Oleh : Nooratini Haji Abas
Foto : Haji Ariffin Mohd. Noor / Morshidi, Muhammad Asri Awang Haji Abas, Mohammad Hasif Matzin, Hernie Suliana Haji Othman, Pg. Mohd. Aminol Adi Azraie Pg. Haji Nikman
BANDAR SERI BEGAWAN, Khamis, 6 Ogos. - Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar ‘Ali Saifuddien Sa’adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, dan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Raja Isteri Pengiran Anak Hajah Saleha binti Al-Marhum Pengiran Pemancha Pengiran Anak Haji Mohamed Alam hari ini berkenan berangkat ke Majlis Khatam Al-Quran 80 Kali Khatam Ahli-ahli Majlis Perundingan Mukim dan Kampung (MPMDK), Penuntut-penuntut Sekolah dan Institusi-institusi Pengajian Tinggi Seluruh Negara Sempena Sambutan Perayaan Ulang Tahun Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam Ke-80 bagi Tahun 2026 yang diadakan di Dewan Persantapan Diraja, Istana Nurul Iman.
Berangkat sama, Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah, Menteri Kanan di Jabatan Perdana Menteri (JPM) serta Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Anak Isteri Pengiran Anak Sarah binti Pengiran Haji Salleh Ab. Rahaman; Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Malik, Menteri di JPM; Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Digadong Sahibul Mal Pengiran Muda Haji Jefri Bolkiah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar ‘Ali Saifuddien Sa’adul Khairi Waddien; Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Anak Puteri Hajah Rashidah Sa’adatul Bolkiah, Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Anak Puteri Hajah Hafizah Sururul Bolkiah, dan Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Anak Puteri Hajah Amal Umi Kalthum Al-Islam.
Keberangkatan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, dan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Raja Isteri Pengiran Anak Hajah Saleha dijunjung oleh Yang Di-Pertua Adat Istiadat Negara, Yang Amat Mulia Pengiran Indera Setia Diraja Sahibul Karib Pengiran Anak Haji Idris bin Pengiran Maharaja Lela Pengiran Muda Abdul Kahar; Mufti Kerajaan, Yang Berhormat Pehin Datu Seri Maharaja Dato Paduka Seri Setia Dr. Ustaz Awang Haji Abdul Aziz bin Juned; Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Maharaja Diraja Dato Seri Paduka Awang Haji Abdul Wahab bin Haji Md. Said selaku Penasihat-penasihat Bersama Jawatankuasa Kebangsaan Majlis Khatam Al-Quran 80 Kali Khatam Ahli-ahli MPMDK, Penuntut-penuntut Sekolah dan Institusi-institusi Pengajian Tinggi Seluruh Negara Sempena Sambutan Perayaan Ulang Tahun Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Ke-80 Tahun bagi Tahun 2026.
Turut menjunjung keberangkatan ialah Menteri Penyelaras bagi Keselamatan Negara, Menteri di JPM dan Menteri Pertahanan II, Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Awang Haji Halbi bin Haji Mohd. Yussof; Menteri Penyelaras Bagi Dasar-Dasar Sosial dan Tenaga Manusia dan Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri, Yang Berhormat Dato Seri Setia Awang Haji Ahmaddin bin Haji Abdul Rahman; Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Berhormat Pengiran Dato Seri Setia Haji Mohammad Tashim bin Pengiran Haji Hassan; Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr. Awang Haji Mohammad Isham bin Haji Jaafar; Menteri Pembangunan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Awang Haji Muhammad Juanda bin Haji Abdul Rashid; Menteri Pendidikan, Yang Berhormat Datin Seri Setia Dr. Hajah Romaizah binti Haji Md. Salleh; dan Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Pengiran Dato Seri Setia Shamhary bin Pengiran Dato Paduka Haji Mustapha selaku Pengerusi-pengerusi Bersama.
Majlis dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah beramai-ramai dipimpin oleh Yang Berhormat Mufti Kerajaan dan diikuti dengan bacaan Khatam Al-Quran beramai-ramai oleh seramai 1,708 orang peserta yang dipimpin oleh Naib Johan Ujian Kelayakan ke Peringkat Lanjutan bagi Pelajar-Pelajar Tahun II Skim Tilawah Al-Quran Remaja Tahun 1446 Hijrah / 2025 Masihi, Awang Muhammad Aryan Raziqin bin Ruslani.
Majlis diikuti dengan bacaan Takhtim oleh pegawai-pegawai dan guru-guru ugama dari Jabatan Pengajian Islam dan disusuli dengan bacaan tahlil oleh pegawai-pegawai dari Jabatan Hal Ehwal Masjid (JHEM) diikuti dengan bacaan Doa Khatam oleh peserta khatam Al-Quran, Awang Muhammad Zakwan bin Haji Mohammad Ameerul Asharaf, Johan Ujian Kelayakan ke Peringkat Lanjutan bagi Pelajar-Pelajar Tahun II Tahun 1446H/2025M.
Dikir Marhaban dibawakan oleh pegawai-pegawai dari JHEM serta pegawai-pegawai dan guru-guru agama perempuan dari Jabatan Pengajian Islam (JPI). Majlis diakhiri dengan bacaan Doa Selamat yang dibacakan oleh Yang Berhormat Mufti Kerajaan.
Peserta khatam seramai 1,708 adalah terdiri daripada ahli-ahli MPMDK di keempat-empat daerah iaitu kategori dewasa lelaki, dewasa perempuan, belia dan beliawanis serta penuntut-penuntut Institut Tahfiz Al-Quran Sultan Haji Hassanal Bolkiah, sekolah Arab dan Skim Tilawah Al-Quran Remaja (STAR), kanak-kanak lelaki dan perempuan yang berumur 12 tahun ke bawah yang mewakili sekolah-sekolah ugama Kementerian Hal Ehwal Ugama iaitu dari sekolah-sekolah Arab dan Al-Falah, sekolah-sekolah ugama, Skim Khatam Al-Quran di bawah umur 10 tahun, Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah dan STAR serta penuntut-penuntut sekolah di seluruh negara di bawah Kementerian Pendidikan dan institusi-institusi pengajian tinggi.