Oleh : Pg. Siti Redzaimi Pg. Haji Ahmad
Foto : Mohd. Zul-Izzi Haji Duraman
BANDAR SERI BEGAWAN, Isnin, 26 Oktober. - Kementerian Pendidikan melalui Jabatan Sekolah-Sekolah menyelaras penyertaan enam orang pelajar Tahun 9 dan seorang guru pengiring dari Maktab Sultan Omar 'Ali Saifuddien (SOAS) bagi mengikuti Program Pertukaran Belia Jenesys Sukan ASEAN-Japan X SDGs yang berlangsung selama lapan hari, mulai 27 Oktober hingga 3 November 2026 di Tokyo, Jepun.
Hadir di Lapangan Terbang Antarabangsa Brunei bagi mengucapkan selamat belayar kepada para peserta ialah Pemangku Pegawai Tugas-Tugas Khas Kanan (Korporat) dan Superintendent 3 di Jabatan Sekolah-Sekolah, Kementerian Pendidikan, Awang Abdul Wafi Sia bin Abdullah Sia.
Program berkenaan bertujuan memupuk kerjasama antara Jepun dengan negara-negara ASEAN dalam menyokong Matlamat Pembangunan Mampan (Sustainable Development Goals - SDGs) melalui sukan ragbi.
Program tersebut juga menyediakan peluang pembelajaran dan pertukaran sosio-budaya, di samping memperkukuh hubungan serta kerjasama antara Negara Brunei Darussalam dengan Jepun.
Sepanjang program, para peserta berpeluang mendalami sistem pendidikan dan industri sukan ragbi di Jepun, selain menyertai sesi pembelajaran serta aktiviti bersama rakan pelajar dari negara-negara ASEAN yang lain. Mereka juga berpeluang melawat beberapa tempat menarik, fasiliti sukan dan lokasi bersejarah bagi mengenali sejarah serta kebudayaan Jepun.
Pegawai Pendidikan dari Maktab SOAS, Awang Amirullah bin Sallehan, yang berperanan sebagai guru pengiring, menjelaskan bahawa program tahun ini memberi tumpuan kepada sukan ragbi, berbeza dengan program tahun lepas yang melibatkan sukan bola sepak.
Menurutnya, para pelajar akan diperkenalkan kepada tag rugby, iaitu variasi sukan ragbi yang menggunakan bendera (flag) yang dipasang pada pemain dan perlu ditarik oleh pihak lawan, berbeza daripada tackle rugby atau touch rugby.
Beliau berkata, para pelajar mempunyai pengetahuan asas dan minat terhadap sukan ragbi, sekali gus diharap dapat memanfaatkan peluang berkenaan untuk meneroka serta mempelajari sukan tersebut dengan lebih mendalam.
Beliau juga berharap para peserta dapat mengenali budaya Jepun dan cara sukan ragbi dimainkan di negara berkenaan, di samping menimba ilmu serta pengalaman baharu yang boleh dimanfaatkan apabila kembali ke tanah air.
Sebagai tindakan susulan, para pelajar akan mengadakan sesi perkongsian bersama pihak sekolah dan rakan-rakan sekelas bagi menyampaikan ilmu serta pengalaman yang diperoleh sepanjang menyertai program tersebut.
Program berkenaan turut memberi pendedahan kepada para pelajar mengenai konsep hidup berdikari di luar negara bagi memperkaya pengalaman pembelajaran mereka.
Seramai 77 orang peserta telah mendaftar untuk mengikuti program berkenaan.
Turut hadir di Lapangan Terbang Antarabangsa Brunei ialah pegawai-pegawai Kementerian Pendidikan dari Jabatan Sekolah-Sekolah, wakil Kedutaan Jepun di Negara Brunei Darussalam serta ibu bapa dan ahli keluarga para peserta.