SAO PAULO, 30 Ogos. - Ribut dan hujan batu mengorbankan sekurang-kurangnya dua nyawa serta merosakkan lebih 1,600 rumah di negeri Rio Grande do Sul, selatan Brazil, menurut Pertahanan Awam negeri itu pada Sabtu, lapor Xinhua.
Mangsa termasuk seorang kanak-kanak berusia lapan tahun yang maut dihempap pokok tumbang di Porto Alegre, timur negeri itu, serta seorang lelaki berusia 72 tahun yang kenderaannya dihanyutkan arus banjir di Arroio Grande di selatan.
Ribut itu melanda 21 perbandaran antara malam Jumaat dan pagi Sabtu.
Tres Palmeiras di utara merupakan kawasan paling terjejas, dengan kira-kira 1,000 rumah rosak.
Di Quarai, pihak berkuasa mengisytiharkan darurat selepas hujan batu merosakkan 349 rumah.
Di wilayah Serra Gaucha di timur laut, hujan batu merosakkan 197 rumah di Canela, manakala Pertahanan Awam mengeluarkan amaran merah kepada penduduk dan pelancong di Canela serta Gramado.
Rio Grande do Sul masih berada dalam keadaan berjaga-jaga susulan cuaca ekstrem yang dikaitkan dengan El Nino.
Pada 2024, negeri itu mengalami antara bencana iklim terburuk di Brazil apabila banjir menjejaskan hampir 90 peratus wilayahnya dan mengorbankan lebih 180 orang. - ©BERNAMA