Calon penjawat awam Sri Lanka perlu dapatkan pengesahan bebas kesalahan berkaitan kanak-kanak

15 Sep 2026 - 10:33am

COLOMBO, 15 Sept. -  Kerajaan Sri Lanka akan memperkenalkan undang-undang yang memerlukan calon penjawat awam, khususnya bagi jawatan melibatkan interaksi langsung dengan kanak-kanak, mendapatkan pensijilan yang mengesahkan bahawa mereka tidak pernah dituduh melakukan kesalahan berkaitan kanak-kanak, kata Menteri Hal Ehwal Wanita dan Kanak-Kanak Saroja Paulraj pada Selasa, lapor Xinhua.

Paulraj berkata kementerian telah menyerahkan kertas Kabinet untuk mendapatkan kelulusan bagi langkah itu.

Sijil mesti diperoleh daripada polis atau institusi lain yang diberi kuasa.

Kakitangan sektor awam sedia ada juga dikehendaki memperbaharui pensijilan pada peringkat tertentu perkhidmatan mereka, termasuk apabila menerima kenaikan gaji atau melengkapkan pencapaian perkhidmatan, katanya.

Sri Lanka mempunyai kira-kira 1.16 juta pekerja sektor awam dan separa kerajaan pada 2024, menurut Jabatan Banci dan Perangkaan.

Langkah yang dicadangkan itu dibuat ketika kerajaan National People's Power  menyambung semula pengambilan sektor awam selepas sekatan pada 2020.

Kerajaan berkata pada Ogos, Kabinet telah meluluskan pengambilan kira-kira 120,000 penjawat awam baharu.

Paulraj berkata keperluan pelepasan baharu itu bertujuan mengukuhkan perlindungan untuk kanak-kanak dan memastikan mereka yang bekerja dalam jawatan yang memerlukan intergriti tinggi  memenuhi piawaian. - ©BERNAMA