Bekalan bantuan Republik Rakyat China tiba di Nepal

30 Og 2026 - 9:48am

KATHMANDU, 30 Ogos. - Dua pesawat pengangkut Y-20 Republik Rakyat China yang membawa bekalan bantuan serta empat pakar penyelamat tiba di Kathmandu pada Ahad bagi menyokong usaha bantuan bencana di Nepal, lapor Xinhua.

Kedua-dua pesawat itu berlepas dari Chengdu, Republik Rakyat China, pada awal pagi dan tiba di Nepal selepas penerbangan kira-kira tiga jam.

Bekalan bantuan berkenaan termasuk khemah, selimut, beg tidur, biskut dan kit kecemasan diserahkan kepada pihak Nepal di lapangan terbang itu.

Duta Besar Republik Rakyat China ke Nepal Zhang Maoming dan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Nepal Mahabir Pun menghadiri upacara penyerahan berkenaan.

Kejadian tanah runtuh yang melanda Nepal pada Rabu mengakibatkan banyak kematian dan kecederaan serta kerosakan meluas terhadap infrastruktur.

Pihak Berkuasa Pengurangan Risiko dan Pengurusan Bencana Kebangsaan Nepal memaklumkan 734 mayat ditemukan di kawasan terjejas tanah runtuh setakat 9 pagi waktu tempatan pada Ahad, manakala 2,498 orang masih hilang. - ©BERNAMA