Kemboja salur subsidi hampir USD500 juta kawal kenaikan kos bahan api, elektrik

7 Okt 2026 - 10:42am

PHNOM PENH, 7 Okt. - Perdana Menteri Kemboja Hun Manet pada Rabu berkata kerajaan menyuntik subsidi  hampir USD500 juta bagi mengurangkan kesan kenaikan mendadak harga bahan api global terhadap negara itu susulan konflik berterusan di Asia Barat, lapor Xinhua.

"Setakat ini, kami telah menyalurkan subsidi hampir USD500 juta bagi mengawal kenaikan kos bahan api dan menstabilkan harga elektrik untuk rakyat," katanya pada majlis sambutan ulang tahun ke-80 University of Health Sciences di Phnom Penh.

Perdana Menteri menegaskan bahawa program subsidi itu akan diteruskan selagi harga bahan api global kekal tinggi.

Beliau berkata bantuan kewangan itu disalurkan menerusi subsidi langsung terhadap tarif elektrik serta pelepasan cukai bersasar. Ini termasuk mengurangkan duti import dan cukai ke atas minyak dan gas, selain menurunkan tarif ke atas kenderaan elektrik (EV), kenderaan elektrik hibrid plug-in (PHEV), dapur elektrik dan peranti berkuasa solar.

Menurut Kementerian Perdagangan, harga runcit petrol biasa di Kemboja pada Rabu ialah 5,150 riel (kira-kira USD1.27) seliter, melonjak 33.7 peratus berbanding paras sebelum konflik. Sementara itu, harga diesel mencecah 5,650 riel seliter, meningkat 46.7 peratus. - ©BERNAMA