun membayar fidyah dari harta pusaka tersebut. Adapun jika si mati tidak meninggalkan harta pusaka maka kaum kerabat si mati tidak wajib mengqadha atau membayar fidyah bagi pihak si mati akan tetapi hukumnya sunat sahaja.

2. Meninggal dunia setelah ada kesempatan untuk mengqadha puasa

Jika seseorang itu meninggalkan puasa Ramadan sama ada kerana adanya uzur syar'ie atau bukan kerana uzur syar'ie, lalu dia meninggal dunia setelah ada kesempatan mengqadha puasanya, maka dia berdosa dan tertanggung ke atasnya qadha puasa itu.

Oleh itu, kaum kerabat si mati wajib memilih sama ada mengqadha puasa bagi pihak si mati ataupun membayar fidyah apabila si mati ada meninggalkan harta pusaka. Ataupun sunat bagi kaum kerabat si mati melakukan antara keduanya apabila si mati tidak meninggalkan harta pusaka, sebagaimana menurut qaul qadim Imam asy-Syafi'e Rahimahullah yang dijelaskan di atas.

Dalil keharusan mengqadha puasa bagi pihak orang lain yang sudah meninggal dunia

Diriwayatkan daripada Aisyah Radhiallahu anha, Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam bersabda :

Maksudnya : ''Sesiapa yang meninggal dunia dan tertanggung ke atasnya puasa (yang wajib diqadha) maka walinya boleh berpuasa bagi pihaknya.''
(Hadits riwayat Muslim)

Hadits yang lain lagi, diriwayatkan daripada Ibnu 'Abbas Radhiallahu 'anhuma bahawa seorang perempuan datang menemui Rasulullah Sallallahu 'Alaihi Wasallam lalu berkata :

Maksudnya : ''Wahai Rasulullah, sesungguhnya ibu saya telah meninggal dunia, dan tertanggung ke atasnya puasa nazar. Apakah boleh saya berpuasa bagi pihaknya?

''Baginda bersabda : ''Apa pandanganmu sekiranya tertanggung ke atas ibumu hutang lalu engkau membayarkannya, adakah ia terlunas bagi pihaknya?
''Perempuan berkata : ''Ya.
''Baginda bersabda : ''Berpuasalah bagi pihak ibumu.''
(Hadits riwayat Muslim)

Hadis di atas jelas menunjukkan wali si mati boleh mengqadha puasa bagi pihak orang yang sudah meninggal dunia. Apa yang dimaksudkan dengan wali si mati itu ialah semua kaum kerabat si mati walaupun dia bukan terdiri daripada ahli waris, penerima ashabah ataupun wali harta. Kaum kerabat yang dimaksudkan itu juga disyaratkan dia seorang yang baliqh dan berakal.

Adapun orang lain (ajnabi) yang bukan terdiri daripada kaum kerabat si mati harus mengqadha puasa bagi pihak orang yang sudah meninggal dunia dengan syarat mendapat keizinan kaum kerabat si mati ataupun ada wasiat daripada si mati.

Jika orang ajnabi itu mengqadha puasa bagi pihak orang yang meninggal dunia tanpa ada keizinan kaum kerabat si mati ataupun tidak ada wasiat daripada si mati maka menurut pendapat yang ashah tidak sah qadha puasanya itu.

Demikian beberapa penjelasan mengenai hukum mengqadha puasa bagi pihak orang lain sama ada bagi pihak orang yang masih hidup ataupun orang yang sudah meninggal dunia. Perkara ini perlu diambil perhatian terutama sekali kepada kaum kerabat si mati, lebih-lebih lagi pada perkara yang menyentuh harta pusaka si mati. Ini kerana jika tuntutan untuk melepaskan tanggungan qadha puasa si mati itu dengan membayar fidyah maka ahli waris hendaklah membayar fidyah si mati itu dari harta pusakanya sebelum harta tersebut dibahagikan mengikut faraidh.

Seterusnya...

seruan suci

MARILAH kita sama meningkatkan keimanan dan ketakwaan kita kepada Allah Subhanahu Wata'ala dengan sebenar-benar takwa, iaitu istiqamah dalam mengerjakan segala suruhan-Nya dan meninggalkan segala larangan-Nya. Dengan demikian, mudah-mudahan kita menjadi umat yang terbaik dan unggul serta mendapat keredaan Allah Subhanahu Wata'ala di dunia dan di akhirat.

Tarikh 31 Mei adalah tarikh yang bersejarah dan menjadi ristaan bagi Negara Brunei Darussalam dan generasi yang akan datang, iaitu tarikh Hari Ulang Tahun Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (ABDB). Angkatan bersenjata mempunyai tugas yang sangat murni, iaitu mempertahankan negara daripada segala ancaman dan pencerobohan musuh yang boleh menggugat keamanan dan kedaulatan negara.

Alhamdulillah Negara Brunei Darussalam mempunyai pasukan angkatan bersenjata yang berkemampuan menjadi benteng utama kepada pertahanan negara. Kita sebagai rakyat dan penduduk di negara ini patutlah bersyukur kepada Allah Subhanahu Wata'ala dan berbangga terhadap sumbangan ABDB yang tidak ternilai harganya kepada keamanan dan juga kesejahteraan negara kita yang tercinta ini.

Tugas mempertahankan agama dan negara amat besar ganjarannya di sisi Allah Subhanahu Wata'ala, seandainya kita gugur dalam menjalankan tugas tersebut InsyaaAllah, Allah Subhanahu Wata'ala akan memberikan ganjaran pahala yang setimpal dengannya.

Firman Allah Subhanahu Wata'ala dalam Surah Ali 'Imran, ayat 169 :

Tafsirnya : ''Dan janganlah sekali-kaliengkau menyangka bahawa orang-orang yang terbunuh (mati syahid) di jalan Allah itu mati bahkan sebenarnya mereka itu hidup di sisi tuhan mereka dengan dikurniakan rezeki.''

Islam adalah agama yang mencintai kedamaian dan keamanan, dan membenci permusuhan. Keamanan, kesentosaan dan kestabilan hidup rakyat merupakan harapan dan hasrat setiap negara, baik negara kecil mahupun besar, sama ada ia negara Islam ataupun bukan Islam, semuanya mengharapkan keamanan dan kemakmuran.

Di dalam Islam diwujudkan pasukan pasukan bersenjata bukanlah niat untuk melakukan pencerobohan dan penganiayaan terhadap sesiapa, tetapi digunakan bagi mempertahankan diri dan negara dari ancaman, pengkhianatan dan pencerobohan.

Dalam hal inilah berlakunya salah faham sehingga timbul tuduhan dan tanggapan sinis yang mengatakan Islam itu disebarkan dengan kekerasan, kezaliman dan Islam itu menggalakkan peperangan. Mereka mendakwa Islam tersebar adalah dengan peperangan.

Bagi membetulkan salah faham yang berlaku ini, perlulah diketahui dan difahami prinsip sebenar peperangan dalam Islam. Islam tidak akan memerangi sesiapa, tetapi akan berjihad (berjuang) jika diperangi. Peperangan dalam Islam tidak boleh berlaku dan tidak boleh dicetuskan melainkan atas sebab-sebab tertentu seperti mempertahankan diri dan menentang pencerobohan, mempertahankan diri dari penganiayaan dan kezaliman dan menegakkan keadilan. Islam melarang peperangan untuk tujuan meluaskan kuasa, pengaruh atau jajahan takluk, begitu juga melarang peperangan kerana membalas dendam, sehingga membuat permusuhan dan kehancuran.

Islam membolehkan jihad bersenjata dilakukan apabila orang Islam diperangi dan dizalimi, dihalau dari kampung halaman dan rumah mereka, harta dirampas, ditegah dari beriman kepada Allah Subhanahu Wata'ala dan berlaku pencerobohan terhadap masjid. Firman Allah Subhanahu Wata'ala dalam Surah Al-Haj, ayat 39 - 40 :

Tafsirnya : ''Telah diizinkan berperang bagi orang-orang Islam yang diperangi disebabkan mereka itu telah dizalimi dan sesungguhnya Allah Maha Berkuasa untuk menolong mereka mencapai kemenangan, iaitu mereka yang diusir dari kampung halaman mereka dengan tidak berdasarkan suatu alasan yang benar. Mereka itu diusir hanya disebabkan mereka berkata : Tuhan kami ialah Allah.''

Jelas kepada kita bahawa Islam mengharuskan perang apabila dalam keadaan terpaksa bagi mempertahankan diri, menegakkan keadilan dan mempertahankan akidah. Islam menggariskan batas-batas yang mesti dipatuhi dan diikuti ketika perang. Jika musuh ingin berdamai, maka orang Islam wajib menghentikan peperangan.

Orang Islam diperintahkan supaya tidak melakukan permusuhan dan mencabul hak orang lain. Peperangan bukanlah cara hidup orang Islam. Peperangan adalah pilihan terakhir setelah tidak ada jalan pilihan.

Sesungguhnya Islam adalah agama keamanan dan menuntut supaya setiap umatnya berusaha ke arah keamanan, tanpa mengira agama, bangsa dan negara selagi kehormatan agama Islam dan keamanan orang Islam terjamin dan tidak dicabuli. Allah Subhanahu Wata'ala berfirman dalam Surah Al-Baqarah, ayat 190 :

Tafsirnya : ''Dan perangilah pada jalan Allah orang-orang yang memerangi kamu dan janganlah kamu melampaui batas. Sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang-orang yang melampaui batas.''

Semangat perwira seharusnya bukan hanya ada pada tentera tetapi perlu ada pada semua lapisan masyarakat kerana negara memerlukan rakyat yang mahu berjuang dan berkorban bagi mempertahankan negaranya. Oleh itu, perasaan cinta pada agama, raja dan negara perlu disemai, nilai kemerdekaan dan keamanan perlu dihargai. Jadikanlah pemuda-pemudi negara ini pemuda-pemudi yang cergas dan gagah dari segi fizikal dan mental.

Marilah kita sama-sama menanamkan semangat cinta pada agama, cinta pada kemerdekaan, negara dan bangsa kerana dengan demikian akan lahirlah perasaan kasih dan rela berkorban. Kita berdoa semoga negara kita yang tercinta ini sentiasa di bawah lindungan dan pemeliharaan Allah Subhanahu Wata'ala yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang. Amin Ya Rabbal Alamin.

Surah Ali 'Imran, ayat 139 :

Tafsirnya : ''Dan janganlah kamu merasa lemah dalam menegakkan Islam, dan janganlah pula kamu bersedih pada hal kamulah orang-orang yang tertinggi darjatnya jika benar kamu orang yang beriman.''

Seterusnya...

irsyad

Sambungan minggu lepas

3. Mengetahui Masuk Waktu Sembahyang

ORANG yang hendak mengerjakan sembahyang mesti mengetahui dengan yakin atau zhan (sangkaan) dengan ijtihadnya bahawa waktu sembahyang telah pun masuk. Jika seseorang itu mengerjakan sembahyang tanpa mengetahui waktu sembahyang telah masuk dengan yakin atau zhan maka tidak sah sembahyangnya itu sungguhpun pada hakikatnya waktu sembahyang telah pun masuk.

Mengetahui waktu sembahyang itu ada tiga peringkat seperti berikut :

Pertama : Mengetahui masuk waktu sembahyang dengan sendiri seperti tahu waktu maghrib dengan tenggelamnya matahari. Termasuk dalam peringkat ini juga seperti menerima khabar masuknya waktu sembahyang daripada orang yang dipercayai, mendengar azan orang yang arif akan masuknya waktu ketika cuaca cerah dan penglihatan orang yang arif dari alat yang menunjukkan waktu, kompas dan waktu-waktu yang telah diuji dan dimaklumi.

Kedua : Mengetahui masuk waktu sembahyang dengan berijtihad seperti dari pembacaan Al-Quran, mengulangkaji pelajaran, kerja menjahit, kokokan ayam dan seumpamanya. Sebagai contoh, pada kebiasaannya sesudah seseorang itu mengerjakan sembahyang maghrib dia membaca Al-Quran secara sederhana, berdasarkan penelitiannya bahawa sesudah dia membaca beberapa ayat Al-Quran itu waktu Isyak pun masuk. Demikian juga dengan
mendengar ayam berkokok pada sekian-sekian waktu, berdasarkan penelitiannya bahawa pada kebiasaannya jika ayam itu berkokok maka waktu sembahyang telah pun masuk.

Ketiga : Mengikut ijtihad orang lain apabila dia tidak mampu berijtihad.

Oleh yang demikian, jika seseorang itu boleh mengetahui waktu sembahyang melalui peringkat pertama di atas iaitu mengetahui waktu sembahyang dengan sendiri maka dia tidak boleh berijtihad dan tidak boleh mengikut ijtihad orang lain. Berlainan halnya jika dia tidak mampu mengetahui waktu sembahyang melalui peringkat pertama tersebut maka bolehlah dia melakukan peringkat kedua iaitu berijtihad dan tidak boleh dia melakukan peringkat ketiga iaitu mengikut ijtihad orang lain. Adapun orang yang buta, harus baginya mengikut ijtihad orang lain walaupun dia mampu untuk berijtihad.

Orang yang mengerjakan sembahyang dalam kapal terbang hendaklah terlebih dahulu mengetahui waktu sembahyang telah masuk dengan mengikut peringkat-peringkat yang disebutkan di atas seperti melihat sendiri matahari tenggelam, terbit fajar dan sebagainya atau bertanya kepada orang yang tahu mengenai waktu sembahyang.

Tambahan lagi pada sekarang ini, kemudahan-kemudahan yang disediakan di setiap penerbangan seperti waktu setempat dan kedudukan kapal terbang ketika dalam penerbangan dapat diketahui oleh setiap penumpang. Oleh itu sebelum membuat penerbangan, persediaan-persediaan seperti waktu-waktu sembahyang di sesebuah negeri yang akan dilalui perlulah dipelajari.

4. Menghadap Kiblat

Menghadap kiblat ketika sembahyang hukumnya adalah wajib kerana ia termasuk dalam syarat-syarat sah sembahyang. Melainkan semasa dalam ketakutan seperti dalam peperangan sama ada sembahyang fardu atau pun sunat, dan sembahyang sunat ketika dalam pelayaran yang bukan maksiat yang susah baginya menghadap kiblat.

Menyentuh perkara sembahyang fardu di dalam kapal terbang, wajib bagi penumpang yang mengerjakan sembahyang untuk menghadap kiblat di sepanjang sembahyangnya. Sekiranya dadanya terpaling daripada kiblat disebabkan kapal terbang itu berubah haluan maka wajib dia mengembalikan dadanya ke arah kiblat dengan segera. Jika dia tidak mengembalikannya dengan segera maka batal sembahyangnya.

Hal ini disebutkan oleh Imam asy-Syarbini Rahimahullah mengenai sembahyang fardu di atas kapal laut, beliau berkata :

Ertinya : ''Sekiranya tiupan angin mengalihkan haluan kapal laut itu lalu terpaling dadanya daripada arah kiblat, maka wajib dia mengembalikan dadanya ke arah kiblat. Sembahyangnya sah jika dia mengembalikannya dengan segera dan jika dia tidak mengembalikannya dengan segera maka batallah sembahyangnya.''

Jika penumpang itu tidak mampu menghadap kiblat dalam keadaan berdiri namun dia mampu menghadap kiblat dalam keadaan duduk, maka wajib dia mengerjakan sembahyang fardu dalam keadaan duduk. Ini kerana menghadap kiblat itu adalah lebih dituntut kefarduannya berbanding dengan tuntutan berdiri, atas asas berdiri itu boleh tidak dilakukan ketika sembahyang sunat walaupun tanpa keuzuran berbeza dengan menghadap kiblat, ia tidak boleh ditinggalkan tanpa keuzuran.

Adapun jika penumpang itu tidak mampu untuk menghadap kiblat di dalam kapal terbang disebabkan darurat atau kesukaran seperti tiada ruang untuk sembahyang melainkan di tempat duduknya yang tidak menghala ke kiblat, maka tidak harus baginya meninggalkan sembahyang fardu itu dan meluputkannya daripada waktu, bahkan dalam hal ini hendaklah dia menunaikan sembahyang fardu itu sekalipun tanpa menghadap kiblat demi menghormati waktu. Akan tetapi wajib dia mengulang sembahyang fardunya itu kerana ia merupakan keuzuran yang jarang berlaku.

Namun kemudahan untuk mengetahui arah kiblat di kebanyakkan kapal terbang telah pun disediakan malah ia boleh diketahui sendiri dengan menggunakan alat-alat tertentu seperti kompas atau pun bertanya kepada orang yang tahu mengenai arah kiblat.

5. Sembahyang Berdiri

Berdiri merupakan rukun dalam sembahyang fardu. Ia wajib dilakukan bagi mereka yang mampu berdiri. Adapun orang yang tidak mampu berdiri hendaklah dia mengerjakan sembahyang dengan duduk. Manakala jika dia tidak mampu berdiri dan duduk, maka hendaklah dia mengerjakan sembahyang dengan berbaring sebagaimana sabda Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam :

Maksudnya : ''Sembahyanglah dengan cara berdiri, jika engkau tidak berdaya maka dengan cara duduk, dan jika engkau tidak berdaya juga maka dengan cara baring mengiring.''
(Hadits riwayat al-Bukhari)

Sembahyang yang telah dikerjakan dengan cara duduk atau berbaring tidak lagi perlu diulang setelah seseorang itu mampu berdiri apabila keuzurannya sudah tidak ada lagi.

Maksud 'tidak mampu berdiri' bukan hanya bermaksud dalam erti kata lemah tidak dapat berdiri, bahkan termasuk juga kerana takut kecederaan berlaku ke atas dirinya, takut mendatangkan kesusahan yang berat, pening kepala atau seumpamanya.

Oleh itu, penumpang yang mampu sembahyang berdiri dalam kapal terbang adalah wajib dia mengerjakan sembahyang dengan berdiri. Adapun penumpang yang mempunyai keuzuran untuk berdiri seperti yang tersebut di atas adalah boleh mengerjakan sembahyang fardu itu dengan duduk di atas kerusinya.

Cara mengerjakan sembahyang dengan duduk adalah seperti berikut :

- Takbiratulihram berserta niat dan bacaan Surah Al-Fatihah dilakukan dalam keadaan
penumpang itu duduk.

- Rukuk dalam keadaan duduk, sekurang-kurangnya dengan membongkokkan badan sekira-kira dahi setentang dengan lutut. Sementara cara yang paling sempurna ialah dengan membongkokkan badan sekira-kira dahi setentang dengan tempat sujud.

- I'tidal dalam keadaan duduk ialah kembali kepada keadaan sebelum rukuk iaitu duduk dengan betul. Jika dia tidak mampu untuk kembali dengan duduk betul, maka hendaklah kembali sekadar yang termampu olehnya.

- Sujud bagi orang yang sembahyang duduk sama sahaja seperti sujud biasa iaitu dengan meletakkan dahi ke lantai.

Jika dia tidak mampu untuk sujud seperti biasa, maka perlu dilihat kepada dua keadaan berikut :

Pertama : Jika dia mampu untuk melakukan sekurang-kurang rukuk atau rukuk yang paling sempurna ketika dalam keadaan duduk akan tetapi tidak melebihi daripada kadar sempurna rukuk itu, maka lakukan kadar yang termampu itu sekali untuk rukuk dan sekali lagi untuk sujud sekalipun kadar perbuatannya itu sama.

Kedua : Jika dia mampu untuk melakukan kadar yang melebihi daripada kadar rukuk yang sempurna, maka wajib dia rukuk dengan tidak melebihi kadar sempurna rukuk itu. Sementara sujud pula dilakukan dengan kadar yang melebihi rukuk yang sempurna itu bagi membezakan antara sujud dan rukuk.

Adapun jika orang yang bersembahyang duduk itu tidak mampu juga untuk melakukan rukuk dan sujud seperti yang dijelaskan di atas, maka hendaklah dia melakukan rukuk dan sujud tersebut dengan isyarat kepala. Isyarat dengan menundukkan kepala bagi sujud itu lebih rendah berbanding dengan rukuk. Jika dia tidak mampu rukuk dan sujud dengan isyarat kepala maka lakukanlah dengan isyarat mata. Jika dia tidak mampu juga berbuat demikian maka lakukanlah dengan hati.

Demikian penjelasan bagaimana mengerjakan sembahyang dalam kapal terbang. Tuntutan sembahyang fardu itu tetap wajib dilaksanakan. Kesulitan-kesulitan semasa berada dalam kapal terbang itu sepatutnya tidak dijadikan sebagai satu alasan untuk meninggalkan sembahyang kerana ia boleh diatasi dan ada jalan keluar yang telah diaturkan oleh syarak mengenainya.

Seterusnya...

menuju

ISLAM merupakan agama yang lengkap dan menyeluruh. Allah Subhanahu Wata'ala yang bersifat Maha Pemurah lagi Maha Penyayang telah menganugerahkan pelbagai nikmat kepada hamba-hamba-Nya di atas muka bumi ini.

Diriwayatkan oleh al-Hakim, Rasulullah Sallallahu 'Alaihi Wasallam bersabda : ''Kejarlah lima perkara sebelum datangnya lima perkara. Masa muda sebelum tua, masa sihat sebelum sakit, masa kaya sebelum datangnya kemisikinan, masa lapang sebelum sibuk, dan masa hidup sebelum tibanya kematian.''

Di antara kelima-lima kurniaan nikmat yang tiada ternilai itu ialah nikmat kesihatan. Dengan kesihatan manusia dapat menjalani kehidupan ini dengan aman sejahtera, dapat melakukan kerja harian dengan lancar dan baik. Selain itu, dengan kesihatan kita dapat melakukan ibadah kepada Allah Subhanahu Wata'ala dengan sempurna. Menyedari betapa tingginya nilai kesihatan ini maka menjadi kewajipan kita sebagai umat Islam yang beriman untuk menjaganya kerana kesihatan manusia pada dasarnya amat berkait rapat dengan keharmonian alam dan kehidupan manusia.

Oleh yang demikian, setiap manusia sepatutnya tidak lupa mensyukuri nikmat yang tidak ternilai ini sebelum mereka diuji dengan ujian atau penderitaan disebabkan oleh penyakit atau musibah, sepertimana hadis yang diriwayatkan oleh Imam Al-Bukhari, Rasulullah Sallallahu 'Alaihi Wasallam bersabda :

''Dua kenikmatan, kebanyakan manusia tertipu pada keduanya: Kesihatan dan waktu luang.''

Daripada hadis ini, jelas manusia selalu alpa dan lalai untuk beribadat ketika diberikan nikmat kesihatan dan menyalahgunakan nikmat kesihatan ini. Mereka leka dengan perkara lain yang kadang kala menjauhkan dirinya daripada Allah Subhanahu Wata'ala. Sebaliknya apabila sakit atau ditarik nikmat sihat daripadanya barulah teringat hendak memperbanyakkan ibadahnya. Alangkah ruginya apabila seseorang itu leka dan tidak menghargai nikmat kesihatan yang diberikan dengan melakukan perkara-perkara yang tidak berfaedah.

Memang tidak dinafikan lagi kesakitan itu adalah salah satu cara untuk memuhasabah diri, menebus dosa dan merupakan peringatan atas kelalaian dan keterlanjuran hamba-Nya untuk kembali ke jalan yang benar. Justeru itu, biarlah kita sebagai seorang mukmin tetap istiqamah dalam mengerjakan ibadah sekali gus mendekatkan diri kepada Allah Subhanahu Wata'ala sama ada dalam keadaan sihat atau sakit.

Nikmat kesihatan adalah bonus tambahan bagi seseorang untuk melakukan amalan-amalan salih yang belum tentu mampu dilaksanakan oleh mereka yang diberi nikmat kesihatannya. Malah ibadah yang dilakukan oleh mereka yang sihat lebih sempurna pelaksanaannya berbanding ibadah yang dilakukan oleh orang yang sakit. Dalam hal ini, hadits riwayat Muslim, Rasulullah Sallallahu 'Alaihi Wasallam bersabda:

''Mukmin yang kuat itu adalah lebih baik dan lebih disukai oleh Allah berbanding mukmin yang lemah.''

Kesihatan hadir daripada kesungguhan amal ibadat yang dilakukan seperti sembahyang dan puasa di samping penjagaan diet yang seimbang seperti memperbanyakkan pengambilan makanan yang berkhasiat di samping melakukan aktiviti-aktiviti fizikal dan mendapatkan tidur dan rehat yang cukup.

Menjaga kesihatan dalam Islam bukanlah sekadar luaran sahaja tetapi dari segi rohani juga harus dititikberatkan. Jiwa yang tidak diisi ilmu yang berfaedah sama seperti jiwa yang kekosongan. Ilmu yang berfaedah sangat penting supaya kita lebih berpengetahuan misalnya ilmu agama. Dengan mengetahui syariat Islam yang diturunkan, kita sebagai umat Islam dapat menilai baik buruk sesuatu perkara dan seterusnya dapat mengamalkan setiap perkara yang disyariatkan dengan baik dan sempurna di sisi Allah Subhanahu Wata'ala. Oleh yang demikian, berdoalah kepada Allah Subhanahu Wata'ala agar sentiasa dikurniakan kesihatan tubuh badan dan rohani kerana ianya adalah amalan yang disukai Allah.

Sesungguhnya kesihatan adalah nikmat Allah yang paling berharga. Jadi, syukurilah dan gunakanlah ia sebaik mungkin untuk mendekatkan diri kepada Allah kerana penyalahgunaan nikmat sihat di sisi Allah adalah sesuatu yang dilarang di dalam Islam.

Firman Allah Subhanahu Wata'ala dalam Surah Ibrahim ayat 7, tafsirnya :

''Dan (ingatlah) ketika Tuhan kamu memberitahu (dengan sejelas-jelasnya) : ''Demi sesungguhnya jika kamu bersyukur (terhadap segala nikmat-Ku) tentu Aku akan menambah ni'mat itu kepada kamu dan demi sesungguhnya jika kamu kufur (terhadap nikmat itu) maka sesungguhnya azab-Ku sangat keras.''

Seterusnya...

Ramalan Cuaca

Untuk maklumat lanjut Ramalan Cuaca bagi Negara Brunei Darussalam sila layari www.met.gov.bn

Login or Register

LOG IN

Register

User Registration
or Cancel