WELLINGTON, 28 Okt. - Polis New Zealand merampas 137 kilogram (kg) kokain yang dianggarkan mempunyai nilai di pasar gelap sebanyak NZ$40 juta (kira-kira USD22.7 juta) daripada sebuah kontena perkapalan di Auckland, lapor Xinhua.
Inspektor Detektif Karen Bright daripada Cawangan Siasatan Jenayah Counties Manukau dalam satu kenyataan pada Rabu berkata polis dipanggil ke sebuah premis di selatan Auckland pada pagi Selasa selepas kakitangan berasa curiga terhadap beberapa beg di dalam kontena berkenaan.
Bright berkata polis menemukan 137 bongkah kokain yang disembunyikan di dalam beberapa beg, bersama dua pucuk pistol jenis Glock, magazin dan kira-kira 200 butir peluru.
Beliau berkata rampasan kokain itu dianggarkan bersamaan dengan 1.37 juta dos.
Menurut polis, penghantaran itu tiba dari Belanda melalui Balboa manakala siasatan lanjut sedang dijalankan. - ©BERNAMA