Siaran Akhbar dan Foto : Jabatan Hal Ehwal Masjid
BANDAR SERI BEGAWAN, Khamis, 27 Ogos. - Masjid sebagai pusat pembangunan ummah bukan sahaja berperanan dalam pelaksanaan ibadah khusus, malah turut menjadi wadah penyebaran ilmu dan pengukuhan rohani masyarakat.
Sehubungan itu, Ahli Jawatankuasa Takmir Masjid, Masjid Omar 'Ali Saifuddien telah mengadakan Majlis Pelancaran Buku 'Ya Allah Terimalah Amalku' yang disertai dengan Bengkel 'Menyingkap Rahsia dan Kelebihan Doa Dalam Kehidupan'.
Acara berlangsung di masjid berkenaan dan hadir selaku tetamu kehormat majlis, seterusnya melancarkan buku tersebut ialah Pemangku Pengarah Hal Ehwal Masjid, Awang Haji Amir Hisham bin Haji Masri.
Manakala bengkel dikendalikan oleh Pegawai Hal Ehwal Masjid, Jabatan Hal Ehwal Masjid, Awang Haji Md. Shari bin Haji Sulaiman.
Penganjuran majlis ini adalah merupakan satu inisiatif bagi memperkasakan kefahaman umat Islam mengenai kepentingan doa dalam kehidupan seharian, di samping menjadi platform yang bermanfaat untuk mendekatkan masyarakat kepada Allah Subhanahu Wata'ala serta meningkatkan kesedaran mengenai kelebihan dan adab berdoa.
Antara objektif utama acara diadakan adalah untuk melancarkan buku 'Ya Allah Terimalah Amalku' kepada masyarakat umum, memberikan kefahaman yang lebih mendalam mengenai konsep dan kepentingan doa, menggalakkan pengamalan doa sebagai amalan harian serta menghidupkan peranan masjid sebagai pusat penyebaran ilmu dan pembangunan rohani.
Para peserta bengkel terdiri daripada para pegawai dan kakitangan masjid, Ahli Jawatankuasa Takmir Masjid serta Muslimah masjid seluruh negara.
Semoga dengan adanya acara seumpama ini akan dapat memberi manfaat kepada para peserta dalam meningkatkan kefahaman, penghayatan dan pengamalan doa dalam kehidupan seharian dan mendapat keberkatan Allah Subhanahu Wata'ala serta menjadi asbab dalam meningkatkan keimanan serta amalan masyarakat.