Berita dan Foto : Nurul Rasyidah Mohamad Rosland
BERAKAS, Khamis, 27 Ogos. - Brunei ICT Awards (BICTA) terus menjadi platform bagi mengetengahkan hasil inovasi dan kreativiti dalam bidang teknologi maklumat dan komunikasi (ICT), di samping membuka peluang kepada para pemenang untuk mewakili Negara Brunei Darussalam ke peringkat Asia-Pasifik melalui Asia Pacific ICT Alliance (APICTA) Awards.
Antara penerima pengiktirafan pada BICTA ialah Awang Muhammad Ifdhatul Ilahi bin Zaini, Awang Anwar Hakeemy bin Borhan dan Awang Muhammad Afiq Izzuddin bin Awang Haji Zulkarnain Sahta dari SOUL CAT Entertainment Sdn. Bhd. (SCE), yang meraih kemenangan dalam Kategori Startup, Anugerah Merit bagi Business and Consumer Service serta Anugerah Penaung Diraja menerusi Projek BodyTrack.
Mengulas mengenai pencapaian tersebut, mereka melahirkan rasa teruja dan tidak menyangka akan menerima pengiktirafan berkenaan. "Kami berasa sangat teruja dan pencapaian ini sememangnya sesuatu yang tidak disangka-sangka," ujar Awang Muhammad Ifdhatul Ilahi.
Projek BodyTrack merupakan perisian motion capture yang pada asalnya dibangunkan sebagai alat dalaman bagi keperluan pembangunan permainan video. Idea tersebut tercetus apabila projek permainan video VAGUE, yang pernah menjuarai Kategori Business and Consumer Service BICTA 2024, memerlukan teknologi motion capture bagi menghasilkan cutscene dan animasi karakter.
Bagi menangani kekangan dari segi kos dan kualiti teknologi sedia ada di pasaran, SCE membangunkan model Kecerdasan Buatan (AI) Pembelajaran Mesin (Machine Learning AI) tersendiri. BodyTrack mampu menyediakan fungsi motion capture secara masa nyata tanpa memerlukan perkakasan mahal atau sambungan internet.
Sistem tersebut hanya memerlukan antara satu hingga empat kamera RGB seperti kamera web atau GoPro serta komputer permainan. BodyTrack pula dibangunkan menggunakan enjin Unity 6 dan bahasa pengaturcaraan C#, C++, Python serta Sentis.
BodyTrack akan ditawarkan secara percuma bagi projek pendidikan dan studio kreatif berskala kecil yang berpendapatan di bawah BND100,000. Inisiatif tersebut diharap dapat menyumbang kepada perkembangan dan pengukuhan industri kreatif tempatan.
Sementara itu, Pengiran Fairuz Zakry bin Pengiran Haji Rosley dan Awangku Warsyan Habibullah bin Pengiran Fairuz Zakry dari CogniCare Technologies Sdn. Bhd. pula dinobatkan sebagai juara Kategori Research and Development menerusi Projek Care4U (Platform Saringan Awal Disleksia).
Mereka menyifatkan kemenangan ini sebagai satu penghormatan besar yang memberikan motivasi untuk terus mengembangkan projek berkenaan.
"Rasa sangat bersyukur dan terharu atas pengiktirafan ini. Kemenangan di platform berprestij seperti BICTA adalah satu penghormatan besar buat kami dan memberi kami motivasi serta suntikan semangat baharu untuk terus melangkah lebih jauh," kata Pengiran Fairuz Zakry.
Care4U dibangunkan sebagai platform saringan awal kognitif berasaskan web bagi mendigitalkan dan memudahkan proses penilaian kesihatan kognitif. Platform tersebut bertujuan membantu pengesanan awal isu kognitif dengan cara yang mudah diakses, mesra pengguna dan pantas.
Dibangunkan melalui integrasi Google Apps Script dan Google Sheets sebagai pangkalan data, Care4U turut menggunakan HTML5, Tailwind CSS dan JavaScript. Aplikasi berkenaan menyokong dua bahasa, iaitu bahasa Melayu dan bahasa Inggeris, selain dilengkapi ciri kebolehcapaian.
Fungsi utama platform tersebut ialah penjejakan masa respons bagi merekod respons pengguna untuk tujuan analisis saringan berasaskan data serta menjana laporan keputusan dalam format PDF secara automatik.
Menurut mereka, hala tuju Care4U adalah selari dengan aspirasi Wawasan Brunei 2035, khususnya dalam usaha melahirkan rakyat yang berkemahiran, sihat dan mempunyai kualiti hidup yang tinggi.
Platform tersebut diharap dapat membantu mengurangkan jurang akses kepada perkhidmatan kesihatan kognitif dan membolehkan tanda-tanda masalah kognitif dikenal pasti dengan lebih cepat.
Dalam pada itu, Kategori Utama bagi sekolah menengah turut menyaksikan kejayaan Kumpulan Kinetra dari Maktab Sains Paduka Seri Begawan Sultan yang terdiri daripada Dayang Syazana Nadhirah binti Mohammad Bahrin, Dayangku Nuwairah Darwisah binti Pengiran Mohd. Daimenul Shah dan Dayang Zara Tan binti Muhammad Johnny Aqil, di bawah bimbingan Guru Pengawas, Dayang Nur Farzaana binti Haji Shahminan.
Kinetra merupakan sistem pemulihan di rumah berasaskan permainan yang bertujuan menjadikan proses pemulihan lebih menarik dan boleh diukur. Sistem tersebut mengubah latihan fisioterapi kepada permainan interaktif menggunakan Scratch, dengan sensor bagi mengesan kekuatan, kelajuan pergerakan dan putaran sendi.
Kumpulan tersebut melahirkan rasa gembira dan bersyukur atas kemenangan yang diraih selepas meluangkan masa dan tenaga selama kira-kira empat bulan untuk membangunkan Kinetra.
Kinetra diharap dapat menjadikan perkhidmatan pemulihan lebih berpatutan dan mudah diakses, khususnya bagi individu yang berdepan kekangan dari segi pengangkutan, kewangan, masa dan akses kepada kemudahan pemulihan. Kumpulan berkenaan turut merancang untuk bekerjasama dengan ahli fisioterapi dan penyedia perkhidmatan kesihatan bagi terus menambah baik projek tersebut.
Dengan kemenangan tersebut, Kumpulan Kinetra merancang untuk terus menguji dan menambah baik sistem berdasarkan maklum balas daripada pihak profesional dengan hasrat membawa projek berkenaan ke peringkat antarabangsa.
Ketiga-tiga pemenang turut berkongsi pandangan yang sama bahawa peserta BICTA perlu berani mengetengahkan idea dan memberi tumpuan kepada penyelesaian masalah sebenar yang dihadapi masyarakat.
Bagi SCE, peserta disarankan supaya terus mencuba dan sentiasa berfikiran terbuka dalam mencari penyelesaian terhadap masalah dari sudut teknikal mahupun kreatif.
Sementara itu, CogniCare Technologies menekankan kepentingan menghasilkan teknologi yang bukan sahaja canggih, tetapi mampu menyelesaikan masalah sebenar masyarakat.
Kumpulan Kinetra pula menyarankan peserta memilih masalah yang dekat dengan diri mereka, tidak takut mengemukakan idea serta mendapatkan bimbingan guru yang dapat membantu meningkatkan kualiti projek.