AFSA, Zahara Charity Foundation tandatangani MoU perkasa Rakan Seliaan

25 Jul 2026 - 7:36am

Siaran Akhbar dan Foto : Persatuan Aftercare Support Association

BANDAR SERI BEGAWAN, Jumaat, 24 Julai. - Dalam usaha berterusan membantu dan menyantuni Rakan Seliaan (RS), Persatuan Aftercare Support Association (AFSA) telah menandatangani Memorandum Perjanjian Persefahaman (MoU) bersama Zahara Charity Foundation, pada satu majlis yang berlangsung baru-baru ini.

Mewakili  Zahara Charity Foundation bagi menandatangani MoU tersebut ialah Yang Amat Mulia Pengiran Anak Haji Muhammad Ruzaini bin Pengiran Dr. Haji Mohd. Yakub, manakala pihak AFSA diwakili oleh Yang Dipertua AFSA, Dayang Hajah Juhana binti Haji Mohd. Jaya.

Menyaksikan MoU berkenaan ialah Penasihat AFSA, Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Aminuddin Ihsan bin Pehin Orang Kaya Saiful Mulok Dato Seri Paduka Haji Abidin dan Timbalan Yang Dipertua AFSA, Awang Haji Mustapa bin Haji Masri dan pegawai-pegawai dari Zahara Charity Foundation.

Juga hadir, Pemangku Pengarah Penjara, Awang Bahrin bin Haji Mohd Yassin,  wakil-wakil dari Biro Kawalan Narkotik, Ahli Jawatankuasa Tadbir AFSA, rakan strategik AFSA dan RS.

Dalam ucapan alu-aluannya, Yang Dipertua AFSA menjelaskan bahawa MoU tersebut bertujuan bagi menjalinkan kerjasama dan kolaborasi antara kedua-dua organisasi dalam pelbagai aspek khususnya ke arah membina kemahiran hidup RS dan peserta membuka lebih banyak peluang pekerjaan.

Beliau turut berkongsi pelbagai inisiatif yang telah dilaksanakan oleh AFSA antaranya pembuatan kuih-muih, Kelas Hafazan Al-Quran, pertukangan tangan dan kraf tangan, projek 'Green House', selain berapa MoU dengan syarikat-syarikat dan agensi-agensi perseorangan.

Pada 4 Julai 2026 lalu, Persatuan AFSA telah dianugerahkan Anugerah Cemerlang bagi Kategori Kebajikan dan Sukarelawan oleh Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam sempena Sambutan Ilal Hijrah 1448.

Majlis juga diserikan dengan lawatan ke beberapa aktiviti yang dikendalikan oleh AFSA iaitu Kelas Hafazan Al-Quran, masakan kuih muih dan pertukangan tangan yang dikendalikan oleh RS.

Dalam pada itu, pihak AFSA turut merakamkan junjung kasih dan setinggi-tinggi penghargaan kepada Yang Amat Mulia Pengiran Anak Haji Muhammad Ruzaini atas kesudian berangkat dan hadir ke majlis berkenaan. 

Sesungguhnya keberangkatan dan kehadiran Yang Amat Mulia adalah sangat bermakna dan tinggi nilainya kepada Persatuan AFSA.

AFSA berharap pemeteraian MoU tersebut akan menjadi pemangkin kepada lebih banyak persatuan, syarikat dan organisasi untuk tampil menjalinkan kerjasama strategik bersama AFSA bagi sama-sama membantu dan menyantuni RS di negara ini. Komitmen, tanggungjawab dan kerjasama  semua sangatlah dihargai dan diperlukan.