Cuaca diramal aktif sehingga 7 November

2 Nov 2026 - 5:00am

Siaran Akhbar dan Infografik : Jabatan Kajicuaca Brunei Darussalam

BANDAR SERI BEGAWAN, Ahad, 1 November. - Negara Brunei Darussalam pada masa ini berada di penghujung fasa peralihan monsun dan akan memasuki Monsun Timur Laut dalam masa terdekat.

Berikutan hujan lebat berserta ribut petir yang berlaku semalam pada Sabtu, 31 Oktober 2026, beberapa kawasan di seluruh negara telah mengalami kejadian banjir kilat.

Susulan keadaan cuaca tersebut, Jabatan Kajicuaca Brunei Darussalam (BDMD) telah mengeluarkan amaran cuaca secara berperingkat, bermula dengan Amaran Kuning sebelum dinaik taraf kepada Amaran Jingga dan seterusnya Amaran Merah, seiring dengan peningkatan tahap keterukan keadaan cuaca semasa.

Sementara itu, Stesen Pencerapan Kajicuaca di Lapangan Terbang Antarabangsa Brunei telah merekodkan jumlah turunan hujan sebanyak 101.0mm pada hari berkenaan.

Pada pukul 7.30 malam, jarak penglihatan horizontal turut berkurangan sehingga 1km, manakala kelajuan angin kencang direkodkan mencecah sekitar 52kmsj.

Secara keseluruhannya, jumlah turunan hujan yang direkodkan sepanjang bulan Oktober 2026 adalah sebanyak 201.2mm, iaitu kira-kira 64 peratus daripada jumlah turunan hujan normal bulanan sebanyak 313.6mm.

Bagi bulan November 2026 pula, tinjauan ramalan iklim jangka panjang menunjukkan bahawa jumlah turunan hujan dijangka berada pada paras normal, dengan anggaran antara 250mm hingga 390mm.

Keadaan cuaca masih diramalkan aktif sehingga Sabtu, 7 November 2026.

Hujan sekali-sekala lebat dan berpetir dijangka menjejaskan kawasan pedalaman terutama pada waktu petang dan berpotensi melintasi kawasan pesisiran dan perairan pada waktu malam. Kelajuan angin boleh meningkat sehingga 45kmsj semasa atau dekat hujan lebat dan berpetir.

Di perairan Brunei, keadaan laut pada amnya berombak di paras sedikit, dengan ketinggian ombak sehingga 1.0m.

Orang ramai adalah dinasihatkan untuk mengambil langkah-langkah awal akan kejadian cuaca aktif yang diramalkan berlaku. Terdapat risiko tinggi kejadian banjir kilat, tanah susur, pokok tumbang dan atap terbang berlaku semasa hujan lebat dan keadaan berangin kencang.

Orang ramai, para pemandu di jalan raya dan juga para pelaut dinasihatkan supaya sentiasa peka dengan ramalan, nasihat dan amaran cuaca terkini yang dikeluarkan oleh BDMD dan membuat perancangan yang bersesuaian untuk keselamatan semua.

Maklumat cuaca terkini boleh diperoleh melalui aplikasi mudah alih Brunei WX, atau dengan menghubungi peramal cuaca yang bertugas di Pusat Ramalan Cuaca melalui Talian Cuaca 114.

Selain itu, orang ramai juga boleh melayari laman sesawang www.met.gov.bn serta mengikuti saluran rasmi kami di Facebook (@bruneiweather), Instagram (@brunei.weather), Telegram dan WhatsApp (Brunei Weather).