ABU DHABI, 28 Okt. - Republik Rakyat China memberi sumbangan signifikan kepada peralihan tenaga dan pengurangan pelepasan karbon global melalui kemajuan teknologi serta penurunan kos peralatan tenaga bersih.
Perkara itu dinyatakan Ketua Pengarah Agensi Tenaga Boleh Diperbaharui Antarabangsa (IRENA), Francesco La Camera di Abu Dhabi, Emiriah Arab Bersatu (UAE) baru-baru ini.
"Sumbangan terbesar Republik Rakyat China kepada peralihan tenaga adalah dengan menyediakan teknologi tenaga boleh diperbaharui pada kos yang rendah kepada dunia," katanya.
La Camera berkata Republik Rakyat China giat memacu kemajuan teknologi melibatkan tenaga suria, tenaga angin dan bateri, sekali gus membantu mengurangkan kos produk berkenaan dengan ketara.
Menurut statistik Pentadbiran Tenaga Negara (NEA), kapasiti terpasang tenaga fotovoltan (PV) China mencecah 1.286 bilion kilowatt pada akhir Julai, sekali gus mengatasi kapasiti penjanaan tenaga berasaskan arang batu buat kali pertama.
La Camera menyifatkan perkembangan itu sebagai kemajuan signifikan yang dicapai Republik Rakyat China dalam peralihan tenaga.
Beliau menambah bahawa kerjasama yang lebih erat dalam bidang teknologi, pembiayaan dan infrastruktur akan memberi manfaat kepada lebih banyak negara melalui kos tenaga boleh diperbaharui yang semakin menurun, sekali gus mempercepat pengurangan pelepasan karbon di peringkat global. - ©BERNAMA