Pemanasan global tingkat risiko banjir kilat di Nepal - Penyelidik

18 Sep 2026 - 9:38am

LONDON, 17 Sept. - Pemanasan global berkemungkinan menyumbang pada kejadian banjir kilat yang membawa maut di kawasan pergunungan Himalaya pada Ogos, menurut analisis rangkaian penyelidikan World Weather Attribution (WWA) yang dikeluarkan pada Khamis, lapor Agensi Akhbar Jerman (dpa).

Sekurang-kurangnya 1,400 terkorban dan lebih 5,000 lagi masih hilang selepas sebahagian besar kawasan pergunungan, termasuk glasier, runtuh di kawasan sempadan Nepal dan Republik Rakyat China pada penghujung Ogos.

Menurut WWA, runtuhan batuan dan ais itu dengan pantas bertukar menjadi aliran puing, dan kemudiannya menjadi banjir kilat yang didominasi oleh air yang bergerak ke hilir pada kelajuan purata 188 kilometer sejam.

Ia menyatakan bahawa perubahan iklim bukanlah punca tunggal bencana tersebut namun berkemungkinan telah melemahkan struktur batuan berkenaan.

Analisis itu turut menyebut bahawa gempa bumi besar di Nepal pada 2015, suhu yang lebih tinggi, serta peningkatan jumlah air hasil pencairan mungkin telah menyumbang pada kelemahan struktur batuan tersebut pada tahun-tahun sebelum kejadian runtuhan itu berlaku.

"Oleh itu, perubahan iklim paling tepat difahami sebagai faktor penyahstabilan yang bertindak ke atas keadaan geologi sedia ada dan bukannya punca utama kegagalan struktur tersebut," jelas WWA.

Penyelidik iklim Ben Clarke berkata bencana itu bukan satu peristiwa cuaca ekstrem.

"Namun, kesan perubahan iklim masih jelas kelihatan dalam perubahan jangka panjang," katanya.

Menurut WWA, glasier di wilayah itu telah kehilangan jisim selama beberapa dekad pada kadar yang bersamaan dengan penyusutan ketebalan melebihi setengah meter setiap tahun.

Laporan itu menyatakan bahawa sistem amaran awal banjir di Nepal telah membantu menyelamatkan nyawa.

Bagaimanapun, banjir pada Ogos itu adalah di luar jangkaan dan kemampuan sistem sedia ada.

"Tiada sistem amaran awal sedia ada yang mampu memberikan tempoh masa amaran yang mencukupi atau mencegah skala impak yang dilihat di kawasan-kawasan yang paling teruk terjejas; ini menyerlahkan had pada usaha penyesuaian,” kata WWA.

"Di kawasan Himalaya yang semakin cepat memanas, ancaman semakin ekstrem dan kompleks melangkaui kapasiti penyesuaian, sekali gus mengakibatkan kerugian dan kerosakan.

“Keadaan itu berlaku ketika gempa bumi besar kerap terjadi, yang bukan sahaja menjejaskan kestabilan cerun malah turut menjejaskan proses pemulihan daripada bencana yang berlaku berturut-turut”. - ©BERNAMA