Oleh : Nooratini Haji Abas
Foto : Mohd. Sahrizal Haji Said
JERUDONG, Ahad, 6 September. - Alumni Penuntut-penuntut Pusat Tingkatan Enam (PTE) Jalan Muara 1975-1978 mengadakan Majlis Khatam Al-Quran Sempena Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa’adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam Ke-80, Bagi Tahun 2026.
Majlis penuh keberkatan itu diniatkan sebagai 'Pesambah Istimewa' Kehadapan Majlis Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam.
Majlis keagamaan yang berlangsung di Masjid Al-Ameerah Al-Hajjah Maryam itu diadakan buat kali ke-5 dan dianjurkan oleh Jawatankuasa Ad hoc Alumni Penuntut-penuntut PTE Jalan Muara 1975-1978 (PTE KLASIK), sebagai wadah wacana taat setia yang tidak berbelah bahagi Kehadapan Majlis Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam sebagai seorang raja yang berjiwa rakyat, prihatin dan pemedulian terhadap kesejahteraan rakyat dan penduduk Negara Brunei Darussalam.
Hadir selaku tetamu kehormat majlis ialah Menteri Penyelaras bagi Keselamatan Negara, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM) dan Menteri Pertahanan ll, Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Awang Haji Halbi bin Haji Mohd. Yussof.
Yang Berhormat Menteri Penyelaras bagi Keselamatan Negara, Menteri di JPM dan Menteri Pertahanan ll juga merupakan Alumni Penuntut PTE Jalan Muara 1975-1978 dan Penaung Bersama Jawatankuasa Ad hoc.
Juga hadir ialah Ahli Majlis Mesyuarat Negara, Yang Berhormat Awang Haji Salleh Bostaman bin Haji Zainal Abidin.
Majlis penuh barakah itu juga dihadiri oleh kira-kira 150 orang jemputan terdiri dari mantan-mantan pengetua, tenaga-tenaga pengajar dan lepasan penuntut-penuntut lelaki dan perempuan PTE Jalan Muara 1975-1978, serta PTE Gadong / Maktab Duli Pengiran Muda Al-Muhtadee Billah, Gadong.
Majlis Khatam Al-Quran dimulakan dengan bacaan Umul Kitab, Surah Al-Fatihah yang dipimpin oleh tetamu kehormat majlis.
Kemudian diikuti dengan bacaan doa beramai-ramai sebelum membaca Al-Quran diketuai oleh Pengiran Haji Yunus bin Pengiran Haji Salleh.
Selepas itu, disusuli dengan bacaan surah-surah lazim beramai-ramai dikepalai oleh Awang Haji Yakob bin Haji Yusof. Sementara bacaan Takhtim diketuai oleh Imam Masjid Al-Ameerah Al-Hajjah Maryam, Jerudong, Awang Haji Muhd. Yadiy bin Haji Yusof.
Majlis kemudiannya diteruskan dengan bacaan Tahlil beramai-ramai diketuai oleh Pengiran Haji Yunus, manakala bacaan Doa Khatam Al-Quran dan Doa Tahlil masing-masing dibawakan oleh Awang Haji Yakob bin Haji Yusof dan Pengiran Haji Yunus.
Kemudian majlis diserikan dengan Dikir Marhaban (Asyraqal) yang dibawakan secara beramai-ramai dipimpin bersama oleh Awang Haji Jasni bin Haji Abdul Latif dan Pengiran Haji Airuddin bin Pengiran Haji Mohammad.
Disusuli selepas itu dengan bacaan Selawat Tafrijiyyah beramai-ramai dikepalai oleh imam masjid berkenaan.
Majlis kemudiannya diteruskan dengan bacaan beramai-ramai Sayyidul Istighfar dipimpin oleh Pengiran Haji Yunus.
Majlis pagi itu diakhiri dengan bacaan Doa Allah Peliharakan Sultan dan Raja Isteri serta Negara dipimpin oleh Imam Masjid Al-Ameerah Al-Hajjah Maryam.
Terdahulu sebelum itu, majlis bermula dengan penyerahan sumbangan derma ikhlas daripada warga Alumni PTE Negara Brunei Darussalam kepada Tabung Anak-anak Yatim Jabatan Daerah Brunei dan Muara berjumlah BND500.
Penyerahan derma berkenaan disempurnakan oleh tetamu kehormat kepada Pemangku Penolong Pegawai Daerah Brunei dan Muara, Awang Mohammad Abdul Hadi bin Haji Mohd. Syarifuddin, selaku wakil Pegawai Daerah Brunei dan Muara (Pengerusi Tabung Anak-anak Yatim Jabatan Daerah Brunei Dan Muara), Negara Brunei Darussalam.
Setiausaha Bersama Majlis berkenaan, Awang Haji Ja'afar bin Haji Ibrahim, menjelaskan bahawa majlis tersebut diadakan sejak tahun 2019 adalah sebagai menzahirkan rasa kasih sayang dan taat setia yang tidak berbelah bahagi Alumni Penuntut-penuntut PTE Jalan Muara 1975-1978 Kehadapan Majlis Kebawah Duli Yang Maha Mulia.
Menurut beliau, pembacaan 30 juzuk Al-Quran yang dimulakan sejak 9 Mei 2026 disertai oleh seramai 121 orang yang melibatkan 53 orang peserta lelaki dan 68 orang peserta perempuan terdiri daripada Alumni Penuntut-penuntut PTE Jalan Muara, lepasan penuntut Penuntut PTE Gadong / Maktab Duli Pengiran Muda Al-Muhtadee Billah, Gadong.
Beliau juga memaklumkan bahawa Jawatankuasa Ad-Hoc Alumni Penuntut-penuntut PTE Jalan Muara 1975-1978 terpanggil untuk merancang beberapa program Sempena Sambutan Jubli Intan 60 Tahun Pemerintahan Kebawah DYMM. Peristiwa bersejarah bagi Negara Brunei Darussalam itu akan diadakan tahun hadapan, 2027.