Oleh : Pg. Vivy Malessa Pg. Ibrahim
Foto : Mohammad Hatral Hazmi Awang Abdul Hamid
TUNGKU LINK, Sabtu, 17 Oktober. - Politeknik Brunei (PB) mengadakan Majlis Khatam Al-Quran bersempena dengan Majlis Konvokesyen PB Ke-12 bagi bakal-bakal graduan beragama Islam PB, bertempat di Masjid Universiti, Universiti Brunei Darussalam, pagi tadi.
Majlis tersebut dihadiri oleh Pengurus Am, Brunei Innovation Laboratory, Awang Md. Saiful Azzam bin Haji Sarpudin selaku Ahli Pengelola Lembaga PB dan tetamu kehormat majlis.
Turut hadir bagi memeriahkan majlis tersebut ialah pemangku pengarah, penolong-penolong pengarah, ketua-ketua bahagian dan sekolah, pegawai-pegawai, tenaga pengajar, kakitangan serta para pelajar PB.
Seramai 1,106 bakal graduan beragama Islam menyertai majlis tersebut, yang terdiri daripada 554 graduan lelaki dan 552 graduan perempuan. Majlis Khatam Al-Quran dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah yang diketuai oleh tetamu kehormat majlis.
Kemudian majlis diteruskan dengan bacaan Takhtim dan Doa Khatam oleh Awang Abdul Mursyid Al-Murtadha bin Abdul Hadi, bakal graduan Diploma dalam Keusahawanan dan Strategi Pemasaran, diikuti dengan Dikir Marhaban dan bacaan Doa Penutup.
Tujuan Majlis Khatam Al-Quran ini diadakan adalah untuk menzahirkan rasa syukur ke hadrat Allah Subhanahu Wata'ala atas kejayaan bakal-bakal graduan menamatkan pengajian, di samping memartabatkan Al-Quran sebagai dasar segala ilmu serta mengambil keberkatan daripada wahyu Allah Subhanahu Wata'ala.
Majlis ini juga bertujuan untuk membudayakan pembacaan Al-Quran dalam kalangan graduan serta memohon keberkatan, petunjuk dan keredaan Allah Subhanahu Wata'ala agar mereka dikurniakan kejayaan yang berterusan dan mampu mengaplikasikan ilmu pengetahuan serta nilai-nilai akhlak dalam kehidupan, kerjaya dan sumbangan kepada masyarakat dan negara.
Majlis Khatam Al-Quran sempena Majlis Konvokesyen PB Ke-12 ini merupakan salah satu acara keagamaan yang diadakan bagi menzahirkan kesyukuran serta memohon keberkatan menjelang Majlis Konvokesyen PB Ke-12.
Majlis Konvokesyen PB Ke-12 akan diadakan pada 24 Oktober 2026, dengan dua sesi, iaitu sesi pagi dan petang, bertempat di Pusat Persidangan Antarabangsa (International Convention Centre, ICC), Berakas. Seramai 1,182 graduan daripada lima buah sekolah di bawah PB akan diraikan pada Majlis Konvokesyen tersebut.