Siaran Akhbar dan Foto : Kementerian Hal Ehwal Ugama
BANDAR SERI BEGAWAN, Sabtu, 25 Julai - Seramai 25 murid Darjah VI Sekolah Ugama Junjongan diraikan pada Majlis Khatam Al-Quran yang berlangsung di Dewan Ar-Rahman, Sekolah Rendah Junjongan, baru-baru ini.
Majlis tersebut diadakan sebagai pengiktirafan kepada murid-murid yang berjaya mengkhatamkan bacaan 30 Juzuk Al-Quran, selaras dengan usaha Jabatan Pengajian Islam, Kementerian Hal Ehwal Ugama dalam memperkukuhkan pendidikan Al-Quran serta menyemai kecintaan terhadap kitab suci itu dalam kalangan murid.
Daripada jumlah tersebut, 14 orang merupakan murid lelaki manakala 11 orang ialah murid perempuan.
Hadir selaku tetamu khas majlis ialah Pemangku Ketua Bahagian Pendidikan Khas Ugama, Jabatan Pengajian Islam, Kementerian Hal Ehwal Ugama, Awang Haji Suherdey bin Serbini, yang memimpin bacaan Surah Al-Fatihah bagi memulakan majlis.
Majlis diteruskan dengan bacaan surah-surah lazim oleh para peserta khatam, diikuti bacaan Takhtim, Doa Khatam, persembahan dikir serta penyampaian Sijil Khatam kepada para peserta yang disempurnakan oleh tetamu khas majlis sebelum diakhiri dengan bacaan Doa Selamat.
Penganjuran majlis tersebut diharap akan terus menyemarakkan minat para murid untuk membaca, memahami dan menghayati Al-Quran serta mengamalkan ajarannya dalam kehidupan seharian.