Anugerah mengiktiraf pencapaian usahawan, perniagaan tempatan

11 Sep 2026 - 7:04am

Oleh : Pg. Vivy Malessa Pg. Ibrahim

Foto : Pg. Mohd. Aminol Adi Azraie Pg. Haji Nikman

JERUDONG, Khamis, 10 September. - Shell LiveWire Brunei mengadakan Majlis Penyampaian Hadiah Anugerah Perniagaan Shell LiveWire Brunei Edisi Ke-19 bagi mengiktiraf pencapaian para usahawan dan perniagaan di Negara Brunei Darussalam (NBD), di samping menandakan 25 tahun sumbangan Shell LiveWire Brunei terhadap pembangunan ekosistem keusahawanan NBD.

Majlis yang berlangsung di Dewan Royal Berkshire, Jerudong Park and Polo Country Club, di sini, dihadiri oleh Menteri Penyelaras bagi Dasar-Dasar Ekonomi dan Menteri Ekonomi, Perdagangan dan Industri, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr. Awang Haji Abdul Manaf bin Haji Metussin selaku tetamu kehormat majlis.

Juga hadir, Pengarah Urusan Brunei Shell Petroleum Company Sdn. Bhd., Johan Atema; pegawai-pegawai kanan kerajaan, pemimpin industri, rakan kongsi, mentor serta para anggota komuniti keusahawanan.

Dalam ucapan alu-aluannya, Pengerusi Shell LiveWire Brunei, Awang Md. Erwan bin Md. Said mengimbas kembali kepentingan Anugerah Perniagaan dalam perjalanan 25 Tahun Shell LiveWire Brunei.

Jelasnya, sepanjang 25 tahun yang lalu, Shell LiveWire Brunei, sebagai inisiatif pelaburan sosial utama Brunei Shell Petroleum Company Sdn. Bhd., telah berusaha menggalakkan keusahawanan, mewujudkan peluang serta menyokong rakyat NBD yang berhasrat untuk merealisasikan idea mereka menjadi perniagaan.

Sebagai sebahagian daripada Program Shell LiveWire di peringkat global, inisiatif ini telah membawa pengalaman serta amalan terbaik dari 18 buah negara, di samping menyokong para usahawan pada pelbagai peringkat perjalanan mereka dan membina jaringan hubungan dalam ekosistem keusahawanan.

Sepanjang tempoh tersebut, lebih daripada 7,000 orang telah menyertai program dan aktiviti Shell LiveWire Brunei, manakala komuniti alumninya kini merangkumi lebih daripada 830 perniagaan berdaftar. Program ini juga telah menganjurkan lebih daripada 560 bengkel, sementara perniagaan dalam komuniti Shell LiveWire Brunei telah mewujudkan 247 peluang pekerjaan antara tahun 2020 hingga 2025.

“Walaupun angka-angka ini amat menggalakkan, impak sebenar yang lebih bermakna terletak di sebalik angka tersebut. Ia dapat dilihat melalui usahawan yang bermula dengan sebuah idea. Perniagaan yang mengambil langkah pertamanya. Syarikat pemula niaga yang berjaya mendapatkan pelanggan pertamanya. Pengasas yang berani mencuba sesuatu, belajar daripada pengalaman tersebut, dan mencuba lagi,” jelas beliau lagi.

Beliau turut menekankan bahawa perkembangan ini juga dapat dilihat melalui ekosistem keusahawanan yang lebih luas, dengan kerjasama antara program dan organisasi seperti Startup673 dan Brunei Innovation Lab yang membantu para usahawan bergerak daripada peringkat pencetusan idea ke arah pembangunan perniagaan dan pengiktirafan.

“Ini bukanlah pencapaian mana-mana satu organisasi semata-mata tetapi hasil daripada program-program yang saling melengkapi serta sebuah ekosistem keusahawanan yang saling berhubung dan menyokong para usahawan,” jelasnya lagi.

Pada tahun ini, seramai 25 syarikat pemula niaga menyertai Anugerah Perniagaan tersebut, dengan 11 syarikat pemula niaga berjaya disenarai pendek untuk mara ke peringkat akhir.

Edisi Ke-19 ini mengiktiraf perniagaan menerusi lima kategori anugerah yang mencerminkan pelbagai peringkat pembangunan, kemajuan dan impak sesebuah perniagaan.

Lima kategori anugerah tersebut ialah Most Outstanding Startup; Most Progressive Startup; Most Promising Startup; Emerging Startup dan Energy Transition Impact Award.

Most Outstanding Startup dianugerahkan kepada Deeplynx.Ai Technologies; Most Progressive Startup dianugerahkan kepada Skyvision BN; Orca Ai Solutions menerima dua anugerah iaitu Most Promising Startup dan Energy Transition Impact Award dan Emerging Startup dianugerahkan kepada Bazinga Emporium.

Para pemenang diiktiraf atas pencapaian yang mencerminkan ciri-ciri, kemajuan dan potensi yang menjadi asas kepada kategori masing-masing, sekali gus menandakan satu pencapaian penting dalam perjalanan perkembangan perniagaan mereka.

Anugerah Perniagaan ini bukan sahaja bertujuan untuk mengiktiraf pencapaian perniagaan, malah turut dirangka bagi menyokong para peserta sepanjang perjalanan pembangunan perniagaan mereka. Dalam pada itu, para peserta menyertai pelbagai aktiviti dan sesi sepanjang program sebelum menuju ke peringkat akhir, iaitu Pitch Day.

Sebagai sebahagian daripada Anugerah Perniagaan ini, para peserta mengambil bahagian dalam Sesi Industry Knowledge Sharing (IKS), yang memberikan pandangan dan pengetahuan praktikal daripada golongan profesional berpengalaman dalam pelbagai bidang yang berkaitan dengan pembinaan serta pengukuhan sesebuah perniagaan.

Sesi IKS tersebut menampilkan penceramah daripada Established Startups, Brunei Intellectual Property Office (BruIPO), Yusof Halim and Partners dan Epipeople Management and Consultancy, yang memberikan peluang kepada para peserta untuk mempelajari pengalaman industri, memperluaskan pemahaman serta mempertimbangkan pelbagai perspektif dalam usaha membangunkan perniagaan masing-masing.

Selepas sesi IKS, para peserta mengemukakan pelan perniagaan mereka untuk dinilai. Seramai 11 syarikat pemula niaga kemudiannya disenarai pendek untuk mara ke peringkat akhir, di mana mereka terus membuat persediaan dan memperkemas pelan perniagaan serta pendekatan pembentangan masing-masing menjelang Pitch Day.

Pada Pitch Day, syarikat-syarikat pemula niaga yang disenarai pendek membentangkan perniagaan mereka kepada panel hakim yang terdiri daripada individu berpengalaman, yang membawa kepakaran serta perspektif industri masing-masing dalam menilai para finalis bagi kelima-lima kategori anugerah.

Anugerah Perniagaan Shell LiveWire Brunei Ke-19 melabuhkan tirai dengan meraikan para usahawan, perniagaan serta rakan kongsi ekosistem yang telah menyumbang kepada pembangunan landskap keusahawanan di NBD.

Ketika Shell LiveWire Brunei melangkah ke fasa seterusnya, inisiatif ini akan terus memperkukuh asas yang telah dibina sepanjang 25 tahun yang lalu, di samping memberi tumpuan kepada peluang-peluang yang penting bagi masa depan NBD.

Daripada cetusan awal sesebuah idea kepada pembentukan perniagaan yang mampu mewujudkan peluang dan memberikan impak, perjalanan ini akan terus berkembang.