Oleh : Marlinawaty Hussin
Foto : Hernie Suliana Haji Othman
BANDAR SERI BEGAWAN, Khamis, 27 Ogos. - Seramai empat pegawai Kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam yang telah terpilih untuk mengikuti Program Penempatan Kerja Pegawai Perkhidmatan Awam di Republik Singapura bagi Kohort 3 telah berlepas ke negara berkenaan.
Para peserta terdiri daripada pegawai-pegawai dari Kementerian Hal Ehwal Luar Negeri, Kementerian Pendidikan, Kementerian Pembangunan dan Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU).
Program berkenaan merupakan salah satu inisiatif di bawah Memorandum of Understanding (MoU) in Public Service Capacity Development antara Kerajaan Negara Brunei Darussalam (NBD) dan Republik Singapura yang telah dimeterai pada 24 Ogos 2022.
Ia memberi peluang kepada pegawai-pegawai berprestasi tinggi dalam Perkhidmatan Awam NBD untuk menjalani penempatan di Kerajaan Republik Singapura atau agensi berkaitan kerajaan selaras dengan bidang kepakaran, keperluan semasa dan keutamaan negara.
Bagi salah seorang peserta, Pegawai Hal Ehwal Masjid Tingkat Khas, KHEU, Awang Haji Asminan bin Awang Haji Chuchu, penempatan kerja selama setahun itu merupakan peluang berharga untuk menimba pengalaman dan memperluas pengetahuan dalam bidang yang berkaitan.
"Alhamdulillah, saya amat bersyukur ke hadrat Allah Subhanahu Wata'ala dan berterima kasih kepada Kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan NBD kerana telah memilih saya untuk mengikuti program ini," katanya ketika ditemui media sebelum berlepas ke Republik Singapura.
Menurut beliau, program yang merupakan usaha sama antara Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) NBD dan Republik Singapura itu akan berlangsung selama setahun bermula 31 Ogos 2026 hingga 30 Ogos 2027.
Beliau akan ditempatkan di One Mosque Sector di bawah Majlis Ugama Islam Singapura (MUIS).
"Sebagai persediaan, saya terlebih dahulu mengenal pasti tempat penempatan serta membuat kajian mengenai peranan MUIS dan One Mosque Sector.
"Saya juga telah mengikuti sesi pengenalan dan mesyuarat atas talian bersama pihak MUIS bagi mendapatkan gambaran awal mengenai peranan dan tanggungjawab yang akan dilaksanakan sepanjang berada di sana," jelasnya.
Selain itu, Awang Haji Asminan turut mengadakan komunikasi melalui telefon dengan pihak MUIS sebagai sebahagian daripada persediaan sebelum memulakan penempatan.
Sementara itu, peserta daripada Kementerian Pendidikan, Pegawai Pelajaran di Pusat Kerjasama Sains, Teknologi dan Alam Sekitar (STEP), Dayang Nurul Fathiah Bazilah binti Haji Ibrahim berharap agar pengalaman sepanjang mengikuti program tersebut dapat dimanfaatkan apabila kembali berkhidmat di negara ini.
"Saya berharap dapat memperoleh pengalaman baharu serta ilmu pengetahuan yang boleh diterapkan dan dimanfaatkan pada masa akan datang apabila saya kembali ke NBD," katanya.
Hadir di Lapangan Terbang Antarabangsa Brunei untuk mengucapkan selamat berlepas kepada para peserta ialah Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM) (Urustadbir Perkhidmatan Awam), Yang Berhormat Dato Seri Setia Awang Haji Nazmi bin Haji Mohamad.
Turut hadir, Setiausaha Tetap (Urustadbir Perkhidmatan Awam), JPM, Awang Ajman bin Haji Meludin; Timbalan Setiausaha Tetap (Urustadbir Perkhidmatan Awam), JPM, Pengiran Haji Raffizanna bin Pengiran Haji Razali; dan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Dr. Norfarizal bin Othman.
Sebelum bertolak, Doa Selamat dibacakan oleh Awang Haji Asminan.