574 graduan diraikan pada Majlis Konvokesyen UTB Ke-14

27 Og 2026 - 7:11am

Oleh : Nooratini Haji Abas

Foto : Mohamad Azmi Awang Haji Damit, Haji Ariffin Mohd. Noor/Morshidi, Mohamamad Hatral Hazmi Awang Abdul Hamid, Mohammad Hasif Matzin

BANDAR SERI BEGAWAN, Rabu, 26 Ogos. - Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, Canselor Universiti Teknologi Brunei (UTB), hari ini berkenan merasmikan Majlis Konvokesyen UTB Ke-14 yang berlangsung di Dewan Plenary, Pusat Persidangan Antarabangsa, Berakas, di sini.

Berangkat sama ialah paduka anakanda Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda (Dr.) Haji Al-Muhtadee Billah, Menteri Kanan di Jabatan Perdana Menteri dan Pro-Canselor UTB.

Keberangkatan tiba Kebawah Duli Yang Maha Mulia dijunjung oleh Menteri Pendidikan, Yang Berhormat Datin Seri Setia Dr. Hajah Romaizah binti Haji Md. Salleh selaku Pengerusi Majlis UTB; Naib Canselor UTB, Profesor Madya Pengiran Dr. Mohammad Iskandar bin Pengiran Haji Petra; dan Pendaftar dan Setiausaha UTB, Awang Lim Chui Hua.

Majlis Konvokesyen UTB Ke-14 dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah yang dipimpin oleh Mufti Kerajaan, Yang Berhormat Pehin Datu Seri Maharaja Dato Paduka Seri Setia (Dr.) Ustaz Awang Haji Abdul Aziz bin Juned.

Sejurus selepas itu, diteruskan dengan Perarakan Masuk Canselor ke Dewan Plenary. Seterusnya diikuti dengan bacaan ayat-ayat suci Al-Quran daripada ayat lapan hingga ayat 11, Surah Ar-Ra'd yang dibacakan oleh Awang Muhammad Nur Hazim Wafiuddin bin Haji Kamaruzaman daripada graduan Sarjana Sains (Penyelidikan) dalam Kejuruteraan Mekanikal.

Manakala, inti pati ayat berkenaan pula dibacakan oleh Awangku Ahmad Amsyar Zaki bin Pengiran Abdul Razak daripada mahasiswa Ijazah Sarjana Muda Sains (Kepujian) dalam Kejuruteraan Awam dan Struktur.

Majlis diteruskan dengan sembah alu-aluan yang disampaikan oleh Profesor Madya Pengiran Dr. Mohammad Iskandar, yang antara lain menyembahkan pada tahun ini merupakan detik yang amat bermakna buat UTB apabila universiti berkenaan menyambut ulang tahun penubuhannya yang ke-40.

Sembah Naib Canselor UTB lagi, sepanjang empat dekad, UTB telah membina identiti, nilai serta keupayaannya sebagai sebuah institusi pengajian tinggi berteraskan teknologi dan inovasi.

Naib Canselor UTB seterusnya menyembahkan segala pencapaian UTB sehingga ke hari ini tidak terlepas daripada sokongan berterusan Kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia, serta usaha, iltizam dan dedikasi para pemimpin terdahulu bersama seluruh warga universiti yang telah membina asas kukuh kepada perkembangan UTB sepanjang empat dekad.

"Pada tahun ini, UTB mencatat peningkatan dalam Times Higher Education Impact Rankings 2026, dengan kedudukan bagi Quality Education (SDG 4) meningkat daripada kelompok 301 ke 400 kepada 101 ke 200 dunia, manakala Industry, Innovation and Infrastructure (SDG 9) meningkat daripada kelompok 401 ke 600 kepada 301 ke 400.

"Selaras  dengan  perkembangan  teknologi  dan keperluan negara, UTB terus memperkukuh penawaran akademiknya agar kekal relevan dengan tuntutan semasa, antaranya melalui penambahbaikan Program Kejuruteraan Tenaga seiring dengan perkembangan sektor tenaga dan peralihan ke arah sistem tenaga yang lebih pintar dan mampan.

"Dalam bidang penyelidikan dan inovasi, UTB terus mencatat pencapaian yang nyata. Pada tahun ini, sembilan orang penyelidik dan pereka cipta UTB telah berjaya memperoleh pendaftaran harta intelek, merangkumi hak cipta, rahsia perdagangan dan reka bentuk perindustrian. Pencapaian ini juga selaras dengan titah Kebawah DYMM pada Majlis Konvkesyen UTB Kali Ke-13 yang antara lain menekankan pengukuhan budaya inovasi di universiti," sembah Naib Canselor UTB lagi.

Profesor Madya Pengiran Dr. Mohammad Iskandar dalam sembahnya juga menyatakan keupayaan penyelidikan dan inovasi warga UTB turut mendapat pengiktirafan di peringkat kebangsaan dan antarabangsa. Seramai 10 ahli akademik UTB telah disenaraikan dalam kelompok World's Top 2 percent Scientists 2025, manakala penyelidik UTB turut meraih ASEAN-U.S. Science Prize for Women 2025 serta Grand Prize of the Crown Prince Special CIPTA Award 2025.

Seiring dengan kematangan keupayaan penyelidikan dan inovasi sembah Naib Canselor UTB lagi, UTB turut memanfaatkan kampusnya sebagai sebuah model Innovation Living Lab, iaitu ruang sebenar bagi pengujian, pembelajaran dan inovasi teknologi dalam persekitaran operasi kampus melalui Kerjasama strategik bersama rakan-rakan industri.

"Pendekatan ini diterjemahkan antaranya melalui pengoperasian Byte-and-Go AI Convenience Shop, sebuah kedai pintar yang menggunakan teknologi Kecerdasan Buatan (AI) dan rangkaian sensor bagi membolehkan pengguna memilih barangan dan membuat transaksi secara automatik tanpa perlu melalui kaunter pembayaran. 

"UTB juga terus memperkembangkan EV Charging station berasaskan Smart IoT yang diintegrasikan dengan tenaga solar dan sistem grid pintar kampus, ke arah penggunaan tenaga yang lebih cekap, pintar dan lestari.

"Kemudahan-kemudahan ini bukan sahaja memberi peluang kepada warga UTB untuk merasai penggunaan teknologi secara langsung, malah turut membuka ruang kepada masyarakat untuk mengenali dan berinteraksi dengan teknologi yang dibangunkan," sembah Naib Canselor UTB lagi.

Seterusnya, Kebawah DYMM berkenan mengurniakan titah.

Pada majlis berkenaan, Kebawah DYMM berkenan mengurniakan Ijazah Doktor Falsafah, Ijazah Sarjana dan Ijazah Sarjana Muda kepada para penerima yang disenaraikan dalam Buku Konvokesyen.

Ini disusuli dengan laungan 'Allahu Akbar, Wa Lillahil Hamd' oleh para graduan dan semua yang hadir.

Baginda kemudiannya berkenan mengurniakan ijazah kepada seramai 574 graduan, yang terdiri daripada 14 graduan Doktor Falsafah, 120 graduan Sarjana dan 440 graduan Ijazah Sarjana Muda.

Majlis konvokesyen pada tahun ini turut mencatatkan kejayaan graduasi kumpulan pertama bagi program Ijazah Sarjana Muda Sains (Kepujian) dalam Media Digital dan kumpulan pertama bagi program Ijazah Sarjana Muda Sains (Kepujian) dalam Sains Makanan dan Pemakanan Manusia.

Sehingga kini, UTB telah melahirkan seramai 5,141 graduan BDTVEC HND, 295 graduan Higher National Diploma Tahap Lima, 4,209 graduan prasiswazah, 896 graduan Sarjana dan 59 graduan Doktor Falsafah.

Para graduan berkenaan adalah daripada program-program akademik yang ditawarkan oleh Fakulti Kejuruteraan, Sekolah Perniagaan UTB, Sekolah Pengkomputeran dan Informatik, Sekolah Sains Gunaan dan Matematik, Sekolah Reka Bentuk, serta Pusat Komunikasi, Pengajaran dan Pembelajaran (CCTL).