Oleh : Wan Mohamad Sahran Wan Ahmadi
Foto : Haji Ariffin Mohd. Noor / Morshidi
BOLKIAH GARISON, Jumaat, 14 Ogos. - Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam telah mengurniakan titah perkenan bagi Penganugerahan Biasiswa Pemerintah Tertinggi Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (PT ABDB) kepada empat penuntut cemerlang, manakala seorang lagi penuntut cemerlang dianugerahkan Biasiswa Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (ABDB) bagi Tahun 2026.
Kelima-lima penerima biasiswa tersebut akan melanjutkan pengajian sebagai persediaan untuk menceburi kerjaya dalam perkhidmatan awam atau ketenteraan di Kementerian Pertahanan.
Sehubungan itu, Majlis Penandatanganan Perjanjian dan Penganugerahan Biasiswa PT ABDB dan Biasiswa ABDB bagi Tahun 2026 telah berlangsung di Mes Pegawai, Bolkiah Garison, hari ini.
Hadir pada majlis tersebut, Menteri Penyelaras bagi Keselamatan Negara, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM) dan Menteri Pertahanan II, Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Awang Haji Halbi bin Haji Mohd. Yussof dan seterusnya menyempurnakan penyampaian sijil biasiswa dan cenderamata kepada penerima - penerima Biasiswa PT ABDB dan Biasiswa ABDB, di sini.
Turut hadir, Ahli-ahli Jawatankuasa Eksekutif Pertahanan dan ABDB, pengarah-pengarah, pegawai - pegawai kanan Kementerian Pertahanan, Ahli-Ahli Badan Penilaian Biasiswa 2026 serta ibu bapa dan penjamin-penjamin para penerima biasiswa.
Menandatangani bagi pihak Kementerian Pertahanan untuk para penuntut yang akan menceburi kerjaya dalam bidang ketenteraan ialah Pemerintah ABDB, Mejar Jeneral Dato Paduka Seri Haji Muhammad Haszaimi bin Bol Hassan.
Manakala menandatangani bagi pihak Kementerian Pertahanan untuk para penuntut yang akan menceburi kerjaya dalam perkhidmatan awam ialah Setiausaha Tetap di Kementerian Pertahanan, Brigedier Jeneral (B) Dato Seri Pahlawan Haji Alirupendi bin Haji Perudin.
Para penerima Biasiswa PT ABDB dan Biasiswa ABDB bagi Tahun 2026 terdiri daripada penuntut yang telah menamatkan Peperiksaan Peringkat 'A' atau Sijil Tinggi Pelajaran Ugama Brunei (STPUB) daripada beberapa buah sekolah.
Lima penerima biasiswa terdiri daripada tiga penuntut yang telah menamatkan Peperiksaan Peringkat 'A' iaitu Awang Nathan Peterson Chen Tse Wei dari Maktab Duli Pengiran Muda Al-Muhtadee Billah yang akan melanjutkan pengajian dalam bidang Kejuruteraan Mekanikal di Tsinghua University, Republik Rakyat China; Dayang Syifa Dania binti Abu Syahmi dari Jerudong International School (JIS) yang akan mengikuti pengajian Kejuruteraan Mekanikal di University of Glasgow, United Kingdom (UK) dan Dayang Nur Nadhirah Umairah binti Amirul Adly, juga dari JIS yang akan melanjutkan pengajian dalam Bidang Undang - Undang di University of Bristol, UK.
Sementara dua penuntut lepasan Sijil Tinggi Pelajaran Ugama Brunei (STPUB) yang juga turut menerima biasiswa ialah Dayang Nur Wafaa Wafiqah binti Haji Mohamad Syahiran dan Dayang Syasya Damia Darwisyah binti Yuskamarulzaman dari Sekolah Tinggi Arab Hassanal Bolkiah. Kedua-duanya akan melanjutkan pengajian dalam Bidang Syariah di Universiti Al-Azhar, Mesir.
Skim Biasiswa PT ABDB dan Biasiswa ABDB merupakan antara skim biasiswa yang paling berprestij di Negara Brunei Darussalam yang bertujuan untuk melahirkan pemimpin masa hadapan yang akan menyumbang kepada pembangunan negara, khususnya dalam bidang pertahanan dan keselamatan.
Di samping itu, skim-skim ini menyediakan peluang bagi pembangunan pelapis muda cendekiawan Islam yang berpengetahuan, berkeupayaan dan dilengkapi dengan kemahiran untuk memberikan sumbangan yang bermakna ke arah kemajuan negara, selaras dengan aspirasi Wawasan Brunei 2035.