Arca Dream Boat simbol persahabatan, kerjasama, pertukaran budaya

10 Sep 2026 - 7:47am

Oleh : Rohani Haji Abdul Hamid

Foto : Mohammad Hatral Hazmi Awang Abdul Hamid

BANDAR SERI BEGAWAN, Rabu, 9 September. - Majlis Perasmian Arca Dream Boat diadakan pagi tadi di Muzium Maritim Brunei Darussalam (MMBD), Kota Batu yang disempurnakan bersama oleh Menteri Penyelaras bagi Dasar-Dasar Sosial dan Tenaga Manusia dan Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri, Yang Berhormat Dato Seri Setia Awang Haji Ahmaddin bin Haji Abdul Rahman; Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Pengiran Dato Seri Setia Shamhary bin Pengiran Dato Paduka Haji Mustapha; serta Member of the Standing Committee of the CPC Nanjing Municipal Committee dan Vice Mayor of Nanjing Municipal People’s Government, Xu Feng.

Majlis berkenaan diadakan bersempena dengan Sambutan Ulang Tahun Ke-35 Penubuhan Hubungan Diplomatik antara Negara Brunei Darussalam (NBD) dan Republik Rakyat China; Sambutan Ulang Tahun Ke-15 Penubuhan Hubungan Bandar Berkembar (Sister Cities) antara Bandar Seri Begawan (BSB), NBD dan Bandar Nanjing, Republik Rakyat China; serta Sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam Ke-80.

Arca Dream Boat merupakan sumbangan dari Nanjing kepada NBD sebagai simbol persahabatan, kerjasama dan pertukaran budaya yang erat antara NBD dan Republik Rakyat China.

Menerusi seni arca kontemporari, karya berkenaan mencerminkan hubungan erat yang terjalin antara kedua-dua buah negara, di samping melambangkan aspirasi bersama untuk terus memperkukuh persefahaman dan pertukaran budaya antara rakyat kedua-dua buah negara.

Arca berkenaan turut melambangkan hubungan bandar berkembar antara BSB dan Bandar Nanjing yang telah terjalin selama 15 tahun, sekali gus mencerminkan komitmen kedua-dua bandar untuk terus mempererat hubungan persahabatan dan kerjasama dalam bidang-bidang yang berkepentingan bersama.

Turut hadir, Yang Berhormat Ahli-ahli Majlis Mesyuarat Negara; Tuan Yang Terutama Duta-duta Besar dan Pesuruhjaya-pesuruhjaya Tinggi Negara-negara Sahabat ke NBD; Setiausaha-setiausaha Tetap dan Timbalan-timbalan Setiausaha Tetap, pengarah-pengarah, serta pegawai-pegawai kanan kerajaan.